Showing posts with label Bersatu. Show all posts
Showing posts with label Bersatu. Show all posts

Tuesday, August 8, 2017

Mukhriz - BERSATU Selamatkan Malaysia, UMNO Selamatkan Kleptokrat

 
BERSATU tiada kemampuan mengamalkan politik naungan kerana ia bukan berada dalam kerajaan, kata timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tetapi kalau ia boleh melakukannya sekali pun, sistem naungan itu adalah sesuatu yang akan diubah bagi memastikan wujud peluang yang sama rata untuk semua orang, jelas bekas menteri besar Kedah itu.

Atas sebab itu, BERSATU tidak boleh menjadi UMNO 2.0, katanya kepada dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau menjawab soalan bagaimana parti baharu yang diketuai ayahnya yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, berbeza berbanding UMNO.

Dr Mahathir menjadi presiden UMNO selama 22 tahun beliau memimpin kerajaan Malaysia. Mukhriz pula pernah jadi anggota Majlis Tertinggi UMNO semasa memegang jawatan menteri besar Kedah.

Selepas lantang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak, si ayah mengumumkan keluar UMNO pada akhir Februari tahun lalu. Empat bulan kemudian, si anak pula dipecat UMNO bersama bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin kerana sepentas dengan pembangkang menentang kerajaan.

Mereka kemudian menubuhkan BERSATU yang kini membentuk gabungan bersama PKR, DAP dan Amanah, dengan nama Pakatan Harapan (PH).

Walaupun parti baharu, BERSATU berjaya menarik pengikut yang besar terutamanya di Kedah, Johor dan Melaka. Dr Mahathir dan Mukhriz dari Kedah; Muhyiddin asal Johor.

Tetapi ada kebimbangan di kalangan pengkritik yang parti baharu itu terpalit beban sejarah dipikul bekas tokoh UMNO itu, di mana BERSATU akan menjadi tidak ubah seperti UMNO yang kuat dan berkuasa kerana naungan politik.

“Kita tiada kemampuan untuk jadi semacam itu. Sistem naungan dalam UMNO bermakna pemimpin akan selalu mengambil berat anak buahnya dalam semua perkara, baik mereka memerlukan wang atau bantuan untuk anak masuk universiti dan hal seperti itu. Kita tidak ada itu,” kata Mukhriz dalam wawancara di pejabat BERSATU di Alor Star pada Jumaat.


Pada pertemuan itu, Mukhriz juga bercakap tentang pilihan raya umum akan datang dan bersikap diplomatik apabila ditanya di mana BERSATU mahu mendirikan kubu kuatnya.

“Kita berminat dengan Kedah. Tetapi kita perlukan persetujuan daripada tiga parti lain,” katanya.

Berikut petikan wawancara tersebut.

TMI: Apa peranan anda dalam BERSATU?

Mukhriz: Kebanyakannya "groundwork" dan kerja di belakang tabir. Saya pengarah pilihan raya BERSATU. Kami cuba untuk menubuhkan jentera pilihan raya di semua negeri dan bahagian. Datang daripada UMNO, (saya tahu) mereka ada jentera yang terbaik. Wanita UMNO tulang belakang mereka, terutamanya apabila sampai pilihan raya. PAS kurang sedikit berbanding UMNO.

Dan kita lihat pencapaian pembangkang. Mereka berjaya biarpun bukanlah mudah. (Mereka dapat) 52% undi popular (dalam PRU13) tetapi itu masih tidak mencukupi untuk menang.
Jadi kita fikir formula untuk menang ialah dengan jentera yang lebih kukuh. Saya diberikan mandat untuk menubuhkannya bagi BERSATU dan kita sudah mula bekerjasama dengan tiga parti lain dalam PH. Kita harap akan dapat menyelaraskannya dalam pilihan raya akan datang dan melakukan segala upaya bagi memastikan pengundi keluar mengundi.
Kami tidak mahu serah pada nasib dan sentimen. Kami perlu lebih teratur.

TMI: Negeri mana BERSATU paling kuat?

Mukhriz: Paling ketara Kedah dan Johor. Tetapi apa yang mengejutkan kami ialah Melaka. Setiap kali kita ada di sana, sokongan terbuka itu sangat mengujakan. Bukan hanya apabila Dr Mahathir ada tetapi kalau saya atau Muhyiddin pun, orang datang terutama pada malam hari.

TMI: Panel diskusi di Sinar Harian baru-baru ini menyebut 55% ahli BERSATU anak muda tetapi ia dipimpin orang tua. Apa faktor penariknya?

Mukhriz: Dr Mahathir pengerusi dan beliau seorang saja sudah menaikkan purata umur dalam parti. Tetapi sebenarnya apabila kami bercakap dengan anak-anak muda yang tiada pada waktu beliau atau sekurang-kurangnya pada penghujung karier beliau, mereka begitu menghormati (Dr Mahathir). Apabila kami bercakap dengan mereka, mereka kata Dr Mahathir memberikan mereka inspirasi untuk jadi sebahagian daripada gerakan ini.

Mereka tidak lihat kami sebagai hanya sebuah parti politik tetapi juga sebuah gerakan.
Kami datang daripada kerajaan. Itu satu perbezaan yang jelas antara kami dengan parti lain. Kami datang dari perspektif lain. Kami tiada mentaliti pembangkang semata-mata.
Gabungan kami dan mereka ini memberikan kekuatan. Pengalaman dalam kerajaan membantu pembangkang dengan kredibiliti yang kami juga boleh mentadbir dan ada rekod prestasi sangat baik dalam urus tadbir. Ia memberikan keyakinan kepada rakyat yang kami bukan sekadar mengucapkan retorik tetapi sesuatu yang lahir betul-betul daripada keputusan dibuat oleh para pemimpin kami.

Anak-anak muda berkata semasa zaman Dr Mahathir kita tiada masalah ini -- gaji ibu bapa mereka tidak tinggi tetapi kos sara hidup rendah dan cukup belanja. Mereka tidak susah hendak ada duit lebih untuk dibelanjakan. Mereka ingat itu.


Dr Mahathir ada cara sendiri apabila bercakap dengan anak muda. Beliau datang dari zaman lain tetapi ada daya tarikan. Mereka boleh tanya apa saja soalan kepadanya dan Dr Mahathir akan memberi jawapan yang memuaskan hati mereka.

TMI: Apakah BERSATU ada DNA naungan seperti UMNO?

Mukhriz: Tiada, kerana kita tidak ada kemampuan untuk jadi seperti itu. Sistem naungan dalam UMNO bermakna pemimpin akan selalu mengambil berat anak buahnya dalam semua perkara, baik mereka memerlukan wang atau bantuan untuk anak masuk universiti dan hal seperti itu.

Kita tidak ada. Kita bukan dalam kerajaan. Kalau kita nanti dalam kerajaan pun kita perlu mengubah sistem itu supaya ia adil kepada semua orang. Ini sesuatu yang kami akan bawa dalam agenda reformasi bersama kerajaan baru.

Jadi, tidak betul kalau kata BERSATU juga mengamalkan politik naungan seperti UMNO.

TMI: Apakah ada usaha yang jelas untuk memastikan BERSATU tidak menjadi seperti UMNO?

Mukhriz: Dalam ucapan dasar presidennya ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 1996, Dr Mahathir menyuarakan beberapa kebimbangan yang UMNO sedang berubah daripada sebuah parti yang (pada suatu masa) ahlinya terdiri daripada guru-guru, kepada sebuah parti yang ada ramai ahli perniagaan.

Dan tidak ada orang faham apa yang beliau maksudkan pada masa itu. Sesetengah orang berkata: “Apa yang salahnya? Itu lambang kemajuan…” Tetapi sekarang kita nampak masalahnya.

Apabila bisnes masuk ke dalam politik, keadaan jadi huru-hara dan sekarang guru-guru yang pernah jadi orang kuat UMNO kini menjauhkan UMNO. Mereka tidak boleh membayangkan diri sebagai ahli UMNO. Mereka lebih cenderung kepada pembangkang, dan harap-harapnya kami.

Beliau (Dr Mahathir) nampak lebih ramai orang korporat masuk UMNO dan meramalkan akan jadi masalah. Jadi saya tidak nampak ini berlaku dalam BERSATU. Kami faham mesej jelas yang disuarakan rakyat dalam pilihan raya dan tidak akan mengulangi semua kesilapan UMNO.

TMI: Bolehkah BERSATU bertahan tanpa Dr Mahathir?

Mukhriz: Terpaksalah.

Beliau cakap kepada kepada kami tentang ini setiap masa yang ini bukan tentang dirinya atau kami, tetapi setiap seorang daripada kami secara kolektif dan tentang perjuangan. Perjuangan itulah satu-satunya persamaan dengan UMNO kerana kami juga berpegang kuat kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi kita lihat UMNO sudah membuangnya. Mereka gunakan itu sebagai semboyan tetapi bukan itu yang mereka maksudkan.

TMI: Negeri mana sasaran BERSATU?

Mukhriz: Ada tetapi bukan untuk kami katakan sekarang kerana kami perlu dapatkan persetujuan daripada yang lain tentang keputusan besar ini. Kami sedang berusaha mendapatkan persetujuan itu. Semangat tolak ansur sangat kuat antara empat parti ini. Pada akhirnya kami akan ada barisan calon yang padu bagi setiap satu kerusi (yang akan ditandingi) di Semenanjung. Saya tidak begitu bimbang tentang itu.

Kami agak ke hadapan dalam rundingan -- dari negeri ke negeri. Akhirnya nanti, pimpinan atasan (dalam Pakatan Harapan) yang akan memutuskan beberapa kerusi yang sukar, misalnya jika ada dua atau tiga parti yang berkehendakkan kerusi tertentu.

TMI: Adakah BERSATU sedang "mengintai" Kedah?

Mukhriz: Kita berminat dengan Kedah. Tetapi kita perlukan persetujuan daripada tiga parti lain.

TMI: Kenapa anda popular di kalangan anak muda? Adakah kerana bola sepak Kedah?

Mukhriz: Salah satunya sebabnya semasa saya menjadi menteri besar Kedah, saya selalu cuba menarik FDI (pelaburan langsung asing) ke Kedah bagi mencipta lebih banyak peluang kerja. Bukan kerja jenis yang akan bayar RM400 atau RM500 tetapi kerja yang gajinya enam, tujuh ribu ringgit.

Jadi semua usaha itu menarik minat anak-anak muda di Kedah.

Keduanya, saya juga muda walaupun saya tidak nampak muda. Saya 52 tahun sekarang tetapi orang masih panggil saya boboi...hahahaha.

Saya suka berinteraksi dengan anak-anak muda di gelanggang mereka, baik berbasikal, main badminton atau duduk melepak di kedai kopi.

Dan tentunyalah, bola sepak. Itu agenda peribadi saya untuk naikkan maruah bola sepak Kedah yang pada suatu masa dahulu begitu gah. Apabila saya mengambil alih Kedah FA, ia ada isu-isunya dan bagi Kedah, bola sepak sangat dekat di hati. Dan kerana kami pernah mengecapi kejayaan dalam bola sepak, ia menyebabkan mereka lebih dekat dengan saya.

TMI: Apa beza UMNO dan BERSATU?

Mukhriz: Satu menyelamatkan negara dan yang satu lagi menyelamatkan seorang kleptokrat. 

Disiarkan oleh The Malaysian Insight 8 Ogos, 2017.

Saturday, October 15, 2016

Keluar Untuk Sertai 'Parti Pecah Melayu Bhd', Apa Nak DiBimbangkan?


Lebih 30 pemimpin akar umbi UMNO petang ini mengumumkan keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Pengumuman itu dibuat pada ketika Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkataUMNO  tidak bimbang ada yang berpaling menyertai parti yang baru ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kumpulan itu diketuai oleh bekas ahli exconya Mohd Rafiq Naizamohideen, yang sebelum ini mengecam apa yang disifatkannya sebagai tindakan "terpilih" selepas beliau digantung keahliannya kerana dikatakan cuba mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron,  melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada tahun lalu..
  
Tengku Adnan ditanya mengenai sekumpulan pemimpin UMNO yang mengumumkan untuk menyertai BERSATU lewat hari ini dalam satu majlis di Ampang mengatakan UMNO tak bimbang ada berpaling ke 'Parti Pecah Melayu Bhd'

BERSATU adalah parti serpihan yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas timbalan perdana menteri yang dipecat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka adalah pengkritik lantang Najib dan 1MDB sejak tahun lepas.

"Kami tak bimbang. Ezam Mohd Nor (sertai BERSATU), kami tak bimbang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Putrajaya Community Ride di Putrajaya hari ini.

Ezam Mohd Nor adalah bekas senator yang mengumumkan hasrat untuk keluar UMNO awal bulan ini dan pada hari Khamis lalu berkata beliau telah memohon untuk menyertai BERSATU.
  
Pada sidang media yang diketuai oleh bekas exco Pemuda UMNO  Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen di sebuah hotel di Ampang petang ini, kumpulan 30 pemimpin itu berkata mereka tindakan mereka berkuatkuasa serta merta.

"Kami bersetuju dan bersedia keluar UMNO berkuatkuasa serta merta.

Mohd Rafiq...ramai hilang keyakinan.
"Walau berat tapi yakin ramai yang hilang keyakinan dan barisan kepimpinan yang sebelum ini kami pertahankan sehingga hujung nyawa.

"Kerana apa kami buat, kerana matlamat perjuangan UMNO tak letak rakyat keutamaan, tetapi membenarkan, menyokong kemungkaran dan salah guna kuasa berleluasa di Malaysia," katanya dalam sidang media di Hotel De Palma Ampang sebentar tadi.

Mohd Rafiq turut mendakwa, selain pemimpin UMNO terdapat 150 anggota UMNO lain yang turut menyertai keluar parti pada hari ini.

Katanya, UMNO kini telah lari daripada perjuangan dan dirosakkan oleh kepimpinan parti yang tidak bertanggungjawab.

“Kami semua sependapat bahawa UMNO hari ini sudah pun tersasar daripada perjuangan asalnya.

"Imej UMNO dan kerajaan Malaysia yang ditunjangi oleh Barisan Nasional telah tercemar dengan teruknya susulan daripada pelbagai skandal dan isu-isu besar yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi UMNO,” katanya.

Malah katanya, Lembaga Disiplin UMNO kini dilihat menjadi alat bagi menyekat kemaraan karier politik mana-mana pemimpin tertentu dan tindakan yang diambil berdasarkan pilih kasih serta mengikut kepentingan politik pimpinan.


“Sebelum ini terdapat pemimpin yang didapati bersalah dalam Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang dalam pemilihan UMNO lepas tetapi hanya diberi amaran atau dihalang bertanding.

“Mereka yang terlibat dalam rasuah politik ini dilantik dan dikekalkan sebagai barisan menteri di pelbagai peringkat,” katanya.

Tengku Adnan menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai hak pemimpin Pemuda UMNO itu untuk keluar parti itu dan menyertai mana-mana parti yang mereka pilih.

"Ya, ia adalah haknya. Anda tahu bahawa PPBM (BERSATU), Parti Pecah Melayu Berhad, Parti Pemecah Melayu Bersatu atau apa sahaja yang anda memanggilnya, ini adalah mereka yang mungkin tidak puas hati, yang tidak dapat apa sahaja yang mereka mahu dalam Umno," katanya .

Menurutnya, mereka meninggalkan parti, tetapi akhirnya, rakyat tahu bahawa BN yang merupakan gabungan pelbagai kaum, yang akan menyediakan dan berkhidmat kepada rakyat untuk kebaikan negara ini.

Sementara itu, Rafiq turut mengulas kenyataan Tengku Adnan yang mendakwa ramai bekas anggota UMNO merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

“Katalah ada ribuan ahli UMNO yang dah dipecat merayu masuk UMNO, saya cabar dia senaraikan sebab dia janji nak bagi senarai.

“Tolong tunjuk berapa juta, berapa puluh ribu yang kena pecat ni. Tapi kami semua memang tak nak masuk balik,” katanya sambil disahut sorakan mereka yang hadir.

Terdahulu Rafiq digantung sebagai anggota UMNO selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda UMNO juga digugurkan.

Thursday, August 18, 2016

Boleh Tidur Nyenyak – BERSATU Tidak Mampu Jatuhkan UMNO’


Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertujuan memulihkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara.

Usaha itu penting kerana pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa Dr Mahathir telah menafikan hak undang-undang dan demokrasi di Malaysia.

"Parti baharu akan memberi perhatian kepada perubahan pemikiran rakyat Malaysia, dan memulihkan negara," katanya dalam blognya kelmarin.

Walaupun didakwa demikian, namun usaha untuk melunturkan UMNO sebagai parti yang mengamalkan demokrasi sama ada melalui pentadbiran dan perjalanan parti serta sistem pilihan raya yang diamalkan sejak merdeka adalah sukar digugat.

Malah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang bertunjangkan kepada kekuatan dan keutuhan UMNO pasti sukar untuk digoyahkan.

Jika demokrasi dijadikan asas untuk menumpaskan UMNO, ia suatu usaha yang sukar walaupun mungkin nasib parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan di negara-negara lain sudah lama berkecai .

Benar, kebanyakan parti seusia UMNO sudah banyak lenyap. Memang mereka tewas kepada parti baru yang dibentuk selepas kemerdekaan.

Tetapi ia  bukan kerana sebab-sebab tidak mengamalkan demokrasi tetapi akibat isu-isu seperti penyalahgunakan kuasa, selain pemimpinnya bertindak untuk kepentingan peribadi.

Ia sama sekali tidak ada kena mengena dengan sama ada parti berkenaan tidak mengamalkan demokrasi atau sistem sesebuah negara berkenaan tidak lagi demokratik.

Jepun, India, Pakistan, Bangladesh serta beberapa negara jajahan Britih lain memang mengamalkan demokrasi namun, parti yang memerintah kini, bukan lagi parti asal ketika negara berkenaan mencapai kemerdekaan.

UMNO dapat bertahan begitu lama kerana menjunjung demokrasi tetapi dengan sistem yang ada itu ia tidak akan menjamin ketahanannya jika pemimpin tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas perjuangannya.

Yang menjadi ancaman kepada UMNO ialah apabila pemimpinnya tidak lagi berfungsi memeperjuangakan kepentingan rakyat sebaliknya memenuhi selera dan kepentingan pemimpin semata-mata.

Persoalannya apakah Malaysia kini berkedudukan sedemikian?


Analisis yang dibuat oleh CNBC tidak memberikan harapan tinggi kepada parti baharu iaitu BERSATU untuk menjatuhkan UMNO.

Penganalisis politik dan ekonomi – walaupun bimbang dengan keadaan di Malaysia ketika ini – melihat BERSATU mungkin bukan lawan digeruni.

Ahli ekonomi di bank pelaburan Natixis, Tringh Nguyen memberitahu CNBC, kekebalan UMNO ialah kerana penguasaan bersejarah parti itu yang sekian lama bertapak di Malaysia.

Malah, beliau ragu-ragu dengan kemampuan parti baharu itu, memandangkan pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini berusia 91 tahun.

Bukan sahaja usianya lanjut tetapi pengaruh politiknya juga semakin merosot.

“Tidak mungkin Mahathir boleh meraih sokongan untuk menjatuhkan (Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Laporan itu menyatakan landskap politik negara yang berselerak, khasnya dengan pembangkang yang kelihatan berpecah-belah adalah satu lagi sebab UMNO akan terus berkuasa.
“Ada banyak cabaran menanti BERSATU, khasnya dengan pembangkang yang berpecah-belah,” kata Norshahril Saat, felow Iseas-Institut Yusof-Ishak yang merupakan sebuah kumpulan penyelidikan khusus dalam kajian Asean.

Norshahril berkata, perbalahan dalaman antara pembangkang, iaitu PKR, DAP, PAS dan AMANAH turut memperkukuhkan penguasaan Barisan Nasional.

Bekas setiausaha politik Najib dari 2009 hingga 2011,  Oh Ei Sun yang kini felow kanan di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura berkata, BERSATU ditubuhkan hanya untuk menggulingkan perdana menteri.

Menurut laporan itu, Pakatan Harapan yang terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP tewas dalam dua pilihan raya kecil, baru-baru ini, manakala satu lagi pakatan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama menggabungkan beberapa parti pembangkang kecil.

BERSATU pernah menegaskan ia tidak keberatan bersekutu dengan Pakatan Harapan dan jika itu berlaku, Oh berkata, ia hanya akan lebih mengelirukan landskap pembangkang.

Saat bagaimanapun berkata, beberapa pakatan itu akan menjadikan Pilihan Raya Umum 2018 lebih menarik.

“Harapan Mahathir ialah sentimen terhadap kerajaan BN tidak berubah sejak 2013, apabila lebih separuh rakyat Malaysia mengundi pembangkang,” katanya.

Kurangnya alternatif berdaya maju buat Najib dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, Malaysia secara keseluruhannya berada dalam “survival strategik”, kata Nguyen kepada CNBC.


Beliau berkata, dalam suasana politik huru-hara, wujud ruang tidak berkembang terhadap ramalan jangka sederhana dan kekurangan perbincangan untuk membawa Malaysia ke tahap pembangunan seterusnya.

Friday, May 13, 2016

Bersatu, Nasional Dan Kesetiaan Asas Kekuatan UMNO - Najib



Bila kita tanya apa roh, apa semangat UMNO itu, roh semangat UMNO itu di atas tangga Istana Besar Johor Baharu. Kalau itulah nafas yang bertiup dalam badan, itulah kalau dikatakan roh, darah daging, maka Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun lagi dan lebih daripada itu."

Bersatu, nasional dan kesetiaan - itu tiga asas yang menjadi formula kekuatan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 sehingga menjadi parti paling berjaya di dunia sehingga hari ini.

Menurut Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri, rahsia kekuatan UMNO terkandung pada namanya yang telah dipilih oleh pengasas iaitu 'Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu' atau 'United Malay National Organisation' yang menjadi kunci kekuatan menempuh sebarang ujian, cabaran dan krisis hingga pada hari ini.

"Nama bersatu atau 'united' adalah kunci kepada kejayaan kita. Dan kedua bila kita memecahkan tembok-tembok perasaan kedaerahan dan kenegerian ... tidak lagi berjuang dalam kelompok-kelompok yang kecil, tetapi berjuang atas nama kebangsaan.

"Maka kita mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga kuasa penjajah pada masa itu sedar bahawa atas kekuatan ini, mereka terpaksa menyerah bumi ini kepada kita rakyat Malaysia, dipimpin oleh UMNO dan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) untuk mengemudikan kepimpinan negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari UMNO ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur malam 12 Mei lalu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta wakil parti komponen BN.

Najib berkata banyak pihak yang bertanya apakah rahsia atau formula yang diguna pakai oleh UMNO yang membawa kepada kejayaan tidak putus-putus dipilih untuk mentadbir negara sehinggalah pada hari ini.

"Tidak perlu kita lihat lebih jauh, asasnya ialah kita bersatu, asasnya national, asasnya apa? kesetiaan. Saya nak tambah lagi, kesetian sepanjang hayat, sepanjang zaman kita dalam UMNO, dalam apa jua keadaan, walaupun kita tidak bersetuju, walaupun kita berbalah, berbeza pendapat," katanya.

Jelasnya, tidak ada parti politik yang tidak ada perbezaan pendapat dan tidak mengalami perbalahan dalaman tetapi mesti ada disiplin dan berlandaskan kasih, sayang dan kesetiaan pada parti dalam apa juga keadaan.

"Sebab itulah sepertimana saya sebut dua malam yang lalu, saya kata terus terang, kalau takdirnya satu hari nanti saya berselisih faham dengan pengganti saya, saya tidak akan keluar daripada UMNO.

"Sebab UMNO ini parti yang terlalu besar budi jasa kepada orang Melayu, kepada rakyat Malaysia, kepada keluarga saya, kepada diri saya. Saya tidak akan mengkhianati parti UMNO sehingga saat akhir hayat saya," katanya.

Najib turut menggariskan kejayaan UMNO, antaranya melahirkan ramai golongan intelek dan berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

"Daripada keadaan kita terhina tak ada maruah, hari ini kita sudah muncul sebagai bangsa yang bermaruah, dihormati dan disegani. Banyak kisah-kisah 70 tahun yang boleh saya huraikan. Satu demi satu kita semua telah melaluinya. Oleh itu saya mahu kita kembali semula. Bila kita tanya apa roh, apa semangat UMNO itu, roh semangat UMNO itu di atas tangga Istana Besar Johor Baharu.

"Kalau itulah nafas yang bertiup dalam badan, itulah kalau dikatakan roh, darah daging, maka Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun lagi dan lebih daripada itu," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan dalam komponen BN yang bersama-sama membantu UMNO dalam mentadbir negara.

Selepas berucap, Najib turut memotong pulut kuning bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO.

Beliau turut menyampaikan sumbangan parti kepada waris dua anggota Parlimen UMNO yang terkorban dalam nahas helikopter pada 5 Mei lalu di Sarawak, iaitu anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Sehari sebelum itu (11 Mei), Najib menyeru seluruh anggota parti untuk tidak membiarkan perbezaan pendapat dan ketidaksefahaman mencemar keharmonian parti.

Perdana Menteri berkata sesuatu isu itu perlu diselesaikan secara matang dan berhemah.

"Sehingga kini, UMNO terus menjuarai perjuangan membela untung nasib Melayu dan Bumiputera. Dalam perjalanan 70 tahun ini, sudah tentu parti ini tidak dapat lari daripada ujian dan cabaran.

"Ada yang memilih untuk tidak bersama UMNO dan membentuk parti baru, dan ada juga yang memilih untuk keluar masuk UMNO mengikut kehendak diri dan keadaan.

"Tetapi tidak mengapa, UMNO hormati keputusan mereka. Hal ini tidak sesekali mematahkan semangat juang UMNO malah mematangkan lagi kita semua," katanya dalam catatan terbaharu bertajuk 'UMNO 70 Tahun' dalam blognyawww.najibrazak.com.

Dalam meniti usia kematangan bersempena dengan ulang tahun ke-70 UMNO hari ini, Najib mengajak seluruh anggota parti agar bersama-sama berdoa supaya perjuangan parti keramat ini terus diberkati Allah SWT.

"Insya-Allah, saya yakin selagi mana UMNO berdiri teguh, selagi itu orang Melayu akan terus kekal sejahtera dan membangun di bumi bertuah Malaysia ini. Selamat ulang tahun ke-70, UMNO," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 70 tahun ini, rakyat telah melalui pelbagai dugaan dan kejayaan bersama.

Katanya UMNO bermula dengan perjuangan mulia, melakukan desakan kepada kerajaan British untuk memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

"Peristiwa ini merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957," katanya.