Monday, May 30, 2016

Pemilihan Mastura ambil kira pandangan ulama – Ahmad Zahid


Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan ‘kempen kaedah tanpa kehadiran calon’ dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar sebagai langkah menghindarkan salah faham mengenai isu edah, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pendekatan kempen BN akan menggunakan sepenuhnya kemudahan multimedia yang menampilkan ucapan-ucapan calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui kaedah tersebut diharap tidak lagi timbul isu berkaitan hukum edah yang telah ditimbulkan oleh parti pembangkang.

Menurutnya lagi, selama ini pun kempen sesuatu pilihan raya hanya melibatkan 50 peratus sahaja kehadiran calon manakala selebihnya dijalankan melalui kempen atau ceramah yang dijalankan oleh petugas-petugas parti.

“Kita sudah teliti sebelum mengumumkan Datin Mastura sebagai calon BN. Ini termasuk kaedah berkempen dan juga hukum berkaitan edah.

“Saya juga telah bertanyakan hukum dan mendapatkan pandangan para ulama termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai isu idah ini.

“Dari lima calon yang disenaraikan oleh BN, Datin Mastura didapati yang paling sesuai dan berwibawa serta diterima ramai pengundi,” katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di Tokyo semalam.

BN mengumumkan Datin Mastura Mohd. Yazid sebagai calon BN di PRK Parlimen Kuala Kangsa yang akan menentang calon Pas, Dr. Najihatussalehah Ahmad.

Sementara itu, BN akan menggunakan strategi 'kempen tanpa calon' bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar susulan calonnya, yang masih berada dalam tempoh edah.

Dr. Ahmad Zahid berkata, strategi yang julung kali diguna pakai jentera BN semenjak parti itu ditubuhkan telah mengambil kira fatwa mengikut hukum qat'ie dalam Islam yang berkaitan tempoh edah seseorang wanita yang kematian suami.

"UMNO mengadakan perbincangan dengan beberapa ulama, termasuk mereka yang menganggotai jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, selain turut berbincang dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bagi mendapatkan pandangan dan pendapat," katanya.

Beliau berkata, beberapa kaedah telah dicari untuk memperkenalkan Mastura kepada pengundi termasuk merakamkan ucapannya yang akan disiarkan di semua pusat daerah mengundi dan lokasi-lokasi sasaran, selain melalui komunikasi tanpa lisan.

"Yakinlah, kaedah ini telah kami (BN) fikirkan bagi menghormati hukum yang telah ditentukan dan diharap pengundi di Kuala Kangsar yang hampir 60 peratus beragama Islam memahami situasi itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, strategi kempen tanpa calon itu telah dijelaskan kepada pemimpin komponen parti BN yang bukan beragama Islam di Kuala Kangsar supaya mereka dapat menjelaskan isu berkenaan kepada para pengundi.

Beliau berkata, Mastura akan berada di rumahnya sepanjang kempen diadakan kerana masih dalam tempoh edah.

Ditanya mengenai penerimaan Mastura oleh pengundi di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Ahmad Zahid berkata, calon BN itu mempunyai kelebihan tersendiri yang berpengalaman luas dalam bidang politik negara dan banyak bergaul dengan pengundi kawasan itu semasa suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan dari 2004 hingga 2013, dan kemudian sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar sejak 2013.

"Saya yakin beliau akan diterima baik berbanding calon lain yang tidak bergaul di kawasan undi..., dan tentunya beliau akan melakukan yang terbaik," katanya.

Saturday, May 28, 2016

Kuala Kangsar – Tangan Yang Menghayun Buai Mana Akan Dipilih?

Datin Mastura Mohd Yazid, calon BN
Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat UMNO tidak pernah mengalami kekalahan di Parlimen Kuala Kangsar sejak pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1959.

Kerana itu bagi UMNO dan BN perlu mengekalkan momentum kemenangan itu  kerana Kuala Kangsar merupakan kawasan putih bagi BN.

Bekas Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali semalam berpesan, pengundi di Kuala Kangsar wajar menjadikan peristiwa hitam ketika pakatan pembangkang memerintah Perak selama 11 bulan.

Ini kerana sepanjang tempoh itu rakyat mengalami penderitaan akibat pentadbiran kerajaan campuran antara DAP, PAS dan PKR sehingga menyebabkan Perak menjadi kucar-kacir.

Dr Najihatussalehah, calon PAS
Ia adalah iktibar menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

Kekosongan kerusi Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian penyandangnya, Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il memperolehi 14,218 undi dengan majoriti 1,082 undi menyingkirkan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan Calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.

Kuala Kangsar mempunyai 32,632 pengundi berdaftar dengan 312 merupakan pengundi awal.

Dengan kedatangan PRK itu, ia merintis kepada kemungkinan  pertandingan tiga penjuru. Namun BN dan PAS sudahpun mengumumkan calonnya.

Balu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Mohd Yazid diumum sebagai calon BN dan pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan raya kecil itu di Pusat Arahan BN di sini kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Mastura, 55, merupakan seorang graduan undang-undang daripada Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun. Beliau mempunyai pengalaman bergiat dalam politik, iaitu Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan.

Mastura dilihat seorang yang berani mengeluarkan pendapat dan lantang bersuara untuk sebarang perihal melibatkan kebajikan penduduk di sekitar Kuala Kangsar.

Di pihak PAS, semalam Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad dinamakan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bulan depan.

Dr Najihatussalehah, 50, juga merupakan Anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2015-2017.

Beliau yang berasal dari Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri, Pasir Salak memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Kuala Lumpur.

BN sudah memulakan gerak kerja PRK dengan mengedarkan poster 'Keluargaku Pengundi BN' kepada 4,800 anggota Veteran UMNO Kuala Kangsar untuk dilekatkan di rumah masing-masing sebagai usaha membantu calon BN pada PRK tersebut.

Ini adalah simbolik tanda sokongan veteran UMNO terhadap calon BN dan berikrar akan bekerja habis-habisan untuk memenangkan calon itu," katanya. 


Wednesday, May 25, 2016

Faktor Dr M - Sebelum Ini 'Tak Heran', Sekarang Dah Bimbang Pula...


Tertanya-tanya dengan sikap pemimpin UMNO mengenai ‘pengaruh dan kekuatan’ Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak seperti Sarawak, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu kini dikatakan akan turut berkempen menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

Ada mengatakan Dr Mahathir sudah tidak ada pengaruh dan tidak akan berkesan langsung kalau pun turun padang pada PRK dua kerusi Parlimen – Sungai besar dan Kuala Kangsar – serentak 18 Jun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Mei lalu menyebut tidak akan ada sebarang hasilnya daripada sejuta tandatangan yang dikumpulkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' untuk Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir.

Deklarasi itu mndesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga untuk pembaharuan institusi.

Pengerusi, Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad menegaskan pada 16 Mac bahawa UMNO tidak bimbang dengan pengaruh bekas Perdana Menteri itu dan timbalan presiden parti itu yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kamu fikir kami tiada kerja lain tetapi bimbangkan perkara ini? Kami telah kerja sejak hari pertama, kami tahu perkara ini akan berlaku," kata Shahrir ketika ditanya sejauh mana pengaruh Mahathir dan Muhyiddin terhadap ahli UMNO.

Kelmarin (24 Mei), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak menegaskan, jentera BN tidak sedikitpun bimbang dengan kemungkinan Dr Mahathir turun berkempen bagi pihak pembangkang dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya pentas PRK  tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh BN untuk menjelaskan perilaku sebenar bekas Perdana Menteri itu.
 
Semalam, 25Mei, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kehadiran Dr  Mahathir bagi mem­bantu kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak akan menjejaskan prestasi BN.

BN sebaliknya mengalu-alukan kedatangan bekas Perdana Menteri itu kerana ia dapat membuktikan bahawa beliau tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat.

Namun di sebalik itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa semalam memberi amaran, BN tidak seharusnya selesa dan terlalu yakin menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ini kerana, katanya, BN perlu berasa bimbang ekoran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan akan turut berkempen bagi pihak pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

Annuar yang turut mengenali Dr Mahathir kerana pernah bekerja dengannya di Pusat dan di Kelantan, sama ada dalam Kabinet mahupun UMNO,  pasti tahu sangat kerenah dan tindakan tanpa dijangka bekas Perdana Menteri  


"Tak boleh kata tak bimbang. Jika kita kata tak bimbang (DR Mahathir berkempen untuk pembangkang) macam terlalu yakin (over confident).

"Apa benda yang berlaku kita kena ada kebimbangan. Kalau Tun berkempen untuk pembangkang, kita kena rasa bimbang.

Malah menurut Annuar,  UMNO perlu menjawab tohmahan yang  dilemparkan Dr Mahathir bagi mengelak rakyat terpengaruh dengan segala dakwaan bekas perdana menteri itu.

"Bahaya kalau kata tidak apa. Sekarang ini kita tidak boleh nak agak, terutama terhadap pengundi muda, pengundi bukan Melayu, dan banyak faktor yang kita kena tengok.

Ternyata Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh itu bimbang terhadap pendirian Dr Mahathir yang akan membantu pembangkang menewaskan BN dalam PRK itu.

Seelok-eloknya pemimpin UMNO mengambil perhatian terhadap apa yang disebut oleh pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa  rakyat tidak boleh menafikan perkara itu walaupun setelah Mahathir bertindak keluar dari UMNO.

Tengku Razaeligh yang sangat arif dengan tingkahlaku Dr Mahathir turut tidak menafikan Dr Mahathir seorang yang sedar apa yang dilakukan.

“Dia mempunyai objektif. Jadi, sudah tentu dia akan mempromosikan objektifnya agar tercapai. Dia akan buat yang terbaik,” katanya.

Mengulas berkenaan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan, Ku Li akui sukar menjangkakan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi atau sebaliknya.

“Sukar untuk saya ulas, kerana dia (Dr Mahathir) sering mengejutkan. Dengan semua cadangannya, saya tidak boleh nilaikan situasi atau memberikan cadangan, ia sukar,” katanya.

Untuk pemimpin UMNO, jangan ingat Dr Mahathir ke Sungai besar dan Kuala Kangsar sahaja.


Dengan gelombang Deklarasi Rakyat sekarang, siapa boleh meramalkan akan jadi dalam tempoh dua tahun akan datang?

Saturday, May 21, 2016

Bawa Kes Disiplin Muhyiddin, Mukhriz Tidak Langgar Perlembagaan Parti - Tengku Adnan


Keputusan merujuk kes disiplin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk tindakan adalah tidak melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin menulis surat kepadanya menyatakan ia 'kes berprofil tinggi' dan memulangkan semula kes tersebut kepada MT untuk tindakan lanjut.

"Sebagai setiausaha agung, saya hanya akan bawakan apa yang telah ditulis kepada saya oleh Lembaga Disiplin iaitu agar perkara ini dirujuk kepada Majlis Tertinggi supaya membuat keputusan.

"Oleh kerana Lembaga Disiplin sendiri tidak mahu mengambil keputusan atas alasan 'kes berprofil tinggi' ... tak kan kita nak diamkan. Jadi, sebagai setiausaha agung saya cuma boleh bawa kepada MT untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Semarak Komuniti 1Malaysia di Putrajaya semalam.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa keputusan membawa kes itu kepada MT Umno sebagai melanggar prosedur tatatertib dan perlembagaan parti.

Pada 19 Mei lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr AhmadZahid Hamidi enggan mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas parti itu menjatuhkan hukuman tanpa memberi surat tunjuk sebab kepadanya.

Ahmad Zahid sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung UMNO, untuk menjawab segala kritikan yang dilemparkan timbalan presiden digantung itu.

Sebelum ini,  Muhyiddin membidas Tengku Adnan susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.
Sehingga kini katanya, beliau tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada parti berhubung salah laku beliau dan tidak pernah dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin UMNO mengenai kesalahan yang dilakukannya.

Malah katanya, apa yang dilakukan Tengku Adnan itu jelas menunjukkan proses tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap beliau dibuat tanpa mengikut tatacara dan prosedur betul, sekaligus bercanggah peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan UMNO.

Tengku Adnan berkata Umno sebagai sebuah parti berstrukutur akan sentiasa memastikan tindakan yang diambil adalah mengikut aturan sedia ada, dan sebagai bekas timbalan presiden Umno, beliau yakin Muhyiddin faham dan tahu tindakan tersebut sama sekali tidak melanggar mana-mana peraturan.

Beliau berkata Perlembagaan Umno jelas menyatakan bahawa MT berhak untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Majlis Tertinggi, malah ia juga boleh membuat keputusan-keputusan selain daripada apa yang tertera dalam tataetika parti dan perlembagaan.

Ditanya apakah MT akan membuat keputusan mengenai kes Muhyiddin dan Mukhriz pada mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 27 Mei ini, beliau berkata tugasnya cuma membawa permintaan Lembaga Disiplin kepada MT, selebihnya terpulang kepada anggota mesyuarat. 

Mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pengundi tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak yang akan dijalankan serentak pada 18 Jun depan, Tengku Adnan berkata ia sesuatu yang tidak patut dilakukan.

"Kenapa perlu buat begitu ... saya hanya boleh minta beliau (Dr Mahathir) fikirkan apa yang hendak dicakapkan dan jangan membuat kenyataan hingga orang boleh putar belit dan manipulasikan situasi, yang akhirnya akan merugikan BN, parti yang pernah memberinya kuasa untuk mentadbir negara lebih 20 tahun," katanya.

Monday, May 16, 2016

Pecat Muhyiddin, Mukhriz - Kenapa Tengku Adnan Beria-ia?


Sebelum ini ada mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dipecat selepas pilihan raya negeri Sarawak.

Mungkin benar pendapat demikian kerana selalunya pengumuman pemecatan akan dilakukan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun kedatangan dua Pilihan Raya Kecil serentak di dua kawasan Parlimen – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – pada 18 Jun depan, mungkin hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

Tarikh penamaan calon ialah pada 5 Jun sementara pengundian awal pada 14 Jun. Ia diadakan semasa bulan puasa.

Sebelum ini calon  UMNO menang tipis dengan mendapati majoriti 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar pula majoriti hanya kira-kira 1,000 undi.

Pada ketika UMNO sedang bergelut dengan krisis kepimpinan ditambah dengan penolakkan peringkat akar umbi, tindakan pecat hanya akan mengundang bencana kepada parti.

Majoriti yang kecil dimenangi oleh UMNO sebelum ini, tidak cukup untuk menjamin UMNO menang dengan keadaan politik sekarang.

Apapun, semakin jelas bahawa ketiga-tiga pemimpin itu akan menerima padah kerana menentang dan mengkritik pucuk pimpinan khususnya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Muhyiddin disingkir daripada jawatan timbalan perdana menteri Julai lalu dan Mukhriz ditukar sebagai menteri besar pada awal tahun ini, dipercayai kerana kritikan mereka berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.



Namun persoalan timbul ialah, apakah yang  cuba ditunjukkan oleh Setiausaha Agong UMNO  yang memegang jawatan itu kerana dilantik (jawatan yang dilantik) sehingga bercakap mahu memecat  Muhyiddin dan Mukhriz?

Tengku Adnan sepatutnya sebagai pentadbir parti yang dilantik wajar menutup mulut dan biarkan mereka yang berjawatan melalui pemilihan menentukan kedudukan seseorang dalam parti, bukan oleh orang seperti beliau yang hanya dilantik.

Amat nyata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor seperti tidak sabar-sabar dan terlalu geram sehingga menegaskan bahawa dan sewajarnya dipecat daripada UMNO.

Tidak cukupkah dengan kenyataan Ahli Majlis Tertingi yang senior dalam parti – Datuk Seri Mohd Nazri Aziz - meminta Presiden bertindak ke atas tiga pemimpin UMNO itu?

Tengku Adnan bagai menyimpan dendam apabila mengatakan : "Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir patut dipecat daripada parti. “

“Pada saya, saya mahu pecat mereka. Jawatankuasa disiplin sudah pulangkan kembali kepada Majlis Tertinggi untuk diputuskan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

“Kertas siasatan telah diberikan kepada kita (MT) dan biarlah mereka yang tentukan,” katanya lagi.

Kenyataan Tengku Adnan itu sebetulnya tidak ‘manis’ daripada seseorang yang menduduki kerusi kerana dilantik. Lainlah kalau beliau bercakap dalam kapasitinya sebagai Ketua Bahagian UMNO Putrajaya.

Sebelum ini Nazri menegaskan tetap akan membawa usul supaya Muhyiddin, Mukhris dan Mohd Shafie dipecat dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) UMNO akan datang.

"Tetap (akan bawa usus pemecatan), saya hanya tunggu saja bila tarikh mesyuarat MT," katanya.

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu beliau sedang menunggu makluman mengenai tarikh mesyuarat berkenaan akan diadakan.

"Apabila saja saya diberitahu (tarikh mesyuarat MT), saya akan bawa usul untuk buang mereka (Muhyiddin, Mukhriz, Shafie)," katanya.

Apakah kenyataan Nazri ini tidak cukup buat Tengku Adnan? Atas faktor apa beliau begitu geram kepada Muhyiddin?

Muhyiddin sebelum ini tidak bagi sangat muka kepada beliau? Atau atas kepentingan peribadi apa Tengku Adnan sehingga sanggp menyatakan pendiriannya sebegini?

Ada pendapat mengatakan Mohd Shafie mempunyai harapan untuk terlepas berdasarkan kenyataan Tengku Adnan bahawa berdasarkan laporan yang diterima Ibu Pejabat UMNO, dia tidak bersama dengan pembangkang.

 Namun demikian, ketiga-tiga mereka, yang kini dikenali sebagai Team B Umno yang sering bergerak bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata anggota MT UMNO berhak menyuarakan pandangan dan mengemukakan usul pemecatan pemimpin parti itu.


Ab Rauf berkata pandangan berkenaan juga selaras dengan rasa hormat ahli-ahli MT terhadap institusi UMNO yang menerima pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejas reputasi parti berkenaan.

Friday, May 13, 2016

Calon BN Di PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar "Winnable Dan Likeable" - Zahid


Penampilan calon setempat diyakini mampu menjadi kunci kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak, bulan depan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin ia juga merupakan kehendak rakyat kawasan itu berbanding meletakkan calon luar.

"Ini bukan masa yang sesuai untuk menguji kesetiaan rakyat dengan meletakkan calon dari luar kawasan.

"Walaupun UMNO kawasan Parlimen setuju untuk membawa calon dari luar tetapi kepimpinan tertinggi parti perlu berhati-hati membuat keputusan," katanya mengulas desas-desus bahawa UMNO akan memberi ruang kepada calon luar dan bukan anak setempat untuk bertanding dalam kedua-dua PRK itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Seni di sini hari ini, turut menyifatkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan sahaja sangat penting bagi UMNO dan BN, malah merupakan ujian bagi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinannya.

Zahid mahu calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' 

PRK kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan susulan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, masing-masing terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam (13 Mei) menetapkan PRK di kedua-dua kawasan Parlimen itu akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, serta menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata UMNO tidak akan risau mengenai pihak pembangkang dan hanya berusaha keras untuk mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen itu.

Bagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN  akan meletakkan calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' pada PRK di dua Parlimen itu.


Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata BN akan menyenarai pendek calon yang berpotensi dan mengumumkan calon bagi kedua-dua kerusi itu seminggu sebelum hari penamaan calon.

"Sebelum memilih calon, kita akan semak latar belakang dengan beberapa agensi agar calon-calon bersih daripada semua unsur negatif," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar masing-masing dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Katanya, beliau pula akan bertindak sebagai penyelaras bagi kedua-dua bahagian PRK berkenaan dengan dibantu Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Ahmad Zahid, persaingan sengit dijangka berlaku bagi kedua-dua kerusi pilihan raya itu memandangkan penyandang terdahulu memenangi kawasan itu dengan majoriti undi yang kecil.

Katanya BN menjangkakan dan mengalu-alukan pertandingan pelbagai penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan telah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua keadaan.

"Apa yang lebih penting ialah pengalaman pilihan raya lalu yang cukup mengajar kedua-dua kawasan apabila memperoleh kemenangan yang marginal. Ini menunjukkan bahawa semua bentuk permasalahan dalaman harus diselesaikan sebelum penamaan calon.

"Selain sejauh mana kekuatan pihak lawan, lebih penting ialah soal dan faktor kekuatan dalaman yang perlu dibina semula bagi meraih kemenangan dan memperoleh majoriti tinggi bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata jentera BN telah menyusun kerja awal di peringkat pusat daerah mengundi di kedua-dua kerusi Parlimen dan beliau sendiri akan turun padang memastikan ia berjalan lancar serta mengikut perancangan.

Bersatu, Nasional Dan Kesetiaan Asas Kekuatan UMNO - Najib



Bila kita tanya apa roh, apa semangat UMNO itu, roh semangat UMNO itu di atas tangga Istana Besar Johor Baharu. Kalau itulah nafas yang bertiup dalam badan, itulah kalau dikatakan roh, darah daging, maka Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun lagi dan lebih daripada itu."

Bersatu, nasional dan kesetiaan - itu tiga asas yang menjadi formula kekuatan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 sehingga menjadi parti paling berjaya di dunia sehingga hari ini.

Menurut Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri, rahsia kekuatan UMNO terkandung pada namanya yang telah dipilih oleh pengasas iaitu 'Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu' atau 'United Malay National Organisation' yang menjadi kunci kekuatan menempuh sebarang ujian, cabaran dan krisis hingga pada hari ini.

"Nama bersatu atau 'united' adalah kunci kepada kejayaan kita. Dan kedua bila kita memecahkan tembok-tembok perasaan kedaerahan dan kenegerian ... tidak lagi berjuang dalam kelompok-kelompok yang kecil, tetapi berjuang atas nama kebangsaan.

"Maka kita mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga kuasa penjajah pada masa itu sedar bahawa atas kekuatan ini, mereka terpaksa menyerah bumi ini kepada kita rakyat Malaysia, dipimpin oleh UMNO dan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) untuk mengemudikan kepimpinan negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari UMNO ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur malam 12 Mei lalu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta wakil parti komponen BN.

Najib berkata banyak pihak yang bertanya apakah rahsia atau formula yang diguna pakai oleh UMNO yang membawa kepada kejayaan tidak putus-putus dipilih untuk mentadbir negara sehinggalah pada hari ini.

"Tidak perlu kita lihat lebih jauh, asasnya ialah kita bersatu, asasnya national, asasnya apa? kesetiaan. Saya nak tambah lagi, kesetian sepanjang hayat, sepanjang zaman kita dalam UMNO, dalam apa jua keadaan, walaupun kita tidak bersetuju, walaupun kita berbalah, berbeza pendapat," katanya.

Jelasnya, tidak ada parti politik yang tidak ada perbezaan pendapat dan tidak mengalami perbalahan dalaman tetapi mesti ada disiplin dan berlandaskan kasih, sayang dan kesetiaan pada parti dalam apa juga keadaan.

"Sebab itulah sepertimana saya sebut dua malam yang lalu, saya kata terus terang, kalau takdirnya satu hari nanti saya berselisih faham dengan pengganti saya, saya tidak akan keluar daripada UMNO.

"Sebab UMNO ini parti yang terlalu besar budi jasa kepada orang Melayu, kepada rakyat Malaysia, kepada keluarga saya, kepada diri saya. Saya tidak akan mengkhianati parti UMNO sehingga saat akhir hayat saya," katanya.

Najib turut menggariskan kejayaan UMNO, antaranya melahirkan ramai golongan intelek dan berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

"Daripada keadaan kita terhina tak ada maruah, hari ini kita sudah muncul sebagai bangsa yang bermaruah, dihormati dan disegani. Banyak kisah-kisah 70 tahun yang boleh saya huraikan. Satu demi satu kita semua telah melaluinya. Oleh itu saya mahu kita kembali semula. Bila kita tanya apa roh, apa semangat UMNO itu, roh semangat UMNO itu di atas tangga Istana Besar Johor Baharu.

"Kalau itulah nafas yang bertiup dalam badan, itulah kalau dikatakan roh, darah daging, maka Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun lagi dan lebih daripada itu," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan dalam komponen BN yang bersama-sama membantu UMNO dalam mentadbir negara.

Selepas berucap, Najib turut memotong pulut kuning bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO.

Beliau turut menyampaikan sumbangan parti kepada waris dua anggota Parlimen UMNO yang terkorban dalam nahas helikopter pada 5 Mei lalu di Sarawak, iaitu anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Sehari sebelum itu (11 Mei), Najib menyeru seluruh anggota parti untuk tidak membiarkan perbezaan pendapat dan ketidaksefahaman mencemar keharmonian parti.

Perdana Menteri berkata sesuatu isu itu perlu diselesaikan secara matang dan berhemah.

"Sehingga kini, UMNO terus menjuarai perjuangan membela untung nasib Melayu dan Bumiputera. Dalam perjalanan 70 tahun ini, sudah tentu parti ini tidak dapat lari daripada ujian dan cabaran.

"Ada yang memilih untuk tidak bersama UMNO dan membentuk parti baru, dan ada juga yang memilih untuk keluar masuk UMNO mengikut kehendak diri dan keadaan.

"Tetapi tidak mengapa, UMNO hormati keputusan mereka. Hal ini tidak sesekali mematahkan semangat juang UMNO malah mematangkan lagi kita semua," katanya dalam catatan terbaharu bertajuk 'UMNO 70 Tahun' dalam blognyawww.najibrazak.com.

Dalam meniti usia kematangan bersempena dengan ulang tahun ke-70 UMNO hari ini, Najib mengajak seluruh anggota parti agar bersama-sama berdoa supaya perjuangan parti keramat ini terus diberkati Allah SWT.

"Insya-Allah, saya yakin selagi mana UMNO berdiri teguh, selagi itu orang Melayu akan terus kekal sejahtera dan membangun di bumi bertuah Malaysia ini. Selamat ulang tahun ke-70, UMNO," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 70 tahun ini, rakyat telah melalui pelbagai dugaan dan kejayaan bersama.

Katanya UMNO bermula dengan perjuangan mulia, melakukan desakan kepada kerajaan British untuk memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

"Peristiwa ini merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957," katanya.

Wednesday, May 11, 2016

UMNO Perlukan Faktor X Sebagai Anjakan Baharu Demi Orang Muda


"Jangan mudah alpa dan seronok. Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini belum cukup dijadikan kayu pengukur sokongan rakyat terhadap parti. Sarawak kukuh kerana imej Ketua Menterinya, bagaimana pula di Semenanjung?”
- Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh

UMNO harus merenung kembali sejarah kegemilangannya yang dipandang hambar oleh generasi muda sekarang, khususnya agar tercetus satu anjakan baharu untuk menawan hati rakyat berbilang kaum negara ini.
  
Bekas Menteri Besar Perlis keempat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh berkata UMNO juga perlu mencari faktor X supaya parti itu tidak dianggap eksklusif oleh generasi muda yang akan memastikan kelangsungan politik UMNO.

"Penting bagi UMNO melakukan anjakan dengan aura baharu yang lebih segar kerana zaman dahulu dan kini jauh berbeza. UMNO ini sama seperti makhluk yang menjadi harapan rakyat semasa dilahirkan.

"Namun di usia 70 tahun, UMNO dilihat tidak syumul, jauh tersimpang dari matlamat. Ada masa ia sihat, sakit, kuat atau lesu," kata Abdul Hamid kepada Bernama di Kangar (semalam,10 Mei)

Abdul Hamid, 71, yang juga bekas Yang DiPertua Dewan Negara selama dua penggal (2003-2009), berpendapat UMNO perlu berusaha keras untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat mengenai arah tuju perjuangannya.

"Kita tidak mampu menyembunyikan kenyataan. Jelas hari ini sambutan rakyat terhadap UMNO tidak seperti dahulu. Rakyat sangsi dengan pemimpin UMNO yang dilihat berjuang untuk kepentingan mereka," katanya.

Abdul Hamid berkata para pemimpin UMNO perlu berpegang pada prinsip kejujuran intelek sepanjang berada dalam kancah politik.

Beliau berkata setiap pilihan, tindakan atau keputusan yang dibuat tidak harus dipengaruhi emosi, ego atau dikuasai ketamakan jika mahu mendapat penghormatan rakyat.

"Jika setiap anggota parti berpegang pada prinsip demikian, UMNO akan mendapat semula rentak perjuangan dan faktor X yang dicari," katanya dengan memberi contoh gaya kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sesuai dicontohi oleh pucuk pimpinan UMNO masa kini.

Menurutnya, karektor, aura dan peribadi Adenan yang merendah diri, berpandangan jauh, bijak dan tegas berjaya menarik hati pelbagai etnik rakyat Sarawak dan membuatkan beliau disenangi.   

Abdul Hamid berkata kepimpinan UMNO dari akar umbi sehingga yang tertinggi harus fokus dan jelas mengenai perjuangan parti itu tanpa perlu rasa takut atau gentar menghadapi lawan.

"UMNO dahulu gemilang kerana berpaksi pada tanggungjawab, berbeza sekarang ahli-ahlinya berpaksi pada penguasaan politik untuk memegang jawatan serta bercita-cita tinggi.

Ramai dalam kalangan mereka lupa perjuangan dan fungsi sebenar untuk membantu rakyat, dan hanya muncul semasa pemilihan parti atau menjelang pilihan raya.

"Semasa kegemilangan UMNO dahulu, kalau dapat tongkol kayu daripada UMNO, rakyat tetap hargai tetapi UMNO sekarang bagi emas setongkol pun rakyat tak pandang. Inilah beza imej UMNO dulu dan sekarang," kata Abdul Hamid.

"Jangan mudah alpa dan seronok. Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini belum cukup dijadikan kayu pengukur sokongan rakyat terhadap parti.

"Meskipun pada mata kasar sambutan rakyat pada BN memberangsangkan tetapi usah cepat berpuas hati. Sarawak kukuh kerana imej Ketua Menterinya, bagaimana pula di Semenanjung?," kata Abdul Hamid.

Beliau yang telah menjadi anggota UMNO sejak berusia 16 tahun, yakin UMNO akan menemui titik tolak yang berupaya mengembalikan keperkasaan parti itu jika ahli-ahlinya berani mengambil tindakan yang disenangi rakyat.

Tajuk asal - UMNO perlu renung sejarah parti, cari faktor X


Monday, May 9, 2016

UMNO Perlu Penyegaran Semula Untuk Kekal Relevan - Rozali



Proses 'penyegaran semula' Umno menjadi satu aspek penting bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya terus kukuh dan diyakini seluruh rakyat seperti pada awal penubuhannya.

Apa lagi sejak akhir-akhir ini parti terbesar yang membela nasib bangsa Melayu itu menerima pelbagai tohmahan yang bukan sedikit berikutan timbulnya pelbagai konflik dalaman.

Naib Pengerusi Kanan Veteran UMNO Malaysia Datuk Mohamad Rozali Isohak berkata kelemahan itu yang dicanang pelbagai pihak tidak bertanggungjawab sedikit sebanyak akan menggugat keutuhan parti berkenaan.

"Apa lagi bila pemimpin besar seperti (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang seumpama tiang seri kepada UMNO sebelum ini, keluar parti dan bersuara dari luar menentang pemimpin negara ketika ini.

"Walaupun suara itu tidak keseluruhannya didengari dan dipersetujui semua pihak, saya lihat ia mampu memberi kesan juga kepada parti apabila gambaran negatif disebar secara meluas di laman sosial," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Kota Bharu, baru-baru ini.

Bertitik tolak dari situ, Mohamad Rozali, 66, berkata seluruh pemimpin dan anggota UMNO perlu bermuhasabah, mengkaji apa yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa atau dengan kata lain, UMNO perlu diberi nafas baharu yang lebih baik.

"Dalam keadaan ini saya amat bersetuju dengan pandangan Pengerusi Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa yang menyarankan perlunya satu tarbiah yang menyeluruh kepada anggota parti supaya sejarah dan perjuangan UMNO selama ini disemarakkan semula dalam setiap jiwa rakyat negara ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Veteran UMNO Negeri Kelantan berkata rasa sayang dan cinta kepada UMNO terutama kepada generasi muda perlu sentiasa disegarkan untuk menjadi pemangkin kepada kelangsungan parti.

"Kita tidak mahu rakyat fikir apa yang sedang kita kecapi hari ini datang bergolek... tetapi perlu faham bahawa UMNO yang ada sekarang adalah hasil penat jerih pemimpin terdahulu.

"Tugas menyegar dan mengembalikan kegemilangan UMNO ini perlu dipikul oleh seluruh anggota parti dengan semangat dan keazaman yang tinggi...bukan bermusim. Ia perlu lahir daripada hati yang tulus untuk melihat UMNO terus relevan," katanya.

Mohamad Rozali berkata usaha itu pula amat berkait rapat dengan semangat kesukarelawan anggota parti dengan melaksanakan tanggungjawab menyalurkan maklumat itu tanpa jemu.

"Secara peribadi saya melihat budaya sukarelawan dalam parti kian menipis. Maksud saya melaksanakan sesuatu kerja dengan ikhlas demi untuk parti tanpa ganjaran. Perubahan ini berlaku mengikut peredaran masa dan ia sesuatu yang tidak elok untuk parti.

"Bahkan saya melihat rakyat sendiri selalu meletakkan harapan bahawa mereka akan mendapat sesuatu setiap kali kepimpinan UMNO turun padang bertemu mereka di peringkat akar umbi," katanya.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata adalah menjadi tugas besar kepada semua pemimpin dan anggota parti untuk mengekalkan persepsi yang baik kepada UMNO seiring dengan kematangan usia penubuhannya yang mencecah 70 tahun 11 Mei ini.

Bagi beliau UMNO tetap sebuah parti yang paling dominan dan mampu kekal relevan selamanya kepada rakyat jika ada kesepakatan dan iltizam yang kuat menangani krisis keyakinan yang dialami ketika ini.

"UMNO mungkin boleh melihat atau mencari platform perpaduan dengan parti Melayu lain. Tidak salah rasanya kerjasama itu dibentuk melalui persefahaman bersama demi kebaikan semua," katanya.

Dalam pada itu, katanya sejarah telah membuktikan UMNO adalah parti yang membela bangsa Melayu di negara ini sejak sekian lama bahkan menjadi sebuah parti yang berjaya meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan selepas melalui liku-liku getir ketika penjajahan British satu ketika dahulu.

Mohamad Rozali kini terus aktif menyampaikan ceramah dan penerangan di seluruh Kelantan selain terbabit dengan pelbagai aktiviti dengan hampir 60,000 anggota Veteran UMNO Kelantan.

Mengulas harapannya kepada UMNO menjelang ulangtahun ke-70 parti itu, Mohamad Rozali berkata sebagai 'orang lama' yang telah melihat pelbagai senario politik tanah air, beliau mahu melihat wajah UMNO yang lebih baik.

"Kita harap UMNO terus utuh dan matang ke arah kebaikan serta terus menjadi parti yang tetap relevan dalam apa jua zaman," katanya.

Ulang Tahun UMNO Disambut Secara Sederhana, Beberapa Acara Dibatalkan

Ulang Tahun UMNO ke-70 akan disambut pada Khamis ini dalam keadaan sederhana.

Sambutan yang sepatutnya diadakan pada Rabu (11 Mei) dipinda pada keesokan sebagai memberi laluan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Majlis Santapan Malam Sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata majlis bacaan Yassin dan tahlil yang dijadualkan pada 11 Mei dipinda ke tarikh berikutnya, 12 Mei, Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mengakui ia bukan masa yang sesuai untuk meneruskan acara tersebut, , sambutan akan membabitkan bacaan Yasin dan tahlil bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu serta perjuangan UMNO.
“Ia juga bagi mengingati mangsa nahas helikopter membabitkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon.
“Rasa sedih bukan hanya menyelubungi ahli keluarga mangsa tetapi juga ahli UMNO dan rakyat di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sambutan tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Katanya, tarikh tersebut dipinda berikutan UMNO menghormati Majlis Santapan Malam Raja-Raja di Istana Negara yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.

“Sambutan secara sederhana dibuat untuk mengenang jasa para pemimpin-pemimpin kita yang telah pergi dan juga kepada pemimpin kita yang telah terlibat dalam nahas helikopter baru-baru ini,” katanya.

Jelas beliau, ekoran insiden nahas helikopter yang berlaku di Sarawak, UMNO dengan persetujuan Presiden parti telah memutuskan supaya segala acara untuk sambutan besar-besaran ulang tahun parti dibatalkan.

Perancangan sebelum ini melibatkan larian UMNO di seluruh negara dan perhimpunan yang akan membabitkan lebih 300 ribu orang ahli UMNO pada 14 Mei di Dataran Merdeka termasuklah Karnival Sukan yang sedang berlangsung dengan peringkat akhirnya dijadualkan di Kuala Lumpur turut dibatalkan.

“UMNO buat keputusan untuk adakan sambutan Hari UMNO secara sederhana sahaja. Kita faham bahawa kita juga merasai kehilangan kawan-kawan kita yang ke Sarawak untuk membantu parti tetapi akhirnya terlibat dalam tragedi ini,” ujarnya lagi.
Katanya, Karnival Himpunan Hari UMNO bersempena ulang tahun ke-70 yang dijadualkan 14 Mei ini di Dataran Merdeka dibatalkan, termasuk Sukan UMNO dan Larian Bendera UMNO yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Keris 2314: Tanam Jati Diri Perjuangan Kepada Lebih 20,000 Anggota UMNO


Lebih 20,000 anggota UMNO telah menjalani latihan atau kursus 'KERIS 2314' sejak modul baharu melahirkan pelapis kepimpinan itu diperkenalkan pada November 2014, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata selain persediaan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), modul itu diperkenal bagi memberi latihan semula kepada anggota parti mengenai sejarah perjuangan UMNO sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946.

"Yang penting, kita hendak tanamkan semula nilai-nilai perjuangan di dalam jiwa pendokong parti khususnya dalam kalangan belia, yang kini berhadapan dengan cabaran berbeza berbanding waktu dahulu," katanya pada sidang media sempena Ulang Tahun Ke-70 UMNO di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini (9 Mei).

Modul latihan itu diumumkan oleh Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014, bagi menangkis onar pembangkang.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata bagi memastikan semangat perjuangan dan kesepaduan terus kukuh dalam kalangan anggota UMNO, parti itu akan melaksanakan fasa kedua latihan 'KERIS 2314' dengan fokus terarah kepada melahirkan pelatih.

"Kita menyasarkan untuk melatih 10,000 anggota UMNO yang mana mereka ini kemudiannya akan mengembangkan latihan dan modul yang dipelajari kepada anggota lain, umpamanya anggota yang baharu disahkan keanggotaannya," jelas beliau.

Tengku Adnan berkata anggota baharu UMNO perlu diberi pemahaman yang jelas mengenai Perlembagaan UMNO, memahami cogan kata dan lagu rasmi parti 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' yang diyakini mampu menjadi benteng dalam mengelak permasalahan seperti perbuatan menentang parti yang berlaku kini.

Untuk rekod, akronim KERIS membawa maksud Karisma, Ehsan, Rasional, Iltizam dan Setia manakala angka 23 dalam 'KERIS 2314' itu membawa maksud sasaran BN untuk menebus kembali jumlah kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat selepas gagal memperolehnya pada dua PRU sebelum ini.

Mengenai tanggapan bahawa angka 70 menunjukkan parti itu semakin tua dan boleh pupus, Tengku Adnan berkata UMNO melihatnya dari aspek positif iaitu panjang umur atau matang.

"Saya percaya lebih lama parti ini, lebih matang ia untuk bergerak membangunkan negara dan membantu rakyat," katanya.

Utamakan Perpaduan Daripada Kemenangan Bertanding Sesama Sendiri - Wan Mokhtar



Perpaduan lebih penting daripada kemenangan dalam pertandingan sesama sendiri dalam parti, kata veteran UMNO Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Menurutnya pertandingan sedemikian hanya akan menimbulkan perpecahan dan mewujudkan kumpulan-kumpulan kecil yang akhirnya memberi kesan negatif kepada parti.

"Tidak perlulah berebut..ikhlaskan perjuangan," pesan bekas Menteri Besar Terengganu dari 1974 hingga 1999 itu dalam wawancara eksklusif bersama Bernama sempena ulangtahun ke-70 UMNO pada 11 Mei ini.

Mengenang semula memori perjuangannya, Wan Mokhtar berkata ketika memegang jawatan Naib Ketua Bahagian, beliau pernah menolak cadangan beberapa pemimpin Bahagian Kemaman sekitar 1963 untuk mencabar ketua bahagian.


Ini kerana beliau tidak mahu berlaku perpecahan dan tuduh menuduh hingga timbul persengketaan secara senyap yang bagaikan 'api dalam sekam' yang boleh menyala pada bila-bila masa sahaja.

"Saya 'pegang' Kemaman selama 32 tahun. Saya masuk (menyertai UMNO) sembilan tahun dan semasa tempoh itu, masing-masing ya Allah...bergaduh...masa tu arwah Datuk Sulong Mahmood, dia tiada kelulusan. Saya dicalon untuk bertanding tetapi saya tolak.

"Bagi saya, bukan soal dia tiada kelulusan tapi soal kebolehan dia memimpin. Jadi dia memimpin baik, kita tak ada hal. Kita sokong. Tiap-tiap kali pemilihan bahagian, panggil saya suruh lawan...saya tetap kata jangan lawan.

"Punca perpecahan bahagian pasal berlawan. Bila kata tak berlawan...tak berlawanlah sampai tujuh tahun lepas itu apabila berlaku krisis besar di Kemaman membabitkan penyokong bekas anggota Parlimen Wan Yahya Wan Mohamad dengan penyokong bekas Menteri Besar Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad," katanya.

Wan Mokhtar berkata persengketaan itu memaksa presiden parti ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein datang ke Kemaman dan mengambil alih Bahagian Kemaman.

Jelasnya persengketaan terhenti dalam tempoh setahun selepas Jawatankuasa Tadbir yang ditubuhkan khas untuk pemutihan ahli berjaya memupuk kembali perpaduan.

"UMNO Kemaman semakin kukuh apabila begitu ramai ahli yang hadir. Paling menggembirakan ialah lawan saya dalam pilihraya 1964, Wan Hamid Wan Ibrahim yang bertanding atas tiket Barisan Sosialis (SF) kembali ke UMNO dan amat aktif membantu kekuatan parti selepas itu.

"Tun Razak sangat gembira mendapati Jawatankuasa Tadbir menjalankan tugas dengan sempurna. Beliau memuji saya selaku Setiausaha Tadbir dan menyatakan saya boleh memimpin bahagian itu sekiranya perwakilan mempercayai saya.

"Bagai yang diduga, perwakilan memilih saya...saya tidak dicabar. Sejak itu saya kekal sebagai Ketua Bahagian Kemaman selama 28 tahun iaitu 1971 hingga 1999," katanya.

Sepanjang wawancara yang berlangsung hampir sejam setengah itu, beliau berulang kali menegaskan rahsia UMNO masih kekal sehingga kini hanyalah kerana 'perpaduan...jangan berlawan'.

"Bila tak berlawan, kita tak ada musuh...kalau kita asyik berlawan dan duk (asyik) berebut nak buat apa...awak pandai macam mana pun, tunggulah dulu nak rebut untuk apa...asyik-asyik nak berlawan," katanya yang kadang kala kelihatan hiba apabila ditanya keadaan parti UMNO ketika ini.

Wan Mokhtar yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, berkata beliau sentiasa menjaga dan mengekalkan hubungan baik dengan kepimpinan UMNO Pusat dan kerap turun padang bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang timbul di peringkat bahagian.

"Masa saya dulu, saya dengan Kuala Lumpur (UMNO Pusat) bagus, dengan parti pun baik dan dua bulan sekali saya buat (adakan) mesyuarat perhubungan negeri sebab nak tahu masalah di semua bahagian.

"Kemudian, saya akan buat lawatan ke bahagian. Kita sendiri yang pergi, jadi tidak ada apa yang berbangkit, semuanya tenang sehinggalah saya melepaskan jawatan," katanya.

Wan Mokhtar berkata selepas 15 tahun menjadi Menteri Besar, beliau pernah berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi peluang kepada orang lain, namun permintaannya ditolak.

"Ketika itu saya jumpa Dr Mahathir supaya gantikan jawatan saya dengan orang lain sebab saya kesian juga dengan orang lain dan kami berbincang selama satu jam.

"Saya cakap, saya dah 15 tahun Datuk, bagi orang lain pula ganti dan Mahathir tanya nak ganti dengan siapa? Saya cakap Datuk Rashid Ngah, Datuk Abu Bakar Ali ada...tapi masa itu dia tetap suruh saya sambung lagi," katanya.

Ditanya rahsia lain beliau dapat menjalankan tanggungjawapnya, Wan Mokhtar berkata beliau sentiasa berpandukan al-Quran dan hadis dalam setiap perbuatan dan kepimpinannya.

"Kita kena ingat, bila kita pegang jawatan tinggi jangan ambil peluang dengan apa yang ada...kita bergantung pada gaji kita sudahlah. Buat kerja itu biar berkat, jangan buat perkara bagi orang marah," katanya.

Sepanjang 25 tahun menjadi menteri besar, Wan Mokhtar berkhidmat di bawah tiga pemerintahan Sultan Terengganu iaitu Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultan Mizan Zainal Abidin serta tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.

Setelah tewas pada pilihan raya ke-10 pada 1999, Wan Mokhtar kemudiannya dilantik sebagai Duta Malaysia ke Mesir selama lima tahun bermula 2000 hingga 2005. 

Sikap Dan Pemikiran Rakyat, Cabaran Umno Mendepani Situasi Semasa


OlehYasmin Ahmad Zukiman

Pola pemikiran dan sikap rakyat yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan situasi semasa menjadi cabaran bagi UMNO untuk memastikan parti itu terus menjadi pilihan.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman (gambar atas) berkata pemikiran rakyat yang sukar dijangka, 'sekejap setuju sekejap tidak' menyukarkan lagi keadaan untuk memahami setiap kehendak mereka.

"Rakyat zaman dahulu sangat mudah dipimpin. Kenapa? kerana pada masa itu hidup susah, maka sebarang bantuan atau pemberian yang diterima daripada kerajaan, mereka akan dahulukan dengan ucapan terima kasih.

"...tetapi hari ini berbeza apabila rata-rata rakyat sudah hidup senang dan menganggap bantuan kerajaan adalah tanggungjawab pemimpin semata-mata, maka rasa penghargaan kepada kerajaan yang memerintah itu tiada," katanya kepada Bernama bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO pada 11 Mei ini.


Tambah Abdul Aziz, ledakan maklumat di Internet juga mendorong UMNO untuk bekerja lebih keras bagi menangkis persepsi negatif yang secara tidak langsung mempengaruhi corak pemikiran rakyat.

Bagi tujuan itu, beliau berkata UMNO yang sudah bertapak sejak 1946 mesti mempunyai pasukan siber yang kuat sebagai benteng pertahanan untuk berdepan perang saraf yang semakin meningkat, serta menjawab kritikan dan tohmahan secara berilmu, pantas dan matang.

"UMNO tak boleh abaikan setiap komen yang dilemparkan di media sosial, pada masa sama perlu lakukan banyak kajian untuk meningkatkan kekuatan dan memperbaiki kelemahan parti," katanya.

Jelas beliau, untuk memperkukuh kedudukan parti dan bilangan anggota, UMNO perlu fokus bukan sahaja kepada anggotanya tetapi juga memberi perhatian kepada yang bukan dalam kalangan parti kerana cara itu dilihat lebih 'lembut' untuk menawan hati anggota baharu.

Ditanya mengenai penerimaan UMNO dalam kalangan masyarakat dahulu dan sekarang, Abdul Aziz yang pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada 1984 berpendapat masyarakat kini tidak begitu peduli asalkan parti itu dapat memberi keselesaan kepada kehidupan mereka.

"Zaman dahulu lain apabila rakyat sertai UMNO untuk berjuang dan memperolehi kemerdekaan tetapi kini setelah merdeka, mereka (rakyat) lebih memilih untuk menyerahkan tugas menjaga negara kepada pemimpin sahaja," katanya, menambah hal itu menyebabkan semangat patriotisme rakyat semakin tipis.

Justeru, beliau mencadangkan supaya sistem pendidikan dimantapkan selain menerapkan semangat Rukun Negara dengan bersungguh-sungguh dalam diri pelajar kerana ia adalah manifestasi kecintaan kepada negara.

Mengambil contoh Indonesia, Abdul Aziz berkata, meskipun republik itu mempunyai jumlah warganegara yang ramai namun mereka mudah disatukan dengan pegangan Pancasila.

"Seperti Rukun Negara, Pancasila merupakan ideologi atau dasar yang menjadi pedoman kehidupan bangsa dan bernegara bagi seluruh rakyat Indonesia dan diamalkan dalam sistem pendidikan bermula peringkat prasekolah hingga ke universiti.

"Bahkan terdapat Institut Falsafah Pancasila di universiti yang berfungsi untuk mengkaji wadah serta falsafah perjuangan di Indonesia," katanya.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO, Abdul Aziz berharap semua anggota parti sentiasa menjiwai semangat perjuangan pemimpin terdahulu dan menjadikannya sebagai aspirasi untuk terus memajukan agama, bangsa dan negara demi generasi akan datang.

70 Tahun UMNO: Cabaran Ditangani Secara Positif Demi Kelangsungan



UMNO yang menyambut ulang tahun ke-70 penubuhannya pada 11 Mei ini (lusa), masih berdiri teguh sehingga kini walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Cabaran demi cabaran yang dihadapi parti tersebut ditangani secara positif, sekali gus mematangkan parti keramat orang Melayu itu untuk meneruskan kelangsungannya sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Pergolakan dalam UMNO antara Team A dan Team B melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan pengharaman UMNO pada 1988, adalah antara kisah yang masih kekal dalam ingatan banyak pihak.

Pensyarah Kanan Hal-Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut tidak terlepas berdepan cabaran dalaman parti.


Ini termasuk 'serangan' daripada Dr Mahathir yang telah keluar parti dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah digantung jawatan sebagai timbalan presiden parti.

"Saya harap pada usia UMNO 70 tahun ini, tidak lagi berlaku penentangan yang membolehkan UMNO rosak dan rakyat seolah-olah melihat ia satu parti yang tidak berjasa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata landskap politik pada masa kini sudah jauh berbeza dan seharusnya ditangani dengan lebih rasional.

Bagaimanapun, Md Shukri memuji kepimpinan Najib yang disifatkannya sebagai pemimpin berkarisma, matang dan sabar dalam menempuh ujian politik dan pentadbiran.

"Dulu, walaupun ada pertembungan antara Ku Li dan Dr Mahathir, parti masih boleh menguasai Parlimen dan UMNO tetap mentadbir dan memerintah.

"Hari ini ia dibuat semasa UMNO sendiri menghadapi kelemahan dan Barisan Nasional (BN) pula bergantung harap kepada UMNO. Kalau UMNO gagal maksudnya BN itu sendiri terkubur.

"Sebab itu pentingnya UMNO ini. Situasi berbeza daripada dulu. Sebab kita (UMNO) tidak kuasai sepenuhnya Dewan Rakyat kerana parti komponen BN pun sudah lemah," katanya.

Md Shukri berkata untuk terus bertahan pada masa hadapan, antara kelompok yang perlu diberi keutamaan dalam UMNO adalah golongan elit supaya mereka lebih rasional dalam memelihara parti dan menghentikan perang politik.

"Cabaran lain dalam UMNO adalah untuk meningkatkan promosi yang positif mengenai parti itu kepada rakyat supaya rakyat melihat UMNO sebagai sebuah parti masyarakat dan parti kebajikan untuk rakyat," kata beliau.

Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata pencapaian terpenting UMNO sepanjang 70 tahun usianya adalah mengekalkan keamanan negara dengan bantuan parti komponen BN.

"Selepas (peristiwa rusuhan kaum) 13 Mei (1969), ada teori yang mengatakan Malaysia tidak akan bertahan dan akan bergaduh setiap tahun. Tetapi lihat hari ini, kita diletakkan pada kedudukan ke-17 dari segi Indeks Keselamatan Dunia," katanya.

Malah, katanya kestabilan politik dan ekonomi turut dapat dikekalkan demi kesenangan rakyat.

"Kita bermula daripada negara yang cukup mundur kepada negara yang maju hari ini. Jangan kita bunuh parti ini yang bertanggungjawab menjadikan apa yang kita dapat hari ini. Peliharalah ia sebaik-baiknya," kata beliau.

Sebagai Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Ibrahim turut berkongsi sumbangan parti itu terhadap sektor pendidikan khususnya kepada golongan Melayu.

"Saya masih ingat pada 1970 selepas Dasar Ekonomi Baru, tahap pendidikan Melayu, anak peribumi cukup rendah berbanding kaum lain yang lebih ke depan.

"Semasa itu rata-rata orang luar bandar tiada peluang kerana ibu bapa mereka miskin," katanya.

Melihat situasi golongan Melayu lemah dalam beberapa bidang termasuk perniagaan dan profesional, katanya kerajaan akhirnya menghantar lebih ramai pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke luar negara pada masa itu.

Selain itu, Institut Teknologi MARA (kini UiTM) yang ditubuhkan pada 1967 juga adalah antara tempat yang memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera untuk membangunkan taraf sosioekonomi mereka menerusi bidang pendidikan.

BERNAMA