Showing posts with label Pemilihan. Show all posts
Showing posts with label Pemilihan. Show all posts

Friday, October 11, 2013

KJ & Shahrizat Hampir Pasti Menang, Tapi Sejauh Manakah Undi Bakal Diperolehi...


Hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu apabila lebih 200,000 perwakilan yang mewakili tiga sayap Umno iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di seluruh negara (kecuali Sarawak) mengundi untuk memilih pemimpin mereka untuk penggal baru.

Inilah buat pertama kali dalam sejarah parti itu, keputusan untuk memilih pucuk pimpinan parti tidak lagi ditentukan oleh hanya sekadar kurang dari seribu perwakilan ke Persidangan Agung Tahunan di Kuala Lumpur.

Sebaliknya kuasa itu diserahkan kepada jumlah yang lebih besar di peringkat cawangan dan bahagian dari seluruh negara. Barisan kepimpinan baru yang akan dipilih nanti ini akan memegang kuasa di peringkat bahagian dan juga nasional selama tiga tahun.

Mata sudah pastinya akan terus tertumpu kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil - kedua-duanya adalah penyandang jawatan Pemuda dan Wanita Umno.


Walaupun kedua-duanya tidak mempunyai pencabar yang benar-benar kuat dan hebat atau memiliki nama besar dalam parti, tetapi bukan itu yang ingin dilihat oleh ramai orang di seluruh negara, sebaliknya berapakah undi yang bakal mereka perolehi.

Sudah tentulah Khairy dan Shahrizat mengharapkan mandat yang besar dan kukuh kerana itu bakal menentukan masa depan mereka dalam parti.

Shahrizat Abdul Jalil Kepada Shahrizat khususnya, jika beliau berjaya mengharungi ujian getir terakhir ini, ramai yang berpendapat, tiada apa lagi yang boleh menghalang kemunculan semula karier politiknya sama ada dalam Umno dan juga kerajaan.


Untuk sekian lamanya beliau dihantui oleh permasalahan yang bukan berpunca dari diri atau karier politiknya sendiri tetapi oleh orang di sekelilingnya.

Tetapi andainya beliau berjaya mempertahankan kedudukannya dalam Pergerakan Wanita Umno kali ini, masa depan politiknya akan kembali cerah kerana beliau telah membuktikan yang perwakilan percaya apa yang telah berlaku selama ini bukanlah kerana salahnya atau perbuatannya. Maka itu beliau tidak harus dihukum.

Kedua-dua pencabar Shahrizat iaitu ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Datuk Maznah Mazlan (kiri) dan Raihan Suleiman bukanlah pemimpin di peringkat nasional yang benar-benar mampu mengugat kedudukannya.

Mereka tidak mungkin menang tetapi berkemungkinan besar mencuri perhatian ramai menerusi ‘undi protes’ yang bakal mereka perolehi nanti.

Dalam mana-mana proses demokrasi pun, tidak mungkin seseorang itu memperolehi undi seratus peratus tetapi yang tidak ingin dilihat oleh Shahrizat ialah sejumlah undi yang besar diberikan kepada lawan-lawannya walaupun tidak memadai untuk menewaskannya.

Namun daripada sejak awal lagi, semua dapat melihat dengan jelas yang Shahrizat menikmati sokongan yang boleh dikatakan sangat padu dan kukuh daripada seluruh Pergerakan Wanita Negeri dan juga bahagian.

Dalam hal Khairy pula, daripada empat orang pencabarnya, hanya Akhramsyah Sanusi sahaja yang dilihat memberi cabaran yang sedikit hangat. Itu pun beliau tidak mempunyai rangkaian di dalam Pemuda melainkan beliau adalah anak kepada bekas setiausaha agung parti dan ketua pemuda cawangan.

Akhramsyah Sanusi
Yang lain-lainnya seperti Syed Rosli Syed Harman, Irwan Ambak dan Karim Ali langsung tidak dikenali ramai.

Logiknya, tidak ada sebab mengapa para perwakilan mahu mengundi dan memilih mereka berbanding Khairy yang sudah memiliki kedudukan yang kukuh dalam parti dan juga kerajaan. Beliau juga menang pilihan raya umum yang lalu dengan majoriti yang besar dan bertambah.

Tetapi sekali lagi, yang ingin diperhatikan ialah sejauh manakah undi protes yang akan dilontar oleh perwakilan yang enggan bernaung di bawah kepimpinan Khairy kepada lawan-lawannya itu.

Adalah menarik untuk melihat sejauh manakah para penyokong tegar Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir yang pernah menentang Khairy untuk jawatan ketua pemuda pada tahun 2009 dulu mengundi kali ini.

Ini kerana secara semulajadinya, Khairy adalah pesaing terdekat kepada Mukhriz dalam kancah politik Umno. Khairy selaku kedudukannya sebagai ketua pemuda adalah juga bertaraf naib presiden.

Mukhriz baru mahu bersaing untuk menduduki kerusi naib

Beliau perlu menang kerusi ini jika mahu terus berada sebaris dengan Khairy dalam hirarki kepimpinan parti. 

Kemenangan Khairy adalah hampir pasti tetapi sejauh manakah bukan penyokong Khairy mahu membuang undi kepada pencabarnya adalah sesuatu yang sangat menarik untuk dilihat.

Mahu tidak mahu kedua-dua Khairy dan Mukhriz perlu bersaing untuk menaiki hirarki parti atau pun bersatu untuk memastikan kelangsungan survival masing-masing.

Bagi Pergerakan Puteri pula, persaingan adalah terbuka luas untuk dua orang pesaing iaitu Jamilah Hanim Othman dan Mas Ermieyati Samsudin (kiri).

Ini kerana penyandang jawatan tidak mempertahankan kerusinya kali ini.

Oleh yang demikian, anggota Pergerakan Puteri Umno mempunyai kebebasan yang lebih luas untuk membuat perhitungan tanpa sebarang ikatan atau nostalgia kepada sesiapa.

Keseluruhannya 191 bahagian akan mengundi hari ini. Di bawah sistem pemilihan baru ini, setiap bahagian akan membawa satu undi kepada calon.

Sunday, September 22, 2013

Pemilihan UMNO - Jawatan Penyandang, Menteri Hanya Bonus


"Setiap calon perlu memperlihatkan kekuatan masing-masing jika mahu dilihat berkelayakan. Pemuda juga harus memainkan dua peranan berbeza dalam waktu yang sama iaitu mempertahan kedudukan Melayu dan menjadi benteng Barisan Nasional (BN)."
- Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian 

Kelebihan Khairy Jamaluddin sebagai penyandang dan menteri kabinet tidak bermakna jawatan Ketua Pemuda Umno tidak boleh disaingi calon lain.

Penganalisis politik berpendapat setiap calon pastinya mempunyai kelebihan masing-masing dan status Khairy sebagai penyandang jawatan nombor satu sayap parti itu dan Menteri Belia dan Sukan hanya dilihat sebagai bonus.

Mengulas lanjut apakah kelebihan yang dimiliki Khairy itu mampu melonjakkan sokongan perwakilan kepadanya untuk sepenggal lagi, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata yang penting setiap calon bertanding tidak menyempitkan pemikiran dengan sesuatu agenda sahaja.

"Setiap calon perlu memperlihatkan kekuatan masing-masing jika mahu dilihat berkelayakan. Pada saya, Pemuda juga harus memainkan dua peranan berbeza dalam waktu yang sama iaitu mempertahan kedudukan Melayu dan menjadi benteng Barisan Nasional (BN)," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata tidak kira siapa yang bakal dipilih perwakilan, agenda Umno untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu seperti termaktub di dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno perlu diperkasakan. "Inilah asas perjuangan Umno yang kini dilihat semakin tenggelam dan akhirnya menghampakan kebanyakan golongan Melayu.

Kita tengok isu-isu yang melibatkan kepentingan Melayu sendiri, siapa yang akan bangkit terlebih dahulu menegakkannya?

"Daripada segi pemerhatian saya, kebanyakannya digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mana perginya pemimpin-pemimpin Umno terutamanya Pemuda?" katanya.

Mengulas pemilihan Umno kali ini, Zainal Abidin berkata sistem pemilihan Umno kini lebih terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding.

"Namun mereka yang bertanding harus mempunyai tanggungjawab iaitu menegakkan semula agenda Umno seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti agar sesuai dengan keperluan masyarakat di zaman sekarang," katanya.

Pada pemilihan sayap 12 Okt ini, Khairy bakal berhadapan dengan empat individu lain yang menawarkan diri merebut jawatan itu.

Mereka ialah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok Abd Karim Ali serta Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar. Khairy, yang menyifatkan pertandingan lima penjuru selari dengan usaha mentransformasi Umno, berkata: "Semoga kita semua dapat bertanding dalam suasana rukun serta harmoni."



Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat melihat pertandingan lima penjuru melibatkan jawatan Ketua Pemuda itu satu perkembangan yang baik.

"Secara umumnya, ini satu perkembangan sihat untuk menonjolkan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding dan dapat ditonjolkan di peringkat Pemuda lagi.

"Memang pada pemilihan lepas, agak sukar untuk Khairy menang tetapi dia boleh menang dalam situasi kurang popular pada masa itu.

Kali ini dalam situasi yang popular dengan sumbangan yang banyak kepada Umno, kepercayaan Pemuda lebih tinggi kepada beliau," katanya.

Bernama

Saturday, September 14, 2013

Hari Ini Bermula UMNO Tidak Akan Buka Peluang Kepada Pemimpin Tidak Berintegriti!

"Calon yang menawarkan diri bertanding harus ada ciri-ciri penting sebagai pemimpin termasuk amanah, berintegriti dan sentiasa mendahulukan masyarakat...Calon yang sudah lapuk atau pernah terpalit dengan masalah tak payah lah calonkan diri kerana hanya akan menyulitkan perwakilan untuk membuat pilihan."
- Prof Datuk Abdul Halim Sidek 

Hari ini bermulalah persaingan untuk mengisi jawatan dalam Umno apabila borang pendaftaran calon diedarkan.

Bagi calon yang berminat untuk bertanding di peringkat jawatankuasa bahagian dan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian, borang pendaftaran boleh diambil di pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Calon yang ingin bertanding bagi semua jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) dan jawatan di peringkat Exco Pergerakan Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia, perlu mendapatkan borang pendaftaran calon di Ibu Pejabat Umno bermula tarikh dan masa sama.

Kesemua calon diberi masa seminggu untuk memikirkan jawatan sesuai dan mahu ditandingi sebelum menyerahkan kembali borang pendaftaran masing-masing pada 21 September sebelum jam 5 petang. 


Menurut Aturan Kaedah Pemilihan dan Borang Pendaftaran yang dikeluarkan Umno, calon perlu memastikan borang dihantar lengkap dengan nama wakil calon serta mendapat pengesahan kelayakan bertanding daripada bahagian.

Borang pendaftaran calon yang dikembalikan akan dinilai jawatankuasa penilaian sebelum membuat saringan ketat termasuk memastikan calon bebas daripada kebankrapan, sebelum layak untuk persaingan muktamad pada Oktober depan.

Berdasar kepada sistem pemilihan baharu Umno, yang pertama kali dilaksanakan tahun ini, peluang terbuka luas kepada mana-mana anggota Umno untuk bertanding asalkan memenuhi kelayakan minimum, iaitu sekurang-kurangnya menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun layak bertanding di peringkat bahagian.

Bagi jawatan peringkat pusat sama ada Anggota Majlis Tertinggi (MT), Naib Presiden, Timbalan Presiden waima Presiden sekalipun, kelayakan minimum adalah menjadi anggota jawatankuasa (AJK) bahagian selama sepenggal.

Sebelum pindaan perlembagaan parti pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno.

Pemilihan Umno kali ini disifatkan sangat penting dan mempunyai signifikan yang cukup besar dengan kelangsungan parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang menjadi pemerintah negara.

Apa yang pasti, bermula semalam, 'mata-mata' peminat politik tanah air akan tertumpu kepada langkah setiap anggota Umno, baik yang memanjat tangga pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri mahupun Menara Datuk Onn, untuk menilai sama ada 'baju yang ditempah' menepati ukuran badan sendiri atau sebaliknya.

Ini kerana pemilihan Umno kali ini disifatkan sangat penting dan mempunyai signifikan yang cukup besar dengan kelangsungan parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah negara.

Mengulas aspek itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara Prof Datuk Abdul Halim Sidek menegaskan atas faktor kelangsungan parti, calon yang mahu menawarkan diri bertanding perlu 'tahu diri' manakala para perwakilan pula perlu bijak menilai.

Beliau berkata calon yang menawarkan diri bertanding harus ada ciri-ciri penting sebagai pemimpin termasuk amanah, berintegriti dan sentiasa mendahulukan masyarakat.

"Calon yang sudah lapuk atau pernah terpalit dengan masalah tak payah lah calonkan diri kerana hanya akan menyulitkan perwakilan untuk membuat pilihan.

"Pada masa sama, perwakilan perlu bijak menilai...saya yakin jika perwakilan mengundi calon yang mempunyai ciri-ciri itu, mereka akan mendapat calon terbaik untuk seterusnya menerajui parti keramat itu," katanya.

 Harapan lebih tinggi adalah untuk menyaksikan calon bertanding secara adil tanpa adanya elemen politik wang dan menggunakan kedudukan untuk meraih undi, yang disifatkan penganalisis Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu sebagai 'taktik lapuk'.

Katanya signal jelas yang perlu dihantar kepada umum pada pemilihan Umno kali ini ialah Umno tidak akan lagi membuka ruang kepada pemimpin tidak berintegriti.

"Mesej yang juga perlu dihantar ialah perlu ada 'expiry date' bagi pemimpin sebab kalau yang 'sudah lapuk' itu terus dipilih, bilakah pemimpin-pemimpin baru berpeluang untuk memberi sumbangan mereka kepada parti?," katanya.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (kiri) pula mengulangi nasihatnya bahawa pemilihan parti bukanlah satu acara pesta untuk berseronok, sebaliknya satu tanggungjawab kepada parti.

"Saya minta mereka yang akan mengambil borang esok yang akan menawarkan diri untuk bertanding untuk tanya diri sendiri, apa kita akan transform supaya Umno ini terus relevan.

Kita kena berfikir di luar kotak, kita tak boleh fikir dalam kepompong kita. Jadi pada mereka yang nak ambil borang jangan seronok setakat nak bertanding sahaja," katanya.

Syed Ali yang mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat, turut menggalakkan agar ruang kepada pemimpin muda dibuka seluas-luasnya, sesuai dengan aspirasi Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meremajakan Umno.