UMNO yang menyambut ulang tahun ke-70 penubuhannya pada 11 Mei ini (lusa), masih berdiri teguh sehingga kini walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
Cabaran demi cabaran yang dihadapi parti tersebut ditangani secara positif, sekali gus mematangkan parti keramat orang Melayu itu untuk meneruskan kelangsungannya sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946.
Pergolakan dalam UMNO antara Team A dan Team B melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan pengharaman UMNO pada 1988, adalah antara kisah yang masih kekal dalam ingatan banyak pihak.
Pensyarah Kanan Hal-Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut tidak terlepas berdepan cabaran dalaman parti.
"Saya harap pada usia UMNO 70 tahun ini, tidak lagi berlaku penentangan yang membolehkan UMNO rosak dan rakyat seolah-olah melihat ia satu parti yang tidak berjasa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata landskap politik pada masa kini sudah jauh berbeza dan seharusnya ditangani dengan lebih rasional.
Bagaimanapun, Md Shukri memuji kepimpinan Najib yang disifatkannya sebagai pemimpin berkarisma, matang dan sabar dalam menempuh ujian politik dan pentadbiran.
"Dulu, walaupun ada pertembungan antara Ku Li dan Dr Mahathir, parti masih boleh menguasai Parlimen dan UMNO tetap mentadbir dan memerintah.
"Hari ini ia dibuat semasa UMNO sendiri menghadapi kelemahan dan Barisan Nasional (BN) pula bergantung harap kepada UMNO. Kalau UMNO gagal maksudnya BN itu sendiri terkubur.
"Sebab itu pentingnya UMNO ini. Situasi berbeza daripada dulu. Sebab kita (UMNO) tidak kuasai sepenuhnya Dewan Rakyat kerana parti komponen BN pun sudah lemah," katanya.
Md Shukri berkata untuk terus bertahan pada masa hadapan, antara kelompok yang perlu diberi keutamaan dalam UMNO adalah golongan elit supaya mereka lebih rasional dalam memelihara parti dan menghentikan perang politik.
"Cabaran lain dalam UMNO adalah untuk meningkatkan promosi yang positif mengenai parti itu kepada rakyat supaya rakyat melihat UMNO sebagai sebuah parti masyarakat dan parti kebajikan untuk rakyat," kata beliau.
Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata pencapaian terpenting UMNO sepanjang 70 tahun usianya adalah mengekalkan keamanan negara dengan bantuan parti komponen BN.
"Selepas (peristiwa rusuhan kaum) 13 Mei (1969), ada teori yang mengatakan Malaysia tidak akan bertahan dan akan bergaduh setiap tahun. Tetapi lihat hari ini, kita diletakkan pada kedudukan ke-17 dari segi Indeks Keselamatan Dunia," katanya.
Malah, katanya kestabilan politik dan ekonomi turut dapat dikekalkan demi kesenangan rakyat.
"Kita bermula daripada negara yang cukup mundur kepada negara yang maju hari ini. Jangan kita bunuh parti ini yang bertanggungjawab menjadikan apa yang kita dapat hari ini. Peliharalah ia sebaik-baiknya," kata beliau.
Sebagai Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Ibrahim turut berkongsi sumbangan parti itu terhadap sektor pendidikan khususnya kepada golongan Melayu.
"Saya masih ingat pada 1970 selepas Dasar Ekonomi Baru, tahap pendidikan Melayu, anak peribumi cukup rendah berbanding kaum lain yang lebih ke depan.
"Semasa itu rata-rata orang luar bandar tiada peluang kerana ibu bapa mereka miskin," katanya.
Melihat situasi golongan Melayu lemah dalam beberapa bidang termasuk perniagaan dan profesional, katanya kerajaan akhirnya menghantar lebih ramai pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke luar negara pada masa itu.
Selain itu, Institut Teknologi MARA (kini UiTM) yang ditubuhkan pada 1967 juga adalah antara tempat yang memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera untuk membangunkan taraf sosioekonomi mereka menerusi bidang pendidikan.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment