Thursday, August 25, 2016

‘Persenda’ Agong - Apa Jadi Kalau Dia Bukan Pemimpin UMNO?


Katakan jika dia bukan anggota parlimen UMNO/Barisan Nasional Langkawi yang dikatakan mengaitkan 'Malaysian Official 1' (MO1) dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah?

Katakanlah Datuk Nawawi Ahmad itu rakyat biasa atau pemimpin politik pembangkang yang ‘mempersendakan’ sedemikian, apa akan berlaku?

Tetapi oleh kerana Nawawi adalah pemimpin UMNO, isu ini cuba disejukkan seberapa yang boleh dan seboleh-bolehnya dielak atau sorok daripada diperbincangkan.

Tidak ada kenyataan dan tidak ada amaran oleh pemimpin utama parti.

Sehingga ke hari ini pemimpin UMNO mengunci mulut dan mengelak daripada menyerang Nawawi walaupun jelas dia 'mempersendakan' Agong.

Jika perkataan ‘mempersenda’ seperti dilakukan Nawawi, rasanya sudah pasti akan berduyun-duyunlah pemimpin UMNO menghentam orang yang membuat kenyataan sedemikian.


Pastinya juga media perdana serta stesen tv milik kerajaan akan menjadikannya tajuk utama berita mereka. Mungkin berminggu atau berbulan-bulan dengan follow-up (susulan) yang tidak akan berakhir...

Itulah istimewanya pemimpin UMNO.

Punyalah banyak hak imuniti, walaupun mempersendakan Agong.

Anehnya juga, selepas agak lama baru  polis mengatakan pihaknya akan  menyiasat Nawawi selepas ia menjadi perbahasan di media?

Apa alasan polis untuk siasat kenyataan Nawawi? Kerana mempersendakan Agong?

Atau hanya kerana ada laporan polis terhadap beliau?

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata kelmarin ( 24 Ogos), pihaknya menerima lebih 10 laporan berkaitan kenyataan Nawawi di Facebooknya.

Bukankah Nawawi  sudah menegaskan tidak bercakap mengenai MO1 dalam konteks saman mahkamah DOJ, tetapi sebaliknya dari segi perlembagaan?

Anina...Polis atau UMNO perlu ambil tindakan.
Malah, Isnin lalu, Nawawi memohon ampun daripada Agong berhubung kekeliruan istilah 'Malaysian Official 1' atay 'MO1' di laman Facebooknya minggu lalu.

Nawawi sebelum ini juga mendakwa kenyataannya disalah tafsir dan bukan merujuk kepada tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

MO1 adalah individu yang didakwa oleh DOJ menerima sekurang-kurangnya AS$ 731 juta daripada AS$ 3.5 bilion yang didakwa disalga ahgunakan daripada 1MDB.

DOJ berkata ia dihalang oleh kaedah-kaedah mahkamah daripada menamakan pegawai itu dalam saman sivil berkenaan, yang mendorong spekulasi mengenai identiti sebenar MO1.

Nawawi berkata beliau tidak berniat mengaitkan baginda tetapi ia menjadi viral oleh pihak tertentu dengan fahaman yang lain daripada apa yang cuba dinyatakan.

Dalam permohonan maaf kepada Agong Isnin lalu, Nawawi melahirkan rasa kesal berhubung perkara itu dan berjanji untuk lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan di media sosial pada masa akan datang.

Pertanyaan ialah jika tidak mensasarkan atau mengaitkan MO1 dengan Yang di-Pertuan Agong kenapa mesti  minta maaf?

Jika tidak bersalah, kenapa mesti minta maaf? Kenapa ambil risiko dengan berbuat demikian?

Hanya yang bersalah sahaja meminta maaf, kalau tidak bersalah PEDULI APA!

Apa yang dikatakan olehnya?

Baru-baru ini  Nawawi dalam catatan di Facebook mendakwa MO1 tidak lain dan tidak bukan adalah Agong yang juga merupakan ketua negara ini. Posting itu kemudian disunting untuk membuang rujukan kepada Agong empat jam kemudian, tetapi menerima kritikan meluas.

Dalam tulisan di Facebook minggu lalu, yang disunting empat jam kemudian, ahli parlimen Langkawi itu berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab terhadap kerajaan.

Dalam versi yang disunting, baris terakhir dalam posting telah digantikan dengan perkataan, "Maka, mengikut perlembagaan MO1 bukan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) kerana dia (adalah sama ada) MO2, MO3, atau MO4."

Ekoran kenyataan itu, Majlis Kerabat Diraja Kedah memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak melangkaui batas dengan menarik pihak istana terutama Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, ke kancah politik tanah air.

Amat benar apa yang titimbulkan oleh bekas anggota UMNO Langkawi Anina Saadudin yang tertanya-tanya apa akan jadi jika anggota DAP mendakwa Malaysian Offcial 1 (MO1) adalah Yang di-Pertuan Agong.

Anina mengulas permohonan maaf Nawawi kepada Agong atas kenyataannya mengenai MO1.

"Cuba bayangkan komen itu datang daripada ahli DAP, isu itu akan dimainkan di TV3, saya rasa tidak kurang satu bulan," katanya kepadaMalaysiakini.

Oleh itu, Anina berpendapat pihak polis dan UMNO sendiri mesti mengambil tindakan terhadap Nawawi kerana kenyataan tersebut.

Malah katanya, permohonan maaf Nawawi kepada Agong tidak mencukupi dan beliau perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah.

"Sultan Kedah adalah sultan di hati rakyat. Baginda adalah sultan di hati semua rakyat Kedah. Kalau kamu mahu memohon maaf kepada sultan, kamu juga mesti mohon maaf kepada semua rakyat Kedah," katanya.

"Kenyataan itu bersangkut paut dengan perlembagaan. Kamu kata maaf dan tu sahaja? Sebagai pemimpin kena tunjuk contoh kepada rakyat. Kalau seorang pemimpin buat silap, cakap maaf dan terlepas. Rakyat boleh buat benda yang sama dan kemudian mohon maaf.

"Nanti sesiapa saja di jalan akan buat komen berkaitan Agong dan cuma cakap maaf. Polis mesti ambil tindakan, buka fail dan siasat," katanya.

Bukit Aman berkata pihaknya menyiasat  kes berhubung tindakan ahli parlimen Langkawi itu dan  siasatan kini dibuka bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, lapor Berita Harian.

"Siasatan awal, Nawawi mendakwa kenyataannya dimanipulasi tetapi kita serahkan kepada Bukit Aman untuk menyiasat termasuk mengambil keterangannya untuk perhatian peguam negara," kata Zamri dipetik Berita Harian Online.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 20 Ogos lalu mengesahkan pihaknya akan memanggil anggota parlimen Langkawi itu selepas menerima beberapa laporan mengenai perkara itu dan siasatan akan dijalankan.
  
Dalam isu ini, apa yang lebih mengejutkankenyataan itu datang daripada pemimpin UMNO, sebuah parti yang mendakwa memperjuang Raja-Raja Melayu tetapi bagaimana seorang pemimpin parti itu bebas daripada tindakan walaupun ‘mempoersendakan Agong?

No comments:

Post a Comment