Monday, May 9, 2016

Utamakan Perpaduan Daripada Kemenangan Bertanding Sesama Sendiri - Wan Mokhtar



Perpaduan lebih penting daripada kemenangan dalam pertandingan sesama sendiri dalam parti, kata veteran UMNO Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Menurutnya pertandingan sedemikian hanya akan menimbulkan perpecahan dan mewujudkan kumpulan-kumpulan kecil yang akhirnya memberi kesan negatif kepada parti.

"Tidak perlulah berebut..ikhlaskan perjuangan," pesan bekas Menteri Besar Terengganu dari 1974 hingga 1999 itu dalam wawancara eksklusif bersama Bernama sempena ulangtahun ke-70 UMNO pada 11 Mei ini.

Mengenang semula memori perjuangannya, Wan Mokhtar berkata ketika memegang jawatan Naib Ketua Bahagian, beliau pernah menolak cadangan beberapa pemimpin Bahagian Kemaman sekitar 1963 untuk mencabar ketua bahagian.


Ini kerana beliau tidak mahu berlaku perpecahan dan tuduh menuduh hingga timbul persengketaan secara senyap yang bagaikan 'api dalam sekam' yang boleh menyala pada bila-bila masa sahaja.

"Saya 'pegang' Kemaman selama 32 tahun. Saya masuk (menyertai UMNO) sembilan tahun dan semasa tempoh itu, masing-masing ya Allah...bergaduh...masa tu arwah Datuk Sulong Mahmood, dia tiada kelulusan. Saya dicalon untuk bertanding tetapi saya tolak.

"Bagi saya, bukan soal dia tiada kelulusan tapi soal kebolehan dia memimpin. Jadi dia memimpin baik, kita tak ada hal. Kita sokong. Tiap-tiap kali pemilihan bahagian, panggil saya suruh lawan...saya tetap kata jangan lawan.

"Punca perpecahan bahagian pasal berlawan. Bila kata tak berlawan...tak berlawanlah sampai tujuh tahun lepas itu apabila berlaku krisis besar di Kemaman membabitkan penyokong bekas anggota Parlimen Wan Yahya Wan Mohamad dengan penyokong bekas Menteri Besar Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad," katanya.

Wan Mokhtar berkata persengketaan itu memaksa presiden parti ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein datang ke Kemaman dan mengambil alih Bahagian Kemaman.

Jelasnya persengketaan terhenti dalam tempoh setahun selepas Jawatankuasa Tadbir yang ditubuhkan khas untuk pemutihan ahli berjaya memupuk kembali perpaduan.

"UMNO Kemaman semakin kukuh apabila begitu ramai ahli yang hadir. Paling menggembirakan ialah lawan saya dalam pilihraya 1964, Wan Hamid Wan Ibrahim yang bertanding atas tiket Barisan Sosialis (SF) kembali ke UMNO dan amat aktif membantu kekuatan parti selepas itu.

"Tun Razak sangat gembira mendapati Jawatankuasa Tadbir menjalankan tugas dengan sempurna. Beliau memuji saya selaku Setiausaha Tadbir dan menyatakan saya boleh memimpin bahagian itu sekiranya perwakilan mempercayai saya.

"Bagai yang diduga, perwakilan memilih saya...saya tidak dicabar. Sejak itu saya kekal sebagai Ketua Bahagian Kemaman selama 28 tahun iaitu 1971 hingga 1999," katanya.

Sepanjang wawancara yang berlangsung hampir sejam setengah itu, beliau berulang kali menegaskan rahsia UMNO masih kekal sehingga kini hanyalah kerana 'perpaduan...jangan berlawan'.

"Bila tak berlawan, kita tak ada musuh...kalau kita asyik berlawan dan duk (asyik) berebut nak buat apa...awak pandai macam mana pun, tunggulah dulu nak rebut untuk apa...asyik-asyik nak berlawan," katanya yang kadang kala kelihatan hiba apabila ditanya keadaan parti UMNO ketika ini.

Wan Mokhtar yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, berkata beliau sentiasa menjaga dan mengekalkan hubungan baik dengan kepimpinan UMNO Pusat dan kerap turun padang bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang timbul di peringkat bahagian.

"Masa saya dulu, saya dengan Kuala Lumpur (UMNO Pusat) bagus, dengan parti pun baik dan dua bulan sekali saya buat (adakan) mesyuarat perhubungan negeri sebab nak tahu masalah di semua bahagian.

"Kemudian, saya akan buat lawatan ke bahagian. Kita sendiri yang pergi, jadi tidak ada apa yang berbangkit, semuanya tenang sehinggalah saya melepaskan jawatan," katanya.

Wan Mokhtar berkata selepas 15 tahun menjadi Menteri Besar, beliau pernah berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi peluang kepada orang lain, namun permintaannya ditolak.

"Ketika itu saya jumpa Dr Mahathir supaya gantikan jawatan saya dengan orang lain sebab saya kesian juga dengan orang lain dan kami berbincang selama satu jam.

"Saya cakap, saya dah 15 tahun Datuk, bagi orang lain pula ganti dan Mahathir tanya nak ganti dengan siapa? Saya cakap Datuk Rashid Ngah, Datuk Abu Bakar Ali ada...tapi masa itu dia tetap suruh saya sambung lagi," katanya.

Ditanya rahsia lain beliau dapat menjalankan tanggungjawapnya, Wan Mokhtar berkata beliau sentiasa berpandukan al-Quran dan hadis dalam setiap perbuatan dan kepimpinannya.

"Kita kena ingat, bila kita pegang jawatan tinggi jangan ambil peluang dengan apa yang ada...kita bergantung pada gaji kita sudahlah. Buat kerja itu biar berkat, jangan buat perkara bagi orang marah," katanya.

Sepanjang 25 tahun menjadi menteri besar, Wan Mokhtar berkhidmat di bawah tiga pemerintahan Sultan Terengganu iaitu Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultan Mizan Zainal Abidin serta tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.

Setelah tewas pada pilihan raya ke-10 pada 1999, Wan Mokhtar kemudiannya dilantik sebagai Duta Malaysia ke Mesir selama lima tahun bermula 2000 hingga 2005. 

No comments:

Post a Comment