Thursday, September 19, 2013

Najib Umum Pertahan Jawatan Presiden UMNO


Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan akan mempertahan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti 19 Okt ini.

Perdana menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi.

Katanya, berdasarkan makluman timbal balas yang diterima, badan-badan perhubungan UMNO negeri membuat ketetapan supaya beliau meneruskan kepimpinan sebagai presiden parti.

"Daripada suara yang diutarakan dalam persidangan cawangan UMNO, sebahagian besar daripada ahli mahukan supaya saya meneruskan kepimpinan sebagai presiden parti.

"Saya amat berterima kasih lagi terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan disuarakan oleh ahli UMNO di semua peringkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Middle Temple 2013 di ibu Negara.

Najib berkata dengan perasaan rendah diri, beliau menerima sokongan itu, dengan menawarkan diri bertanding mempertahan jawatan sebagai presiden parti.

Pemilihan anggota Majlis Tertinggi, pemimpin bahagian dan wakil peringkat bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang dijadual pada Disember akan diadakan serentak pada persidangan perwakilan bahagian 19 Okt ini.

Pendaftaran calon yang ingin bertanding bagi semua jawatan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan ketiga-tiga sayap parti pula akan diadakan Sabtu ini di Ibu Pejabat UMNO.

Mengenai pandangannya jika jawatan presiden parti dicabar mana-mana pihak, Najib berkata: "Tunggu hari Sabtu baru kita tahu kedudukan."

Beliau juga memberi jawapan yang sama apabila ditanya mengenai kemungkinan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir merebut jawatan naib presiden.

Ditanya sama ada beliau dan Muhkriz telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu, perdana menteri secara berseloroh berkata: "Saya memang bertemu dengan ramai orang."

No comments:

Post a Comment