Sunday, August 28, 2016

Mufti Perlis Antikerajaan, Sebar Fahaman Wahabi – Veteran UMNO


"Veteran UMNO kesal kerana menteri yang bertanggungjawab dalam hal agama tidak mampu berbuat apa-apa untuk membendung gerakan 'mewahabikan' Malaysia.."

Veteran UMNO hari ini mencabar Mufti Perlis Datuk Dr Mohad Asri Zainal Abidin supaya meletak jawatan dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya berminat dalam politik.

"Mohd Asri boleh memilih untuk bertanding atas tiket pembangkang yang dia suka," kata setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub melalui satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, Mustapha juga mendakwa Mohd Asri seorang 'pemimpin Wahabi' yang berusaha keras mengembangkan fahaman itu di Malaysia, malah dilindungi oleh menteri pusat untuk mempromosi 'dakyahnya'.

Siapa menteri yang dimaksudkan Mustapa?

"Veteran UMNO bimbang pengaruh Wahabi sudah mula bertapak dalam UMNO dan kerajaan. Sekiranya ini tidak dibendung, maka Malaysia akan berdepan dengan masalah akidah yang boleh membawa kepada perpecahan ummah
.
"Veteran juga kesal kerana menteri yang bertanggungjawab dalam hal agama tidak mampu berbuat apa-apa untuk membendung gerakan 'mewahabikan' Malaysia," katanya yang meminta kerajaan Perlis mengkaji semula pelantikan Mohd Asri sebagai mufti di negeri itu.

Apakah ini pendirian Veteran UMNO atau Mustapha seorang?

Bimbang pengaruh Wahabi dalam UMNO.
Menteri pusat itu mungkin orang baru atau di kalangan veteran. Jika dia juga pengikut Wahabi, bagaimana boleh dikekalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak?
 Kenapa Mustapha tidak meminta supaya Najib turut menggugurkan menteri berkenaan?

Mustapa bagaikan menggunakan sebiji batu untuk ‘membunuh’ beberapa burung, termasuk menteri serta mereka yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di peringkat pusat dan negeri.

Bagaimana dengan Menteri Besar Perlis wahai Mustapha?

Juga bukankah pelantikan Mufti itu dipersetujui oleh istana?

Kenapa serang Mohd Asri dan menteri tetapi tidak menteri Besar UMNO Perlis dan yang memperkenankan pelantikan berkenaan?

Mustapha turut mendakwa Mufti Perlis itu kini sedang mengukur pengaruhnya di kalangan orang muda yang akan menentukan kekalahan BN dalam PRU akan datang.

"Mohd Asri akan menggunakan pengaruhnya untuk menghasut golongan muda supaya meneruskan demonstrasi sebagaimana dalam postingnya yang terbaharu menyokong demonstrasi mahasiswa di Sogo yang didokong oleh DAP.

"Mohd Asri dan gerakan Wahabinya amat berbahaya kepada negara ini. Membiarkan mereka bererti negara ini mengundang bencana," katanya.

Menurut Mustapha,  Veteran UMNO turut kesal dengan sikap Mohd Asri yang dilihatnya terus mengkritik kerajaan pimpinan Najib.

Malah, berkata Mohd Asri turut menyokong gerakan antikerajaan yang didokong oleh pembangkang.

"Perlakuan mufti ini telah keterlaluan dan tidak boleh diterima lagi.

Campur tangannya secara terbuka dalam politik dan pentadbiran kerajaan sudah berlebihan dan menjolok mata.

"Sebagai seorang mufti, beliau sepatutnya tahu bidang tugas dan tanggungjawabnya.

"Tidak salah dia menegur kepimpinan dengan cara berhemah sesuai dengan jawatannya. Tetapi bukan secara berterusan campur tangan sehingga melebihi batas kemuliaan institusi mufti itu," katanya.


Mustapha dipercayai merujuk kenyataan Mohd Asri yang didakwa menyokong Perhimpunan #Tangkap MO1 anjuran sekumpulan mahasiswa di ibu kota semalam.


Mufti Perlis itu di laman Facebooknya semalam menulis "Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!"

No comments:

Post a Comment