Showing posts with label Azalina. Show all posts
Showing posts with label Azalina. Show all posts

Saturday, June 4, 2016

RUU Persendirian Dibentang Atas Arahan PM, TPM - Azalina


Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dibentangkan Presiden PAS di Dewan Rakyat minggu lalu dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri AzalinaOthman Said berkata, beliau menerima arahan itu selepas melaporkan maklumat yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak membantah untuk usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibahaskan.

Katanya, maklumat bertulis 'tiada bantahan' itu telah disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Dalam tugas saya sebagai menteri menjaga urusan parlimen, saya bertanggungjawab kepada pemimpin majoriti, iaitu perdana menteri dan ketua whip, iaitu timbalan perdana menteri.

"Justeru arahan untuk membawa ke depan (usul RUU Persendirian) dari nombor 15 ke nombor satu sudah pasti daripada pemimpin majoriti dan ketua whip kerana itulah prosedur yang diperlukan di parlimen," katanya selepas majlis penutup Kayuhan Cinta Malaysia Ambang Ramadan di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, di Sungai Besar, hari ini.

Azalina berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau memperoleh kelulusan Kabinet atas tindakannya mempercepatkan pembentangan RUU Persendirian itu pada hari terakhir sidang parlimen 26 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang ini berkata, terdapat perbezaan di antara kandungan usul dan tugasnya sebagai menteri yang menyelia peraturan dan menguruskan prosedur.

Tambahnya, Jamil Khir adalah individu yang bertanggungjawab terhadap kandungan usul dan memberi kebenaran untuk usul itu dibahaskan.

"Tugas saya tiada kaitan dengan kandungan usul itu. Saya menyelia peraturan, jadi saya hanya menguruskan prosedur kerana usul itu berada di nombor 15 dan perlu dibawa ke nombor satu di antara usul lain kerajaan.

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 14 seorang anggota Kabinet atau menteri mesti mendapatkan kebenaran Speaker. Saya hanya bertanggungjawab dalam isu teknikal, bukan kandungan usul itu," katanya.

Tambahnya lagi, adalah kurang matang jika isu ini diberi fokus dalam PRK kali ini kerana ia baharu di peringkat pembentangan usul.

"Kalau nak lihat pada isu nasional seperti di Parlimen baru-baru ini, ia agak kurang matang kerana pembentangan yang dibawa Ahli Parlimen Marang baru di peringkat usul, belum pun dibahas atau diundi.


"Oleh itu, carilah kesinambungan pengganti wakil rakyat BN dengan isu-isu tempatan khususnya bantuan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

Friday, September 13, 2013

Shahrizat Mungkin Menang Mudah Namun Tetap Tergugat


"Bukan untuk menyebabkan perpecahan parti...Bagaimana saya hendak sebabkan perpecahan jika saya sendiri tidak punya penyokong. Jika saya ada pun, saya akan beritahu mereka jangan benci Shahrizat kerana ALLAH telah beri dia peluang untuk memimpin lagi."
- Raihan Suleiman

Selepas penarikan diri bekas Ketua Puteri Umno dalam merebut jawatan Ketua Wanita sayap parti itu, semalam AJK Umno Kulim Bandar Baharu, Raihan Suleiman menyuarakan hasrat untuk mencabar penyandangnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau yang dipetik oleh sebuah portal berita berkata, perkara itu disuarakan ekoran ingin membawa perubahan dalam parti itu.

Katanya, perubahan yang ingin dilakukan itu memerlukan dirinya sendiri sebagai pemimpin. "Saya perlu tunjuk kepada masyarakat saya mampu lakukannya.


"Saya juga akan memfailkan kertas pencalonan pada 21 September ini," jelasnya. Raihan yang juga ahli Umno seumur hidup itu menegaskan, keputusan yang dilakukannya bukan untuk menyebabkan perpecahan parti.

"Bagaimana saya hendak sebabkan perpecahan jika saya sendiri tidak punya penyokong. Jika saya ada pun, saya akan beritahu mereka jangan benci Shahrizat kerana ALLAH telah beri dia peluang untuk memimpin lagi," katanya lagi.

Pemilihan Umno akan berlangsung pada 19 Oktober depan yang menyaksikan ramai menawarkan diri untuk bertanding dalam setiap jawatan dalam sayap-sayap parti.

Hasrat Raihan mungkin sukar kerana Wanita Umno di lapan negeri telah menyatakan sokongan terhadap ketua pergerakan itu Shahrizat yang akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Oktober depan.

Terengganu, Melaka, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Perak menyatakan sokongan itu ketika beliau melawat negeri-negeri berkenaan.

"Saya hargai dan saya mengambil berat amanah yang diberikan kepada saya," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Wanita Umno Perak baru-baru ini.

Katanya jika diberi peluang untuk terus menerajui pergerakan itu, beliau akan memberi fokus terhadap peranan wanita dalam politik.


"Saya tidak berpuashati dengan pencapaian Wanita dalam politik. Ini akan menjadi obor perjuangan saya jika saya dipilih untuk mengemudi pergerakan Wanita Umno," katanya.

Pertandingan jawatan Ketua Wanita setakat ini membabitkan Shahrizat dan Raihan selepas bekas ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said, menarik diri.

Penamaan calon bagi jawatan Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno diadakan serentak pada 21 Sept manakala tarikh pemilihan 12 Oktober.

Selepas mengetahui beliau akan tetap dicabar, Ketua Pergerakan Wanita Umno itu, berkata beliau tidak mempunyai halangan bagi sesiapapun yang ingin mencabarnya pada pemilihan Umno bulan depan. Beliau berkata menerusi perlembagaan parti yang sudah dipinda, pemilihan terbuka kepada mana-mana anggota Umno yang ingin bertanding.

"Terpulanglah sesiapapun hendak bertanding. Mengikut perlembagaan kita tidak ada halangan siapapun nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perasmian bangunan baru Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Kuala Lumpur, semalam.

Shahrizat mengulas keputusan anggota Jawatankuasa Umno Kulim Bandar Baru, Raihan Suleiman Palestin yang ingin mencabar beliau pada pemilihan parti nanti.

Dalam laman Facebooknya, Raihan, 47, berkata niatnya ialah untuk menjadikan pergerakan Wanita Umno mantap seiring dengan agenda parti serta memperkasakan sayap paling kuat dalam parti itu.