Saturday, May 28, 2016

Kuala Kangsar – Tangan Yang Menghayun Buai Mana Akan Dipilih?

Datin Mastura Mohd Yazid, calon BN
Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat UMNO tidak pernah mengalami kekalahan di Parlimen Kuala Kangsar sejak pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1959.

Kerana itu bagi UMNO dan BN perlu mengekalkan momentum kemenangan itu  kerana Kuala Kangsar merupakan kawasan putih bagi BN.

Bekas Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali semalam berpesan, pengundi di Kuala Kangsar wajar menjadikan peristiwa hitam ketika pakatan pembangkang memerintah Perak selama 11 bulan.

Ini kerana sepanjang tempoh itu rakyat mengalami penderitaan akibat pentadbiran kerajaan campuran antara DAP, PAS dan PKR sehingga menyebabkan Perak menjadi kucar-kacir.

Dr Najihatussalehah, calon PAS
Ia adalah iktibar menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

Kekosongan kerusi Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian penyandangnya, Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il memperolehi 14,218 undi dengan majoriti 1,082 undi menyingkirkan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan Calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.

Kuala Kangsar mempunyai 32,632 pengundi berdaftar dengan 312 merupakan pengundi awal.

Dengan kedatangan PRK itu, ia merintis kepada kemungkinan  pertandingan tiga penjuru. Namun BN dan PAS sudahpun mengumumkan calonnya.

Balu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Mohd Yazid diumum sebagai calon BN dan pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan raya kecil itu di Pusat Arahan BN di sini kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Mastura, 55, merupakan seorang graduan undang-undang daripada Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun. Beliau mempunyai pengalaman bergiat dalam politik, iaitu Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan.

Mastura dilihat seorang yang berani mengeluarkan pendapat dan lantang bersuara untuk sebarang perihal melibatkan kebajikan penduduk di sekitar Kuala Kangsar.

Di pihak PAS, semalam Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad dinamakan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bulan depan.

Dr Najihatussalehah, 50, juga merupakan Anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2015-2017.

Beliau yang berasal dari Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri, Pasir Salak memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Kuala Lumpur.

BN sudah memulakan gerak kerja PRK dengan mengedarkan poster 'Keluargaku Pengundi BN' kepada 4,800 anggota Veteran UMNO Kuala Kangsar untuk dilekatkan di rumah masing-masing sebagai usaha membantu calon BN pada PRK tersebut.

Ini adalah simbolik tanda sokongan veteran UMNO terhadap calon BN dan berikrar akan bekerja habis-habisan untuk memenangkan calon itu," katanya. 


No comments:

Post a Comment