Tuesday, October 10, 2017

UMNO Mungkin Bertanding Semua Kerusi DUN, Parlimen Kelantan


Bukan sesuatu yang pelik jika UMNO Kelantan mahu bertanding semua kerusi di negeri itu.
Ia memang berlaku sebelum ini.

Namun kini ada sosek-sosek bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan dibahagikan antara UMNO dan PAS. Namun, apakah itu akan berlaku?

Cuma yang aneh mengenai kenyataan hari ini, ia dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa. Ia bukan daripada Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kenapa Annuar pula yang menyebut perkara ini kalaupun diputuskan oleh UMNO Kelantan?

Apakah Annuar rasa masih mempunyai ‘hak untuk bersuara’ bagi pihak UMNO Kelantan?

Annuar hari ini mengumumkan UMNO Kelantan  mungkin akan bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Tidakkah kenyataannya itu menganggu tugas Mustapa yang sedang merancang untuk menggerakkan yang terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional Kelantan?

Malah Annuar turut menegaskan   UMNO akan meneruskan rancangan itu walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru.

Beliau memberitahu perkara itu dan pelbagai senario pilihan raya mungkin berbangkit dibincangkan di peringkat UMNO Kelantan dua  hari lepas.

“UMNO mungkin akan bertanding di semua kerusi di Kelantan. Setakat hari ini,” katanya ketika ditemui FMT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO sedia merampas kembali Kelantan daripada PAS berikutan kemungkinan berlakunya pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya akan datang.

Annuar berkata UMNO bagaimanapun terbuka untuk membincangkan pembahagian kerusi dengan PAS jika berlakunya kerjasama antara dua parti itu pada PRU akan datang.

Namun, Annuar menegaskan perkara itu hanya boleh berlaku jika dipersetujui Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

“PAS tidak dalam BN. Pembahagian kerusi terserah pada presiden (UMNO). UMNO telah beri mandat pada presiden, apa-apa tentang kerjasama akan diputuskan oleh presiden UMNO.

“Tetapi macam saya kata pintu perbincangan kita sudah serah pada presiden. UMNO parti cukup terbuka,” katanya.

Sebelum ini, PAS menyatakan kesediaan bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen negeri itu, selepas berpisah daripada pakatan pembangkang utama negara.

Dalam DUA  pilihan raya umum lepas, PAS dan PKR berkongsi kerusi di Kelantan atas nama Pakatan Rakyat. PAS menerajui kerajaan Kelantan sejak 1990.

Persoalan sekarang, sekiranya UMNO bertanding semua kerusi kalaupun berlaku tiga penjuru, apakah ini akan menggelapkan harapan UMNO untuk berkuasa?

Juka melalui keputusan ini, apakah PAS akan berkesaorangan dan dikatakan akan kalah dalam PRU14 ini.

Jadi siapa untung daripada kenyataan dan keputusan jika benar-benar berlaku seperti yang disebutkan oleh Annuar ini?


No comments:

Post a Comment