Wednesday, May 11, 2016

UMNO Perlukan Faktor X Sebagai Anjakan Baharu Demi Orang Muda


"Jangan mudah alpa dan seronok. Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini belum cukup dijadikan kayu pengukur sokongan rakyat terhadap parti. Sarawak kukuh kerana imej Ketua Menterinya, bagaimana pula di Semenanjung?”
- Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh

UMNO harus merenung kembali sejarah kegemilangannya yang dipandang hambar oleh generasi muda sekarang, khususnya agar tercetus satu anjakan baharu untuk menawan hati rakyat berbilang kaum negara ini.
  
Bekas Menteri Besar Perlis keempat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh berkata UMNO juga perlu mencari faktor X supaya parti itu tidak dianggap eksklusif oleh generasi muda yang akan memastikan kelangsungan politik UMNO.

"Penting bagi UMNO melakukan anjakan dengan aura baharu yang lebih segar kerana zaman dahulu dan kini jauh berbeza. UMNO ini sama seperti makhluk yang menjadi harapan rakyat semasa dilahirkan.

"Namun di usia 70 tahun, UMNO dilihat tidak syumul, jauh tersimpang dari matlamat. Ada masa ia sihat, sakit, kuat atau lesu," kata Abdul Hamid kepada Bernama di Kangar (semalam,10 Mei)

Abdul Hamid, 71, yang juga bekas Yang DiPertua Dewan Negara selama dua penggal (2003-2009), berpendapat UMNO perlu berusaha keras untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat mengenai arah tuju perjuangannya.

"Kita tidak mampu menyembunyikan kenyataan. Jelas hari ini sambutan rakyat terhadap UMNO tidak seperti dahulu. Rakyat sangsi dengan pemimpin UMNO yang dilihat berjuang untuk kepentingan mereka," katanya.

Abdul Hamid berkata para pemimpin UMNO perlu berpegang pada prinsip kejujuran intelek sepanjang berada dalam kancah politik.

Beliau berkata setiap pilihan, tindakan atau keputusan yang dibuat tidak harus dipengaruhi emosi, ego atau dikuasai ketamakan jika mahu mendapat penghormatan rakyat.

"Jika setiap anggota parti berpegang pada prinsip demikian, UMNO akan mendapat semula rentak perjuangan dan faktor X yang dicari," katanya dengan memberi contoh gaya kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sesuai dicontohi oleh pucuk pimpinan UMNO masa kini.

Menurutnya, karektor, aura dan peribadi Adenan yang merendah diri, berpandangan jauh, bijak dan tegas berjaya menarik hati pelbagai etnik rakyat Sarawak dan membuatkan beliau disenangi.   

Abdul Hamid berkata kepimpinan UMNO dari akar umbi sehingga yang tertinggi harus fokus dan jelas mengenai perjuangan parti itu tanpa perlu rasa takut atau gentar menghadapi lawan.

"UMNO dahulu gemilang kerana berpaksi pada tanggungjawab, berbeza sekarang ahli-ahlinya berpaksi pada penguasaan politik untuk memegang jawatan serta bercita-cita tinggi.

Ramai dalam kalangan mereka lupa perjuangan dan fungsi sebenar untuk membantu rakyat, dan hanya muncul semasa pemilihan parti atau menjelang pilihan raya.

"Semasa kegemilangan UMNO dahulu, kalau dapat tongkol kayu daripada UMNO, rakyat tetap hargai tetapi UMNO sekarang bagi emas setongkol pun rakyat tak pandang. Inilah beza imej UMNO dulu dan sekarang," kata Abdul Hamid.

"Jangan mudah alpa dan seronok. Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini belum cukup dijadikan kayu pengukur sokongan rakyat terhadap parti.

"Meskipun pada mata kasar sambutan rakyat pada BN memberangsangkan tetapi usah cepat berpuas hati. Sarawak kukuh kerana imej Ketua Menterinya, bagaimana pula di Semenanjung?," kata Abdul Hamid.

Beliau yang telah menjadi anggota UMNO sejak berusia 16 tahun, yakin UMNO akan menemui titik tolak yang berupaya mengembalikan keperkasaan parti itu jika ahli-ahlinya berani mengambil tindakan yang disenangi rakyat.

Tajuk asal - UMNO perlu renung sejarah parti, cari faktor X


No comments:

Post a Comment