Sunday, October 18, 2015

Barisan Nasional Masih Bentuk Kerajaan Terbaik Bagi Malaysia - Najib


Barisan Nasional (BN) masih merupakan bentuk kerajaan terbaik bagi Malaysia di sebalik kekurangan dan ujian yang dihadapinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata apa yang lebih penting, BN telahpun merangka pelan hala tuju yang jelas bagi masa depan negara, dan semua ujian dalam politik semasa boleh diselesaikan jika rakyat memberi sokongan padu kepada kepimpinan.

Sambil menarik perhatian bahawa ini bukan kali pertama negara berdepan ujian dalam politik, beliau berkata sebelum ini pun, negara berupaya pulih disebabkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan.

"Sekali-sekala, akan ada bonggol di pertengahan jalan. Begitu juga jika anda menerbangkan pesawat, akan ada poket udara.

"Insya-Allah, kita akan atasinya," katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan Kebangsaan ke-44 Parti Gerakan di Setia City Convention Centre di Petalingjaya hari ini.

Beliau berkata meskipun pembangkang akan sentiasa menimbulkan dan membangkitkan kebencian terhadap kerajaan, namun kerajaan BN akan terus melaksanakan apa yang dirancang untuk rakyat.

"Bagaimanapun kami tidak boleh sentiasa mengambil pendekatan populis, sebab kami perlu berkhidmat (kepada rakyat)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib turut mengingatkan rakyat bahawa tiada kebenaran yang mutlak dalam kebanjiran maklumat dalam media sosial.

Beliau berkata terdapat sesetengah pihak yang akan sentiasa memutarbelitkan fakta mengikut agenda mereka, dan menambah, malah beliau sendiri turut menjadi mangsa dalam media sosial.

"Misalnya, mereka banyak kali melakukan 'photoshop' gambar saya. Kadang-kadang kepala lain, badan lain. Mujurlah hasil kerja mereka itu bertompok-tompok, jadi orang boleh nampak gambar itu palsu. Contohnya bila mereka letak gambar saya di sebelah seorang wanita, itu bukanlah saya," katanya.

Justeru, Najib berkata ketika berdepan budaya politik baharu dalam era media sosial, anggota Gerakan perlu mempertingkatkan penggunaan media sosial sebagai wadah untuk meraih sokongan lebih besar daripada rakyat dalam usaha mencergaskan semula parti, di samping menentang pembohongan pembangkang.

"Ini adalah budaya politik baharu. Gerakan perlu lebih aktif dalam media sosial, ke arah usaha menyegarkan semula parti dan meyakinkan rakyat bahawa BN masih merupakan kerajaan terbaik buat mereka," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Gerakan masih rakan yang relevan dalam BN meskipun kalah teruk dalam dua pilihan raya umum lepas.

Perdana menteri turut menegaskan bahawa Gerakan, di bawah kepimpinan Mah, menunjukkan semangat dan iltizam politik untuk bangkit semula.

Sumber - Bernama

Friday, September 25, 2015

Jadikan Anwar PM - Pakatan Harapan Bankrap Idea


Semakin terserlah kini Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) seperti juga Pakatan Rakyat sebelum ini,  memang bankrap idea.

Matlamat penting mereka hanya untuk Anwar. Bagi mereka meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah satu-satunya keutamaan. Yang lain datang selepas  itu.

Dalam sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 kelmarin, Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembangkang masih menamakan suaminya sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya mentadbir negara.

Wan Azizah berkata, pembangkang percaya Anwar merupakan pemimpin paling sesuai untuk mena­ngani pelbagai isu nasional seperti kemelut ekonomi, salah urus tadbir, kebajikan rakyat dan perpaduan kaum.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Tak habis-habis dengan Anwar. Apakah tanpa Anwar, pakatan pembangkang akan lesu?

Kerana itu tidak hairanlah apabila PAS menyifatkan keputusan Pakatan Harapan untuk melantik Anwar Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang sebagai perkara yang tidak realistik.

Mana realistiknya?

Dalam soal pemilihan Perdana Menteri, sewajarnya pembangkang perlu berpijak di bumi nyata.

Walaupun pembangkang mungkin menang pilihan raya umum dan berjaya membebaskan Anwar tetapi rekod buruk akibat dipenjarakan itu akan menghantui pembangkang selama-lamanya.

Berbanding dengan Barisan Nasional (BN), pemimpin pelapis yang akan mengambil alih pentadbiran negara tidak ‘memegang rekod’ seburuk Anwar.

Persoalannya, tidak ada orang lainkah  dikalangan pemimpin yang ada dalam Pakatan Harapan itu  layak menjadi Perdana Menteri? Jawapannya kini memang tidak ada.

Jika demikian, layakkan parti seperti itu berangan-angan mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara?

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak boleh dianggap satu keputusan konklusif kerana Penasihat PKR itu masih berada di dalam penjara.

Malah PAS, walauapun tidak menyertai rundingan Beja Bulat, turut


membincangkan  dalam mesyuarat kelmarin dan mengambil ketetapan bahawa sesuatu keputusan yang mukta­mad mestilah sesuatu yang realistik.

“Maksudnya, dalam keadaan Anwar sekarang di mana, takkan kita boleh buat satu keputusan yang konklusif bahawa dia yang akan menjadi Perdana Men­teri,” katanya di Kota Bharu, kelmarin.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor , TanSri Abdul Khalid Ibrahim secara sinis menegur pakatan pembangkang yang yang sebulat suara memutuskan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Khalid, keputusan itu mungkin menimbulkan pelbagai isu sekiranya tidak disusuli dengan penelitian yang terperinci dari sudut undang-undang memandangkan Penasihat PKR itu telah disabit dan menjalani hukuman penjara ketika ini.
 
“Perkara itu (keputusan pilih Anwar sebagai Perdana Menteri) perlu mengambil kira tentang undang-undang sama ada praktikal atau tidak,” katanya.

Berdasarkan apa yang diputuskan ini, langkah pertama pakatan ini sudah tersasar .

Mereka perlu melangkah lebih jauh dan jika langkah pertama sudah tersasar, pastinya  langkah-langkah berikut akan terus tersasar dan akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali ke landasan yang betul.

Kita hanya berdoa agar rakyat tidak turut tersasar dan perjuangan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah tindakan yang tidak tepat.

Mungkin kerana soal seperti inilah, PAS perlu menimbang dan berfikir panjang untuk bersetuju dengan hasrat menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

PAS jangan jadi parti bangkrap idea seperti PKR, DAP dan Amanah sebaliknya tentukan arah perjuangan yang betul, kalaupun tidak mahu menjadikan UMNO sebagai rakan seperjuangannya.


Wednesday, September 16, 2015

Forum Kongres Rakyat Medan Hentam Kerajaan


Seorang ahli akademik membidas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana menjadikan satu forum yang kononnya dianjurkan untuk membincangkan isu dan pelbagai masalah semasa kepada medan meluahkan perasaan 'antikerajaan'.

Pada Sabtu lalu (12 September 2015), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain mengadakan satu forum di Shah Alam bertajuk 'Kongres Rakyat: Membina Negara Sejahtera'.

Sebelum itu, pada bulan lalu, Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata forum itu akan menjadi platform "untuk rakyat" membincangkan idea-idea politik dan ekonomi.
 
Beliau berkata penganjuran forum atau dialog adalah platform yang lebih sesuai untuk orang ramai menyampaikan aspirasi mereka, bukanlah dengan meluahkan rungutan melalui demonstrasi jalanan.

Md Shukri mendakwa bahawa penganjuran yang kononnya kongres untuk rakyat itu sebaliknya hanya memuaskan hati golongan elit parti-parti politik tertentu, malah, bahkan gagal mengemukakan apa-apa pelan tindakan yang membina ke arah menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata kongres yang berakhir dengan "Deklarasi Rakyat" merupakan tidak lebih daripada himpunan aduan terhadap dasar-dasar kerajaan persekutuan.

"Jika sekalipun terdapat apa-apa resolusi, saya rasa ia lebih sesuai untuk diterima pakai di negeri-negeri yang diperintah oleh parti-parti pembangkang (Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor) kerana terdapat pelbagai konflik dan polemik yang meresahkan rakyat di negeri-negeri berkenaan.

"Mereka tidak sepatutnya menggunakan istilah 'kongres rakyat' jika mahu menggunakan aktiviti terbabit sebagai platform untuk merungut dan membebel. Rakyat negara ini sudah muak dengan rungutan politik yang tidak berkesudahan dan nyata sekali pihak pembangkang sudah ketandusan oakar-pakar dan golongan pemikir untuk menjadi ikon kepimpinan politik negara," kata beliau.

Md Shukri seterusnya berharap agar mana-mana parti politik tidak mengambil kesempatan daripada permasalahan yang dihadapi negara, sebaliknya harus memilih otak yang terbaik dan memberikan cadangan yang berdaya maju dalam membantu negara ke arah pemulihan ekonomi.

Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata hari ini, forum itu semata-mata menjadi platform bagi sekumpulan "artis politik" untuk meluahkan rasa "tidak puas hati" terhadap Kerajaan Persekutuan, dan gagal gagal membawa sebarang alternatif kepada permasalahan kritikal yang dihadapi negara ketika ini.

Monday, September 14, 2015

BN Akan Bentang Kad Laporan Akujanji PRU13 – Najib



Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan kad laporan akujanji kepada rakyat yang telah dibuat dalam bentuk manifesto pada pilihan raya umum ketiga belas (PRU13) lalu yang kini telah memasuki fasa pertengahan penggal parlimen ini, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun setengah ini BN telah melaksanakan pelbagai projek dan program bersandarkan kepada akujanji tersebut dan sudah sampai masanya dalam sedikit masa lagi membentangkannya kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur malam semalam.
YUSL6352
“Kita akan maklumkan bentuknya dan cara mana dengan prinsip akuantabiliti kepada rakyat berdasarkan kepada akujanji yang telah buat ini oleh BN.
“Kita juga akan bentangkan perkembangan pencapaian kita dan apa yang perlu kita lakukan dalam tempoh dua tahun setengah yang akan datang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata mesyuarat telah membincangkan secara panjang lebar mengenai cadangan kumpulan tertentu untuk mengadakan perhimpunan pada 16 September.
“Parti-parti komponen BN telah beri banyak pendapat dan kita telah bersetuju untuk tidak bersetuju atas pendirian-pendirian yang telahpun dibentangkan.
“Ada yang lahirkan kebimbangan, ada yang kata tidak setuju dan ada yang kata 16 September bukanlah hari yang sesuai dan sebagainya.
“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati pandangan-pandangan yang telah rakan-rakan kita dalam komponen. Sekiranya pertemuan tersebut hendak diadakan ia hendaklah patuh kepada undang-undang yang sedia ada maknanya kena dapat kelulusan tempat, mesti ikut peraturan polis dan semua undang-undang negara mesti dipatuhi termasuk Akta Hasutan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati penganjur perhimpunan agar patuh kepada undang-undang serta memohon kerjasama polis untuk memastikan kawalan yang ketat dan laluan-laluan yang bersesuaian.
“Macamanapun pemimpin-pemimpin BN akan berada di Kota Kinabalu kerana itulah menjadi tempat kita menzahirkan komitmen kita kepada pembentukan sebuah negara Malaysia pada tanggal 16 September 1963.
“Dan semangat kekitaan, semangat kita sebagai sebuah negara bangsa akan kita semarakkan pada majlis tersebut dan komitmen BN kepada dasar parti terus kita perjuangkan,” tambahnya lagi.
Berkenaan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin tinggi akibat jerebu yang melanda negara sekarang, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menyediakan garis panduan mengenainya dan akan mengumumkan langkah seterusnya apa tindakan yang perlu dibuat dari sama ke semasa. – Media UMNO.

Thursday, September 10, 2015

Mesyuarat MT Dalam Keadaan Harmoni, Muhyiddin Ikrar Perkukuh UMNO


Sesuatu yang positif hasil meryuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam ialah ia dapat  memfokuskan kepada dua agenda penting parti iaitu perpaduan dan usaha melangkah ke hadapan untuk memperkukuhkan parti.

Ternyata UMNO semakin mampu untuk menyelesaikan apa juga masalah yang dihadapinya dalam kedudukan sebagai sebuah keluarga yang besar.

Semua ahli MT sudah pasti berpuashati kerana UMNO  kini lebih fokus kepada  unity (bersatu) dan moving forward (bergerak ke depan). Selain itu, mesyuarat turut mempamerkan semangat kekeluargaan yang besar.

Ahli MT, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mesyuarat semalam  mencerminkan semangat dalam kalangan kepemimpinan parti sama ada mereka berada dalam kerajaan atau sebaliknya, bagi mempertingkatkan prestasi UMNO pada pilihan raya umum akan datang.
“Alhamdulillah, parti bermesyuarat dalam suasana hormat-menghormati serta mengetahui peranan masing-masing,” katanya.

Jaminan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus membantu presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi memperkukuhkan parti sangat dialu-alukan.

Dengan msyuarat berlangsung dalam suasana tiada perkara luar biasa yang berlaku dan semuanya baik – tiada ketegangan – UMNO semakin melangkah ke hadapan.

Mesyuarat MT UMNO yang julung kali diadakan selepas rombakan Kabinet dua bulan lalu dengan tiada penggantungan mahupun pemecatan ahli berlaku mungkin mengecewa pihak yang mahu melihat UMNO bergolak.

Suasana yang harmonis pada mesyuarat itu amat nyata menidakkan segala khabar angin kononnya Muhyiddin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan dipecat pada mesyuarat tersebut selepas dilihat lantang mengkritik kepemimpinan kerajaan.

Perkara sebaliknya pula yang berlaku apabila Muhyiddin dan Mohd. Shafie menyatakan komitmen serta semangat setiakawan yang terpuji apabila berikrar akan bekerja keras membantu memperkasakan UMNO bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara.

Kedudukan itu pastinya menggembirakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ini diserlahkan dengan kata-kataanya bahawa  MT mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Muhyiddin dan Mohd. Shafie kerana tetap komited untuk bersama parti walaupun tidak lagi berada dalam kepemimpinan kerajaan.

“Tan Sri Muhyiddin selaku timbalan presiden parti telah menyatakan kesetiaannya untuk terus berjuang bagi memastikan kekuatan UMNO serta kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang. Atas komitmen beliau itu saya ucap terima kasih.

“Datuk Seri Mohd. Shafie juga menyatakan komitmen yang sama iaitu beliau akan sentiasa bekerja keras untuk memperkukuhkan parti,” kata Najib.

Kepada soalan bagaimana UMNO mahu memastikan isu mengenai pemecatan Muhyiddin tidak terus menjadi hambatan dilema sehingga menimbulkan keresahan ahli di peringkat akar umbi, Najib berkata, semua pihak mesti menunjukkan solidariti.

Namun ada sedikit nada menyindir oleh Najib apabila menyebut: “Kita bagi masa, kalau kita dah buat komitmen dalam mesyuarat, kita amalkan. Perlihatkan tindakan serta apa-apa yang kita lakukan termasuk ucapan menjurus kepada solidariti, keutuhan parti dan masing-masing ada peranannya nanti.”

Apa yang nyata, pada mesyuarat itu dua ketetapan dibuat berkaitan dengan isu-isu yang lantang diperkatakan oleh banyak pihak. Ia membabitkan:

1.     MT UMNO mengambil ketetapan bahawa isu-isu berkait rakyat akan sentiasa diperjuangkan kerajaan dengan menterjemahkannya dalam Bajet 2016 yang bakal dibentangkan.;

2.     Isu-isu semasa seperti dana politik dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diperjelaskan secara lebih berkesan bagi memastikan tidak timbul lagi kekeliruan dan seluruh kepemimpinan perlu bersama dengan kerajaan.

Berkaitan dengan perkara ini, MT mengambil maklum ada beberapa isu yang perlu diperjelaskan bagi memberi kepuasan kepada rakyat antaranya soal 1MDB dan juga dana politik.

Bagi MT, bagi 1MDB kerajaan dalam idah untuk menyelesaikan masalah hutang dan rasionalisasi.

Sementara untuk isu dana politik, MT mengambil maklum bahawa tiada undang-undang mengenainya dan tiada keperluan untuk didedah sumbernya.

Kata Najib: “Kita juga ambil maklum parti politik pembangkang juga mengamalkannya,” ujarnya. 

Monday, September 7, 2015

Masihkah Muhyiddin Dalam UMNO Selepas 9 September?



Tajuk asal - Kekalkah Kedudukan Muhyiddin Dalam UMNO?
Daripada - mStar

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok (9 September 2015)  menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu selepas khabar angin bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa yang lain akan dipecat daripada Umno bertiup kencang.

Perhatian media terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah lenyap sejak beliau digugurkan daripada Kabinet.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang mendarat di KLIA selepas pulang daripada bercuti bermain golf di Australia minggu lalu turut menjadi tajuk berita.

Beliau disambut oleh penyokong-penyokongnya yang memakai baju-T hitam dengan wajahnya dicetak di bahagian depan bersama tulisan 'I Am Not A Yes Man' di bahagian belakang.

Beliau begitu 'sporting' memegang baju-T itu tetapi ketika ditemui pemberita, beliau hanya tersenyum dan melambai.

Situasi pastinya lebih panas esok apabila Majlis Tertinggi Umno bersidang buat kali pertama sejak Muhyiddin hilang jawatan dalam Kabinet.

Khabar angin telah bertiup kencang dan kuat kononnya Muhyiddin, bekas menteri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal serta beberapa yang lain akan dipecat daripada Umno dan ramai membayangkan ia akan berlaku pada mesyuarat Majlis Tertinggi.

Sebenarnya khabar angin ini bermula sehari selepas rombakan Kabinet pada Julai lalu. SMS yang didakwa sebagai 'Berita Panas dari bilik kebal Umno' telah tersebar.

Selain Muhyiddin, nama lain yang termasuk dalam senarai yang akan dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Menteri Besar Kedah), Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir (MP Kulim Bandar Baru), Datuk Seri Ahmad Said (bekas Menteri Besar Terengganu), Datuk Jumat Idris (MP Sepanggar) dan ahli politik Perak Datuk Hamidah Osman.

Khabar angin ini enggan 'dimatikan' kerana pemecatan Muhyiddin dan Shafie daripada Kabinet juga telah didahului oleh khabar angin.

Ketika itu, tidak ramai menyangka bahawa Najib mempunyai keberanian untuk menggunakan kuasanya tetapi beliau telah melakukannya dan sebab itulah khabar angin ini tetap dianggap sebagai sesuatu yang lebih serius.

Walau bagaimanapun, tidak ada siapa yang dapat menjelaskan mengapa pemimpin-pemimpin ini akan dipecat.
Ya, Muhyiddin dan Najib tidak lagi berada dalam gelanggang yang sama dan beliau telah dipecat daripada Kabinet. Tetapi adakah beliau akan dipecat dari parti kerana suara yang bertentangan? Ia tidak masuk akal.
Ahmad pula telah muncul di atas pentas yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi adakah ianya alasan untuk pemecatan?
Alasan yang lebih kukuh untuk pemecatan adalah percubaan tidak senonoh Ahmad untuk menjatuhkan kerajaan Terengganu tahun lepas.

"Tidak ada kebijaksanaan jika Muhyiddin atau Shafie dipecat. Anda tidak boleh menghukum seseorang sebanyak dua kali," kata Timbalan Ketua Umno Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad.

Terdapat suara-suara kritikal terhadap Muhyiddin tetapi hanya dua Umno bahagian secara rasmi telah meluluskan resolusi menentangnya.

Umno Bahagian Penampang di Sabah meminta agar beliau diheret ke jawatankuasa disiplin manakala Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor mahukan beliau meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden.

Majlis Tertinggi amat dikuasai oleh Najib tetapi sangat sedikit daripada mereka akan bersetuju untuk memecat sama ada Muhyiddin atau Shafie yang dipilih parti.

"Selagi tidak terbukti bahawa mereka telah membawa kemudaratan kepada parti, saya akan membantah sebarang langkah untuk memecat mereka. Najib tidak pernah meminta mana-mana di kalangan kami untuk menyerang Muhyiddin.

"Muhyiddin juga tidak berkelakuan seperti Datuk Seri Anwar, beliau terus setia bersama dengan Umno," kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican.

Beberapa pemimpin Umno secara terbuka menolak khabar angin pemecatan tersebut.

Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia tidak ada dalam agenda mesyuarat dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan berkata, 'hati kecil saya tahu bahawa ia tidak akan berlaku'.

Pemecatan Muhyiddin akan menyebabkan berlakunya riak politik yang lebih dalam Umno JOhor. Najib tidak memerlukan krisis lain dalam pentadbirannya.

Dalam keadaan normal, jawatankuasa pengurusan Umno, yang diketuai oleh Muhyiddin akan bertemu sebelum setiap mesyuarat Majlis Tertinggi.

Sebaliknya pada Isnin, Biro Politik yang dipengerusikan oleh Najib bertemu, menguatkan lagi khabar angin pemecatan.

Majlis Tertinggi adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam Umno dan biro politik hanya berada satu tahap di bawahnya.

Semua pimpinan utama, termasuk Muhyiddin dan Shafie, hadir dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menulis di Twitter tentang 'suasana positif' mesyuarat.

Tetapi itu tidak akan menghentikan khabar angin yang akan terus bertiup sekurang-kurangnya sehingga esok.