Wednesday, May 25, 2016

Faktor Dr M - Sebelum Ini 'Tak Heran', Sekarang Dah Bimbang Pula...


Tertanya-tanya dengan sikap pemimpin UMNO mengenai ‘pengaruh dan kekuatan’ Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak seperti Sarawak, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu kini dikatakan akan turut berkempen menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

Ada mengatakan Dr Mahathir sudah tidak ada pengaruh dan tidak akan berkesan langsung kalau pun turun padang pada PRK dua kerusi Parlimen – Sungai besar dan Kuala Kangsar – serentak 18 Jun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Mei lalu menyebut tidak akan ada sebarang hasilnya daripada sejuta tandatangan yang dikumpulkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' untuk Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir.

Deklarasi itu mndesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga untuk pembaharuan institusi.

Pengerusi, Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad menegaskan pada 16 Mac bahawa UMNO tidak bimbang dengan pengaruh bekas Perdana Menteri itu dan timbalan presiden parti itu yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kamu fikir kami tiada kerja lain tetapi bimbangkan perkara ini? Kami telah kerja sejak hari pertama, kami tahu perkara ini akan berlaku," kata Shahrir ketika ditanya sejauh mana pengaruh Mahathir dan Muhyiddin terhadap ahli UMNO.

Kelmarin (24 Mei), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak menegaskan, jentera BN tidak sedikitpun bimbang dengan kemungkinan Dr Mahathir turun berkempen bagi pihak pembangkang dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya pentas PRK  tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh BN untuk menjelaskan perilaku sebenar bekas Perdana Menteri itu.
 
Semalam, 25Mei, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kehadiran Dr  Mahathir bagi mem­bantu kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak akan menjejaskan prestasi BN.

BN sebaliknya mengalu-alukan kedatangan bekas Perdana Menteri itu kerana ia dapat membuktikan bahawa beliau tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat.

Namun di sebalik itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa semalam memberi amaran, BN tidak seharusnya selesa dan terlalu yakin menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ini kerana, katanya, BN perlu berasa bimbang ekoran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan akan turut berkempen bagi pihak pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

Annuar yang turut mengenali Dr Mahathir kerana pernah bekerja dengannya di Pusat dan di Kelantan, sama ada dalam Kabinet mahupun UMNO,  pasti tahu sangat kerenah dan tindakan tanpa dijangka bekas Perdana Menteri  


"Tak boleh kata tak bimbang. Jika kita kata tak bimbang (DR Mahathir berkempen untuk pembangkang) macam terlalu yakin (over confident).

"Apa benda yang berlaku kita kena ada kebimbangan. Kalau Tun berkempen untuk pembangkang, kita kena rasa bimbang.

Malah menurut Annuar,  UMNO perlu menjawab tohmahan yang  dilemparkan Dr Mahathir bagi mengelak rakyat terpengaruh dengan segala dakwaan bekas perdana menteri itu.

"Bahaya kalau kata tidak apa. Sekarang ini kita tidak boleh nak agak, terutama terhadap pengundi muda, pengundi bukan Melayu, dan banyak faktor yang kita kena tengok.

Ternyata Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh itu bimbang terhadap pendirian Dr Mahathir yang akan membantu pembangkang menewaskan BN dalam PRK itu.

Seelok-eloknya pemimpin UMNO mengambil perhatian terhadap apa yang disebut oleh pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa  rakyat tidak boleh menafikan perkara itu walaupun setelah Mahathir bertindak keluar dari UMNO.

Tengku Razaeligh yang sangat arif dengan tingkahlaku Dr Mahathir turut tidak menafikan Dr Mahathir seorang yang sedar apa yang dilakukan.

“Dia mempunyai objektif. Jadi, sudah tentu dia akan mempromosikan objektifnya agar tercapai. Dia akan buat yang terbaik,” katanya.

Mengulas berkenaan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan, Ku Li akui sukar menjangkakan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi atau sebaliknya.

“Sukar untuk saya ulas, kerana dia (Dr Mahathir) sering mengejutkan. Dengan semua cadangannya, saya tidak boleh nilaikan situasi atau memberikan cadangan, ia sukar,” katanya.

Untuk pemimpin UMNO, jangan ingat Dr Mahathir ke Sungai besar dan Kuala Kangsar sahaja.


Dengan gelombang Deklarasi Rakyat sekarang, siapa boleh meramalkan akan jadi dalam tempoh dua tahun akan datang?

No comments:

Post a Comment