Wednesday, May 30, 2012

Malaysia Ekonomi ke-14 Paling Kompetitif Di Dunia

"...penambahbaikan keseluruhan rangking Malaysia dalam kaji selidik IMD itu mencerminkan kesan daripada langkah yang diambil kerajaan untuk menambah baik daya saing ekonomi....Langkah yang pelbagai ini termasuk menambah baik penyediaan dan kecekapan perkhidmatan awam dan meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawapan...daya saing dipertingkat Malaysia itu adalah hasil daripada inisiatif berani dan inovatif yang diambil kerajaan tahun lepas." 
- Mustapa Mohamed

Transformasi ekonomi Malaysia semakin diiktiraf global dengan ekonomi negara sekarang berada di kedudukan ke-14 paling kompetitif di dunia, mengatasi beberapa negara maju.

Menurut Institute for Management Development(IMD) yang berpangkalan di Switzerland, Malaysia memperoleh markah tinggi berbanding Australia, United Kingdom, Korea Selatan, China dan Jepun.

"Malaysia mengukuhkan keseluruhan daya saingnya dengan meningkat daripada kedudukan ke-16 tahun lalu," menurut IMD dalam satu kaji selidik 59 negara yang mengukur sejauh mana negara dunia menguruskan ekonomi dan sumber manusia untuk meningkatkan kemajuan.

 Ranking ini menempatkan Malaysia di hadapan negara seperti Australia (ke-15), United Kingdom (ke-18), Korea (ke-22), China (ke-23), Jepun (ke-27), Perancis (ke-29), Thailand (ke-30), Indonesia (ke-42) dan Filipina (ke-43).

Menurut rangking IMD, 15 ekonomi paling kompetitif di dunia ialah Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Sweden, Kanada, Taiwan, Norway, Jerman, Qatar, Belanda, Luxembourg, Denmark, Malaysia dan Australia. Di kalangan negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita kurang daripada AS$20,000, Malaysia mengekalkan kedudukan keduanya di kalangan 29 negara mengatasi China, Chile dan Thailand.

Di kalangan negara Asia Pasifik, Malaysia naik satu tangga ke kedudukan keempat selepas Hong Kong, Singapura dan Taiwan. Menurut IMD, rangking daya saing "semua ekonomi Asia merosot selain Hong Kong (1), Malaysia (14) dan Korea (22)."

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam satu kenyataan, berkata penambahbaikan keseluruhan rangking Malaysia dalam kaji selidik IMD itu mencerminkan kesan daripada langkah yang diambil kerajaan untuk menambah baik daya saing ekonomi.

"Langkah yang pelbagai ini termasuk menambah baik penyediaan dan kecekapan perkhidmatan awam dan meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawapan," katanya.

Mustapa berkata, daya saing dipertingkat Malaysia itu adalah hasil daripada inisiatif berani dan inovatif yang diambil kerajaan tahun lepas bagi memacu pembangunan, pertumbuhan dan mewujudkan sektor swasta berdaya tahan. Kaji selidik IMD itu menilai negara mengikut prestasi ekonomi; kecekapan kerajaan; kecekapan perniagaan; dan prasarana.

Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam kategori kecekapan perniagaan iaitu kedudukan ke-6 daripada ke-14 tahun lalu, dan kategori kecekapan kerajaan iaitu ke-13 daripada ke-17.

Peningkatan rangking dicatatkan dalam subkategori kecekapan dan produktiviti perniagaan, kewangan, peraturan perniagaan dan rangka kerja institusi sosial.

Dalam kategori prestasi ekonomi, walaupun Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam 10 rangking utama, namun ia jatuh tiga mata daripada tangga ketujuh tahun lalu.

Ini disebabkan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan dan kebimbangan akan peningkatan harga.

Dalam kategori prasarana, rangking Malaysia naik sedikit ke kedudukan ke-26 daripada 27.

Bahagian yang diberi perhatian ialah kesihatan dan alam sekitar, pendidikan dan prasarana saintifik.

"Kami menyedari bahawa terdapat bahagian di mana kami masih boleh menambah baik daya saing kami. "Perhatian khusus akan diberi bagi menangani bahagian kebimbangan ini.

Objektif keseluruhan kami masih sama: untuk mencapai rangking 10 terbaik dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Tuesday, May 29, 2012

Tarikh Bajet Timbul Spekulasi PRU13 Diadakan Awal

Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan semula spekulasi mengenai pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan diadakan tidak lama lagi apabila beliau mengumumkan Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini.

Ramai yang menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen beberapa minggu lagi untuk diadakan pilihan raya pada lewat Jun atau awal Julai.

Bagaimanapun, tarikh Bajet telah menimbulkan banyak cakap-cakap mengenai pilihan raya akan datang.
Dan sebaliknya, ia telah membawa kepada perbandingan terhadap keputusan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1999.

 “Dr Mahathir membentangkan Bajet pada 15 Oktober tahun itu dan ketika ahli-ahli Parlimen masih lagi memperdebatkan tentang Bajet, beliau pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan telah membubarkan Parlimen pada 11 November,” kata ahli politik yang sudah lama menyertai Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya diadakan pada 29 November pada tahun itu. “Najib boleh melakukan perkara yang sama dengan membentangkan satu bajet pilihan raya dan menggunakan manifestonya untuk mengadakan pilihan raya ke-13, seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada PRU-10.”

Najib mengumumkan tarikh Bajet 2013 pada rundingan awal mengenai belanjawan tahunan pada Selasa di mana Kementerian Kewangan telah menerima sebanyak 84 memorandum. Beliau berkata, Bajet 2013 akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Najib mempunyai hak istimewa untuk meminta supaya Parlimen dibubarkan “pada bila-bila masa yang beliau mahu”.

Abdul Aziz berkata, pilihan raya boleh diadakan pada Jun atau Julai, sambil menambah bahawa Suruhanjaya itu telah bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan pada kedua-dua bulan itu.

SPR akan mengazetkan daftar pemilih pada akhir bulan ini apabila tempoh bantahan tamat. “Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Parlimen tidak pernah tamat dalam tempoh lima tahun penuh.

“Walaupun berhadapan dengan tugas melaksanakan reformasi pilihan raya untuk pemilihan akan datang, kami bersedia dari segi tenaga manusia, latihan dan logistik sekiranya diumumkan pada Julai,” kata beliau.

Abdul Aziz berkata, Dewan Rakyat ketika ini hanya akan berakhir pada 24 April tahun depan dan pilihan raya mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari.

Selain pengumuman mengenai tarikh Bajet, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan Najib akan mengumumkan pilihan raya akan diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan pada 20 Julai.

Ia menimbulkan spekulasi bahawa “kemungkinan itu juga dilihat sebagai peluang” yang akan dilaksanakan Najib sekiranya mengambil keputusan untuk mendapat nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sejurus selepas satu pertemuan pada 11 Jun ini.

Ketika Dr Mahathir mengumumkan pilihan raya pada 1999, ia diadakan sejurus sebelum bermulanya Ramadan pada Disember tahun berkenaan.

Penganalisis politik berkata, selain petunjuk positif berdasarkan program transformasi politik, ekonomi dan sosial, Najib juga boleh melihat dari aspek agama, yang boleh memainkan peranan dalam masyarakat yang kebanyakannya beragama Islam di negara ini.

Sidang Parlimen yang berikutnya berakhir pada 28 Jun ini dan sekiranya Najib membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen ketika persidangan itu, kempen akan diadakan pada bulan Islam iaitu Rejab, salah satu tempoh yang paling afdal kerana ia mengelakkan dari sebarang ketegangan dan perkara yang tidak baik.

Berkempen sepanjang tempoh ini boleh mengurangkan persaingan politik yang tegang yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Tamatnya pilihan raya akan diikuti dengan Ramadan, sebagai bulan untuk tempoh “bertenang” untuk perdamaian dan menjalinkan hubungan baik.

mStar

Sunday, May 27, 2012

Najib Gesa Belia Negara Undi BN Demi Masa Depan

Datuk Seri Najib Razak menurunkan tandatangan pada plak Himpunan Jutaan Belia 2012 ketika melancarkan majlis itu sempena Hari Belia Negara tahun ini di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa belia supaya mengawal masa depan mereka dengan mengundi kerajaan yang telah membuktikan keupayaan menerajui negara melalui perubahan progresif sejak kemerdekaan.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh menjadikan esok lebih baik daripada hari ini," katanya.

Katanya, beliau percaya belia Malaysia akan menggunakan kebijaksanaan dan kecerdikan dalam melaksanakan hak-hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam demokrasi negara.

"Kita mesti tahu bagaimana untuk memisahkan antara intan dan kaca dalam membuat keputusan yang boleh menjadikan hari esok kita lebih baik daripada hari ini.

"Selama beberapa generasi, belia Malaysia telah memilih kerajaan yang telah berjaya memacu negara kita ke hadapan, bukan hanya dalam satu pilihan raya umum tetapi 12.

"Belia telah memberikan sokongan dan kepercayaan mereka kepada kerajaan yang sama untuk membawa perubahan kepada negara kita," kata Najib ketika bertemu belia yang berkumpul di Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya semalam.

Turut hadir pada majlis itu termasuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan menteri kabinet yang lain.

Mengenai perhimpunan, yang akan berakhir pada Ahad, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan yang sama-sama menjayakan program menarik yang berlangsung selama lima hari secara besar-besaran, dan menarik pengunjung dari pelbagai negeri.

Ramai belia memakai baju-T perhimpunan atau "I Love PM '.

"Isteri saya tidak akan cemburu dengan cinta yang anda tunjukkan kerana ia mewakili rasa hormat dan kasih sayang untuk pemimpin-pemimpin negara.

"Mengikut laporan yang diberi kepada saya dan dari apa yang saya lihat hari ini, perhimpunan ini telah mencapai sasaran mengumpulkan dua juta belia di Putrajaya.

"Putrajaya telah berjaya ditawan oleh belia," kata Najib dan mendapat sorakan bersemangat daripada orang ramai.