Wednesday, June 29, 2016

UMNO Mohon Batal Saman Pemula Anina


UMNO memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas ahli Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin yang mencabar Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, iaitu keputusan mana-mana parti tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan permohonan itu pada 21 Jun lepas di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur atas alasan saman itu tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap mereka.

Saman itu juga dikatakan mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan juga menyalahgunakan proses mahkamah.

Menurut rekod mahkamah, mereka berdua mahu membatalkan saman bekas ahli UMNO Langkawi itu terhadap mereka dan kerajaan yang bertujuan membatalkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan, atas alasan pengisytiharaan Anina itu membabitkan kuasa mahkamah dan kapasitinya mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Tengku Adnan dan Rauf juga mahu menangguhkan persidangan dan memfailkan afidavit sementara menunggu pendengaran pembatalan saman itu.

“Sekiranya penangguhan ini ditolak, ia akan menjejaskan (prejudicial) kedua defendan (Tengku Adnan, Rauf),” menurut notis penangguhan itu.

Anina, yang menerjah ke perhatian umum tahun lalu selepas dirakam mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memfailkan saman membatalkan Seksyen 18C atas alasan ia melampaui hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mahu suatu klausa 20.7 Perlembagaan UMNO diisytiharkan tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Anina juga mahu surat pemecatan daripada UMNO, bertarikh 1 dan 2 September, diisytiharkan terbatal dan tak sah.

Anina sebelum ini gagal mencabar penyingkirannya apabila Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memutuskan pertelingkahan dalaman parti politik perlu diselesaikan secara dalaman.

Seksyen 18C menyebut keputusan sesebuah parti politik adalah muktamad dan tidak boleh disemak semula (reviewed) di mahkamah.

Anina menyaman Tengku Adnan dan Rauf pada 11 September tahun lalu untuk membatalkan penyingkirannya.

Sebelum keahliannya dipecat, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Rauf pada 28 Ogos tahun lalu berkenaan dakwaan perdana menteri menipu ahli UMNO kerana menerima derma politik RM2.6 bilion dan menggunakan wang itu tanpa pengetahuan parti.

Beliau disingkir daripada UMNO pada 2 September selepas mengheret parti ke mahkamah.

No comments:

Post a Comment