Monday, May 30, 2016

Pemilihan Mastura ambil kira pandangan ulama – Ahmad Zahid


Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan ‘kempen kaedah tanpa kehadiran calon’ dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar sebagai langkah menghindarkan salah faham mengenai isu edah, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pendekatan kempen BN akan menggunakan sepenuhnya kemudahan multimedia yang menampilkan ucapan-ucapan calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui kaedah tersebut diharap tidak lagi timbul isu berkaitan hukum edah yang telah ditimbulkan oleh parti pembangkang.

Menurutnya lagi, selama ini pun kempen sesuatu pilihan raya hanya melibatkan 50 peratus sahaja kehadiran calon manakala selebihnya dijalankan melalui kempen atau ceramah yang dijalankan oleh petugas-petugas parti.

“Kita sudah teliti sebelum mengumumkan Datin Mastura sebagai calon BN. Ini termasuk kaedah berkempen dan juga hukum berkaitan edah.

“Saya juga telah bertanyakan hukum dan mendapatkan pandangan para ulama termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai isu idah ini.

“Dari lima calon yang disenaraikan oleh BN, Datin Mastura didapati yang paling sesuai dan berwibawa serta diterima ramai pengundi,” katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di Tokyo semalam.

BN mengumumkan Datin Mastura Mohd. Yazid sebagai calon BN di PRK Parlimen Kuala Kangsa yang akan menentang calon Pas, Dr. Najihatussalehah Ahmad.

Sementara itu, BN akan menggunakan strategi 'kempen tanpa calon' bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar susulan calonnya, yang masih berada dalam tempoh edah.

Dr. Ahmad Zahid berkata, strategi yang julung kali diguna pakai jentera BN semenjak parti itu ditubuhkan telah mengambil kira fatwa mengikut hukum qat'ie dalam Islam yang berkaitan tempoh edah seseorang wanita yang kematian suami.

"UMNO mengadakan perbincangan dengan beberapa ulama, termasuk mereka yang menganggotai jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, selain turut berbincang dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bagi mendapatkan pandangan dan pendapat," katanya.

Beliau berkata, beberapa kaedah telah dicari untuk memperkenalkan Mastura kepada pengundi termasuk merakamkan ucapannya yang akan disiarkan di semua pusat daerah mengundi dan lokasi-lokasi sasaran, selain melalui komunikasi tanpa lisan.

"Yakinlah, kaedah ini telah kami (BN) fikirkan bagi menghormati hukum yang telah ditentukan dan diharap pengundi di Kuala Kangsar yang hampir 60 peratus beragama Islam memahami situasi itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, strategi kempen tanpa calon itu telah dijelaskan kepada pemimpin komponen parti BN yang bukan beragama Islam di Kuala Kangsar supaya mereka dapat menjelaskan isu berkenaan kepada para pengundi.

Beliau berkata, Mastura akan berada di rumahnya sepanjang kempen diadakan kerana masih dalam tempoh edah.

Ditanya mengenai penerimaan Mastura oleh pengundi di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Ahmad Zahid berkata, calon BN itu mempunyai kelebihan tersendiri yang berpengalaman luas dalam bidang politik negara dan banyak bergaul dengan pengundi kawasan itu semasa suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan dari 2004 hingga 2013, dan kemudian sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar sejak 2013.

"Saya yakin beliau akan diterima baik berbanding calon lain yang tidak bergaul di kawasan undi..., dan tentunya beliau akan melakukan yang terbaik," katanya.

No comments:

Post a Comment