Tuesday, September 19, 2017

Kembali Ke Pangkuan UMNO - Ramai Dah Loya Dengan UMNO, Najib...


Dengar berita daripada pemimpin UMNO, ramai lagi yang di luar parti itu akan kembali ke pangkuan UMNO.

Tetapi yang pasti UMNO bukan mahu menarik pemimpin yang tiada parti atau atas pagar untuk masuk UMNO. Ia lebih kepada 'kitar semula' atau 'surat khabar lama'.

Sudah terdesak nampaknya UMNO sekarang sehingga terpaksa merayu dan meminta pertolongan mereka yang sudah mahu melupakan parti berkenaan.

Jika mengikut Tan Sri Annuar Musa, akan  lebih ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan sertai UMNO.

Malah kata Ketua Penerangan UMNO itu, ada lagi lapan ahli politik lain di Selangor sepatutnya menyertai seorang bekas Menteri Besar, menyertai parti itu pada 17 September lalu.

Annuar ini bukan khalayak tidak tahu, memang selalu cakap besar. Orang UMNO pun mengakui sikap beliau itu.

Susulan kembalinya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ke parti itu maka kemasukan atau kembalinya bekas pemimpin UMNO akan diumumkan  secara berperingkat.

“Saya sahkan memang ada ahli PH yang akan menyertai Umno dan kembali kepada Umno, pengumuman itu kami akan lakukan secara berperingkat, kita tunggu sajalah,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Bersama Rakyat di Kolej Mara Banting semalam.

Tamrin - '...tiada lagi yang mahu kembali ke UMNO'
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media yang mengatakan terdapat 8 ahli politik lain dari Selangor sepatutnya menyertai Muhammad Taib ketika beliau diumumkan menyertai kembali Umno Ahad lalu.

Annuar menyifatkan  konflik dalaman antara parti komponen PH, tiada agenda membangunkan ekonomi rakyat dan negara dilihat menjadi punca ahli politik berkenaan berminat dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“PH ini bukan sebenarnya mahu membantu rakyat dan membangunkan negara, mereka hanya berebut kuasa dan membuat tohmahan dan fitnah semata-mata.

“…dan sekarang banyak tohmahan dan fitnah mereka ini terjawab dengan sendiri, isu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditangkap jika ke Amerika Syarikat ternyata tipu, isu 1MBD, wang derma daripada keluarga diraja Arab Saudi, semua itu sudah terjawab dan rakyat sendiri dapat melihat permainan kotor politik pembangkang ini,” katanya.

Ironinya pada ketika Annuar menyebut demikian, bekas pemimpin UMNO,  Tamrin Ghafar, menafikan desas-desus beliau akan kembali menyertai parti terbesar orang Melayu itu.

Annuar Musa
Malah, katanya, tiada orang yang mahu masuk UMNO sekarang, kata

"Tidak ada siapa yang nak masuk UMNO sekarang," katanya kepada The Malaysian Insight.

Tamrin menolak  khabar angin yang tersebar kononnya beliau antara bekas pemimpin parti yang akan pulang ke pangkuan UMNO  dan kemasukannya sepatutnya diumumkan dalam sidang media khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu.

Tamrin pernah jadi ahli Parlimen kawasan Batu Berendam selama dua penggal antara 1986 hingga 1995. Dalam tempoh itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat antara 1991 hingga 1993.

Beliau kemudian keluar Umno pada 2012 dan menyertai PAS sebagai ahli seumur hidup. Ketika itu, Tamrin berkata beliau Umno sudah terbabas dari landasan asalnya membela rakyat dan beliau sudah bersedia "mewakafkan masa dan batang tubuhnya" untuk perjuangan PAS.

Tamrin bagaimanapun keluar PAS dua tahun kemudian dan sejak itu tidak menyertai mana-mana parti politik. Tamrin yang pernah menyertai sekretariat Deklarasi Rakyat yang digerakkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebelum bekas perdana menteri itu menubuhkan Bersatu.

Tamrin kemudian menarik diri daripada sekretariat dan tidak menyertai Bersatu. Beliau enggan menyatakan alasannya berbuat begitu. 

Tamrin tidak tahu  mengenai khabar angin yang tersebar itu dan mungkin namanya dimasukkan dalam senarai itu oleh blogger UMNO.

Sidang media oleh Najib itu heboh sejak petang Sabtu malah ia sepatutnya lebih besar daripada hanya mengumumkan kemasukan semula Muhammad, sebaliknya adalah untuk mengisytiharkan penyertaan Muhammad serta keputusan lapan Adun Selangor dari PKR keluar parti, sekaligus mengulangi episod peralihan kuasa di Perak pada 2009.

Muhammad Taib pula keluar daripada UMNO pada 2013 untuk menyertai PAS dan kemudian meninggalkan PAS untuk menyertai PKR pada 2015.

Ada menanggap berita kemasukan semula bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu hanya gimik pilihan raya dan membuktikan bahawa tempoh pilihan raya umum ke-14 semakin hampir.

Kini Annuar perlu mengesahkan kata-katanya dan jika ‘surat khabar lama’ sahaja kembali ke UMNO, ia bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada parti itu tetapi akan semakin membuktikan UMNO kini sudah semakin ‘tepu’ dan tidak berdaya lagi menarik sokongan pemimpin baru.


Dengan kata lain, bukan sahaja UMNO ditolak oleh ‘orang baru’, orang lama bekas UMNO seperti Tamrin juga sudah ‘loya dengan UMNO’ pimpinan Najib.

No comments:

Post a Comment