Monday, September 14, 2015

BN Akan Bentang Kad Laporan Akujanji PRU13 – Najib



Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan kad laporan akujanji kepada rakyat yang telah dibuat dalam bentuk manifesto pada pilihan raya umum ketiga belas (PRU13) lalu yang kini telah memasuki fasa pertengahan penggal parlimen ini, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun setengah ini BN telah melaksanakan pelbagai projek dan program bersandarkan kepada akujanji tersebut dan sudah sampai masanya dalam sedikit masa lagi membentangkannya kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur malam semalam.
YUSL6352
“Kita akan maklumkan bentuknya dan cara mana dengan prinsip akuantabiliti kepada rakyat berdasarkan kepada akujanji yang telah buat ini oleh BN.
“Kita juga akan bentangkan perkembangan pencapaian kita dan apa yang perlu kita lakukan dalam tempoh dua tahun setengah yang akan datang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata mesyuarat telah membincangkan secara panjang lebar mengenai cadangan kumpulan tertentu untuk mengadakan perhimpunan pada 16 September.
“Parti-parti komponen BN telah beri banyak pendapat dan kita telah bersetuju untuk tidak bersetuju atas pendirian-pendirian yang telahpun dibentangkan.
“Ada yang lahirkan kebimbangan, ada yang kata tidak setuju dan ada yang kata 16 September bukanlah hari yang sesuai dan sebagainya.
“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati pandangan-pandangan yang telah rakan-rakan kita dalam komponen. Sekiranya pertemuan tersebut hendak diadakan ia hendaklah patuh kepada undang-undang yang sedia ada maknanya kena dapat kelulusan tempat, mesti ikut peraturan polis dan semua undang-undang negara mesti dipatuhi termasuk Akta Hasutan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati penganjur perhimpunan agar patuh kepada undang-undang serta memohon kerjasama polis untuk memastikan kawalan yang ketat dan laluan-laluan yang bersesuaian.
“Macamanapun pemimpin-pemimpin BN akan berada di Kota Kinabalu kerana itulah menjadi tempat kita menzahirkan komitmen kita kepada pembentukan sebuah negara Malaysia pada tanggal 16 September 1963.
“Dan semangat kekitaan, semangat kita sebagai sebuah negara bangsa akan kita semarakkan pada majlis tersebut dan komitmen BN kepada dasar parti terus kita perjuangkan,” tambahnya lagi.
Berkenaan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin tinggi akibat jerebu yang melanda negara sekarang, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menyediakan garis panduan mengenainya dan akan mengumumkan langkah seterusnya apa tindakan yang perlu dibuat dari sama ke semasa. – Media UMNO.

No comments:

Post a Comment