Monday, August 29, 2016

Dr Ahmad Zahid Selar Muhyiddin Buat Dakwaan Berdasarkan Khabar Angin


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan tidak berasas berdasarkan khabar angin bahawa  Datuk Seri Najib Razak memiliki hampir RM1 bilion dalam akaun bank peribadinya.
 .
Dr Ahmad Zahid mahu Muhyiddin menunjukkan bukti berhubung dakwaannya mengenai Perdana Menteri memiliki hampir RM1 bilion dalam akaun bank peribadinya.

Muhyiddin kelmarin berkata  beliau hampir pengsan selepas melihat angka-angka dalam akaun bank peribadi Najib.

Dakwaan Muhyiddin dilihat menyokong laporan ABC Newsyang berpengkalan di Australia pada Mac yang meletakkan angka dalam akaun bank Najib berjumlah AS $ 1.051 bilion (RM4.2 bilion) berdasarkan penyata bank.

 “Minta dia berikan bukti jika dia ada. Dia menuduh perdana menteri kita, jadi dia mesti menunjukkan bukti.

“Jangan buat dakwaan berdasarkan khabar angin,” kata Dr Ahmad Zahid ketika diminta mengulas satu laporan Muhyiddin mendakwa hampir RM1 bilion sudah ada di dalam akaun bank peribadi perdana menteri malah sebelum kontroversi yang dilaporkan secara meluas mengenai RM2.6 bilion.

Dr Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat kerjasama keselamatan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan di Putrajaya hari ini.

Najib sebelum ini mendakwa AS$ 681 juta yang diterimanya pada Mac 2013 adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab selepas dihebahkan pada Julai tahun lepas.


Muhyiddin berkata beliau mendapat tahu mengenai deposit yang diterima sebelum 'derma Arab' itu apabila peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail berkongsi maklumat dengannya.

"Sah tuan-tuan. Saya tengok, waktu peguam negara itu ialah Gani Patail. dia tunjuk dengan saya, macam saya nak pengsan ada duit banyak itu dalam akaun Datuk Seri Najib.

"Tengok duit masuk akaun peribadi. Sebenarnya disebutkan peguam negara dahulu, sebelum dia juga nasibnya sama macam saya dipecat, dah ada hampir RM1 bilion dalam akuan Datuk Najib sebelum itu.

"Jadi semua yang disebutkan hampir RM4 bilion dalam akaun perdana menteri. Kamu percaya tak," soalnya dalam satu ceramah di Ketereh, Kelantan semalam.

Rakaman video ceramah itu dimuat naik di TV Gerakan Harapan Baru dan KiniTV.

Menurut laporan ABC, sebelum deposit RM2.6 bilion daripada Tanore Finance, Najib juga menerima AS$ 120 juta daripada Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd (BVI), AS$ 80 juta dari Kementerian Arab Saudi dan AS$ 75 juta daripada Putera Faisal bin Bandar Al Saud.


Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat juga menekankan beberapa deposit tidak disebut atau didedahkan dalam laporan ABC News, termasuk tambahan sebanyak AS $ 10 juta pada 23 Februari 2011 dan AS$ 10 juta pada 13 Jun 2011 dari Putera Turki Abdullah Al Saud yyang dirujuk sebagai "pengasas bersama PetroSaudi".

Tambahan AS$ 5 juta pada 30 Oktober 2012 dan AS$ 25 juta pada 19 November 2012 juga datang dari Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd (BVI), menurut DOJ.

Ini meletakkan jumlah keseluruhan sebelum deposit RM2.6 bilion pada AS$ 325 juta, atau di bawah RM1 bilion berdasarkan kadar pertukaran pada tahun 2011 dan 2012.

DOJ mendakwa deposit daripada Tanore Finance, Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd dan pengasas PetroSaudi berasal daripada 1MDB. DOJ banyak memberi fokus kepada jejak wang melalui sistem kewangan AS.

Najib menafikan salah laku dan berkata beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan perdana menteri daripada sebarang tuduhan salah laku.

Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas.


Muhyiddin mendakwa beliau dipecat selepas menentang isu kemasukan wang berkenaan ke akaun perdana menteri. Pemecatannya kebetulan sama dengan penyingkiran peguam negara waktu itu, Tan Sri Abdul Gani Patail.

No comments:

Post a Comment