"Setiap calon perlu memperlihatkan kekuatan masing-masing jika mahu dilihat berkelayakan. Pemuda juga harus memainkan dua peranan berbeza dalam waktu yang sama iaitu mempertahan kedudukan Melayu dan menjadi benteng Barisan Nasional (BN)."
- Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian
Kelebihan Khairy Jamaluddin sebagai penyandang dan menteri kabinet tidak bermakna jawatan Ketua Pemuda Umno tidak boleh disaingi calon lain.
Penganalisis politik berpendapat setiap calon pastinya mempunyai kelebihan masing-masing dan status Khairy sebagai penyandang jawatan nombor satu sayap parti itu dan Menteri Belia dan Sukan hanya dilihat sebagai bonus.
Mengulas lanjut apakah kelebihan yang dimiliki Khairy itu mampu melonjakkan sokongan perwakilan kepadanya untuk sepenggal lagi, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata yang penting setiap calon bertanding tidak menyempitkan pemikiran dengan sesuatu agenda sahaja.
"Setiap calon perlu memperlihatkan kekuatan masing-masing jika mahu dilihat berkelayakan. Pada saya, Pemuda juga harus memainkan dua peranan berbeza dalam waktu yang sama iaitu mempertahan kedudukan Melayu dan menjadi benteng Barisan Nasional (BN)," katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata tidak kira siapa yang bakal dipilih perwakilan, agenda Umno untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu seperti termaktub di dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno perlu diperkasakan. "Inilah asas perjuangan Umno yang kini dilihat semakin tenggelam dan akhirnya menghampakan kebanyakan golongan Melayu.
Kita tengok isu-isu yang melibatkan kepentingan Melayu sendiri, siapa yang akan bangkit terlebih dahulu menegakkannya?
"Daripada segi pemerhatian saya, kebanyakannya digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mana perginya pemimpin-pemimpin Umno terutamanya Pemuda?" katanya.
Mengulas pemilihan Umno kali ini, Zainal Abidin berkata sistem pemilihan Umno kini lebih terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding.
"Namun mereka yang bertanding harus mempunyai tanggungjawab iaitu menegakkan semula agenda Umno seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti agar sesuai dengan keperluan masyarakat di zaman sekarang," katanya.
Pada pemilihan sayap 12 Okt ini, Khairy bakal berhadapan dengan empat individu lain yang menawarkan diri merebut jawatan itu.
Mereka ialah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok Abd Karim Ali serta Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar. Khairy, yang menyifatkan pertandingan lima penjuru selari dengan usaha mentransformasi Umno, berkata: "Semoga kita semua dapat bertanding dalam suasana rukun serta harmoni."
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat melihat pertandingan lima penjuru melibatkan jawatan Ketua Pemuda itu satu perkembangan yang baik.
"Secara umumnya, ini satu perkembangan sihat untuk menonjolkan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding dan dapat ditonjolkan di peringkat Pemuda lagi.
"Memang pada pemilihan lepas, agak sukar untuk Khairy menang tetapi dia boleh menang dalam situasi kurang popular pada masa itu.
Kali ini dalam situasi yang popular dengan sumbangan yang banyak kepada Umno, kepercayaan Pemuda lebih tinggi kepada beliau," katanya.
Bernama
No comments:
Post a Comment