Wednesday, June 29, 2016

Tak Payah Ugut, Beri Amaran, Bersihkan Segera UMNO Daripada Sampah Sarap...


"Apabila melakukan sabotaj, memburuk-burukkan dan mengkritik pemimpin serta dasar parti, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jawabnya ‘nahaslah engkau’."

Kalau mahu bersihkan UMNO daripada mereka yang menentang kepimpinan tertinggi atau menyerang UMNO secara terbuka, bertindaklah biar menyeluruh, jangan terpilih.

Tidak kiralah yang berprofil tinggi atau rendah, mereka yang mengancam UMNO dan menyerang UMNO, lebih-lebih lagi menyerang dan memaki-hamun Presiden dan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO secara terbuka,  pecat sahaja.
  
Ini kerana dalam UMNO, tiada seorang pun lebih besar daripada parti!

Sesiapa yang pilih untuk melanggar peraturan parti, jawapannya adalah tindakan disiplin. Ia berlaku di atas kehendak mereka sendiri, bukan disuruh-suruh..

Kerana itu, tidak payah ugut atau beri amaran. Lama-lama jadi tawar, kalau asyik ugut dan beri amaran. Tindakan tegas diperlukan. Barulah nampak ‘ummmphhh...’.

Yang patut pecat, pecat sahaja. Yang patut digantung ke ahliannya, gantung sahaja.

Umno perlukan ahli berkualiti, bukan ahli yang asyik membantah dan mempersoalkan keputusan pemimpin.

Tidak perlu ada ahli tiga juta tetapi sebahagiannya sampah sarap. Ada yang tidak mengundi atau mengundi parti yang lawan UMNO.

Buat apa ahli sedemikian. Lakukan pemutihan segera. Setiap Bahagian UMNO perlu kenal pasti mana ahli yang setia, yang atas pagar dan yang tidak setia.

Yang setia dipelihara, yang atas pagar dipujuk dan yang tidak setia, bersihkan sahaja daripada ‘disk’ supaya tidak corrupt seluruh computer (UMNO).

Pemimpin perlu berani bertindak.  Pemimpin adalah ketua yang patut dihormati. ‘The boss is always right, bukan gitu?’


 Jadi apabila Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam terus menerus memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap ahli Umno khususnya di bahagian Pagoh, Semporna dan Jerlun yang membantah keputusan Majlis Tertinggi parti itu yang memecat dan menggantung pemimpin mereka Jumaat lalu, ia bukan sesuatu yang akan membawa kekuatan kepada parti.
  
Sebagai Setiausaha Agung yang semua butiran ahli dalam pengetahuannya, lebih baik buat kajian dan penyelidikan.

Mana-mana yang menentang secara terbuka, jelas dan bertindak nekad menentang UMNO, buang atau pecat sahaja.

Itu lebih baik.

Mereka ini  tidak semestinya daripada kumpulan pemimpin tetapi juga ahli biasa.

Kenyataan mereka sama ada melalui ceramah, blog atau Facebook perlu dipantau dan yang sesuai atau patut buang, buang sahaja.

Begitu juga dengan blogger dan Facebookers yang terang-terangan menyokong pembangkang dan Tun Dr Mahathir.

Tunggu apa lagi? UMNO perlu bersihkan ahli parti itu. Lakukan pemutihan. Tidak perlu bangga dengan tiga juta ahli tetapi banyak ‘sampah’ di dalamnya.

Biar tinggal ahli yang setia sahaja. Lagipun slogan UMNO itu sendiri pun BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT.

Tidak payahlah nak cakap tidak wajar bagi ahli parti di bahagian-bahagian  menuduh Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan di luar batasan atau apa sekali pun.

MT sudah buat keputusan berani memecat ketua Umno bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua UMNO Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan ketua Umno bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mereka melanggar disiplin parti, jadi kena beranilah dan berdepanlah dengan bantahan.

Umno bahagian Pagoh dan Semporna sebelum ini mengumumkan mereka menolak keputusan MT yang memecat pemimpin mereka daripada parti.

Tidak sekadar perlu meneliti dan memantau pergolakan yang berlaku di Semporna dan Pagoh di mana ada ahli-ahli yang tidak berpuas hati terhadap keputusan MT. Apabila membantah, ia jelas mereka tidak lagi menunjukkan tataetika sebagai ahli UMNO.


Mempesoalkan sama ada mereka  benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara tetapi untuk individu,  itu soal lain. Hak masing-masing. Apakah pemimpin UMNO semuanya mementingkan perjuangan sedemikian, atau kedudukan dan kepentingan peribadi?

Pemimpin dan ibu Pejabat UMNO tidak boleh menyekat ahli parti membuat spekulasi selagi tiada pencerahan dan kenyataan Presiden UMNO sendiri agak samar-samar.

Umpamanya dalam isu perletakan jawatan dalam parti diperingkat pusat, negeri dan bahagian oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Kalau soal jawatan Menteri, ia dikatakan sebagai hak Perdana Menteri melantiknya, tetapi bagaimana jawatan yang dipilih melalui persidangan UMNO Bahagian?

Kita mahu melihat apa tindakan terhadap kumpulan bekas ketua cawangan UMNO yang  bertindak membakar buku Perlembagaan Umno.

Mereka  menunjukkan kemarahan dan protes oleh  Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) sebaik sahaja selesai sidang media bersama Muhyiddin dan Mukhriz di perkarangan Rumah Alumni Universiti Malaya (UM) petang kelmarin menuntut respons bijak daripada pemimpin UMNO Pusat.

Mereka mendakwa buku Perlembagaan UMNO itu sudah tidak berguna lagi kerana  tidak digunakan oleh pimpinan tertinggi dan menganggap ia bertentangan dengan semangat UMNO dan tidak boleh dimaafkan.

Juga, apa tindakan akan dilakukan terhadap lima ketua UMNO Cawangan Pagoh meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta ekoran kecewa dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang melucutkan keahlian Muhyiddin Yassin daripada parti berkenaan baru-baru ini?

Mereka adalah Ketua Cawangan Grisek, Datuk Tahir Mohd Taat; Ketua Cawangan Batu Enam, Datuk Abd Aziz Hashim; Ketua Cawangan Parit Medan, Mohd Solihan Badri dan Ketua Cawangan Kurnia Sakti, Hedzer Ahmad serta Ketua Cawangan Kundang Ulu, Ahmad Kamit.

Kelima-lima individu terbabit mendakwa mereka masih mengekalkan keahlian dalam parti berkenaan kerana masih sayangkan UMNO. Untuk apa UMNO Pusat mengekalkan mereka?

Yag jelas tindakan mereka meletakkan jawatan adalah sebagai tanda protes selain membantah keputusan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. jelas sudah daripada kenyataan mereka.

Mohd Solihan bakar buku perlembagaan UMNO.
Mohd Solihan yang juga Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) berkata, beliau percaya sebenarnya ramai yang membantah dan mahu keluar daripada parti (UMNO) namun mereka masih teragak-agak kerana tidak jelas dan keliru dengan pendirian mereka.

“Namun saya pasti, keputusan kami ini boleh mempengaruhi ahli Umno lain yang dilihat begitu kecewa terhadap tindakan MT ini,” katanya.

Bagaimana pula di Semporna Sabah?

Kelmarin, Pengerusi Tetap Umno Bahagian Samporna, Datu Eranza Datu Saribu yang juga mengumumkan peletakan jawatannya sambil mendakwa UMNO Bahagian Semporna dibubarkan dengan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin kawasan tersebut sebagai bantahan terhadap keputusan MT menggantung keahlian Datuk Seri Shafie Apdal sementara menunggu laporan Lembaga Disiplin Jumaat lepas.

“Maka dengan ini kami meletakan jawatan di dalam parti dan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti berkuatkuasa serta-merta,” kata Datu Eranza dalam satu kenyataan semasa sidang media di Semporna.

Beliau mengecam tindakan MT UMNO yang bersifat kuku besi dan tidak membenarkan perbezaan pendapat sehingga pengkritiknya dibuang parti hanya semata-mata kerana menyatakan kebenaran dan melawan kebatilan.

Itu bukan melawan tauke ker? Menyifatkan kepimpinan UMNO mengamalkan pentadbiran ‘kuku besi’.

Keberanian Ibu Pejabat Umno mengambil tindakan memecat ketua cawangannya kerana dipercayai mensabotaj parti dan menegur kepimpinan Presiden UMNO,  Datuk Seri Mohd Najib Razak, wajar dijadi amalan kekal (prededent) parti.

Umpamannya dalam kes ketua cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan, Syed Saifuddin Syed Harman,58, yang menerima surat daripada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 2 Jun lalu.

Syed Saifuddin kena pecat...
Terkilan atau tidak atas keputusan itu, tanggunglah sendiri. Sendiri buat sendiri tanggung, walaupun setelah 30 tahun bersama UMNO.

Tidak perlu ungkit kenapa diperlakukan sedemikian?

Juga jangan anggap ia keputusan tidak adil tanpa sebab logik dan munasabah. Ini kerana apabila melakukan sabotaj, memburuk-burukkan pemimpin dan mengkritik pemimpin dan dasar parti, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jawabnya ‘nahaslah engkau’.

UMNO Mohon Batal Saman Pemula Anina


UMNO memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas ahli Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin yang mencabar Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, iaitu keputusan mana-mana parti tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan permohonan itu pada 21 Jun lepas di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur atas alasan saman itu tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap mereka.

Saman itu juga dikatakan mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan juga menyalahgunakan proses mahkamah.

Menurut rekod mahkamah, mereka berdua mahu membatalkan saman bekas ahli UMNO Langkawi itu terhadap mereka dan kerajaan yang bertujuan membatalkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan, atas alasan pengisytiharaan Anina itu membabitkan kuasa mahkamah dan kapasitinya mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Tengku Adnan dan Rauf juga mahu menangguhkan persidangan dan memfailkan afidavit sementara menunggu pendengaran pembatalan saman itu.

“Sekiranya penangguhan ini ditolak, ia akan menjejaskan (prejudicial) kedua defendan (Tengku Adnan, Rauf),” menurut notis penangguhan itu.

Anina, yang menerjah ke perhatian umum tahun lalu selepas dirakam mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memfailkan saman membatalkan Seksyen 18C atas alasan ia melampaui hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mahu suatu klausa 20.7 Perlembagaan UMNO diisytiharkan tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Anina juga mahu surat pemecatan daripada UMNO, bertarikh 1 dan 2 September, diisytiharkan terbatal dan tak sah.

Anina sebelum ini gagal mencabar penyingkirannya apabila Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memutuskan pertelingkahan dalaman parti politik perlu diselesaikan secara dalaman.

Seksyen 18C menyebut keputusan sesebuah parti politik adalah muktamad dan tidak boleh disemak semula (reviewed) di mahkamah.

Anina menyaman Tengku Adnan dan Rauf pada 11 September tahun lalu untuk membatalkan penyingkirannya.

Sebelum keahliannya dipecat, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Rauf pada 28 Ogos tahun lalu berkenaan dakwaan perdana menteri menipu ahli UMNO kerana menerima derma politik RM2.6 bilion dan menggunakan wang itu tanpa pengetahuan parti.

Beliau disingkir daripada UMNO pada 2 September selepas mengheret parti ke mahkamah.

Saturday, June 25, 2016

Selamat Tinggal Umno, "Saya Tidak Akan Melutut'...


Oleh Muhyiddin Yassin
   
Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam Umno, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti.
Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah Umno dan negara yang melibatkan perdana menteri.

Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerana kami mengambil langkah berani menegur perdana menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal.

Saya berasa kecewa kerana Umno yang ada pada hari ini bukan lagi Umno yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya.

Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Berakhirlah sejarah panjang

Mereka yang menguasai Umno boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.


Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam Umno.

Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana Umno telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya.

Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati Umno. Saya hanya menentang pemimpin Umno yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah Taala. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin Umno dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini.

Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba.

Semoga tabah, sabar

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. Insya-Allah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk.

Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.


Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah Taala terhadap saya dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya.
Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah Taala berfirman dalam Surah at-Taghabun ayat 11 yang bermaksud: "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar), dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu."

Sempena bulan Ramadan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli Umno sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal Umno.

Kepada Allah saya berserah.

Monday, June 20, 2016

Pilihan Raya Umum Awal? Pemimpin BN Kata Esok Pun Boleh...


"Kempen anti-Najib Tun Mahathir telah gagal dan pembangkang berpecah dan tidak keruan serta dilihat tidak berupaya untuk mentadbir sebuah kerajaan.Rakyat mempercayai BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri."

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil(PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih daripada mampu untuk mengetuai Barisan Nasional menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Itu pandangan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini.

Beliau  menyifatkan  kemenangan besar dalam kedua-dua PRK itu membuktikan adalah salah dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya BN akan kalah di bawah kepimpinan Najib.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini, Abdul Rahman yang juga Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dam Kesejahteraan Bandar, berkata Kempen anti-Najib Tun Mahathir telah gagal dan pembangkang berpecah dan tidak keruan serta dilihat tidak berupaya untuk mentadbir sebuah kerajaan.


"Rakyat mempercayai BN di bawah kepimpinan perdana menteri untuk menyediakan pembangunan ekonomi dan jaminan keselamatan," katanya.

Abdul Rahman berkata rakyat telah menunjukkan bahawa mereka menentang sebarang cubaan untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik.
  
Abdul Rahman berkata Tun Dr Mahathir harus menerima kehendak demokrasi rakyat, walaupun ia tidak selari dengan kepentingan peribadinya.

"Adalah lebih baik beliau bersara awal daripada terpaksa menanggung malu lagi," katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dilaporkan berkata selepas kemenangan BN itu merupakan tempoh sesuai sekiranya PRU mahu dilakukan lebih awal.

Katanya, kemenangan besar BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan BN kembali mendapat tempat di hati rakyat.

Raja Nong Chik - kemenangan BN di PRK adalah tem,poh sesuai...
Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh 12,653 undi untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar bagi BN dengan majoriti undi 6,969, mengalahkan Dr Najihatussalehah Ahmad daripada PAS (5,684 undi), Dr Ahmad Termizi Ramli dariada  Amanah (4,883) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (54).

Mastura merupakan balu kepada Anggota Parlimen Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei.

Tan Sri Noriah Kasnon, yang merupakan MP Sungai Besar, turut terbunuh dalam insiden itu yang memerlukan PRK turut dadakan di Sungai Besar.

PRK itu dimenangi oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi yang mendapat 16,800 undi untuk mencatatkan rekod tertinggi majoritinya sebanyak 9,191-undi.

Beliau mengalahkan Azhar Abdul Shukur daripada Amanah yang mendapat 7,609 undi dan Dr Abdul Rani Osman (PAS) yang mendapat 6,902 undi.

Menurut Raja Nong Chik, keputusan PRK itu  ia suatu fenomena yang mampu memberi keyakinan buat kawasan-kawasan berpotensi lain memenangi PRU akan datang ekoran perubahan sikap pengundi bermula dari pilihan raya di Sarawak.

Shahrizat - Wanita Bersedia Bila-Bila Masa
Menurutnya yang merupakan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, situasi itu juga dilihat sebagai satu tempoh sesuai sekiranya PRU mahu dilakukan lebih awal.

"Pengundi sudah sedar bahawa politik pepecahan yang dibawa oleh pembangkang tidak boleh pakai. Analisis juga menunjukkan politik memburukkan pemimpin dan mensensasikan isu tidak berkesan kerana pengundi mungkin sudah jemu,"katanya seperti dilaporkan oleh  Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Raja Nong Chik menambah, pada pilihan raya umum yang lalu, berpolitik dengan mencemuh pemimpin dengan isu-isu yang disensasikan mungkin menjadi penentu kemenangan.

Ia seperti mana yang berlaku di Lembah Pantai sendiri apabila beliau dikaitkan dengan skandal penjualan sebidang tanah, katanya.

"Akhirnya, setelah mereka (PKR) menang, barulah (Ahli Parlimen Lembah Pantai) Nurul Izzah (Anwar) mohon maaf tentang fitnah itu. Namun perkara sebegitu mungkin sudah tidak berkesan pada waktu sekarang ini kerana pengundi lebih mahu tahu tentang pembangnan dan bagaimana untuk kita beri khidmat pada rakyat, menerusi pembangunan dan sebagainya.

Budiman bersana pengundi Cina di Sungai Besar
"Pengundi Cina juga sudah sokong BN apabila kita boleh lihat beberapa kawasan majoriti Cina di Sungai Besar, turut menang," katanya.

Di Putrajaya,  Wanita UMNO  menyatakan kesediaan jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil berkata, kemenangan besar BN di dua PRK  Sabtu lalu sebagai simbolik positif, rakyat menerima parti itu di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan pemangku Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

“Wanita bersedia bila-bila masa. Kita serahkan pada Presiden. Esok pun boleh, tahun depan pun boleh. Terpulang kepada keputusan yang terbaik oleh Presiden.

Pada saya, kemenangan BN satu petanda yang amat baik. Ini memang dikatakan sudah terang lagi bersuluh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Timbalan Perdana Menteri, semalam.

Shahrizat akui merasa terharu dengan sokongan rakyat kepada BN di dunia Parlimen itu. Yang saya rasa terharu...terima kasih banyak kepada semua pengundi kerana ini adalah penghakiman dari mahkamah rakyat. Itu yang tak boleh dipertikaikan,” katanya.

Sementara Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata lebih elok sekiranya PRU14 dicepatkan namun ada perkara yang perlu diselesaikan sebelum berlakunya pilihan raya.

“Boleh tapi ada beberapa perkara yang perlu dibuat dulu. Antaranya soal persempadanan semula kawasan DUN dan Parlimen. Itu akan ambil masa kerana memerlukan kelulusan Parlimen. Tapi elok juga dibuat pilihan raya secepat mungkin.

“Mungkin di kawasan bandar sentimen itu masih belum berubah lagi tapi di kawasan separa bandar dan luar bandar memang memihak kepada BN,” katanya.

Di KANGAR, Persatuan Veteran UMNO Perlis berkata kemenangan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar wajar menjadi panduan dan formula bagi BN dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum ke-14 kelak.

Pengerusinya, Datuk Selamat Saad berkata isu penting ialah calon yang bakal mewakili BN hendaklah berwibawa dan bersedia berkhidmat kepada rakyat.

"Selain itu ahli-ahli UMNO termasuk kepimpinan bahagian dan cawangan hendaklah menerima siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi parti dan tidak sekali-kali melakukan sabotaj," katanya.

Selamat yang juga Yang Dipertua Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Perlis, memberitahu Bernama bahawa semangat setiakawan rakan-rakan komponen BN yang menyokong siapa sahaja menjadi calon tanpa mengira bangsa dan agama hendaklah dijadikan prinsip sepanjang masa.

"Saya yakin jika formula ini diamalkan dalam PRU ke-14 akan datang, BN akan dapat terus memerintah malah boleh merampas kembali negeri-negeri yang dikuasai pembangkang," kata Selamat.

Saturday, June 18, 2016

Orang Muda, Majoriti Besar Memungkinkan Budiman Di Bawa Ke Kabinet?


Tahniah dan syukur ke hadrat Ilahi kerana YB Budiman Mohd Zohdi menang besar.

Ia sebahagiannya kerana anda calon orang muda dan berwawasan.

Anda membuktikan mempunyai arah perjuangan untuk kawasan Parlimen Sungai Besar dan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang yang anda wakili.

Anda buktikan bahawa orang Cina dan bukan Melayu lain kini kembali 'berkawan dengan UMNO' dan menjadi rakan baik Barisan Nasional (BN).

Memang anda dibantu oleh jentera BN, namun faktor peribadi dan kesungguhan anda, terutamanya menemui seramai boleh pengundi, tidak boleh ditolak begitu sahaja.


Malah, anda sebagai pemimpin yang 'reti' berterima kasih dalam tempoh yang segera!!!

Anda kini Yang Berhormat berganda dan sewajarnya sewajarnya mendapat perhatian Perdana Menteri.

Sewajarnya anda turut terbabit dalam  dalam penstrukturan semula Kabinet (saya gunakan perkataan ini menggantikan rombakan Kabinet  atau reshuffle) yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Masa sudah sesuai dilakukan penstrukturan semula Kabiney kerana pilihan raya negeri Sarawak sudah selesai dan PRK dua Parlimen serentak pun sudan diadakan. BN menang cemerlang di Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Terus terang saya katakan, saya berminat dengan apa yang ditimbulkan oleh seseorang melalui Facebooknya yang berbunyi:

“Apakah kemenangan Budiman akan membuka jalan untuknya dilantik sekurang-kurang Timbalan Menteri? siapa tahu tuahnya...harap2 gitu Budiman Mohd ZohdiNurani Hati Budiman ya...kalau dia jadi Tim Menteri, orang Sungai Besar, tukang kempen dan org sekelilingnya untung..org tua macam kita tak dapat apa pun...usahkan dedak, habuk pun tarak. Bukan gitu???” (FB Hambali Abdul Latiff, 17 Jun 2016)

Pada malam 14 Mei lalu Datuk Seri Najib Razak mengatakan beliau bersedia melakukan rombakan kabinet dalam masa terdekat ekoran peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Douglas kini dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sarawak bersama dua lagi tokoh negeri itu, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Pelantikan baru juga perlu dibuat ekoran kemalangan maut membabitkan Datuk Noriah Kasnon di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei dan BN kini memerintah negeri itu di bawah Tan Sri Adenan Satem.

Kenapa saya katakan anda sangat layak?

Selain berjaya mempertahankan kerusi BN, sokongan dan majoriti besar kepada BN sangat bermakna.

Anda bukan sahaja berjaya menggekalkan kerusi tetapi menyakinkan rakyat dan pemimpin bahawa BN tetap mempunyai sokongan, lebih-lebih lagi daripada kalangan orang muda dan orang bukan Melayu.


Majoriti anda berganda dan kemenangan ini sangat bermakna kepada UMNO dan BN Selangor.

Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri semalam menyifatkan kemenangan BN yang anda wakili pada pilihan raya kecil ini  adalah titik permulaan untuk merampas semula Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perdana Menteri berkata, pencapaian yang menakjubkan dengan majoriti 9,191 undi itu juga baginya adalah hasil usaha parti itu di semua peringkat.

"Ia kemenangan yang cukup istimewa buat BN dengan kesabaran dan ketabahan kita, orang kutuk, lanyak, hina kita di bulan puasa dan Allah beri kemenangan kepada orang yang sabar,” tegas Perdana Menteri.

Anda mengakui daripada awal optimis akan menang dalam pilihan raya kecil Sungai Besar biarpun tidak menyangka akan memperoleh majoriti sebesar diterimanya, iaitu 9,191 berbanding 399 sebelum ini.

Malah, anda bawa keyakinan baru dengan mengatakan: “Kita bermula majoriti 399, sebab itu saya selesa sebagai underdog. Saya terkejut majoriti sangat besar,” katanya.

BN mendapat 16, 800 undi, diikuti Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan 7,609 undi dan PAS (6,902).

Hakikatnya, kalau anda dilantik,  ia bukan menjadi masalah besar kerana beliau mengisi kekosongan bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon.

Tapak sama, bertukar ‘kaki sahaja’. Yang membezakan ialah kali ini tapak kaki lelaki. Kebetulan sahaja. Bukan rampas kerusi Timbalan Menteri  dimiliki oeh seorang wanita.

Mungkin saingan anda ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, seorang wanita, iaitu Datin Mastura Mohd Yazid

Selainnya kelebihan tetap ada pada Budiman, Yang Berhomat Ahli Parlimen Sungai Besar dan ADUN Sungai Panjang.

Tuesday, June 14, 2016

Proton Perdana Baharu, Titik Perubahan Kepada Pembuat Kereta Nasional


Pelancaran Proton Perdana baharu, sedan eksekutif terkini oleh Proton Holdings Bhd (Proton), terbukti menjadi titik perubahan kepada pembuat kereta nasional itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelancaran itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan Proton ke landasan kejayaan bagi menjana lebih banyak keuntungan dan memberi manfaat kepada negara.

Beliau berkata Proton boleh membuktikan bahawa ia merupakan penggiat yang serius dalam industri automotif, dan akan terus memain peranan utama dalam pembangunan bakat, vendor dan usahawan tempatan.

"Saya harap pelancaran Perdana baharu ini akan menjadi titik perubahan untuk Proton, dan akan membawa manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat.

"Saya yakin Proton akan terus melakukan inovasi dan membuat penambahbaikan, menghasilkan kereta untuk rakyat Malaysia dan pelanggan di luar negara," katanya pada pelancaran generasi keempat Proton Perdana di Putrajaya hari ini.

Pelancaran itu  menandakan kemasukan semula pembuat kereta nasional itu ke dalam pasaran segmen D.


Model tersebut ditawarkan dalam dua varian, 2.0 dan 2.4 liter yang masing-masing dijual pada harga dari RM113,438 hingga RM138,888 seunit.

Perdana baharu varian 2.0 didatangkan dengan enjin SOHC empat silinder 16 injap
Bagi varian 2.4 pula dipadankan dengan enjin DOHC empat silinder 16 injap yang menghasilkan 178 bhp dan 222Nm tork.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri MITI II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faizal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Ahmad Fuaad berkata sejak tempahan dibuka pada Februari 2016, Proton Perdana sudah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara.


"Kami menjangkakan penjualan kira-kira 3,000 unit menjelang akhir tahun ini," katanya.
Kereta ini boleh didapati dalam enam warna iaitu Ruby Red, Sterling Silver, Graphite Grey, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata Proton tidak berada pada kedudukan seperti yang sepatutnya, kurang penyelidikan yang tepat dan keupayaan pembangunan selain skala pengeluaran yang diperlukan untuk kekal kompetitif.

"Ada masanya ada sifat angkuh bahawa Proton boleh buat apa sahaja kerana kerajaan akan sentiasa menyokongnya. Dua kilang dibangunkan (Tanjong Malim dan Shah Alam), yang berkeupayaan mengeluarkan 400,000 unit setahun.

"Namun, tahun lepas Proton hanya menjual 102,000 kereta," katanya dan menambah penguasaan dalam pasaran automotif negara hanya kira-kira 15 peratus berbanding 74 peratus semasa kemuncaknya pada 1993.

Setakat ini kata Najib kerajaan sudah menyalurkan geran hampir RM14 bilion, pelbagai bentuk bantuan dan cukai ke atas Proton sejak ditubuhkan pada 1993.

Pada April, beliau berkata kerajaan meluluskan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton Holdings, tertakluk kepada beberapa syarat yang mesti dipenuhi oleh pembuat kereta nasional itu.

"Ini bukan penyelamat memandangkan pinjaman itu mempunyai syarat ketat. Namun, keperluan mendesak untuk suntikan tunai menunjukkan hakikat bahawa wujud kelemahan serius dalam struktur Proton," katanya.

Najib berkata Proton berjaya atas bantuan besar kerajaan dan industri kereta nasional berkembang di bawah perlindungan, kuota ke atas saiz enjin dan rakyat Malaysia membayar duti import yang tinggi ke atas kereta asing.

Menerusi bantuan kerajaan, perdana menteri berkata Proton mesti memenuhi standard ketat pengurusan profesional untuk bergerak ke depan, dan memastikan syarikat itu mempunyai model kestabilan jangka panjang dan segera mengenal pasti rakan strategik asing.

"Pinjaman itu bukan cek kosong. Syarikat mesti membuktikannya, dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Pada dasarnya Proton mesti membagunkan program eksport yang kukuh dan kurang bergantung kepada pembeli Malaysia," katanya.

Najib berkata kerajaan mahu melihat Proton kembali berjaya dan atas sebab itu syarikat itu dibantu oleh Pasukan Petugas Khas yang baru dibentuk.

Pasukan petugas khas yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala, akan mengenal pasti rakan strategik asing dan memantau proses pemulihan Proton.
"Kita sudah belajar daripada pengalaman lepas Proton oleh itu Pasukan Patugas tidak akan campur tangan dalam operasi harian syarikat," katanya.

Najib juga berterima kasih kepada Proton dan pekerjanya atas usaha dan sumbangan mereka dalam sektor automotif.

"Saya yakin syarikat akan terus menambah baik dan melakukan inovasi bagi mengeluarkan kereta terbaik untuk pelanggan Malaysia dan luar negara.


"Pelancaran Proton Perdana baharu hari ini wajar menjadi permulaan baharu dalam sejarah syarikat. Proton mesti menjual kereta yang memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Bernama

Monday, June 13, 2016

Bandar Diraja Kuala Kangsar Bakal Dikenali Bandar Ilmu - Zambry


Kuala Kangsar, yang terkenal sebagai Bandar Diraja, bakal dikenali sebagai Bandar Ilmu menerusi pelbagai perancangan pembangunan pendidikan di daerah berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rancangan menjadikan Kuala Kangsar sebagai bandar ilmu adalah berikutan pelbagai pusat kecemerlangan pendidikan sedia ada di bandar itu, , selain pemberian status universiti kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

"Kuala Kangsar merupakan gedung ilmu dengan sekolah-sekolah hebat terdapat di sini seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Kangsar dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

"Tambahan pula dengan penaiktarafan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) sebagai universiti, ia melonjakkan lagi Kuala Kangsar sebagai bandar ilmu," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat di Dewan Chiau Hooi Beo di Jalan Talang di Kuala Kangsar.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan.

Pemberian status univerisiti kepada KUISAS diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan lawatan ke Kuala Kangsar Jumaat lepas.

Zambry turut meminta pengundi di Kuala Kangsar supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Beliau berkata, Mastura adalah calon terbaik bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan Parlimen itu, yang sebelum ini disandang suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Parti Amanah Negara dan Bebas. 

Friday, June 10, 2016

Budiman - Kenapa ‘Laga’ Saya Dengan Kaum Cina?

Poster Budiman Mohd. Zohdi diperagakan oleh penyokong BN secara bergerak menjadi tarikan di pasar Ramadan, Sekinchan, Selangor, semalam.
Sehingga malam tadi, calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd. Zohdi masih tidak percaya DAP sanggup menggunakan taktik licik untuk mencemar imej dan reputasinya sebagai wakil rakyat dengan sentimen berbaur perkauman dalam kalangan masyarakat Cina.

Budiman, 44, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang yakin tindakan terdesak DAP itu dalam kempen yang memasuki hari keenam hari ini memperlihatkan parti itu ketan­dusan isu untuk dipolitikkan.

“Apa yang dibuat DAP hanyalah menanam api kebencian. Apabila Ng Suee Lim (ADUN DAP Sekinchan yang juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor) meluru ke arah saya semalam dan menyalahkan saya kononnya saya punca kepada pemasangan iklan berunsur provokatif, saya sungguh terkejut, ada juga taktik kempen seumpama ini.

“Mujurlah saya boleh kawal, bayangkanlah kalau saya ‘melatah’ dan membalasnya balik tentu berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya percaya kaum Cina mene­rima baik kehadiran saya. Dalam kempen dari rumah ke rumah, me­re­ka mengenali Budiman sebagai orang yang sederhana dan boleh dibawa berbincang,” katanya kepada Utusan Malaysia di Sabak Bernam semalam.

Daripada 42,000 pengundi ber­daf­tar dalam kawasan Parlimen Sungai Besar, kira-kira 13,000 pe­ngundi adalah kaum Cina termasuk 9,000 berada di Sekinchan.

AMANAH yang dikatakan menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP dikatakan memfokuskan pengundi Cina di Se­kinchan selain mengharapkan penambahan sekurang-kurangnya 3,000 undi Melayu sebagai ‘benteng’ untuk parti itu memenangi kerusi Parlimen tersebut, 18 Jun ini.

Budiman berkata, masyarakat Cina mahukan pemimpin yang sederhana, terbuka serta mampu memperjuangkan isu yang menjadi keutamaan kaum itu antaranya pendidikan.

“Kepada DAP, amalkanlah politik sederhana yang menyemai be­nih kebenaran. Buat masyarakat Cina, nilaikanlah perkhidmatan yang telah saya lakukan sebagai ADUN Sungai Panjang dan aktivis masyarakat di Sungai Besar,” katanya.

Hanya BN Punyai Agenda Jelas Kukuhkan Lagi Perpaduan Kaum


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang dilihat mempunyai agenda jelas dalam usaha mengukuhkan lagi perpaduan kaum di negara ini.

Malah, BN juga yakin perpaduan dan diversiti antara kaum menjadi asas utama untuk mencapai sebuah negara maju, kata perdana menteri.

"BN ada agenda yang jelas dan visi yang telah kita terangkan kepada rakyat, kita laksanakan dasar yang boleh bawa kepada uniti dalam negara," katanya ketika berucap pada program bersama masyarakat Cina di Sekolah Menengah Tsung Wah di Kuala Kangsar, petang semalam.

Perdana menteri berkata menerusi dasar kerajaan BN itu, sekalipun Malaysia terdiri daripada kalangan rakyatnya yang berbeza agama, budaya dan latar belakang pendidikan, namun mereka (rakyat) kekal bersatu dalam satu uniti yang harmoni.

Menurutnya konsep "kesederhanaan" yang dilaksanakan kerajaan juga selaras dengan konsep "Chung Young" atau " Wasatiah" menerusi penerimaan persamaan nilai, katanya.

Mengenai pendidikan, Najib berkata kerajaan sentiasa sedar akan kepentingannya kepada kaum Cina, malah beberapa dasar dan pendekatan telah kerajaan buat bagi membantu meningkatkan pendidikan kaum Cina itu.

Najib berkata dasar itu bukanlah dasar baharu tetapi dilaksanakan sejak beliau menjadi menteri pendidikan lagi.

"Pendidikan dekat di hati saya dan kaum Cina, saya hormati keutamaan kaum Cina kepada pendidikan," katanya.

Mengenai Sekolah Menengah Tsung Wah itu, Najib berkata beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri berkenaan peruntukan yang diperlukan untuk membina blok bangunan pentadbiran baharu di sekolah berkenaan.

Najib turut mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Perak yang memperuntukkan kira-kira 1,000 hektar tanah kepada sembilan sekolah persendirian di Perak sejak tiga tahun lepas.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah enteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.


Di Sekinchan, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman berkata hanya Barisan Nasional yang temui formula keharmonian dan keamanan yang berterusan.

“Formula Malaysia aman kerana BN. Kita pertaruhkan rekod dari 1957 untuk dihakimi tuan-tuan.

“Alhamdulillah sejak tahun 1957, kebijaksanaan BN dari Perikatan tidak hancur malah maju ke hadapan. Keamanan tidak datang bergolek begitu sahaja,” katanya sewaktu berucap di Balai Bomba dan Penyelamat, Sekinchan, semalam.

Menurut Rahman, bukan semua kerajaan mampu mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam suasana negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

“Bukan semua kerajaan mampu jaga keamanan. Tengok di Afrika Timur tengah berlaku pengebomam di sana sini.

“Lihat di Asia Barat dan dikawasan utara apa yang berlaku, puluhan ribu orang mati,” jelasnya.

Menteri Kesejahteraan Bandar dan Wilayah itu juga berkata, rakyat tidak seharusnya terlalu yakin ada kerajaan lain yang mampu lakukan seperti apa yang dilakukan oleh BN.


“Jangan terlalu yakin kalau orang lain jadi kerajaan, jangan terlalu yakin mereka mampu jaga keamanan,” jelasnya.

Sokong Kerajaan Supaya Pembangunan Berterusan


"Rakyat harus memberi sokongan kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memudahkan lebih banyak agenda pembangunan dilaksanakan," titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob banyak melakukan pembangunan dan kemajuan demi kesejahteraan rakyat, khususnya yang melibatkan infrastrutur elektrik, air dan jalan raya.

"Saya perhatikan banyak kemajuan yang dinikmati penduduk walaupun masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang komited dan prihatin dengan kesejahteraan rakyat.

"Mereka (kerajaan) mempunyai amanah untuk pastikan seluruh pelusuk Pahang mempunyai infrastruktur yang diperlukan rakyat, namun sudah pastilah memerlukan sokongan dan dokongan rakyat," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Bersama-sama Rakyat dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan yang Memerlukan di Masjid Kampung Datuk Seri Hamzah di Bera, malam semalam.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan majlis turut disertai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman.

Tengku Abdullah dalam titahnya turut merakamkan ucapan terima kasih sebagai mewakili rakyat Pahang kepada kerajaan atas keprihatinan dan usaha berterusan membangukan negeri itu.

"Walaupun ada masalah air disebabkan paip usang, saya percaya kerajaan negeri memandang serius masalah ini dan pasti akan diselesaikan, namun kita perlu bersabar," titahnya.

Tengku Abdullah juga mengingatkan rakyat Pahang supaya mengurangkan perselisihan faham dan menjadikan Ramadan sebagai bulan mengukuhkan silaturahim walaupun berbeza politik.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Anggota Perlimen Bera dalam ucapannya berkata beliau komited dalam memastikan daerah itu tidak ketinggalan dalam isu pembangunan bagi melahirkan rakyat yang berdaya saing dan cemerlang dalam bidang ekonomi dan modal insan.

"Bera adalah antara bandar yang pesat membangun di Pahang dan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya hampir 100 peratus dalam dinikmati termasuk di kampung Orang Asli selain patik telah mengisytiharkan Bera sebagai hab pendidikan negeri ini," katanya.