Thursday, August 18, 2016

Boleh Tidur Nyenyak – BERSATU Tidak Mampu Jatuhkan UMNO’


Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertujuan memulihkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara.

Usaha itu penting kerana pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa Dr Mahathir telah menafikan hak undang-undang dan demokrasi di Malaysia.

"Parti baharu akan memberi perhatian kepada perubahan pemikiran rakyat Malaysia, dan memulihkan negara," katanya dalam blognya kelmarin.

Walaupun didakwa demikian, namun usaha untuk melunturkan UMNO sebagai parti yang mengamalkan demokrasi sama ada melalui pentadbiran dan perjalanan parti serta sistem pilihan raya yang diamalkan sejak merdeka adalah sukar digugat.

Malah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang bertunjangkan kepada kekuatan dan keutuhan UMNO pasti sukar untuk digoyahkan.

Jika demokrasi dijadikan asas untuk menumpaskan UMNO, ia suatu usaha yang sukar walaupun mungkin nasib parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan di negara-negara lain sudah lama berkecai .

Benar, kebanyakan parti seusia UMNO sudah banyak lenyap. Memang mereka tewas kepada parti baru yang dibentuk selepas kemerdekaan.

Tetapi ia  bukan kerana sebab-sebab tidak mengamalkan demokrasi tetapi akibat isu-isu seperti penyalahgunakan kuasa, selain pemimpinnya bertindak untuk kepentingan peribadi.

Ia sama sekali tidak ada kena mengena dengan sama ada parti berkenaan tidak mengamalkan demokrasi atau sistem sesebuah negara berkenaan tidak lagi demokratik.

Jepun, India, Pakistan, Bangladesh serta beberapa negara jajahan Britih lain memang mengamalkan demokrasi namun, parti yang memerintah kini, bukan lagi parti asal ketika negara berkenaan mencapai kemerdekaan.

UMNO dapat bertahan begitu lama kerana menjunjung demokrasi tetapi dengan sistem yang ada itu ia tidak akan menjamin ketahanannya jika pemimpin tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas perjuangannya.

Yang menjadi ancaman kepada UMNO ialah apabila pemimpinnya tidak lagi berfungsi memeperjuangakan kepentingan rakyat sebaliknya memenuhi selera dan kepentingan pemimpin semata-mata.

Persoalannya apakah Malaysia kini berkedudukan sedemikian?


Analisis yang dibuat oleh CNBC tidak memberikan harapan tinggi kepada parti baharu iaitu BERSATU untuk menjatuhkan UMNO.

Penganalisis politik dan ekonomi – walaupun bimbang dengan keadaan di Malaysia ketika ini – melihat BERSATU mungkin bukan lawan digeruni.

Ahli ekonomi di bank pelaburan Natixis, Tringh Nguyen memberitahu CNBC, kekebalan UMNO ialah kerana penguasaan bersejarah parti itu yang sekian lama bertapak di Malaysia.

Malah, beliau ragu-ragu dengan kemampuan parti baharu itu, memandangkan pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini berusia 91 tahun.

Bukan sahaja usianya lanjut tetapi pengaruh politiknya juga semakin merosot.

“Tidak mungkin Mahathir boleh meraih sokongan untuk menjatuhkan (Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Laporan itu menyatakan landskap politik negara yang berselerak, khasnya dengan pembangkang yang kelihatan berpecah-belah adalah satu lagi sebab UMNO akan terus berkuasa.
“Ada banyak cabaran menanti BERSATU, khasnya dengan pembangkang yang berpecah-belah,” kata Norshahril Saat, felow Iseas-Institut Yusof-Ishak yang merupakan sebuah kumpulan penyelidikan khusus dalam kajian Asean.

Norshahril berkata, perbalahan dalaman antara pembangkang, iaitu PKR, DAP, PAS dan AMANAH turut memperkukuhkan penguasaan Barisan Nasional.

Bekas setiausaha politik Najib dari 2009 hingga 2011,  Oh Ei Sun yang kini felow kanan di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura berkata, BERSATU ditubuhkan hanya untuk menggulingkan perdana menteri.

Menurut laporan itu, Pakatan Harapan yang terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP tewas dalam dua pilihan raya kecil, baru-baru ini, manakala satu lagi pakatan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama menggabungkan beberapa parti pembangkang kecil.

BERSATU pernah menegaskan ia tidak keberatan bersekutu dengan Pakatan Harapan dan jika itu berlaku, Oh berkata, ia hanya akan lebih mengelirukan landskap pembangkang.

Saat bagaimanapun berkata, beberapa pakatan itu akan menjadikan Pilihan Raya Umum 2018 lebih menarik.

“Harapan Mahathir ialah sentimen terhadap kerajaan BN tidak berubah sejak 2013, apabila lebih separuh rakyat Malaysia mengundi pembangkang,” katanya.

Kurangnya alternatif berdaya maju buat Najib dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, Malaysia secara keseluruhannya berada dalam “survival strategik”, kata Nguyen kepada CNBC.


Beliau berkata, dalam suasana politik huru-hara, wujud ruang tidak berkembang terhadap ramalan jangka sederhana dan kekurangan perbincangan untuk membawa Malaysia ke tahap pembangunan seterusnya.

No comments:

Post a Comment