Thursday, September 29, 2016

PRU14 - UMNO Tidak Kerjasama, Tetap Lawan PAS Di Kelantan

Hanafi...tiada ikatan politik
UMNO tidak bekerjasama dengan PAS, demikian jawapan UMNO Kelantan semalam.

UMNO Kelantan menyatakan pendirian itu  sebagai menjawab kenyataan pemimpin veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah kelmarin  yang mengatakan  beliau tidak faham sama ada PAS dan UMNO rakan atau seteru dalam politik.

Menurut Tengku Razaleigh, kepimpinan PAS Kelantan kini didakwa begitu lemah tetapi itu belum tentu memberi kelebihan kepada musuh tradisinya UMNO.

Bagaimanapun katanya partinya masih tidak memberikan jawapan tegas berkaitan pendiriannya terhadap PAS.

“Saya sendiri pun tidak faham UMNO Kelantan ini. Kita tengok baru-baru ini, PAS lawan kita di (pilihan raya kecil) Sungai Besar, PAS juga lawan kita di Kuala Kangsar.

“Tetapi apabila kita tanya apakah dia menjadi seteru kita, lawan kita dalam PRU nanti, dia (UMNO) tidak dapat memberikan jawapan tegas,” katanya dalam wawancara disiarkan Sinar Harian kelmarin.

UMNO Kelantan menegaskan bahawa parti itu tidak ada ikatan atau kerjasama dengan PAS dalam konteks politik.

Setiausaha Badan Perhubungan  UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat berkata, istilah seteru diantara PAS dan UMNO memang wujud bahkan parti Melayu itu merupakan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Parti PAS menguasai kerajaan Kelantan. Antara kedua-dua parti tidak ada sebarang ikatan politik atau kerjasama dalam konteks politik.

“Ini hakikat, tidak ada sebarang perjanjian politik setakat ini. Istilah seteru tetap wujud antara parti UMNO dan PAS,” katanya kepada FMT.

Hanafi akui ada kerjasama antara PAS dan UMNO tetapi dalam projek yang melibatkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

“Terdapat kerjasama dalam perlaksanaan projek dan program Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri demi rakyat. Contohnya, baik pulih dan pembinaan rumah untuk mangsa banjir dan masalah bekalan air pembinaan lebuhraya dan sebagainya,” katanya.


Dalam wawancara di kediaman beliau di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini, Tengku Razaleigh merasakan UMNO tetap akan menentang PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi saya rasa kita tetap lawan PAS pada pilihan raya akan datang kerana orang bawahan tidak mahu kita bersatu dengan PAS.

“Dan, orang PAS juga sama, tidak mahu bersatu dengan UMNO,” katanya lagi.

Monday, September 26, 2016

Anak Vincent Tan, Proksi YTL Gerakkan Komplot 'Gulingkan Najib'?


Polis Malaysia terpaksa menerima satu lagi tugas penting iaitu menyiasat laporan wujudnya penaja  yang menggerakkan usaha ‘menggulingkan Perdana Menteri’.


Laporan polis yang dijangka dibuat esok oleh Pergerakan Pemuda UMNO terhadap anak seorang jutawan negara dan proksi sebuah gergasi korporat itu pastinya menuntut polis bertindak cepat.

Sekali lagi polis akan menerima tekanan kerana laporan dibuat bukan main-main tetapi oleh Pemuda UMNO, sebauh sayap parti yang menjadi komponen utama parti pemerintah di negara ini.

Lagipun, ia bukan laporan biasa tetapi laporan yang mendakwa terhadap pihak yang  didakwa terlibat dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri.

Menurut laporan di blog milik Raja Petra Kamarudin,  dua individu yang dikatakan funder gerakan menjatuhkan Perdana Menteri adalah Robin Tan, iaitu anak jutawan Vincent Tan dan Tong Kooi Ong yang menjadi proksi kepada YTL (YTL Corporation Bhd ialah syarikat konglomerat Malaysia).

“Kedua-dua mereka dikatakan menyalurkan dana dalam gerakan menjatuhkan YAB DS Najib,” demikian petikan oleh blog Raja Petra terhadap kenyataan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia  Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah.

Pada Julai lalu, Naib Pemuda Umno Khairul Azwan Harun telah membuat laporan polis terhadap bekas-bekas pegawai kerajaan tertinggi negara.

Beliau menamakan bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aktar Aziz, bekas peguam negara Tan Sri dan bekas ketua pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Kali ini laporan akan dibuat oleh Armand yang diasaskan kepada maklumat diterimanya bahawa ada dana ‘tauke’untuk tumbangkan Datuk Seri Mohd Najib Razak’.

Armand...‘gerakan menjatuhkan Najib’.
Najib dan pendukungnya berulang kali mendakwa Mahathir dan pihak yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri itu mahu menjatuhkannya.

Perdana menteri juga menafikan sebarang dakwaan salah laku berkaitan syarikat pelaburan negara

Armand dilaporkan berkata, kedua-dua pihak itu dikatakan menjadi penaja untuk
 ‘gerakan menjatuhkan Najib’ itu.

Laporan Malaysiakini, hari ini memetik Armand akan membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di ibu negara pada lewat pagi esok.

Malah, beliau turut mengajak media dengan mengatakan ‘kehadiran sahabat-sahabat media dan rakan-rakan seperjuangan amatlah dialu-alukan oleh pihak saya.

Malaysiakini bagaimanapun sehingga kini , tidak menamakan pihak itu sementara mendapatkan reaksi mereka terlebih dahulu.

Bagaimanapun, kedua-dua individu itu diketahui rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – pengkritik utama kepimpinan Najib.

Taikun-taikun perniagaan itu menguasai pelbagai kepentingan perniagaan di negara ini, daripada projek pembangunan dan kompleks beli belah kepada hotel.

Sementara itu, Armand ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata akan menyerahkan bahan bukti berupa “beberapa dokumen”.

Beliau turut berharap polis menyiasat segera. “Ini kerana ia melibatkan keamanan negara kita,” katanya.

Saturday, September 24, 2016

Wadah UMNO Adalah Terbaik Untuk Wanita Muda Malaysia - Najib


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Puteri UMNO menggalas tanggungjawab untuk menyakinkan generasi muda bahawa wadah perjuangan parti itu adalah yang terbaik untuk mereka dan negara.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata satu lagi tanggungjawab penting yang perlu digalas pergerakan itu ialah menyediakan wanita bagi menghadapi cabaran masa depan.

"Saya selaku Presiden UMNO mahu supaya Puteri UMNO terus berjuang bersungguh-sungguh supaya generasi muda, wanita muda akan mengganggap bahawa wadah perjuangan yang paling baik untuk mereka dan negara adalah wadah perjuangan yang dipelopori oleh parti UMNO dan Barisan Nasional."

"Maknanya, ini tugas Puteri...menyakinkan generasi muda agar faham mengapa wadah kita adalah terbaik, mengapa kita ada agenda pembangunan transformasi, kenapa belah sana hanya main politik kebencian, politik memburukkan orang lain, tetapi mereka tidak ketengahkan agenda mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Wanita Muda anjuran Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini


Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Najib berkata kerajaan sebaliknya mempunyai perancangan dan agenda yang lebih baik untuk pembangunan negara.

"Bila memburukkan orang lain itu senang walaupun itu dosa yang besar tetapi pada kita, mesti fikir memburukkan orang lain itu tidak membawa ke mana-mana.
Kita mempunyai agenda yang lebih baik demi pembangunan negara," katanya.

Selain itu, katanya golongan wanita juga perlu dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran dalam menghadapi cabaran masa depan.

"Kita mesti menyiapkan generasi muda, maknanya kita melangkaui soal politik, kita lebih idealisme daripada soal nak mendapatkan undi sahaja.

"Tetapi tugasan kita menyediakan wanita muda menghadapi segala cabaran masa depan dengan kita memberi kekuatan ilmu, kerohanian, kemahiran insani, kepimpinan, rangkaian dan segala-galannya kita sertakan untuk melahirkan generasi muda yang sahut cabaran masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kejayaan beberapa ikon wanita muda sejak dahulu hingga kini boleh dijadikan inspirasi bagi melahirkan lebih ramai ikon wanita termasuk dalam kalangan wanita muda.

Beliau berkata kejayaan atlet paralimpik negara meraih tiga pingat emas dan satu gangsa dalam temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini wajar dijadikan contoh bagi golongan wanita muda mencapai kejayaan.

"Semasa saya dan isteri menerima kontinjen Paralimpik Rio dua hari lepas, saya lihat mereka ini ada kekurangan dan semua itu takdir Ilahi.

"Tetapi, mereka tidak ada sikap untuk hidup dalam keadaan merasakan mereka ditimpa musibah sehingga mereka rasa mereka dalam keadaan 'self sympathy' pada diri dan anggap mereka tidak berguna kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata sikap positif dan keazaman untuk berjaya telah membawa atlet paralimpik itu mencapai impian mereka.

Wednesday, September 21, 2016

Isu Tukar MB Cerita Basi, Berniat Jahat - MB Negeri Sembilan


Isu tukar Menteri Besar hanya sekadar laporan yang ditulis sebuah akhbar dan bukannya kenyataan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
  
Malah ia spekulasi bersifat isu lama yang dibangkitkan setiap kali menjelang pilihan raya.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu mungkin tidak akan dilakukan sebelum pilihan raya kerana jika dilakukan ia akan menimbulkan pelbagai isu.

Kerana itu penulisan sedemikian sebenarnya berniat jahat.

"Cerita ini sudah basi, setiap kali kalau nak pilihan raya beginilah ceritanya, malah ia telah timbul sejak saya mula menerajui Negeri Sembilan pada 2004. Sekarang telah masuk penggal ketiga dan isu sama masih ditimbulkan.

"Tetapi saya tidak yakin ia akan dibuat Perdana Menteri... perkara itu mungkin tidak akan dilakukan sebelum pilihan raya kerana jika dilakukan ia akan menimbulkan pelbagai isu... penulisan itu sebenarnya berniat jahat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seremban, di Seremban hari ini.

Laporan itu turut menyatakan selain Mohamad, Menteri Besar Terengganu, Pahang dan Kedah juga akan ditukarkan.


Jika demikian, sewajarnya tindakan diambil terhadap The Star yang menyiarkan berita berkenaan melalui sebuah kolum yang ditulis oleh wartawan akhbar berkenaan.

Dengan kenyataan Mohamad yang menyebutnya ‘berniat jahat’ sewajarnya tindakan keras diambil terhadap penulis dan akhbar berkenaan yang sengaja membuat ulasan bersifat sensasi dan provokasi.

UMNO tidak boleh berdiam diri terhadap akhbar yang dimiliki sekutu Barisan Nasional (BN) iaitu MCA yang berbuat andaian sesuka hati mereka.

Bukan sahaja provokasi seperti ini akan mendatangkan masalah kepada BN dan UMNO tetapi juga kepada Perdana Menteri.

Mengulas laporan sebuah akhbar tempatan itu yang menyebut beliau antara empat Menteri Besar yang akan ditukarkan dalam usaha memastikan BN kekal berkuasa pada pilihan raya akan datang, Mohamad mengatakan,  beliau tetap akan mengetuai jentera pilihan raya BN Negeri dan yakin BN akan memenangi pilihan raya akan datang.

Mengenai tahap kesihatannya yang dikaitkan dengan faktor pertukaran, Mohamad berkata tahap kesihatannya pada ketika ini adalah baik.

"Saya dah mula kerja... tiada apa yang perlu dibimbangkan, jantung saya juga tiada masalah... saya hanya berehat sekejap. Jangan dengar khabar angin. Saya tidak risau dengan orang lain nak masuk parti itu, parti ini atau nak tubuh parti baharu dan sebagainya.

"Ini kerana kita merupakan sebuah negara demokrasi. Apa yang penting adalah persiapan pilihan raya perlu dibuat dengan rapi dan saya yakin orang ramai mempunyai keyakinan tinggi terhadap BN," katanya.

Mohamad turut menangkis dakwaan wujudnya ‘warlords’ atau kumpulan tertentu dalam kalangan Umno Negeri Sembilan dan menegaskan ketika mesyuarat perwakilan Umno juga tiada isu atau usul yang ditumbulkan yang boleh mencemarkan nama parti dan pemimpin.

"Saya tidak nampak ada warlords... ini cerita zaman dahulu, kita sekarang lebih harmoni, tiada masalah bahkan orang lama juga turut memberikan kerjasama baik bahkan ada yang telah memberikan mandat kepada pemimpin generasi baharu," katanya.

Mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini, Mohamad berkata satu mesyuarat akan diadakan bagi mengkaji cadangan itu.

"Saya akan buat mesyuarat BN Jumaat ini kerana kami juga terpaksa mengkajinya bersama supaya kita faham apa tujuannya. Kita akan kaji dan lihat apakah impak penyelarasan kepada Umno. Selepas mesyuarat saya akan jumpa SPR untuk tanyakan sendiri tujuan persempadanan ini.

"Tetapi kalau bahagian saya Parlimen Rembau, saya lihat persempadanan ini untuk mereka urus persempadanan secara lebih sempurna dan kemas," katanya.


SPR sebelum ini mencadangkan Negeri Sembilan membuat pertukaran nama sebuah kerusi Parlimen dan tiga DUN iaitu Parlimen Telok Kemang kepada Port Dickson manakala tiga lagi DUN bertukar nama adalah Senawang kepada Seremban Jaya, Port Dickson kepada Sri Bayu dan Repah kepada Bukit Rokan.

Monday, September 19, 2016

Tukar 4 MB – Khabar Angin Yang Meresahkan Penyokong UMNO/BN...



"Mengejutkan lagi apabila ada khabar angin semakin kencang mengatakan Perdana Menteri akan memulakan tindakan menukar Menteri Besar di empat negeri mulai esok (Rabu 21 September 2016)."

Putrajaya wajar menafikan segera khabar angin yang mengatakan empat Menteri Besar akan ditukar sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Keadaan ini meresahkan banyak pihak dan menimbulkan perdebatan yang tidak diundang dan menimbulkan ‘kekecohan’ dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri.

Bagi penyokong menteri besar yang terbabit, keadaan itu boleh menyebabkan wujudnya keadaan tidak selesa dan bermasam muka.

Bagi penyokong yang ketua mereka dijangka dilantik menjadi Menteri Besar akan memasang pelbagai angan-angan yang kadangkala boleh merosakkan perhubungan dalam parti.

Mengejutkan lagi apabila ada khabar angin semakin kencang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memulakan tindakan menukar Menteri Besar di empat negeri mulai esok (Rabu 21 September 2016).

Pertukaran pertama adalah Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob dan penggantinya dikatakan akan mengangkat sumpah pada hari yang sama.

Tiga lagi Menteri Besar akan turut digantikan selepas ini untuk membolehkan Najib memperkukuhkan BN yang dilihat semakin lemah di empat negeri berkenaan.

Menurut seoran kolumnis The Star yang memetik sumber berkata, perubahan yang akan dilakukan termasuk menukar menteri besar di empat negeri- Pahang, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan.

"Perdana Menteri perlu pemimpin baru untuk menerajui jentera di negeri tersebut," kata sumber itu yang dipetik kolumnis berkenaan, sebagai berkata.


Pertukaran itu, selain Menteri Besar Terengganu juga dikatakan berasaskan kedudukan kesihatan menteri besar berkenaan yang disifatkan ‘kurang sihat’.


Adnan baru-baru ini menunjukkan beliau berada dalam kesihatan yang baik apabila Sidang DUN Pahang dikejutkan dengan aksi beliau menanggalkan kasut dan mengangkat kaki ke mukanya.

Adnan kemudian meletakkan pen di celah jari kaki ketika kakinya diangkat dan bertanya sama ada anggota di dalam dewan boleh melakukan perkara yang sama.

Menteri besar Pahang itu membuat aksi pelik itu bagi menunjukkan dia berada dalam kesihatan yang baik.

Pada 10 September beliau meminta supaya hasratnya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak diperbesar-besarkan.

Adnan berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana semuanya bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti dan persetujuan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Dan yang paling penting adalah Tuhan, yang akan menentukan segala-galanya," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kuala Krau.  Adnan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai sejak 1986.

Adnan dilaporkan menyatakan hasratnya untuk bersara sebagai Menteri Besar pada perasmian mesyuarat Umno Bahagian Ketereh, pada 9 September.


Sementara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula menolak dakwaan beliau tidak sihat apabila mengatakan tahap kesihatannya baik dan tidak pengsan.

Pada Ahad lalu (18 September 2016), Ahmad Bashah meminta pihak-pihak tertentu berhenti menyebarkan maklumat tidak benar mengenai tahap kesihatannya di laman sosial.

Beliau mengakui memang ada ke hospital bagi menjalani pemeriksaan susulan selepas menjalani pembedahan kecil di Hospital Pulau Pinang pada 6 Jun lalu akibat komplikasi usus, namun keadaan kesihatannya semakin baik.

"Tahap kesihatan saya baik dan apa yang diviralkan di laman sosial tidak benar kerana selepas menjalani pembedahan, mana ada saya pengsan seperti yang diuar-uarkan.

"Saya boleh terima maklumat tidak benar mengenai diri saya ini tetapi ia mungkin tidak boleh diterima oleh keluarga saya," katanya.

Bernama melaporkan pada 7 September lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, dibenarkan pulang.

Dalam satu kenyataan, Mohamad berkata ini berikutan pakar kardiologi IJN Datuk Dr Amin Arif berpuas hati terhadap tahap kesihatannya.

Mohamad dimasukkan ke IJN selepas mengadu kurang sihat ketika merasmikan Persidangan Umno Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah Paroi. Beliau dilapor mengalami pening dan bukan sakit teruk seperti yang disebarkan melalui media sosial.


Beliau berkata rasa pening itu mungkin disebabkan pengambilan ubat sakit perut yang terlalu kuat selain kekurangan rehat dan tidur.

Persoalannya, apakah Najib akan melakukan pertukaran secara tergesa-gesa tanpa memaklumkan kepada pihak terbabit mengenai pertukaran dan perlantikan menteri besar baharu?

Perdana Menteri pasti akan memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak terbabit jika benar aka nada pertukaran. Namun sejauh ini tidak ada sebarang berita.

Sejauh ini tidak diketahui sama ada khabar angin yang bertiup kencang akibat laporan The Star yang dipetik Malaysiakini itu cuba ditepis oleh Pejabat Perdana Menteri atau juga Ibu Pejabat UMNO.

Realitinya tindakan menyebarkan khabar angina, sama ada oleh pihak media serta pihak-pihak tertentu memberi kesan kepada UMNO dan BN.


Jika tiada penafian sudah pasti orang ramai akan menganggap ia sesuatu yang benar dan semakin lama dilakukan tindakan, semakin banyak kesan tidak baik akan mengganggu parti sama ada di peringkat negeri, bahagian atau juga cawangan.

Monday, September 12, 2016

Tengku Adnan: Ramai Minta, Merayu-rayu Mahu Kembali Ke Pangkuan UMNO

Pengerusi tetap UMNO Gelang Patah umum keluar parti...
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa, ramai ahli parti itu sebenarnya merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam bahawa ada pemimpin bahagian UMNO dari Kedah merancang untuk meninggalkan parti.

"Beliau (Mukhriz) kata orang mahu keluar, tetapi orang yang dipecat juga mahu kembali (ke UMNO).

“Sebenarnya banyak yang minta, rayu-rayu (mahu kebali ke UMNO).

“Banyak, jadi nak bagi senarai, saya tak ada (sekarang). Lain kali saya bagi senarai," kata Tengku Adnan pada sidang media selepas Program Ibadah Korban Sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya, semalam.

Sambil menyifatkan senarai mereka yang merayu menyertai semula UMNO panjang, beliau berkata ‘macam-macam dilakukan’ mereka yang keluar parti termasuk mendakwa tindakan diambil parti itu adalah tidak adil dan tidak mengikut prosedur.

Mukhriz membuat kenyataan itu selepas Pengerusi Tetap UMNO Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan Timbalan Ketua UMNO bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti keluar parti semasa mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing pada Sabtu lalu.


Adun Ayer Hitam itu mendakwa, ramai pemimpin UMNO bahagian mendekatinya dan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap parti itu.

“Ada beberapa orang yang memegang jawatan penting dalam UMNO bahagian memberitahu saya secara peribadi mereka tidak tahan lagi dan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan parti secara serius.

“Jadi, kita mungkin melihat pengumuman sedemikian diambil beberapa pemimpin itu,” kata naib presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu selepas menghadiri sebuah ceramah pada malam 10 September lalu.

Pengasas UMNO Bahagian Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani tiba-tiba mengumumkan keluar parti ketika menyampaikan ucapan pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, pagi semalam.

Bekas ketua UMNO bahagian Gelang Patah dan bekas exco Johor itu mendakwa sebahagian besar kepimpinan UMNO yang ada sekarang tidak menerima kenyataan sebenar akibat daripada krisis dihadapi UMNO.

Tindakannya itu disusuli Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanti yang juga pegawai khas kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut mengumumkan keluar parti Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, mungkin ada di kalangan pemimpin itu teragak-agak meninggalkan parti dengan cara demikian kerana tidak mahu mencari musuh di kalangan ahli UMNO.

Anggota UMNO akan teris bersatu...
“Saya faham sebahagian daripada mereka tidak sanggup mencetuskan konflik dalam majlis seperti itu. Oleh itu, sebahagian daripada mereka mungkin menyokong kita, tetapi pada masa sama, masih kekal dalam UMNO atau mereka boleh meninggalkan parti secara diam-diam, bukannya dengan cara seperti yang berlaku di Gelang Patah,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang merasmikan di Gelang Patah itu dilaporkan berkata, peletakan jawatan Baharom tidak memberi kesan besar pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, kerana tiada seorang pun perwakilan yang mengikut jejak bekas Adun Tanjung Kupang itu meninggalkan UMNO.

Katanya, tindakan itu menunjukkan perwakilan Gelang Patah menghantar mesej tegas kepada orang lain, iaitu mereka akan terus menyokong UMNO.

Kejadian yang berlaku itu turut dilihat selari dengan kelulusan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) cetusan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan, minggu lalu.

Ditanya kemungkinan lebih ramai yang mungkin mengikut tindakan Baharom dan Tosrin, Tengku Adnan berkata ‘tidak ada masalah bagi mereka mahu keluar parti’ kerana ia tidak menjejaskan UMNO.

Ditanya kemungkinan lebih ramai yang mungkin mengikut tindakan Baharom dan Tosrin, Tengku Adnan berkata ‘tidak ada masalah bagi mereka mahu keluar parti’ kerana ia tidak menjejaskan UMNO.

Menurutnya tindakan keluar daripada parti adalah jalan terbaik bagi anggota UMNO yang menimbulkan kontroversi.

"Mungkin ada pihak cuba tarik anggota UMNO tetapi saya yakin anggota-anggota terus bersatu bersama UMNO...anggota-anggota UMNO sedar bahawa ia sebuah parti berstruktur, ada hala tuju dan bermatlamat bagi memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera," katanya.

Mengenai penggantungan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Mohd Rafiq Naizamohideen, Tengku Adnan berkata tindakan itu diambil selepas siasatan menyeluruh dilakukan dan terdapat bahan bukti kukuh seperti cakera padat video (VCD) serta rakaman.

"Oleh itu, jika tidak berpuas hati (dengan parti), janganlah suarakannya kepada umum dan mencalar imej parti. Sebab itulah, kami mengambil tindakan terhadapnya. Sepatutnya, suarakan sebarang ketidakpuasan hati dalam parti," kata beliau.

Mohd Rafiq digantung sebagai anggota UMNO selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda UMNO turut digugurkan.

Beliau didakwa cuba mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Friday, September 9, 2016

Ancaman Daesh Benar, Orang Ramai Perlu Sentiasa Berwaspada


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa berada di tempat terbuka seperti pusat hiburan, rumah ibadat bukan beragama Islam dan tempat yang menarik kunjungan ramai.

Bagaimanapun kerajaan menerusi pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi memastikan kawalan keselamatan negara terjamin.

Menteri Dalam Negeri itu menegaskan bahawa ancaman kumpulan militan Daesh di Malaysia bukanlah suatu manipulasi, publisiti atau sengaja diada-adakan.

"Saya ingin memberitahu rakyat bahawa ancaman Daesh ini memang benar," katanya di Bagan Datoh.


Kelmarin (7 September 2016), Bahagian Antikeganasan Bukit Aman dilapor menahan beberapa individu di Malaysia yang dipercayai menjadi anasir kumpulan pengganas bersenjata Tentera Islam (IS).

 Mereka dilatih sebagai pengebom berani mati.

Penolong pengarah bahagian itu Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis sedang menangani isu itu berdasar risikan terbaru, lapor The New Straits Times.

Mereka, katanya, terdiri daripada lapan rakyat Malaysia yang pulang daripada Syria untuk melancarkan serangan bagi pihak kumpulan itu.

Mereka cuba memasuki negara ini melalui pelbagai cara, cara biasa atau menggunakan laluan haram, tetapi berjaya diberkas polis yang memantau pergerakan itu.


Dua daripadanya, merancang menyerang Putrajaya manakala selebihnya mahu menyerang tempat pertemuan Freemason di Bukit Jalil dengan bahan letupan.

Seorang remaja 18 tahun antara ditahan. Dia dikatakan mempunyai beratus-ratus jam pengalaman berlawan dengan rejim Syria.

Susulan tindakan keras Syria terhadap kumpulan pengganas, Ayob menjangkakan lebih ramai anggota IS akan pulang ke negara masing-masing, termasuk Malaysia.


Pada 8 Mac lalu, Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Dewan Rakyat, terdapat cubaan untuk menculik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu oleh kumpulan militan Daesh.

Kumpulan pengganas tersebut turut menjadikan beberapa orang pemimpin tertinggi negara sebagai sasaran mereka untuk diculik.

Menurutnya, pada 30 Januari 2015 seramai 13 orang dengan elemen Daesh telah merancang untuk menculik pemimpin termasuk perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan," katanya.

Pada sidang yang sama, Dr Ahmad Zahid berkata bahawa terdapat beberapa cubaan serangan yang dilancarkan termasuk cubaan untuk mengebom Putrajaya dan sebuah bangunan di Bukit Jalil pada April 2015.


Malah, 11 militan juga didakwa cuba untuk memusnahkan pusat hiburan, pusat maksiat dan perjudian di Kuala Lumpur pada April tahun lalu.

Cara pelaksanaan yang dilakukan oleh kumpulan pengganas itu termasuk cuba untuk mencuri senjata api dari kem tentera, merompak wang dan membuat bahan letupan.

Menurut Dr Ahmad Zahid semalam, Polis DiRaja Malaysia melalui Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas itu sentiasa melakukan pemantauan pelbagai kaedah termasuk melalui media sosial bagi membendung pengaruh ancaman Daesh di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan 130 ekor lembu korban sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada masjid, surau serta agensi kerajaan dalam Bagan Datoh, semalam.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai tindakan ketua militan Malaysia yang berpangkalan di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, yang lantang mengulangi ancaman untuk terus menimbulkan kekacauan di negara ini.

"Kita tahu ada dalam kalangan pengikut (Daesh) di Malaysia mahu mengambil tindakan sebagaimana yang diarahkan bagi menunjukkan tentang Katibah Nusantara, yang kononnya sebuah kerajaan Islam di nusantara meliputi Malaysia, Indonesia, Selatan Thai, Selatan Filipina dan mungkin juga Singapura dan Brunei.

"Atas kebersamaan pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera di seluruh negara ASEAN, kita sentiasa berkongsi maklumat tentang apa yang Wanndy lakukan...kita tahu arahan yang dikeluarkan Wanndy adalah arahan untuk memperlihat barisan kepimpinan atasan Daesh di Syria dan Iraq," katanya.



Menurutnya tindakan seperti pengeboman terbuka adalah bagi menentukan Wanndy berada di tahap pemimpin Daesh, yang menyumbangkan keganasan dan ancaman serta perlakuan di nusantara ini.

Ahmad Zahid juga berkata rakyat negara ini yang menyertai kumpulan militan tidak mempunyai latar belakang agama atau pendidikan yang kukuh.

"Mereka ni orang yang kecewa terhadap sesuatu yang mereka sahaja ketahui. Jadi, kekecewaan itu diterjemahkan dengan memperlihat eskapisme," katanya

Tuesday, September 6, 2016

Isu Pemilikan Rumah Lebih Penting Daripada Mempertahankan Pemimpin


UMNO sebagai 'pelindung Melayu dan Bumiputera' sewajarnya tidak terlepas pandang isu pemilikan rumah, terutama Melayu di bandar.

Sewajarnya pada mesyuarat Bahagian UMNO yang berlangsung sebelum ini dan ketika ini mengambil isu ini sama penting dengan usul menyokong kepimpinan parti itu.

Tidaklah perlu melalak isu penubuhan parti baru atau kenapa orang itu kini di sebelah sana dan tidak lagi bersama UMNO sebaliknya isu utama yang membelenggu ramai ahli UMNO terbiar begitu sahaja.

Adalah amat berguna jika pemimpin UMNO melalak dengan mendesak kerajaan sama ada kerajaan negeri mahu pun persekutuan, memperkenalkan harga siling sesuatu harta tanah untuk mengawal harganya yang makin meningkat dari tahun ke tahun.

Dasar itu juga sewajarnya diperluas untuk kesemua jenis hartanah kediaman di semua negeri tersebut dan bukannya sekadar terhad untuk unit pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (Sovo).


Melalui dasar itu, dilaporkan pemaju diwajibkan membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik pada harga RM230,000 hingga RM270,000 berbanding harga jualan hartanah SOHO dan pejabat maya Sovo yang kini melebihi RM450,000 hingga RM500,000.

Menurut Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), walaupun melalui dasar itu kerajaan negeri telah “menghapuskan” diskaun 10 peratus pembelian harta tanah untuk bumiputera, ia dilihat tidak akan memberikan kesan terhadap pemilikan harta tanah oleh bumiputera.

Tiada guna menawarkan diskaun kepada bumiputera sedangkan harga jualan asal harta tanah yang ditawarkan oleh pemaju sejak daripada awal lagi memang tidak mampu dimiliki oleh golongan tersebut, khususnya belia.

Isu pemlikan rumah dan harga yang semakin melambung seharusnya menjadi isu utama UMNo ketika ini, apalagi jika parti mahu mendapat perhatian daripada golongan muda.

Soal pemilikan rumah di kalangan graduan yang baharu mendapat pekerjaan sewajarnya menjadi topik perbincangan pada mesyuarat Bahagian UMNO, bukannya isu siapa perlu dipertahankan atau siapa yang perlu 'diserang'.


Usul mengekalkan ketua-ketua UMNO tidak berguna jika UMNO ditolak oleh golongan muda dan belia yang melihat parti  itu tidak memperjuangkan kepentingan mereka - termasuk isu pemilikan rumah yang tersangat penting ini.

Persoalannya bagaimana jika harga jualan asal untuk sesuatu harta tanah pun sudah melebihi RM500,000, jika diskaun 10 peratus ditawarkan kepada bumiputera sekalipun, apakah ia memberi kesan kepada pemilikan rumah untuk Bumiputera?

Jawapannya, ia tetap tidak mampu dimiliki golongan bumiputera berpendapatan sederhana.

Akhirnya apabila tiada golongan bumiputera yang mampu membeli, harta tanah tersebut akan ditawarkan kepada golongan bukan bumiputer. Salah siapa?

Untuk lebih jelas mengenai isu diskaun rumah Bumiputera, baca apa pendapat Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

Kenapa diskaun rumah bumiputera tak berguna

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) melihat polisi baru kerajaan negeri Selangor yang mewajibkan pemaju membina unit mampu milik dalam setiap pembinaan pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan Sovo (pejabat maya di rumah) sebagai langkah ke arah perlaksanaan kawalan harga rumah.

Polisi tersebut selari dengan cadangan HartaGuam sebelum ini yang mahukan kerajaan sama ada kerajaan negeri mahu pun persekutuan, memperkenalkan harga siling sesuatu harta tanah untuk mengawal harganya yang makin meningkat dari tahun ke tahun.

Dasar itu juga sewajarnya diperluas untuk kesemua jenis hartanah kediaman di negeri tersebut dan bukannya sekadar terhad untuk unit pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan Sovo sahaja.

Melalui dasar itu, dilaporkan pemaju diwajibkan membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik pada harga RM230,000 hingga RM270,000 berbanding harga jualan hartanah SOHO dan Sovo yang kini melebihi RM450,000 hingga RM500,000.

Walaupun melalui dasar itu kerajaan negeri telah “menghapuskan” diskaun 10 peratus pembelian harta tanah untuk bumiputera, ia dilihat tidak akan memberikan kesan terhadap pemilikan harta tanah oleh bumiputera.

Tiada guna menawarkan diskaun kepada bumiputera sedangkan harga jualan asal harta tanah yang ditawarkan oleh pemaju sejak daripada awal lagi memang tidak mampu dimiliki oleh golongan tersebut, khususnya belia.

Perlu perincian

Misalnya, jika harga jualan asal untuk sesuatu harta tanah pun sudah melebihi RM500,000, jika diskaun 10 peratus ditawarkan kepada bumiputera sekalipun, ia tetap tidak mampu dimiliki golongan bumiputera berpendapatan sederhana.

Akhirnya apabila tiada golongan bumiputera yang mampu membeli, harta tanah tersebut akan ditawarkan kepada golongan bukan bumiputera.

Sebaliknya, menetapkan harga siling untuk bumiputera bagi sesuatu projek perumahan baru mampu memberi peluang kepada golongan bumiputera berpendapatan sederhana memiliki rumah.

Pun begitu, dasar kerajaan negeri tersebut tidak harus hanya sekadar terhenti setakat itu sahaja.

Ia perlu diperincikan dengan lebih teliti supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan membeli harta tanah tersebut secara pukal dan kemudian menjualnya kepada orang ramai dengan harga lebih mahal.

Kuota tersebut seharusnya dihadkan untuk golongan berpendapatan sederhana yang masih belum memiliki rumah sahaja.

Dasar 'harga patut'

Proses pemilihan juga haruslah dikaji dan diperketatkan untuk memastikan hanya golongan yang berhak sahaja dibenarkan membeli harta tanah dalam kategori tersebut.

Yang paling penting, kerajaan negeri perlu memberi latihan dan pendedahan awal secara percuma kepada golongan belia atau golongan bumiputera berpendapatan sederhana.

Ini supaya mereka merancang dan menguruskan pendapatan serta kewangan dengan baik sebelum membuat keputusan membeli harta tanah dalam kategori harga tersebut.

Apalah gunanya dasar “harga patut” diperkenalkan dengan matlamat supaya lebih ramai golongan belia dan berpendapatan sederhana memiliki harta tanah sendiri, tetapi semuanya tidak lepas dari segi pembiayaan perumahan dengan bank.

Ini disebabkan kegagalan mereka merancang dan menguruskan pendapatan dan kewangan mereka dengan baik sejak daripada awal lagi.

Sudah pasti dasar tersebut tidak akan mencapai sasaran yang diharap-harapkan.