Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts
Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts

Monday, September 12, 2016

Tengku Adnan: Ramai Minta, Merayu-rayu Mahu Kembali Ke Pangkuan UMNO

Pengerusi tetap UMNO Gelang Patah umum keluar parti...
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa, ramai ahli parti itu sebenarnya merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam bahawa ada pemimpin bahagian UMNO dari Kedah merancang untuk meninggalkan parti.

"Beliau (Mukhriz) kata orang mahu keluar, tetapi orang yang dipecat juga mahu kembali (ke UMNO).

“Sebenarnya banyak yang minta, rayu-rayu (mahu kebali ke UMNO).

“Banyak, jadi nak bagi senarai, saya tak ada (sekarang). Lain kali saya bagi senarai," kata Tengku Adnan pada sidang media selepas Program Ibadah Korban Sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya, semalam.

Sambil menyifatkan senarai mereka yang merayu menyertai semula UMNO panjang, beliau berkata ‘macam-macam dilakukan’ mereka yang keluar parti termasuk mendakwa tindakan diambil parti itu adalah tidak adil dan tidak mengikut prosedur.

Mukhriz membuat kenyataan itu selepas Pengerusi Tetap UMNO Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan Timbalan Ketua UMNO bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti keluar parti semasa mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing pada Sabtu lalu.


Adun Ayer Hitam itu mendakwa, ramai pemimpin UMNO bahagian mendekatinya dan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap parti itu.

“Ada beberapa orang yang memegang jawatan penting dalam UMNO bahagian memberitahu saya secara peribadi mereka tidak tahan lagi dan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan parti secara serius.

“Jadi, kita mungkin melihat pengumuman sedemikian diambil beberapa pemimpin itu,” kata naib presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu selepas menghadiri sebuah ceramah pada malam 10 September lalu.

Pengasas UMNO Bahagian Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani tiba-tiba mengumumkan keluar parti ketika menyampaikan ucapan pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, pagi semalam.

Bekas ketua UMNO bahagian Gelang Patah dan bekas exco Johor itu mendakwa sebahagian besar kepimpinan UMNO yang ada sekarang tidak menerima kenyataan sebenar akibat daripada krisis dihadapi UMNO.

Tindakannya itu disusuli Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanti yang juga pegawai khas kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut mengumumkan keluar parti Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, mungkin ada di kalangan pemimpin itu teragak-agak meninggalkan parti dengan cara demikian kerana tidak mahu mencari musuh di kalangan ahli UMNO.

Anggota UMNO akan teris bersatu...
“Saya faham sebahagian daripada mereka tidak sanggup mencetuskan konflik dalam majlis seperti itu. Oleh itu, sebahagian daripada mereka mungkin menyokong kita, tetapi pada masa sama, masih kekal dalam UMNO atau mereka boleh meninggalkan parti secara diam-diam, bukannya dengan cara seperti yang berlaku di Gelang Patah,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang merasmikan di Gelang Patah itu dilaporkan berkata, peletakan jawatan Baharom tidak memberi kesan besar pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, kerana tiada seorang pun perwakilan yang mengikut jejak bekas Adun Tanjung Kupang itu meninggalkan UMNO.

Katanya, tindakan itu menunjukkan perwakilan Gelang Patah menghantar mesej tegas kepada orang lain, iaitu mereka akan terus menyokong UMNO.

Kejadian yang berlaku itu turut dilihat selari dengan kelulusan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) cetusan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan, minggu lalu.

Ditanya kemungkinan lebih ramai yang mungkin mengikut tindakan Baharom dan Tosrin, Tengku Adnan berkata ‘tidak ada masalah bagi mereka mahu keluar parti’ kerana ia tidak menjejaskan UMNO.

Ditanya kemungkinan lebih ramai yang mungkin mengikut tindakan Baharom dan Tosrin, Tengku Adnan berkata ‘tidak ada masalah bagi mereka mahu keluar parti’ kerana ia tidak menjejaskan UMNO.

Menurutnya tindakan keluar daripada parti adalah jalan terbaik bagi anggota UMNO yang menimbulkan kontroversi.

"Mungkin ada pihak cuba tarik anggota UMNO tetapi saya yakin anggota-anggota terus bersatu bersama UMNO...anggota-anggota UMNO sedar bahawa ia sebuah parti berstruktur, ada hala tuju dan bermatlamat bagi memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera," katanya.

Mengenai penggantungan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Mohd Rafiq Naizamohideen, Tengku Adnan berkata tindakan itu diambil selepas siasatan menyeluruh dilakukan dan terdapat bahan bukti kukuh seperti cakera padat video (VCD) serta rakaman.

"Oleh itu, jika tidak berpuas hati (dengan parti), janganlah suarakannya kepada umum dan mencalar imej parti. Sebab itulah, kami mengambil tindakan terhadapnya. Sepatutnya, suarakan sebarang ketidakpuasan hati dalam parti," kata beliau.

Mohd Rafiq digantung sebagai anggota UMNO selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda UMNO turut digugurkan.

Beliau didakwa cuba mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Saturday, May 21, 2016

Bawa Kes Disiplin Muhyiddin, Mukhriz Tidak Langgar Perlembagaan Parti - Tengku Adnan


Keputusan merujuk kes disiplin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk tindakan adalah tidak melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin menulis surat kepadanya menyatakan ia 'kes berprofil tinggi' dan memulangkan semula kes tersebut kepada MT untuk tindakan lanjut.

"Sebagai setiausaha agung, saya hanya akan bawakan apa yang telah ditulis kepada saya oleh Lembaga Disiplin iaitu agar perkara ini dirujuk kepada Majlis Tertinggi supaya membuat keputusan.

"Oleh kerana Lembaga Disiplin sendiri tidak mahu mengambil keputusan atas alasan 'kes berprofil tinggi' ... tak kan kita nak diamkan. Jadi, sebagai setiausaha agung saya cuma boleh bawa kepada MT untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Semarak Komuniti 1Malaysia di Putrajaya semalam.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa keputusan membawa kes itu kepada MT Umno sebagai melanggar prosedur tatatertib dan perlembagaan parti.

Pada 19 Mei lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr AhmadZahid Hamidi enggan mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas parti itu menjatuhkan hukuman tanpa memberi surat tunjuk sebab kepadanya.

Ahmad Zahid sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung UMNO, untuk menjawab segala kritikan yang dilemparkan timbalan presiden digantung itu.

Sebelum ini,  Muhyiddin membidas Tengku Adnan susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.
Sehingga kini katanya, beliau tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada parti berhubung salah laku beliau dan tidak pernah dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin UMNO mengenai kesalahan yang dilakukannya.

Malah katanya, apa yang dilakukan Tengku Adnan itu jelas menunjukkan proses tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap beliau dibuat tanpa mengikut tatacara dan prosedur betul, sekaligus bercanggah peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan UMNO.

Tengku Adnan berkata Umno sebagai sebuah parti berstrukutur akan sentiasa memastikan tindakan yang diambil adalah mengikut aturan sedia ada, dan sebagai bekas timbalan presiden Umno, beliau yakin Muhyiddin faham dan tahu tindakan tersebut sama sekali tidak melanggar mana-mana peraturan.

Beliau berkata Perlembagaan Umno jelas menyatakan bahawa MT berhak untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Majlis Tertinggi, malah ia juga boleh membuat keputusan-keputusan selain daripada apa yang tertera dalam tataetika parti dan perlembagaan.

Ditanya apakah MT akan membuat keputusan mengenai kes Muhyiddin dan Mukhriz pada mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 27 Mei ini, beliau berkata tugasnya cuma membawa permintaan Lembaga Disiplin kepada MT, selebihnya terpulang kepada anggota mesyuarat. 

Mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pengundi tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak yang akan dijalankan serentak pada 18 Jun depan, Tengku Adnan berkata ia sesuatu yang tidak patut dilakukan.

"Kenapa perlu buat begitu ... saya hanya boleh minta beliau (Dr Mahathir) fikirkan apa yang hendak dicakapkan dan jangan membuat kenyataan hingga orang boleh putar belit dan manipulasikan situasi, yang akhirnya akan merugikan BN, parti yang pernah memberinya kuasa untuk mentadbir negara lebih 20 tahun," katanya.

Monday, May 16, 2016

Pecat Muhyiddin, Mukhriz - Kenapa Tengku Adnan Beria-ia?


Sebelum ini ada mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dipecat selepas pilihan raya negeri Sarawak.

Mungkin benar pendapat demikian kerana selalunya pengumuman pemecatan akan dilakukan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun kedatangan dua Pilihan Raya Kecil serentak di dua kawasan Parlimen – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – pada 18 Jun depan, mungkin hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

Tarikh penamaan calon ialah pada 5 Jun sementara pengundian awal pada 14 Jun. Ia diadakan semasa bulan puasa.

Sebelum ini calon  UMNO menang tipis dengan mendapati majoriti 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar pula majoriti hanya kira-kira 1,000 undi.

Pada ketika UMNO sedang bergelut dengan krisis kepimpinan ditambah dengan penolakkan peringkat akar umbi, tindakan pecat hanya akan mengundang bencana kepada parti.

Majoriti yang kecil dimenangi oleh UMNO sebelum ini, tidak cukup untuk menjamin UMNO menang dengan keadaan politik sekarang.

Apapun, semakin jelas bahawa ketiga-tiga pemimpin itu akan menerima padah kerana menentang dan mengkritik pucuk pimpinan khususnya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Muhyiddin disingkir daripada jawatan timbalan perdana menteri Julai lalu dan Mukhriz ditukar sebagai menteri besar pada awal tahun ini, dipercayai kerana kritikan mereka berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.



Namun persoalan timbul ialah, apakah yang  cuba ditunjukkan oleh Setiausaha Agong UMNO  yang memegang jawatan itu kerana dilantik (jawatan yang dilantik) sehingga bercakap mahu memecat  Muhyiddin dan Mukhriz?

Tengku Adnan sepatutnya sebagai pentadbir parti yang dilantik wajar menutup mulut dan biarkan mereka yang berjawatan melalui pemilihan menentukan kedudukan seseorang dalam parti, bukan oleh orang seperti beliau yang hanya dilantik.

Amat nyata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor seperti tidak sabar-sabar dan terlalu geram sehingga menegaskan bahawa dan sewajarnya dipecat daripada UMNO.

Tidak cukupkah dengan kenyataan Ahli Majlis Tertingi yang senior dalam parti – Datuk Seri Mohd Nazri Aziz - meminta Presiden bertindak ke atas tiga pemimpin UMNO itu?

Tengku Adnan bagai menyimpan dendam apabila mengatakan : "Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir patut dipecat daripada parti. “

“Pada saya, saya mahu pecat mereka. Jawatankuasa disiplin sudah pulangkan kembali kepada Majlis Tertinggi untuk diputuskan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

“Kertas siasatan telah diberikan kepada kita (MT) dan biarlah mereka yang tentukan,” katanya lagi.

Kenyataan Tengku Adnan itu sebetulnya tidak ‘manis’ daripada seseorang yang menduduki kerusi kerana dilantik. Lainlah kalau beliau bercakap dalam kapasitinya sebagai Ketua Bahagian UMNO Putrajaya.

Sebelum ini Nazri menegaskan tetap akan membawa usul supaya Muhyiddin, Mukhris dan Mohd Shafie dipecat dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) UMNO akan datang.

"Tetap (akan bawa usus pemecatan), saya hanya tunggu saja bila tarikh mesyuarat MT," katanya.

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu beliau sedang menunggu makluman mengenai tarikh mesyuarat berkenaan akan diadakan.

"Apabila saja saya diberitahu (tarikh mesyuarat MT), saya akan bawa usul untuk buang mereka (Muhyiddin, Mukhriz, Shafie)," katanya.

Apakah kenyataan Nazri ini tidak cukup buat Tengku Adnan? Atas faktor apa beliau begitu geram kepada Muhyiddin?

Muhyiddin sebelum ini tidak bagi sangat muka kepada beliau? Atau atas kepentingan peribadi apa Tengku Adnan sehingga sanggp menyatakan pendiriannya sebegini?

Ada pendapat mengatakan Mohd Shafie mempunyai harapan untuk terlepas berdasarkan kenyataan Tengku Adnan bahawa berdasarkan laporan yang diterima Ibu Pejabat UMNO, dia tidak bersama dengan pembangkang.

 Namun demikian, ketiga-tiga mereka, yang kini dikenali sebagai Team B Umno yang sering bergerak bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata anggota MT UMNO berhak menyuarakan pandangan dan mengemukakan usul pemecatan pemimpin parti itu.


Ab Rauf berkata pandangan berkenaan juga selaras dengan rasa hormat ahli-ahli MT terhadap institusi UMNO yang menerima pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejas reputasi parti berkenaan.

Monday, May 9, 2016

Ulang Tahun UMNO Disambut Secara Sederhana, Beberapa Acara Dibatalkan

Ulang Tahun UMNO ke-70 akan disambut pada Khamis ini dalam keadaan sederhana.

Sambutan yang sepatutnya diadakan pada Rabu (11 Mei) dipinda pada keesokan sebagai memberi laluan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Majlis Santapan Malam Sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata majlis bacaan Yassin dan tahlil yang dijadualkan pada 11 Mei dipinda ke tarikh berikutnya, 12 Mei, Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mengakui ia bukan masa yang sesuai untuk meneruskan acara tersebut, , sambutan akan membabitkan bacaan Yasin dan tahlil bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu serta perjuangan UMNO.
“Ia juga bagi mengingati mangsa nahas helikopter membabitkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon.
“Rasa sedih bukan hanya menyelubungi ahli keluarga mangsa tetapi juga ahli UMNO dan rakyat di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sambutan tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Katanya, tarikh tersebut dipinda berikutan UMNO menghormati Majlis Santapan Malam Raja-Raja di Istana Negara yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.

“Sambutan secara sederhana dibuat untuk mengenang jasa para pemimpin-pemimpin kita yang telah pergi dan juga kepada pemimpin kita yang telah terlibat dalam nahas helikopter baru-baru ini,” katanya.

Jelas beliau, ekoran insiden nahas helikopter yang berlaku di Sarawak, UMNO dengan persetujuan Presiden parti telah memutuskan supaya segala acara untuk sambutan besar-besaran ulang tahun parti dibatalkan.

Perancangan sebelum ini melibatkan larian UMNO di seluruh negara dan perhimpunan yang akan membabitkan lebih 300 ribu orang ahli UMNO pada 14 Mei di Dataran Merdeka termasuklah Karnival Sukan yang sedang berlangsung dengan peringkat akhirnya dijadualkan di Kuala Lumpur turut dibatalkan.

“UMNO buat keputusan untuk adakan sambutan Hari UMNO secara sederhana sahaja. Kita faham bahawa kita juga merasai kehilangan kawan-kawan kita yang ke Sarawak untuk membantu parti tetapi akhirnya terlibat dalam tragedi ini,” ujarnya lagi.
Katanya, Karnival Himpunan Hari UMNO bersempena ulang tahun ke-70 yang dijadualkan 14 Mei ini di Dataran Merdeka dibatalkan, termasuk Sukan UMNO dan Larian Bendera UMNO yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Keris 2314: Tanam Jati Diri Perjuangan Kepada Lebih 20,000 Anggota UMNO


Lebih 20,000 anggota UMNO telah menjalani latihan atau kursus 'KERIS 2314' sejak modul baharu melahirkan pelapis kepimpinan itu diperkenalkan pada November 2014, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata selain persediaan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), modul itu diperkenal bagi memberi latihan semula kepada anggota parti mengenai sejarah perjuangan UMNO sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946.

"Yang penting, kita hendak tanamkan semula nilai-nilai perjuangan di dalam jiwa pendokong parti khususnya dalam kalangan belia, yang kini berhadapan dengan cabaran berbeza berbanding waktu dahulu," katanya pada sidang media sempena Ulang Tahun Ke-70 UMNO di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini (9 Mei).

Modul latihan itu diumumkan oleh Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014, bagi menangkis onar pembangkang.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata bagi memastikan semangat perjuangan dan kesepaduan terus kukuh dalam kalangan anggota UMNO, parti itu akan melaksanakan fasa kedua latihan 'KERIS 2314' dengan fokus terarah kepada melahirkan pelatih.

"Kita menyasarkan untuk melatih 10,000 anggota UMNO yang mana mereka ini kemudiannya akan mengembangkan latihan dan modul yang dipelajari kepada anggota lain, umpamanya anggota yang baharu disahkan keanggotaannya," jelas beliau.

Tengku Adnan berkata anggota baharu UMNO perlu diberi pemahaman yang jelas mengenai Perlembagaan UMNO, memahami cogan kata dan lagu rasmi parti 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' yang diyakini mampu menjadi benteng dalam mengelak permasalahan seperti perbuatan menentang parti yang berlaku kini.

Untuk rekod, akronim KERIS membawa maksud Karisma, Ehsan, Rasional, Iltizam dan Setia manakala angka 23 dalam 'KERIS 2314' itu membawa maksud sasaran BN untuk menebus kembali jumlah kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat selepas gagal memperolehnya pada dua PRU sebelum ini.

Mengenai tanggapan bahawa angka 70 menunjukkan parti itu semakin tua dan boleh pupus, Tengku Adnan berkata UMNO melihatnya dari aspek positif iaitu panjang umur atau matang.

"Saya percaya lebih lama parti ini, lebih matang ia untuk bergerak membangunkan negara dan membantu rakyat," katanya.