Monday, September 30, 2013

Pemilihan Umno Perlu Dilihat Bersih, Sihat - PM


Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemilihan Umno pada tahun ini perlu dilihat sebagai satu proses yang bersih dan sihat.

Beliau berkata pemilihan kali ini akan didasarkan kepada kewibaan calon untuk menyandang apa jua jawatan dalam Umno, sama ada di peringkat nasional ataupun di peringkat bahagian.

Najib, yang juga perdana menteri berkata Umno telah cuba memperkenalkan perlembagaan baharu yang memberi peluang demokrasi yang lebih terbuka dan lebih luas kepada anggota parti.

Dengan perlembagaan baharu ini, bilangan yang memilih mencecah kira-kira 150,000 orang, kata Najib kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York dari 22 September lepas hingga semalam.

"Dengan ini kita cuba untuk melihat keberkesanan sistem pemilihan yang baharu," kata beliau. Najib berkata setakat ini proses pemilihan Umno berjalan lancar. "Saya berharap bukan sahaja semua berjalan lancar tetapi (pemilihan kali ini) dilihat sebagai satu proses yang bersih.

"Ini bererti bahawa ahli-ahli Umno perlulah memainkan peranan supaya sistem pemilihan ini benar-benar membawa kepada transformasi yang diharapkan oleh parti kita," katanya.

Diminta mengulas cakap-cakap politik yang tersebar kononnya beliau merestui calon tertentu, Najib berkata walau apapun kenyataan beliau mengenai perkara itu, orang tetap akan mentafsirkannya mengikut tafsiran mereka masing-masing

 "Maka, saya fikir lebih baik saya katakan bahawa apa yang penting ialah para perwakilanlah yang akan menentukan barisan kepimpinan parti yang terbaik untuk memperkukuh dan memajukan parti. "Itulah yang saya harapkan akan berlaku pada pemilihan Umno kali ini," katanya.

Umno mula melaksanakan kaedah baharu dalam pemilihan parti Oktober tahun ini selepas membuat pindaan dalam perlembagaannya, yang melibatkan pindaan, penambahan dan pemansuhan beberapa fasal.

Mengikut perangkaan parti, seramai 146,500 perwakilan Umno dari 191 bahagian di seluruh negara akan memilih pada kali ini.

Sunday, September 22, 2013

Pemilihan UMNO - Jawatan Penyandang, Menteri Hanya Bonus


"Setiap calon perlu memperlihatkan kekuatan masing-masing jika mahu dilihat berkelayakan. Pemuda juga harus memainkan dua peranan berbeza dalam waktu yang sama iaitu mempertahan kedudukan Melayu dan menjadi benteng Barisan Nasional (BN)."
- Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian 

Kelebihan Khairy Jamaluddin sebagai penyandang dan menteri kabinet tidak bermakna jawatan Ketua Pemuda Umno tidak boleh disaingi calon lain.

Penganalisis politik berpendapat setiap calon pastinya mempunyai kelebihan masing-masing dan status Khairy sebagai penyandang jawatan nombor satu sayap parti itu dan Menteri Belia dan Sukan hanya dilihat sebagai bonus.

Mengulas lanjut apakah kelebihan yang dimiliki Khairy itu mampu melonjakkan sokongan perwakilan kepadanya untuk sepenggal lagi, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata yang penting setiap calon bertanding tidak menyempitkan pemikiran dengan sesuatu agenda sahaja.

"Setiap calon perlu memperlihatkan kekuatan masing-masing jika mahu dilihat berkelayakan. Pada saya, Pemuda juga harus memainkan dua peranan berbeza dalam waktu yang sama iaitu mempertahan kedudukan Melayu dan menjadi benteng Barisan Nasional (BN)," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata tidak kira siapa yang bakal dipilih perwakilan, agenda Umno untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu seperti termaktub di dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno perlu diperkasakan. "Inilah asas perjuangan Umno yang kini dilihat semakin tenggelam dan akhirnya menghampakan kebanyakan golongan Melayu.

Kita tengok isu-isu yang melibatkan kepentingan Melayu sendiri, siapa yang akan bangkit terlebih dahulu menegakkannya?

"Daripada segi pemerhatian saya, kebanyakannya digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mana perginya pemimpin-pemimpin Umno terutamanya Pemuda?" katanya.

Mengulas pemilihan Umno kali ini, Zainal Abidin berkata sistem pemilihan Umno kini lebih terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding.

"Namun mereka yang bertanding harus mempunyai tanggungjawab iaitu menegakkan semula agenda Umno seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti agar sesuai dengan keperluan masyarakat di zaman sekarang," katanya.

Pada pemilihan sayap 12 Okt ini, Khairy bakal berhadapan dengan empat individu lain yang menawarkan diri merebut jawatan itu.

Mereka ialah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok Abd Karim Ali serta Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar. Khairy, yang menyifatkan pertandingan lima penjuru selari dengan usaha mentransformasi Umno, berkata: "Semoga kita semua dapat bertanding dalam suasana rukun serta harmoni."



Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat melihat pertandingan lima penjuru melibatkan jawatan Ketua Pemuda itu satu perkembangan yang baik.

"Secara umumnya, ini satu perkembangan sihat untuk menonjolkan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding dan dapat ditonjolkan di peringkat Pemuda lagi.

"Memang pada pemilihan lepas, agak sukar untuk Khairy menang tetapi dia boleh menang dalam situasi kurang popular pada masa itu.

Kali ini dalam situasi yang popular dengan sumbangan yang banyak kepada Umno, kepercayaan Pemuda lebih tinggi kepada beliau," katanya.

Bernama

Friday, September 20, 2013

Najib, Muhyiddin Serah Borang Pencalonan Pertahan Jawatan

Borang pencalonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun mempertahan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini, diserahkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pukul 8 pagi ini.

Borang itu diserahkan Setiausaha Politik beliau Datuk Khairun Aseh yang hadir mewakili Najib di Bilik Labuan, tingkat 5, PWTC semasa proses penamaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pencadang kepada Perdana Menteri bagi jawatan itu manakala penyokongnya ialah Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengemukakan kertas pencalonannya untuk mempertahan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pukul 8 pagi.

Kertas pencalonan Muhyiddin diserahkan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Nardin Awang. Najib ialah pencadang kepada pencalonan Muhyiddin manakala penyokong ialah Tengku Adnan.

Najib memenangi kerusi presiden tanpa bertanding pada 26 Mac 2009 dan beliau cuba mempertahankannya bagi penggal kedua kali ini.

Najib dan Muhyiddin menghadiri perarakan rapat raksasa sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-80 tahun di Dataran Merdeka, pagi ini.

Dua hari lepas, Najib mengumumkan akan mempertahan jawatan itu berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi. Muhyiddin memenangi kerusi timbalan presiden parti apabila mengalahkan pencabar tunggalnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pada pemilihan Umno 2009.

Beliau cuba untuk mempertahan jawatan itu bagi penggal kedua kali ini.

Thursday, September 19, 2013

Mukhriz Mahathir Umum Bertanding Naib Presiden UMNO

"Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia; "Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO."
 - Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir 

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini (Khamis 19 September 2013) mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Mukhriz berkata beliau membuat keputusan itu setelah menerima banyak nasihat daripada setiap lapisan kepimpinan dan setelah memikirkan jawatan yang sesuai untuk beliau dipertanggungjawabkan.

"Saya telah tanyakan diri saya, apakah saya bersedia. Saya telah menimbangkan perkara ini dari setiap sudut.

"Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia; "Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO," katanya.

Beliau mengumumkan hasratnya itu pada majlis memperkenalkan calon-calon dari Kedah bagi pemilihan UMNO peringkat pusat, di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di Alor Setar.

Jawatan naib presiden UMNO kini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan).

Ketiga-tiga mereka telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin yang telah mengumumkan akan bertanding ialah Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata sebagai pemimpin negeri, beliau tidak dapat tidak perlu mendengar nasihat dan menerima desakan daripada pengikut.

"Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi. Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi satu harapan.

"Sebagai pemimpin, saya semestinya tidak boleh lari daripada perkara ini, yang juga merupakan tanggungjawab," katanya.

Dalam ucapannya, Mukhriz juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Najib Umum Pertahan Jawatan Presiden UMNO


Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan akan mempertahan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti 19 Okt ini.

Perdana menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi.

Katanya, berdasarkan makluman timbal balas yang diterima, badan-badan perhubungan UMNO negeri membuat ketetapan supaya beliau meneruskan kepimpinan sebagai presiden parti.

"Daripada suara yang diutarakan dalam persidangan cawangan UMNO, sebahagian besar daripada ahli mahukan supaya saya meneruskan kepimpinan sebagai presiden parti.

"Saya amat berterima kasih lagi terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan disuarakan oleh ahli UMNO di semua peringkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Middle Temple 2013 di ibu Negara.

Najib berkata dengan perasaan rendah diri, beliau menerima sokongan itu, dengan menawarkan diri bertanding mempertahan jawatan sebagai presiden parti.

Pemilihan anggota Majlis Tertinggi, pemimpin bahagian dan wakil peringkat bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang dijadual pada Disember akan diadakan serentak pada persidangan perwakilan bahagian 19 Okt ini.

Pendaftaran calon yang ingin bertanding bagi semua jawatan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan ketiga-tiga sayap parti pula akan diadakan Sabtu ini di Ibu Pejabat UMNO.

Mengenai pandangannya jika jawatan presiden parti dicabar mana-mana pihak, Najib berkata: "Tunggu hari Sabtu baru kita tahu kedudukan."

Beliau juga memberi jawapan yang sama apabila ditanya mengenai kemungkinan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir merebut jawatan naib presiden.

Ditanya sama ada beliau dan Muhkriz telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu, perdana menteri secara berseloroh berkata: "Saya memang bertemu dengan ramai orang."

Wednesday, September 18, 2013

Saya Boleh Jadi Naib Presiden Yang Baik - Ali Rustam

"Apabila Umno diserang, tidak ramai yang mara ke hadapan untuk mempertahankan kita. Keadaan ini tidak seperti sebelum ini apabila semangat untuk mempertahankan parti itu datang secara semula jadi di kalangan ahli dan pemimpinnya...Ahli-ahli Umno mesti berani untuk mempertahankan hak mereka." 
- Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Datuk Seri Mohd Ali Rustam percaya beliau memiliki kriteria untuk menjadi seorang Naib Presiden Umno yang baik.

Mengisytiharkan bahawa beliau adalah individu yang paling layak untuk menangkis serangan pihak yang mempersoalkan hak Umno untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata bahawa janji berkenaan merupakan tawaran jika dipilih ke kedudukan tersebut. 

Menurutnya, setelah tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, ia akan memudahkannya untuk menjalankan tanggungjawab mempertahankan kepentingan bangsa dan agama.

"Apabila Umno diserang, tidak ramai yang mara ke hadapan untuk mempertahankan kita. Keadaan ini tidak seperti sebelum ini apabila semangat untuk mempertahankan parti itu datang secara semula jadi di kalangan ahli dan pemimpinnya.

"Kita perlu untuk membawa kembali semangat ini. Ahli-ahli Umno mesti berani untuk mempertahankan hak mereka.

Jika saya dipilih sebagai Naib Presiden , ini adalah apa yang saya mahu lakukan kerana orang Melayu hanya boleh bergantung kepada Umno untuk menjaga kepentingan mereka. Bukan PKR atau PAS, "katanya.

Ali Rustam berkata semangat perjuangan di kalangan ahli parti agak lemah berikutan serangan berterusan oleh pembangkang dan NGO tertentu berasaskan perkauman.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu menghukum Umno sebagai sebuah parti perkauman hanya kerana ia telah bersedia untuk mempertahankan kepentingan Melayu.

Ahli politik berusia 64 tahun itu pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Kesihatan sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1999.

Selepas 14 tahun menerajui negeri ini, Ali bertanding di kerusi Parlimen Bukit Katil pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, tetapi tewas.

Beliau bertanding dan memenangi kerusi dalam Majlis Tertinggi Umno pada tahun 2000 dan kemudian memenangi jawatan naib presiden pada tahun 2004.

Pada 2009 , Ali menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden tetapi dihalang selepas beliau didapati telah melanggar peraturan pilihan raya parti. Print this story

Calon Tidak Perlu Dapat Ihsan Presiden UMNO - Rais


"Jika seseorang nak bertanding sama ada jawatan naib presiden, hatta presiden sekalipun, janganlah terus diberikan markah salah kepadanya... kerana itu amalan demokrasi dan jika berlaku tiada makna pindaan perlembagaan yang dibuat sebelum ini,"
 - Tan Sri Dr Rais Yatim

Anggota Umno yang ingin bertanding jawatan penting dalam pemilihan parti peringkat pusat tidak perlu mendapat pandangan atau ihsan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, kata anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata jika berlaku, keadaan itu akan memberi makna yang tidak baik kepada pembaharuan yang sedang dibuat dan amalan demokrasi yang diamalkan Umno sekian lama.

"Saya tak fikir begitu, jika tidak, pembaharuan yang dibuat tidak akan berkesan dalam maksud mewujudkan peluang, hak dan skop untuk membawa pembaharuan kepada Umno seperti yang dimahukan Presiden parti.

"Jika itu dibuat, maka demokrasi tidak lagi membawa erti besar kepada Umno, sedangkan yang perlu adalah mereka yang ingin turut serta bertanding demi memperjuangkan bangsa, agama dan negara," katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan "Law and Society, Commercial Laws and Islamic Finance" di Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) Gombak, dekat Kuala Lumur, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa calon yang berminat untuk bertanding jawatan ketiga tertinggi parti perlu meminta pandangan Najib terlebih dahulu.

Rais, yang juga Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan berkata anggota Umno tanpa mengira jawatan perlu bersikap terbuka dalam setiap perkara, khususnya menjelang pemilihan parti Oktober ini, selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang telah dipersetujui bersama.

"Maknanya, jika seseorang nak bertanding sama ada jawatan naib presiden, hatta presiden sekalipun, janganlah terus diberikan markah salah kepadanya... kerana itu amalan demokrasi dan jika berlaku tiada makna pindaan perlembagaan yang dibuat sebelum ini," katanya.

Berhubung dakwaan sesetengah pihak kononnya Umno tersasar dari hasratnya untuk meremajakan parti berikutan calon yang menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden terdiri dari kalangan mereka yang berusia, Rais berkata ia sebenarnya tidak merujuk kepada usia seseorang.

"Perkataan yang digunakan Presiden bukannya lebih muda usia tetapi meremajakan Umno, maknanya sesiapa yang berada di dalamnya perlu mampu meremajakan parti melalui idea baru, cadangan kontemporari yang baharu, bukannya terarah kepada usia seseorang," katanya.

Selain Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang disebut-sebut akan bertanding jawatan itu, dua lagi calon yang mengesahkan hasrat merebut jawatan naib presiden adalah Pengerusi Risda Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Jawatan Naib Presiden Umno kini disandang Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan).

48,000 Anggota Puteri Umno Tentukan Barisan Pergerakan Sayap Bulan Depan

Kira-kira 48,000 anggota Puteri Umno akan memilih barisan kepimpinan sayap itu di peringkat pusat dan bahagian seluruh negara bulan depan, kata Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Proses penamaan calon untuk kedua-dua peringkat itu diadakan Sabtu ini manakala pengundian 12 Oktober.

Rosnah berkata 11,793 perwakilan Puteri Umno pula akan mengundi dan menentukan barisan tertinggi parti termasuk presiden, timbalan presiden serta anggota Majlis Tertinggi (MT) pada pengundian 19 Oktober. 

Ditanya tentang kekeliruan yang timbul dalam kalangan anggota mengenai sistem dan kaedah pemilihan kali ini, Rosnah berkata pihaknya telah mengadakan penerangan di setiap 6,700 cawangan Puteri Umno bagi menjelaskan segala kekeliruan.

"Ini pertama kali diadakan...kita tak nafikan ada yang tak jelas, malah ada cawangan yang mengadu mengenai masalah itu maka sebab itu kita adakan proses taklimat," katanya.

Bagi memudahkan pihak media, Rosnah berkata pergerakan Puteri Umno akan menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat pusat yang bertanggungjawab mengeluarkan sebarang maklumat mengenai jumlah calon yang bertanding merebut sesuatu jawatan selain keputusan pemilihan.

Sunday, September 15, 2013

Pemilihan Umno - Menteri Besar, Ketua Menteri Tidak Wajar Rebut Kerusi MT?

"Bagi mereka yang bukan anggota MT dan anggota yang dilantik, kehadiran dalam mesyuarat MT adalah atas 'turut hadir'...sebagai turut hadir, mereka tidak boleh bercakap melainkan dengan izin presiden dan tidak boleh mengundi."
- Datuk Seri Mohamad Hasan 

Semakin dekat tarikh pemilihan Umno, semakin banyak pandangan dan pendapat yang dilontarkan pelbagai pihak, kononnya atas nama memastikan usaha 'transformasi' parti Melayu itu menjadi.

Antara saranan yang dikemukakan ialah supaya menteri besar dan ketua menteri tidak bertanding merebut kerusi anggota Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti Oktober ini bagi memberi ruang kepada lebih ramai calon mengisi kerusi pentadbiran parti itu.


Ada pemerhati politik bersetuju dengan saranan itu atas dasar ruang dan peluang lebih afdal diberikan kepada anggota lain untuk berkhidmat dalam parti.

Namun ada pula yang berpendapat, tidak perlu menyekat mana-mana pihak untuk bertanding, selari dengan semangat demokrasi yang cuba diterapkan Umno pada pemilihan kali ini, yang memberi peluang sama rata kepada anggota parti untuk bertanding mana-mana jawatan, selagi mereka memenuhi syarat yang cukup minimum.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata ruang kepada pemimpin baharu patut diberikan supaya parti mempunyai barisan pelapis.

"Bagi saya menteri besar atau ketua menteri dan pemimpin yang telah lama memegang jawatan, saya cadangkan tak payah tawar diri, biarlah muka baharu... kerana kita perlu muka baharu, bukan nak tolak, tapi yang dah lama sangat tu tak payah la, bantu presiden transform parti," katanya ketika dihubungi.

Berbeza dengan tanggapan banyak pihak, menteri besar dan ketua menteri sebenarnya tidak dilantik secara automatik sebagai anggota MT, sebaliknya perlu bertanding jika mahu bersuara dalam majlis itu. 

Menjelaskan kedudukan menteri besar dan ketua menteri dalam MT, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka tidak secara automatik menjadi anggota MT.

Bercakap kepada sebuah portal berita baru-baru ini, Mohamad dipetik berkata bagi mereka yang bukan anggota MT dan anggota yang dilantik, kehadiran dalam mesyuarat MT adalah atas 'turut hadir'.

Katanya sebagai turut hadir, beliau tidak boleh bercakap melainkan dengan izin presiden dan tidak boleh mengundi.

 Menteri besar yang kini 'turut hadir' dalam MT ialah Mohamad, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perlis Azlan Man.


Setakat ini hanya Mohamad dan Azlan yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan MT, manakala Mohamed Khaled, Zambry, Ahmad Said,  Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Amandan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob memutuskan untuk tidak bertanding.

Musa dalam kenyataan, di Kota Kinabalu,  berkata: "Selepas mempertimbangkan sedalam-dalamnya selain berbincang dengan rakan-rakan dalam parti termasuk exco Umno Sabah, saya memutuskan untuk tidak bertanding bagi kedua-dua jawatan itu."

Musa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah berkata masih ada terlalu banyak perkara yang harus dilakukannya untuk membangunkan Sabah dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri itu.

Dua  lagi masih bermain teka-teki ialah Mukhriz serta Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.


Yang nyata Musa yang dikatakan akan bertanding merebut kerusi Naib Presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan berbuat demikian.

'Otai' Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad menuntut sikap terbuka dalam soal ini dengan berpendapat semua pihak perlu diberi peluang sama rata untuk bertanding apa-apa jawatan asalkan mereka yakin layak untuk menerajui parti.

"Tidak ada masalah...terpulang kepada masing-masing kerana sekarang siapa pun boleh tawarkan diri untuk bertanding.

"Takkan kerana nak beri ruang kepada golongan yang lebih muda untuk menang, harus ada sekatan untuk orang lain bertanding. Sebaliknya kalau anak muda itu rasa mereka ada kelayakan, mereka boleh bertanding bukan sahaja di peringkat MT tetapi banyak peringkat lain," kata Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Baharu.

Pensyarah Politik Universiti Malaya Dr Sulastry Ahmad pula berpendapat saranan itu ada pro dan kontranya mengambil kira budaya dalam Umno. Katanya eloknya cadangan itu kerana ia akan memberi laluan kepada muka baharu, khususnya golongan muda untuk berada dalam MT.

Bagaimanapun jika sekatan itu dibuat, dikhuatiri akan timbul perpecahan dan kemarahan anggota di peringkat akar umbi yang lazimnya pasti mahu pemimpin negeri mereka terpilih dalam MT.

"Kecuali menteri besar dan ketua menteri itu sendiri berpendirian untuk tidak bertanding, mungkin itu satu demonstrasi bahawa Umno benar-benar bersedia berubah.

Tetapi dalam MT perlu ada variasi," tegasnya. Dr Sulastry bagaimanapun tidak menolak kemungkinan saranan itu ditimbulkan dengan tujuan menyekat menteri besar atau ketua menteri tertentu untuk bertanding di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

Sumber - Bernama

Tempoh Mesyuarat Umno Cawangan Berakhir Tengah Malam Semalam

Mesyuarat Cawangan UMNO Kampung Fikri Atas (KFA) dan Kampung Fikri Bawah (KFB) mengadakan mesyuarat cawangan serentak masing-masing, 13 September lalu.


Hampir kesemua cawangan Umno yang layak bermesyuarat dijangka selesai berbuat demikian tengah malam semalam selepas tempoh dua bulan yang diperuntukkan tamat.

Umno sebelum ini memperuntukkan mesyuarat cawangan diadakan dari 15 Julai hingga 31 Ogos lepas, namun melanjutkannya sehingga tengah malam 15 September susulan permintaan daripada anggota selepas mempertimbangkan sambutan Aidilfitri dan ulang tahun kemerdekaan negara.


Jurucakap Umno memberitahu Bernama di Kuala Lumpur, maklumat mengenai jumlah sebenar cawangan yang mengadakan mesyuarat akan diketahui Selasa ini. Umno mempunyai 20,080 cawangan namun tidak semua layak bermesyuarat atas beberapa faktor termasuk ada yang


Di KUALA TERENGGANU, hanya empat lagi daripada 1,027 cawangan di Terengganu belum mengadakan mesyuarat mereka kelmarin, namun tiga daripadanya dilaporkan bermesyuarat malam semalam.



Pengerusi Jawatankuasa Mesyuarat Pemilihan Umno Negeri Terengganu Datuk Muda Mamat berkata hanya Cawangan Umno Gong Datuk menghadapi masalah dan digantung daripada mengadakan mesyuarat agung.



Saturday, September 14, 2013

Hari Ini Bermula UMNO Tidak Akan Buka Peluang Kepada Pemimpin Tidak Berintegriti!

"Calon yang menawarkan diri bertanding harus ada ciri-ciri penting sebagai pemimpin termasuk amanah, berintegriti dan sentiasa mendahulukan masyarakat...Calon yang sudah lapuk atau pernah terpalit dengan masalah tak payah lah calonkan diri kerana hanya akan menyulitkan perwakilan untuk membuat pilihan."
- Prof Datuk Abdul Halim Sidek 

Hari ini bermulalah persaingan untuk mengisi jawatan dalam Umno apabila borang pendaftaran calon diedarkan.

Bagi calon yang berminat untuk bertanding di peringkat jawatankuasa bahagian dan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian, borang pendaftaran boleh diambil di pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Calon yang ingin bertanding bagi semua jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) dan jawatan di peringkat Exco Pergerakan Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia, perlu mendapatkan borang pendaftaran calon di Ibu Pejabat Umno bermula tarikh dan masa sama.

Kesemua calon diberi masa seminggu untuk memikirkan jawatan sesuai dan mahu ditandingi sebelum menyerahkan kembali borang pendaftaran masing-masing pada 21 September sebelum jam 5 petang. 


Menurut Aturan Kaedah Pemilihan dan Borang Pendaftaran yang dikeluarkan Umno, calon perlu memastikan borang dihantar lengkap dengan nama wakil calon serta mendapat pengesahan kelayakan bertanding daripada bahagian.

Borang pendaftaran calon yang dikembalikan akan dinilai jawatankuasa penilaian sebelum membuat saringan ketat termasuk memastikan calon bebas daripada kebankrapan, sebelum layak untuk persaingan muktamad pada Oktober depan.

Berdasar kepada sistem pemilihan baharu Umno, yang pertama kali dilaksanakan tahun ini, peluang terbuka luas kepada mana-mana anggota Umno untuk bertanding asalkan memenuhi kelayakan minimum, iaitu sekurang-kurangnya menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun layak bertanding di peringkat bahagian.

Bagi jawatan peringkat pusat sama ada Anggota Majlis Tertinggi (MT), Naib Presiden, Timbalan Presiden waima Presiden sekalipun, kelayakan minimum adalah menjadi anggota jawatankuasa (AJK) bahagian selama sepenggal.

Sebelum pindaan perlembagaan parti pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno.

Pemilihan Umno kali ini disifatkan sangat penting dan mempunyai signifikan yang cukup besar dengan kelangsungan parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang menjadi pemerintah negara.

Apa yang pasti, bermula semalam, 'mata-mata' peminat politik tanah air akan tertumpu kepada langkah setiap anggota Umno, baik yang memanjat tangga pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri mahupun Menara Datuk Onn, untuk menilai sama ada 'baju yang ditempah' menepati ukuran badan sendiri atau sebaliknya.

Ini kerana pemilihan Umno kali ini disifatkan sangat penting dan mempunyai signifikan yang cukup besar dengan kelangsungan parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah negara.

Mengulas aspek itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara Prof Datuk Abdul Halim Sidek menegaskan atas faktor kelangsungan parti, calon yang mahu menawarkan diri bertanding perlu 'tahu diri' manakala para perwakilan pula perlu bijak menilai.

Beliau berkata calon yang menawarkan diri bertanding harus ada ciri-ciri penting sebagai pemimpin termasuk amanah, berintegriti dan sentiasa mendahulukan masyarakat.

"Calon yang sudah lapuk atau pernah terpalit dengan masalah tak payah lah calonkan diri kerana hanya akan menyulitkan perwakilan untuk membuat pilihan.

"Pada masa sama, perwakilan perlu bijak menilai...saya yakin jika perwakilan mengundi calon yang mempunyai ciri-ciri itu, mereka akan mendapat calon terbaik untuk seterusnya menerajui parti keramat itu," katanya.

 Harapan lebih tinggi adalah untuk menyaksikan calon bertanding secara adil tanpa adanya elemen politik wang dan menggunakan kedudukan untuk meraih undi, yang disifatkan penganalisis Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu sebagai 'taktik lapuk'.

Katanya signal jelas yang perlu dihantar kepada umum pada pemilihan Umno kali ini ialah Umno tidak akan lagi membuka ruang kepada pemimpin tidak berintegriti.

"Mesej yang juga perlu dihantar ialah perlu ada 'expiry date' bagi pemimpin sebab kalau yang 'sudah lapuk' itu terus dipilih, bilakah pemimpin-pemimpin baru berpeluang untuk memberi sumbangan mereka kepada parti?," katanya.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (kiri) pula mengulangi nasihatnya bahawa pemilihan parti bukanlah satu acara pesta untuk berseronok, sebaliknya satu tanggungjawab kepada parti.

"Saya minta mereka yang akan mengambil borang esok yang akan menawarkan diri untuk bertanding untuk tanya diri sendiri, apa kita akan transform supaya Umno ini terus relevan.

Kita kena berfikir di luar kotak, kita tak boleh fikir dalam kepompong kita. Jadi pada mereka yang nak ambil borang jangan seronok setakat nak bertanding sahaja," katanya.

Syed Ali yang mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat, turut menggalakkan agar ruang kepada pemimpin muda dibuka seluas-luasnya, sesuai dengan aspirasi Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meremajakan Umno.

Friday, September 13, 2013

Shahrizat Mungkin Menang Mudah Namun Tetap Tergugat


"Bukan untuk menyebabkan perpecahan parti...Bagaimana saya hendak sebabkan perpecahan jika saya sendiri tidak punya penyokong. Jika saya ada pun, saya akan beritahu mereka jangan benci Shahrizat kerana ALLAH telah beri dia peluang untuk memimpin lagi."
- Raihan Suleiman

Selepas penarikan diri bekas Ketua Puteri Umno dalam merebut jawatan Ketua Wanita sayap parti itu, semalam AJK Umno Kulim Bandar Baharu, Raihan Suleiman menyuarakan hasrat untuk mencabar penyandangnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau yang dipetik oleh sebuah portal berita berkata, perkara itu disuarakan ekoran ingin membawa perubahan dalam parti itu.

Katanya, perubahan yang ingin dilakukan itu memerlukan dirinya sendiri sebagai pemimpin. "Saya perlu tunjuk kepada masyarakat saya mampu lakukannya.


"Saya juga akan memfailkan kertas pencalonan pada 21 September ini," jelasnya. Raihan yang juga ahli Umno seumur hidup itu menegaskan, keputusan yang dilakukannya bukan untuk menyebabkan perpecahan parti.

"Bagaimana saya hendak sebabkan perpecahan jika saya sendiri tidak punya penyokong. Jika saya ada pun, saya akan beritahu mereka jangan benci Shahrizat kerana ALLAH telah beri dia peluang untuk memimpin lagi," katanya lagi.

Pemilihan Umno akan berlangsung pada 19 Oktober depan yang menyaksikan ramai menawarkan diri untuk bertanding dalam setiap jawatan dalam sayap-sayap parti.

Hasrat Raihan mungkin sukar kerana Wanita Umno di lapan negeri telah menyatakan sokongan terhadap ketua pergerakan itu Shahrizat yang akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Oktober depan.

Terengganu, Melaka, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Perak menyatakan sokongan itu ketika beliau melawat negeri-negeri berkenaan.

"Saya hargai dan saya mengambil berat amanah yang diberikan kepada saya," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Wanita Umno Perak baru-baru ini.

Katanya jika diberi peluang untuk terus menerajui pergerakan itu, beliau akan memberi fokus terhadap peranan wanita dalam politik.


"Saya tidak berpuashati dengan pencapaian Wanita dalam politik. Ini akan menjadi obor perjuangan saya jika saya dipilih untuk mengemudi pergerakan Wanita Umno," katanya.

Pertandingan jawatan Ketua Wanita setakat ini membabitkan Shahrizat dan Raihan selepas bekas ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said, menarik diri.

Penamaan calon bagi jawatan Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno diadakan serentak pada 21 Sept manakala tarikh pemilihan 12 Oktober.

Selepas mengetahui beliau akan tetap dicabar, Ketua Pergerakan Wanita Umno itu, berkata beliau tidak mempunyai halangan bagi sesiapapun yang ingin mencabarnya pada pemilihan Umno bulan depan. Beliau berkata menerusi perlembagaan parti yang sudah dipinda, pemilihan terbuka kepada mana-mana anggota Umno yang ingin bertanding.

"Terpulanglah sesiapapun hendak bertanding. Mengikut perlembagaan kita tidak ada halangan siapapun nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perasmian bangunan baru Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Kuala Lumpur, semalam.

Shahrizat mengulas keputusan anggota Jawatankuasa Umno Kulim Bandar Baru, Raihan Suleiman Palestin yang ingin mencabar beliau pada pemilihan parti nanti.

Dalam laman Facebooknya, Raihan, 47, berkata niatnya ialah untuk menjadikan pergerakan Wanita Umno mantap seiring dengan agenda parti serta memperkasakan sayap paling kuat dalam parti itu.