Keputusan merujuk kes disiplin Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno dan
bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke Majlis Tertinggi (MT)
Umno untuk tindakan adalah tidak melanggar perlembagaan parti.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor berkata perkara itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin menulis surat
kepadanya menyatakan ia 'kes berprofil tinggi' dan memulangkan semula kes
tersebut kepada MT untuk tindakan lanjut.
"Sebagai setiausaha agung, saya hanya akan bawakan
apa yang telah ditulis kepada saya oleh Lembaga Disiplin iaitu agar perkara ini
dirujuk kepada Majlis Tertinggi supaya membuat keputusan.
"Oleh kerana Lembaga Disiplin sendiri tidak mahu mengambil
keputusan atas alasan 'kes berprofil tinggi' ... tak kan kita nak diamkan.
Jadi, sebagai setiausaha agung saya cuma boleh bawa kepada MT untuk tindakan
seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Semarak
Komuniti 1Malaysia di Putrajaya semalam.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan
berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa keputusan
membawa kes itu kepada MT Umno sebagai melanggar prosedur tatatertib dan
perlembagaan parti.
Pada 19 Mei lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr AhmadZahid Hamidi enggan mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas
parti itu menjatuhkan hukuman tanpa memberi surat tunjuk sebab kepadanya.
Ahmad Zahid sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada
Setiausaha Agung UMNO, untuk menjawab segala kritikan yang dilemparkan timbalan
presiden digantung itu.
Sebelum ini, Muhyiddin membidas Tengku Adnan susulan
tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.
Sehingga kini katanya, beliau tidak menerima sebarang
surat tunjuk sebab daripada parti berhubung salah laku beliau dan tidak pernah
dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin UMNO mengenai kesalahan yang dilakukannya.
Malah katanya, apa yang dilakukan Tengku Adnan itu jelas
menunjukkan proses tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap beliau dibuat
tanpa mengikut tatacara dan prosedur betul, sekaligus bercanggah peruntukan
Fasal 20.1 Perlembagaan UMNO.
Tengku Adnan berkata Umno sebagai sebuah parti
berstrukutur akan sentiasa memastikan tindakan yang diambil adalah mengikut
aturan sedia ada, dan sebagai bekas timbalan presiden Umno, beliau yakin
Muhyiddin faham dan tahu tindakan tersebut sama sekali tidak melanggar mana-mana
peraturan.
Beliau berkata Perlembagaan Umno jelas menyatakan bahawa
MT berhak untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Majlis Tertinggi, malah ia
juga boleh membuat keputusan-keputusan selain daripada apa yang tertera dalam
tataetika parti dan perlembagaan.
Ditanya apakah MT akan membuat keputusan mengenai kes
Muhyiddin dan Mukhriz pada mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 27 Mei ini,
beliau berkata tugasnya cuma membawa permintaan Lembaga Disiplin kepada MT,
selebihnya terpulang kepada anggota mesyuarat.
Mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad meminta pengundi tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan
raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak yang
akan dijalankan serentak pada 18 Jun depan, Tengku Adnan berkata ia sesuatu
yang tidak patut dilakukan.
No comments:
Post a Comment