Wednesday, March 28, 2012

Buka Pintu Bagi Golongan Profesional Cerdik Pandai Sertai Umno - Tun Dr Mahathir

Kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan Umno perlu membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan profesional cerdik pandai menyertai parti itu dan seterusnya diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat parti itu kini mempunyai masalah ketandusan pemimpin gara-gara kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan yang menyekat kemasukan mereka ke dalam Umno.

"Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno, sebab itu kebanyakan doktor masuk PAS.

"Ini akhirnya menyukarkan Umno mencari calon sesuai bagi menentukan kemenangan pada pada pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Budaya Global anjuran Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah di Melaka, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Monday, March 19, 2012

Seramai Lebih 12.5 Juta Layak Mengundi Pada PRU 13

Seramai 12,595,268 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 selepas nama mereka diperakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, jumlah pemilih berdaftar itu adalah daripada Daftar Pemilih Induk Tahun (DPT) 2010 dan empat DPT sepanjang 2011 mengikut Peraturan 22 (1) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

DPT Suku Tahun 4/2011 bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Dis 2011 mengandungi 259,590 permohonan untuk menjadi pemilih yang terdiri daripada 188,654 pendaftaran baru dan 70,936 pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.

"Daftar ini akan diwartakan pada 20 Mac depan. Pewartaan ini melibatkan permohonan pendaftaran baru atau bertukar alamat pusat mengundi bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang tidak terlibat dengan tuntutan atau bantahan," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, semalam.

Bagi pemohon yang nama mereka terlibat dengan bantahan, beliau berkata, SPR menangguhkan pemerakuan permohonan itu sehingga selesai siasatan awam SPR ke atasnya.

Sabri berkata, sepanjang tempoh pameran Rang DPT ST4/2011 dari 8 hingga 14 Februari lepas, SPR menerima 804 bantahan yang melibatkan 17 bahagian pilihan rayaParlimen dan kesemua bantahan itu masih belum diselesaikan.

Kawasan yang terlibat ialah Jerlun dan Bandar Baru Kulim (Kedah), Bachok dan Ketereh (Kelantan), Marang dan Hulu Terengganu (Terengganu), Tanjong Karang,Gombak, Pandan, Hulu Langat, Serdang, Puchong, Subang, Shah Alam, Kapar dan KotaRaja (Selangor) serta Seremban (Negeri Sembilan).

Beliau berkata, pemilih berdaftar dalam tempoh suku tahun berkenaan boleh menyemak maklumat pendaftaran mereka di talian 03-8885 6565 atau di laman web www.spr.gov.my atau melalui sistem pesanan ringkas dengan menaip SPRSEMAKNo Kad Pengenalan dan hantar ke 15888 mulai 20 Mac ini.
Sumber - Bernama

Sunday, March 18, 2012

Muhyiddin Mahu Jentera Sokong Siapa Saja Calon BN

"Bila sampai masanya pucuk pimpinan membuat keputusan siapa calon yang akan diletakkan di kawasan kita, tentulah keputusan itu tidak dibuat dengan terburu-buru dan pastinya ia pilihan yang terbaik....Walaupun kawasan itu kawasan yang bukan UMNO, kemenangan rakan-rakan kita dalam BN menentukan kemenangan parti kita walaupun yang bertanding itu MCA atau Gerakan (misalnya), kita harus menyokong parti yang bertanding kerana mereka bertanding atas tiket BN dan kemenangan itu kelak adalah kemenangan BN," - Muhyiddin Mohd Yassin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) memberi sokongan padu kepada siapa sahaja yang dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya ini kerana kemenangan calon yang dipilih pucuk pimpinan amat bergantung kepada sokongan jentera parti dan apa yang penting ialah kemenangan parti, bukannya calon yang bertanding.

"Bila sampai masanya pucuk pimpinan membuat keputusan siapa calon yang akan diletakkan di kawasan kita, tentulah keputusan itu tidak dibuat dengan terburu-buru dan pastinya ia pilihan yang terbaik.

"Walaupun kawasan itu kawasan yang bukan UMNO, kemenangan rakan-rakan kita dalam BN menentukan kemenangan parti kita walaupun yang bertanding itu MCA atau Gerakan (misalnya), kita harus menyokong parti yang bertanding kerana mereka bertanding atas tiket BN dan kemenangan itu kelak adalah kemenangan BN," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan (WP), berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihan raya Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.

Berucap di hadapan lebih 3,000 anggota UMNO WP, Muhyiddin berkata memandangkan pilihan raya umum dijangka diadakan dalam waktu terdekat, jentera parti WP juga perlu menggiatkan usaha untuk menemui seberapa ramai pengundi bagi mendapatkan sokongan mereka.

"Yang penting dalam pilihan raya adalah pengundi, pengundi itu adalah raja, pengundi yang menentukan nasib kita. Kekalahan kita yang lalu adalah mungkin kerana pengundi melihat kita tidak berusaha dan tidak mengambil langkah proaktif untuk membela mereka," katanya.

Beliau juga percaya senario politik pada masa ini lebih menyebelahi BN hasil program transformasi yang diperkenalkan kerajaan yang banyak membantu mengurangkan beban rakyat.

"Saya yakin di Wilayah Persekutuan, bukan saja beberapa kerusi yang kita berikan tumpuan boleh menang, tidak mustahil untuk kita memenangi kawasan-kawasan yang dikatakan hitam...tapi dengan syarat kita bekerja lebih bersungguh-sungguh," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata anggota UMNO WP perlu memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

"Kalau ada masalah, kita harus akui ada masalah dan mesti ambil langkah segera untuk membetulkan kelemahan dan mengenepikan segala perselisihan faham yang wujud antara kita," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata beliau sudah selesai membuat lawatan ke setiap negeri bagi mengetahui kedudukan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi pilihan raya.

"Kami telah diberikan laporan lengkap mengenai perkara itu dan pada umumnya persiapan di peringkat negeri dan bahagian sudah pun ada.

"Cuma yang saya nak tegaskan dalam tempoh beberapa bulan ini kita nak perkemaskan lagi terutama di kawasan tumpuan yang kita fikir kita akan mendapat kemenangan tapi memerlukan tumpuan yang agak khusus," katanya.

Ditanya mengenai prestasi pihak pembangkang yang hampir empat tahun mentadbir negeri Selangor, Muhyiddin berkata daripada tinjauan dan laporan yang beliau terima, rakyat di negeri itu berdepan dengan banyak masalah.

Beliau berkata pembangkang lebih mementingkan politik daripada pentadbiran selain membuat perubahan dasar yang menyulitkan rakyat negeri itu.

"Segala usaha yang dibuat BN menerusi kerajaan pusat juga mereka anggap tidak memberi faedah kepada rakyat Selangor, contohnya saya telah dimaklumkan oleh pengarah bahagian pembangunan Kementerian Pelajaran bahawa pembangkang tak mahu melepaskan tanah-tanah untuk kita majukan bagi tujuan sekolah, mereka kata tanah itu adalah rizab kerajaan negeri," katanya.

Saturday, March 17, 2012

Ramai Ramal Jun Sebagai Tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13

Bilakah Najib akan mendapat ilham untuk umum PRU13?

Oleh Ahmad Shukran Shaharudin(Bernama, Mac 17, 2012 10:52AM )

Bila tarikh Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 diadakan terus menjadi topik perbincangan dan bahan spekulasi menarik banyak pihak.

Baru-baru ini apabila Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan rasmi ke Sabah, beliau mengadakan satu perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional Sabah.

Seorang pemimpin yang ditemui pemberita berkata Perdana Menteri mengingatkan bahawa pilihan raya semakin dekat.

Bagi anggota parti sama ada Umno atau parti komponen Barisan Nasional (BN), kata-kata Najib yang juga Pengerusi BN sebenarnya lebih berupa peringatan kepada jentera parti BN di Sabah dan juga negeri-negeri lain supaya bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa pun.

Namun ungkapan 'semakin dekat' itu jelas memberi isyarat pilihan raya umum bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Bahkan dalam kalangan rakyat cakap-cakap mengenai pilihan raya umum ke-13 kini menjadi perbualan harian apatah lagi bila pemimpin negara semakin kerap turun padang ke merata pelosok negeri bertemu rakyat.

Menurut pemerhati politik ada beberapa fakta mungkin memberi petanda bahawa kemungkinan besar Parlimen dibubarkan pada Mei atau Jun, dan seterusnya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran satu pilihan raya umum diadakan.

Pemerhati politik menggariskan beberapa fakta kebarangkalian bagi menyokong telahan mereka bahawa Mei atau Jun bakal menyaksikan pilihan raya umum ke-13 Malaysia diadakan.

Fakta pertama ialah terungkainya kemelut gaji baru penjawat awam dengan pengumuman Najib pada 8 Mac lepas bahawa skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Kemelut ini sangat penting diselesaikan terlebih dahulu kerana penjawat awam bukan membabitkan jumlah yang kecil, tetapi kira-kira 1.4 juta orang di seluruh negara, yang memainkan peranan penting untuk melaksana dan menjayakan pelbagai dasar transformasi dan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan untuk rakyat.

Fakta kedua menurut pemerhati politik adalah Perdana Menteri dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara mantap dan terancang menjelajah ke seluruh negara setiap hujung minggu untuk bertemu rakyat, seperti yang dijanjikan pada satu sidang akhbar sebaik Perhimpunan Agung Umno 2010 tamat.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan juga semakin galak mahu semua jentera pilihan raya BN khususnya Umno bergerak pada kelajuan 'gear lima' bagi menghadapi pilihan raya umum yang 'semakin dekat' ini.

Beliau dipetik sebagai berkata pilihan raya jarang-jarang melebihi empat tahun lebih, oleh itu ia mungkin tinggal satu, dua, tiga, empat atau lima bulan sahaja lagi.

Fakta bahawa pilihan raya hanya dilakukan selepas tempoh mandat kerajaan berakhir juga sangat jarang-jarang berlaku. Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada 28 April 2013.

Fakta ketiga, Umno juga awal-awal lagi sudah menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan, iaitu sehingga September 2013, dari tarikh kali terakhir diadakan pada Mac 2009, bagi mengukuhkan parti dan mengelakkan pergelutan jawatan di dalam parti demi untuk menghadapi pilihan raya umum dengan mantap dan sepadu.

Fakta keempat, yang juga petanda positif pilihan raya Mei atau Jun adalah ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan kemajuan pada 2012 seperti laporan Oxford Business Group (OBG), firma penerbitan, penyelidikan dan perundingan risikan ekonomi global.

Laporan itu menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia meningkat, inflasi terkawal dan sektor kewangan teguh. Menurut laporan itu hasil prestasi kukuh di kebanyakan sektor ekonomi dalam tempoh 12 bulan lalu, Malaysia dijangka dapat mencapai prestasi lebih baik dalam 2012.

Fakta seterusnya tertumpu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat banyak pemerhati sebagai telah memberi bayangan Parlimen mungkin dibubarkan seawal Mei 2012 bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Perdana Menteri tidak mungkin membubarkan Parlimen dalam masa terdekat kerana Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya hanya dijangka selesai mengemukakan semua cadangannya ke Dewan Rakyat pada April.

Sebagai persediaan awal, SPR sudah menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat kepada para petugas pilihan raya.

Seorang petugas yang dilantik SPR memberitahu Bernama bahawa pegawai SPR menyatakan sekiranya pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat, satu lagi taklimat akan diberikan untuk melancarkan operasi dalam sistem pilihan raya kelak.

Pemimpin parti-parti politik terutamanya pembangkang dilihat sudah lama bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 ialah awal Jun pada cuti sekolah.

"Ini kerana perbahasan Parlimen kali ini akan membentangkan beberapa rang undang-undang penting seperti pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memang telah dijanjikan pada persidangan kali ini," katanya.

Katanya sekiranya pilihan raya tidak diadakan Jun ini, mungkin Perdana Menteri akan menunggu sehingga tamat penggal ke-12 mandat kerajaan pada tahun depan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata tiada masalah untuk mengadakan perasmian persidangan Parlimen yang baru selepas pilihan raya umum walaupun perasmian baru sahaja disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 12 Mac lepas.

"Apa sahaja yang belum habis, Rang Undang-undang yang dibentangkan, usul dan sebagainya boleh dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang baru untuk dihabiskan, jadi tidak timbul masalah," katanya.

Bernama.

Thursday, March 15, 2012

Jangan Swastakan GLC Demi Hak Bumiputera, Gesa DPIM

"Kewujudan GLC dilihat banyak memainkan peranan memajukan ekonomi orang Melayu, malah berjaya merekod prestasi menggalakkan dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara...Jika ia dilakukan bertujuan meringankan beban rakyat, kenapa syarikat GLC yang berjaya membantu orang Melayu mahu dilupuskan? Saya mempersoalkan hal ini kepada kerajaan..." - Muhammad Ali Hashim

Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim menggesa kerajaan mengkaji semula dasarnya mahu menswastakan ataupun melupuskan pegangannya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) bagi mengelakkan kepentingan ekonomi golongan miskin Melayu dan Bumiputera terus terhakis.

Beliau berkata, tindakan tidak bersetuju dengan kerajaan itu bukan bermakna DPIM antipenswastaan, tetapi GLC adalah satu institusi penting yang mampu membantu ekonomi Bumiputera negara ini yang semakin lama semakin menemui kegagalan.

"Pada pendapat saya, adalah tidak munasabah pelupusan pegangan dilakukan atas alasan untuk memenuhi keperluan para pelabur swasta dalam pasaran modal.

"Menswastakan GLC, kerajaan memindahkan hak milik ekuiti amanah rakyat Malaysia yang miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan kekayaan golongan pelabur saham swasta, yang umumnya berpendapatan tinggi.

"Ini membelakangkan slogan Rakyat Didahulukan," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perasmian Jihad Bisnes Satu Pendekatan Bagi Memajukan Ekonomi Bangsa anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Kuala Lumpur,semalam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, pelupusan atau penswastaan itu termasuk mengurangkan pegangan atau menjual pegangannya kerajaan dalam GLC.

Menurut Idris, langkah itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Pembaharuan Strategik yang membabitkan peranan kerajaan dalam sektor swasta.

Pada Mac 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan sudah mengarahkan Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya mempercepatkan langkah melupuskan pegangan ekuiti di dalam GLC untuk menjadikan pasaran modal lebih menarik bagi para pengurus dana.

Bagaimanapun, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pengurangan pegangan di dalam GLC oleh cabang pelaburan kerajaan itu dan KWSP tidak akan menjejaskan kepentingan negara kerana ia dilindungi melalui pegangan saham emas di dalam pelaburan strategik serta pemantauan oleh pengawal atur mengenai apa yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.

Penganalisis berkata usaha berterusan untuk mengurangkan pegangan kerajaan akan menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa yang akan membawa masuk nilai tambah kepada pegangan saham korporat serta menjadikan Bursa Malaysia lebih menarik kepada para pengurus dana asing.

Mengulas lanjut, Muhammad Ali berkata, kewujudan GLC dilihat banyak memainkan peranan memajukan ekonomi orang Melayu, malah berjaya merekod prestasi menggalakkan dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Jika ia dilakukan bertujuan meringankan beban rakyat, kenapa syarikat GLC yang berjaya membantu orang Melayu mahu dilupuskan? Saya mempersoalkan hal ini kepada kerajaan.

"Justeru, tidak ada sebab lagi peranan mereka harus dicurigai," kata beliau lagi.

Muhammad Ali menegaskan, jika kerajaan tetap mahu menswastakan GLC, beliau mahu ia diwakafkan kepada orang yang baik, yang mampu menguruskan dengan penuh amanah demi masa depan dan nasib orang Melayu.

"Sekalipun GLC bukan milik individu Melayu, ia adalah milik amanah yang harus dipegang untuk manfaat generasi masa depan.

"Syarikat GLC sewajarnya diiktiraf sebagai korporat amanah negara untuk menegakkan keadilan ekonomi dan melindungi kepentingan golongan miskin dan lemah," katanya.

Muhammad Ali turut mengingatkan bahawa 'kebocoran besar' hak milik ekonomi Melayu telah berlaku sebelum ini setelah kerajaan menswastakan pegangan hak milik ekuiti GLC.

"Lebih membimbangkan, tanpa strategi ekonomi Melayu baharu yang mapan, langkah pelupusan ini pasti akan diikuti oleh tindakan lebih besar melupuskan GLC kelak.

"Antara syarikat GLC seperti Felda, Lembaga Tabung Haji, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Johor Corporation Berhad dan Petronas yang disifatkan sebagai tonggak serta benteng terakhir dalam mempertahankan keadilan hak milik ekonomi negara," katanya.

Tuesday, March 13, 2012

Lebih Baik Shahrizat Lepas Semua Jawatan - Penganalisis

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu profesional dengan melepaskan kesemua jawatannya bukan hanya tidak mahu disambung sebagai ahli Dewan Negara.

Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Attory Hussien berkata, beliau disarankan berbuat demikian demi kepentingan negara, parti dan rakyat.

“Karier politiknya telah berakhir. Lebih baik beliau melepaskan semua jawatannya kerana selama ini beliau dilihat sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman keputusan Shahrizat berundur sebagai menteri apabila tempoh pelantikannya sebagai Senator tamat pada 8 April ini.

Menurutnya, Shahrizat menjadi mangsa kes mengaitkan suaminya iaitu, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail yang dikaitkan dengan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Beliau berkata, Wanita Umno amnya, perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai isu itu.

“Lebih baik beliau melepaskan semua jawatannya meskipun Wanita Umno mengakui kredibiliti beliau.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat cuba mengekalkan Shahrizat, tetapi rakyat tidak mahu beliau berada dalam Kabinet dan parti lagi,” katanya.

Sementara itu, pemerhati politik, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz menyifatkan tindakan Shahrizat itu adalah langkah terbaik dan menunjukkan beliau bertanggungjawab sebagai ahli politik.

Bagaimanapun, lebih baik sekiranya beliau melepaskan semua jawatannya kerana isu NFC berkait dengan dirinya dan ia perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita bimbang, jawatan dalam parti beri implikasi tidak baik kepada parti. Terpulanglah kepadanya kerana wujud perbezaan di antara jawatan menteri dan dalam parti.

“Secara umumnya dalam parti pemilihan dilakukan oleh ahli-ahli parti manakala jawatan menteri itu berkhidmat dan bertanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya.

Ditanya mengenai karier Shahrizat akan berakhir disebabkan isu NFC, Shamrahayu menegaskan hidup dan mati di dalam politik akan berlaku banyak kali kepada ahli politik.

“Sekiranya gagal dalam pilihan raya tetapi ‘hidup’ dalam Umno, mereka akan diberikan jawatan menteri. Kekuatan dalam politik memberikan mereka peluang untuk terus berada dalam arena politik.

“Tindakan Shahrizat adalah terbaik dan menunjukkan beliau berpolitik bukan untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Saturday, March 3, 2012

Anggota Parti Politik Tidak Seharusnya Amalkan Perlakuan Samseng

Anggota parti-parti politik tidak seharusnya mengamalkan perlakuan samseng kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja memberi imej buruk kepada parti tetapi juga impak negatif terhadap masyarakat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata perlakuan sedemikian juga seolah-olah mendidik masyarakat bahawa tidak salah melanggar undang-undang.

"Mana-mana parti politik tidak sepatutnya dan tidak boleh mempromosikan perlakuan samseng itu.

"Menerusi kajian yang saya pernah buat dahulu, perlakuan itu hanya dilakukan oleh anggota akar umbi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad Atory berkata demikian ketika mengulas kejadian-kejadian yang didakwa dilakukan samseng-samseng politik pihak lawan seperti merosakkan harta benda.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory berkata perlakuan samseng tidak boleh dibiarkan berterusan kerana rakyat akan menilai bukan kepada pelaku tetapi kepada parti.

Beliau juga berpandangan perlakuan terbabit terjadi kerana tahap kematangan berpolitik di Malaysia masih rendah seperti melibatkan fitnah dan menidakkan usaha kerajaan, yang tidak sepatutnya berlaku di negara membangun yang semakin maju seperti Malaysia.

"Di luar negara, mereka berselisih faham hanya di dalam Parlimen dan tidak terbawa-bawa di luar. Di Malaysia pihak lawan seringkali menyatakan semua yang dibuat kerajaan tidak betul. Mereka akan menentang sedaya-upaya.

"Ada contoh baik di luar negara yang boleh dilihat (contohnya) di Australia. Mereka hanya akan berkempen menentang pihak lawan ketika pilihan raya sahaja. Inilah satu perlakuan yang matang yang sepatutnya diambil teladan oleh ahli politik kita," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata sudah tiba masanya untuk anggota pembangkang di negara ini mematangkan fikiran dan berpolitik ke arah yang lebih bertamadun, termasuk menerima hakikat dan menyokong usaha cemerlang yang dilaksanakan kerajaan untuk rakyat.

Beliau berkata tindakan menuduh orang lain merupakan perbuatan paling mudah semata-mata untuk menutup kelemahan dan mengalihkan perhatian masyarakat daripada perkara pokok atau masalah lebih besar yang sedang dihadapi pembangkang..

"Sikap menyalahkan orang lain adalah sikap orang yang gagal kerana kita tidak akan gagal selagi kita tidak menyalahkan orang lain di atas kelemahan diri kita," katanya.

Sambil menafikan keras dakwaan pihak lawan terhadap Umno, beliau berkata, " Kita kini sibuk menjayakan program transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiada masa untuk melakukan perbuatan samseng," katanya.

Bernama