Showing posts with label UMNO 70 Tahun. Show all posts
Showing posts with label UMNO 70 Tahun. Show all posts

Friday, May 13, 2016

Bersatu, Nasional Dan Kesetiaan Asas Kekuatan UMNO - Najib



Bila kita tanya apa roh, apa semangat UMNO itu, roh semangat UMNO itu di atas tangga Istana Besar Johor Baharu. Kalau itulah nafas yang bertiup dalam badan, itulah kalau dikatakan roh, darah daging, maka Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun lagi dan lebih daripada itu."

Bersatu, nasional dan kesetiaan - itu tiga asas yang menjadi formula kekuatan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 sehingga menjadi parti paling berjaya di dunia sehingga hari ini.

Menurut Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri, rahsia kekuatan UMNO terkandung pada namanya yang telah dipilih oleh pengasas iaitu 'Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu' atau 'United Malay National Organisation' yang menjadi kunci kekuatan menempuh sebarang ujian, cabaran dan krisis hingga pada hari ini.

"Nama bersatu atau 'united' adalah kunci kepada kejayaan kita. Dan kedua bila kita memecahkan tembok-tembok perasaan kedaerahan dan kenegerian ... tidak lagi berjuang dalam kelompok-kelompok yang kecil, tetapi berjuang atas nama kebangsaan.

"Maka kita mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga kuasa penjajah pada masa itu sedar bahawa atas kekuatan ini, mereka terpaksa menyerah bumi ini kepada kita rakyat Malaysia, dipimpin oleh UMNO dan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) untuk mengemudikan kepimpinan negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari UMNO ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur malam 12 Mei lalu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta wakil parti komponen BN.

Najib berkata banyak pihak yang bertanya apakah rahsia atau formula yang diguna pakai oleh UMNO yang membawa kepada kejayaan tidak putus-putus dipilih untuk mentadbir negara sehinggalah pada hari ini.

"Tidak perlu kita lihat lebih jauh, asasnya ialah kita bersatu, asasnya national, asasnya apa? kesetiaan. Saya nak tambah lagi, kesetian sepanjang hayat, sepanjang zaman kita dalam UMNO, dalam apa jua keadaan, walaupun kita tidak bersetuju, walaupun kita berbalah, berbeza pendapat," katanya.

Jelasnya, tidak ada parti politik yang tidak ada perbezaan pendapat dan tidak mengalami perbalahan dalaman tetapi mesti ada disiplin dan berlandaskan kasih, sayang dan kesetiaan pada parti dalam apa juga keadaan.

"Sebab itulah sepertimana saya sebut dua malam yang lalu, saya kata terus terang, kalau takdirnya satu hari nanti saya berselisih faham dengan pengganti saya, saya tidak akan keluar daripada UMNO.

"Sebab UMNO ini parti yang terlalu besar budi jasa kepada orang Melayu, kepada rakyat Malaysia, kepada keluarga saya, kepada diri saya. Saya tidak akan mengkhianati parti UMNO sehingga saat akhir hayat saya," katanya.

Najib turut menggariskan kejayaan UMNO, antaranya melahirkan ramai golongan intelek dan berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

"Daripada keadaan kita terhina tak ada maruah, hari ini kita sudah muncul sebagai bangsa yang bermaruah, dihormati dan disegani. Banyak kisah-kisah 70 tahun yang boleh saya huraikan. Satu demi satu kita semua telah melaluinya. Oleh itu saya mahu kita kembali semula. Bila kita tanya apa roh, apa semangat UMNO itu, roh semangat UMNO itu di atas tangga Istana Besar Johor Baharu.

"Kalau itulah nafas yang bertiup dalam badan, itulah kalau dikatakan roh, darah daging, maka Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun lagi dan lebih daripada itu," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan dalam komponen BN yang bersama-sama membantu UMNO dalam mentadbir negara.

Selepas berucap, Najib turut memotong pulut kuning bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO.

Beliau turut menyampaikan sumbangan parti kepada waris dua anggota Parlimen UMNO yang terkorban dalam nahas helikopter pada 5 Mei lalu di Sarawak, iaitu anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Sehari sebelum itu (11 Mei), Najib menyeru seluruh anggota parti untuk tidak membiarkan perbezaan pendapat dan ketidaksefahaman mencemar keharmonian parti.

Perdana Menteri berkata sesuatu isu itu perlu diselesaikan secara matang dan berhemah.

"Sehingga kini, UMNO terus menjuarai perjuangan membela untung nasib Melayu dan Bumiputera. Dalam perjalanan 70 tahun ini, sudah tentu parti ini tidak dapat lari daripada ujian dan cabaran.

"Ada yang memilih untuk tidak bersama UMNO dan membentuk parti baru, dan ada juga yang memilih untuk keluar masuk UMNO mengikut kehendak diri dan keadaan.

"Tetapi tidak mengapa, UMNO hormati keputusan mereka. Hal ini tidak sesekali mematahkan semangat juang UMNO malah mematangkan lagi kita semua," katanya dalam catatan terbaharu bertajuk 'UMNO 70 Tahun' dalam blognyawww.najibrazak.com.

Dalam meniti usia kematangan bersempena dengan ulang tahun ke-70 UMNO hari ini, Najib mengajak seluruh anggota parti agar bersama-sama berdoa supaya perjuangan parti keramat ini terus diberkati Allah SWT.

"Insya-Allah, saya yakin selagi mana UMNO berdiri teguh, selagi itu orang Melayu akan terus kekal sejahtera dan membangun di bumi bertuah Malaysia ini. Selamat ulang tahun ke-70, UMNO," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 70 tahun ini, rakyat telah melalui pelbagai dugaan dan kejayaan bersama.

Katanya UMNO bermula dengan perjuangan mulia, melakukan desakan kepada kerajaan British untuk memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

"Peristiwa ini merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957," katanya.

Monday, May 9, 2016

70 Tahun UMNO: Cabaran Ditangani Secara Positif Demi Kelangsungan



UMNO yang menyambut ulang tahun ke-70 penubuhannya pada 11 Mei ini (lusa), masih berdiri teguh sehingga kini walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Cabaran demi cabaran yang dihadapi parti tersebut ditangani secara positif, sekali gus mematangkan parti keramat orang Melayu itu untuk meneruskan kelangsungannya sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Pergolakan dalam UMNO antara Team A dan Team B melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan pengharaman UMNO pada 1988, adalah antara kisah yang masih kekal dalam ingatan banyak pihak.

Pensyarah Kanan Hal-Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut tidak terlepas berdepan cabaran dalaman parti.


Ini termasuk 'serangan' daripada Dr Mahathir yang telah keluar parti dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah digantung jawatan sebagai timbalan presiden parti.

"Saya harap pada usia UMNO 70 tahun ini, tidak lagi berlaku penentangan yang membolehkan UMNO rosak dan rakyat seolah-olah melihat ia satu parti yang tidak berjasa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata landskap politik pada masa kini sudah jauh berbeza dan seharusnya ditangani dengan lebih rasional.

Bagaimanapun, Md Shukri memuji kepimpinan Najib yang disifatkannya sebagai pemimpin berkarisma, matang dan sabar dalam menempuh ujian politik dan pentadbiran.

"Dulu, walaupun ada pertembungan antara Ku Li dan Dr Mahathir, parti masih boleh menguasai Parlimen dan UMNO tetap mentadbir dan memerintah.

"Hari ini ia dibuat semasa UMNO sendiri menghadapi kelemahan dan Barisan Nasional (BN) pula bergantung harap kepada UMNO. Kalau UMNO gagal maksudnya BN itu sendiri terkubur.

"Sebab itu pentingnya UMNO ini. Situasi berbeza daripada dulu. Sebab kita (UMNO) tidak kuasai sepenuhnya Dewan Rakyat kerana parti komponen BN pun sudah lemah," katanya.

Md Shukri berkata untuk terus bertahan pada masa hadapan, antara kelompok yang perlu diberi keutamaan dalam UMNO adalah golongan elit supaya mereka lebih rasional dalam memelihara parti dan menghentikan perang politik.

"Cabaran lain dalam UMNO adalah untuk meningkatkan promosi yang positif mengenai parti itu kepada rakyat supaya rakyat melihat UMNO sebagai sebuah parti masyarakat dan parti kebajikan untuk rakyat," kata beliau.

Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata pencapaian terpenting UMNO sepanjang 70 tahun usianya adalah mengekalkan keamanan negara dengan bantuan parti komponen BN.

"Selepas (peristiwa rusuhan kaum) 13 Mei (1969), ada teori yang mengatakan Malaysia tidak akan bertahan dan akan bergaduh setiap tahun. Tetapi lihat hari ini, kita diletakkan pada kedudukan ke-17 dari segi Indeks Keselamatan Dunia," katanya.

Malah, katanya kestabilan politik dan ekonomi turut dapat dikekalkan demi kesenangan rakyat.

"Kita bermula daripada negara yang cukup mundur kepada negara yang maju hari ini. Jangan kita bunuh parti ini yang bertanggungjawab menjadikan apa yang kita dapat hari ini. Peliharalah ia sebaik-baiknya," kata beliau.

Sebagai Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Ibrahim turut berkongsi sumbangan parti itu terhadap sektor pendidikan khususnya kepada golongan Melayu.

"Saya masih ingat pada 1970 selepas Dasar Ekonomi Baru, tahap pendidikan Melayu, anak peribumi cukup rendah berbanding kaum lain yang lebih ke depan.

"Semasa itu rata-rata orang luar bandar tiada peluang kerana ibu bapa mereka miskin," katanya.

Melihat situasi golongan Melayu lemah dalam beberapa bidang termasuk perniagaan dan profesional, katanya kerajaan akhirnya menghantar lebih ramai pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke luar negara pada masa itu.

Selain itu, Institut Teknologi MARA (kini UiTM) yang ditubuhkan pada 1967 juga adalah antara tempat yang memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera untuk membangunkan taraf sosioekonomi mereka menerusi bidang pendidikan.

BERNAMA