Showing posts with label Dr Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Dr Mahathir. Show all posts

Thursday, February 23, 2017

Apabila Sultan Johor 'Libas' Empat Pemimpin Sekali Gus....


Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini  menyindir sikap seorang ahli politik veteran yang dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baginda juga membidas keras dua menteri besarnya sebelum ini serta seorang menteri pusat. Dua bekas menteri besar itu didakwa angkuh, sombong dan hanya mengikut telunjuk kerajaan pusat.

Dua menteri besar sebelum ini ialah Datuk Ghani Othman dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dua menteri besar yang mentadbir Johor sebelum ini adalah Tan Sri Abdul Ghani Othman (1995-2013) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (1986-1995) yang kini memimpin parti pembangkang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mengulas lanjut tentang hubungan persekutuan dan negeri, Sultan Johor berpesan kepada pemimpin persekutuan agar tidak lupa dengan hak dan peranan dimainkan negeri.


Titah itu disampaikan ketika merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong di Muar, dalam kawasan parlimen Pagoh, yang merupakan kubu kuat Muhyiddin.

Sultan Johor bertitiah: "Dahulu, dia (ahli politik dari negeri lain) sering menyindir Melayu mudah lupa, hari ini dia sendiri menunjukkan sifat pelupanya.

"Dulu kata pembangkang musuh ketat tetapi boleh duduk semeja menjadi kawan rapat.

"Dulu dia kata media barat suka buat cerita tapi sekarang cerita media barat dikatanya fakta.

"Jika dia bukan pelupa mungkin ada sedikit nyanyuk akibat faktor usia," titah baginda ketika berkenan merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong, di Bukit Kepong, Muar semalam.

Galeri Darurat Bukit Kepong setinggi dua tingkat itu yang menelan kos RM11.5 juta siap dibina pada akhir tahun lalu.

Dalam titahnya, walaupun tidak menyebut nama, baginda menyindir mungkin 'orang luar' ini telah lupa yang zamannya telah berlalu.

Mengenai  dua menteri besarnya sebelum ini yang didakwa angkuh, sombong Sultan Ibrahim menegaskan, kejayaan yang dicapai di Johor kini adalah kerana adanya hubungan yang baik antara beliau dengan menteri besar sekarang.

“... bukan seperti dua menteri besar yang dahulu, yang angkuh dan sombong dan hanya mengikut telunjuk kerajaan persekutuan,” titah baginda.

Titah Baginda lagi, pembangunan negeri Johor amat berbeza jika dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun lalu.


“Kalau dulu kerajaan negeri sampai tiada wang untuk bayar gaji kakitangan, tapi hari ini kerajaan ada lebihan hasil berbilion ringgit,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda berharap supaya rakyat jelata bersama-samanya mempertahankan Johor dan tidak menoleh ke belakang.

“Dari kecil lagi saya telah di didik untuk menjaga negeri Johor. Saya tahu apa yang terbaik untuk negeri saya. Tak akan saya hendak aniaya rakyat saya sendiri,” titahnya.

Mengenai 'orang luar' itu, Baginda mengingatkan  supaya jangan mencampuri urusan orang lain. "Nasihat saya kepada dia, cukup-cukuplah. Dunia ini ada siang dan malam, bukan boleh siang berterusan.

"Jangan sibuk jaga tepi kain orang, lebih baik betulkan kain sendiri yang telah reput dan koyak," titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga akan turun takhta apabila usia meningkat dan tiada lagi kudrat untuk memerintah.

"Saya tidak akan campur tangan atau kecam raja baharu yang memerintah.
"Terimalah raja baharu dan ikut perintah dia. Jangan nanti saya di hantar ke rumah orang tua sudahlah," titah baginda.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim dengan lantang mengkritik Dr Mahathir susulan serangan berterusan bekas perdana menteri itu terhadap projek pembangunan di Johor membabitkan syarikat China.

Titah baginda, Dr Mahathir didakwa cuba mencipta ketakutan dengan menggunakan isu perkauman yang menjejaskan emosi rakyat Johor untuk memenuhi motif politiknya.

Sultan Ibrahim turut menempelak “menteri persekutuan yang kurang bijak” yang mahu menjadikan kawasan negeri sebagai wilayah persekutuan.

“Pemimpin berfikiran sempit seperti inilah yang akan meretakkan hubungan antara negeri dan persekutuan, dan menimbulkan rasa kebencian rakyat terhadap kerajaan,” katanya.


Baginda merujuk cadangan Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menukar status Pulau Pinang, Langkawi, sebahagian Melaka dan Pulau Tioman kepada Wilayah Persekutuan.

Cadangan tersebut dikecam pelbagai pihak, antaranya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal” dan bersifat hasutan.

Saturday, July 16, 2016

Parti Baru Dr M Tamparan Buat DAP, PKR Dan AMANAH?


Pergerakan Pemuda UMNO melihat hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai tanda ketidakyakinan beliau terhadap parti-parti pembangkang sedia ada.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata kegagalan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyebabkan Dr Mahathir terpaksa menubuhkan parti baharu dan tidak boleh bergantung harap kepada parti pembangkang yang lain.

Khairy...tamparan buat pembangkang
"Kalau beliau yakin dengan rakan-rakan pembangkang beliau yang baharu ini iaitu DAP, PKR dan Amanah, tak perlu beliau tubuhkan parti baharu.

"Ini bagi saya satu tamparan buat DAP, PKR dan Amanah sampai negarawan usia 90 tahun terpaksa keluar daripada persaraan dunia politik untuk tubuhkan parti sendiri," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Gadong, Rembau hari ini, yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Di Larut, Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir secara tidak langsung mendedahkan matlamat bekas anggota UMNO itu yang selama ini kononnya berjuang demi parti.

Hamzah berkata penyertaan bekas anggota UMNO dalam parti baharu tersebut jelas menunjukkan mereka merupakan individu yang gilakan kuasa.

"Kami tidak mahu musang yang berbulu ayam dalam parti. Bila Tun Mahathir buat parti baharu, kita nampak dengan jelas siapa yang nak sangat kuasa.

"Sebelum ini mereka beriya kata penyertaan dalam UMNO adalah atas nama perjuangan, tapi sekarang siapa yang tamak nak kuasa," kata Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan 2016 sempena program kepenggunaan Parlimen Larut di Ijok hari ini yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.
Sehubungan itu, Hamzah menolak dakwaan bahawa penubuhan parti baharu itu dibuatatas nama kesepakatan bersama pembangkang.

Noh...tanpa matlamat
Di Serdang, anggota MT UMNO Tan Sri Noh Omar berkata penubuhan parti baharu tanpa matlamat perjuangan yang jelas tidak akan mampu menyaingi UMNO dalam meraih kepercayaan dan sokongan rakyat.

Beliau berkata walaupun mungkin diterajui bekas individu tersohor dan dikenali seperti Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sesebuah parti baharu mesti mempunyai falsafah dan matlamat perjuangan yang jelas seperti UMNO, bukannya sekadar untuk menjayakan agenda individu tertentu atau atas nama deklarasi rakyat.

"Dalam berpolitik, bila hendak tubuh parti mesti ada falsafah atau matlamat perjuangan dan dalam hal ini apa falsafah dan matlamat perjuangan parti baharu yang kononnya akan digerakkan Tun Mahathir itu.

"Kalau matlamatnya hanya sekadar untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau bagi menjayakan deklarasi rakyat, ia tentunya tidak akan tercapai malah terbukti telah ditolak rakyat seperti ditunjukkan melalui PRN Sarawak dan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini, Noh berkata sejarah juga membuktikan parti tunjang orang Melayu itu akan terus bertahan, malah makin kukuh walaupun pernah tercatat bahawa pengasas penubuhannya iaitu Allahyarham Datuk Onn Jaafar sendiri meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti baharu.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata parti itu juga kekal utuh dan terus diterima rakyat walaupun ada pemimpinnya keluar parti dan menubuhkan parti baharu iaitu PAS dan Semangat 46, khusus bagi menyaingi UMNO.

"Jadi, perbezaan antara UMNO dan parti-parti lain ialah UMNO ditubuhkan atas dasar perjuangan bukan kerana menyokong pemimpin sebaliknya UMNO menyokong perjuangan...pemimpin datang dan pergi namun parti kekal teguh, ini prinsip kita," katanya, yang menambah parti yang ditubuhkan kerana seseorang individu akan berkubur apabila pemimpin tersebut tidak ada.

Di Sandakan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Juslie Ajirol menyifatkan kewujudan pakatan baharu diketuai Dr Mahathir itu tidak menggugat kekuatan UMNO di Sabah.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Libaran melihat UMNO Sabah tetap kukuh dan kuat di bawah kepimpinan Najib sebagai presiden parti dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.

Beliau tidak menafikan ada individu yang mungkin menyertai pakatan berkenaan.
"Semangat perpaduan dan berjuang untuk parti UMNO, iaitu pemimpin dan anggota akan terus bersama UMNO dalam meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Tiram Batu 19, dekat Sandakan, hari ini.

Juslie yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah berkata UMNO merupakan sebuah parti yang besar dan telah menjadi parti yang amat berjasa pada seluruh rakyat Malaysia.

"Kita tahu dia (Mahathir) berjasa kepada rakyat Malaysia tetapi kita juga tahu, jasanya semua datang daripada UMNO," katanya. 

Wednesday, May 25, 2016

Faktor Dr M - Sebelum Ini 'Tak Heran', Sekarang Dah Bimbang Pula...


Tertanya-tanya dengan sikap pemimpin UMNO mengenai ‘pengaruh dan kekuatan’ Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak seperti Sarawak, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu kini dikatakan akan turut berkempen menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

Ada mengatakan Dr Mahathir sudah tidak ada pengaruh dan tidak akan berkesan langsung kalau pun turun padang pada PRK dua kerusi Parlimen – Sungai besar dan Kuala Kangsar – serentak 18 Jun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Mei lalu menyebut tidak akan ada sebarang hasilnya daripada sejuta tandatangan yang dikumpulkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' untuk Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir.

Deklarasi itu mndesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga untuk pembaharuan institusi.

Pengerusi, Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad menegaskan pada 16 Mac bahawa UMNO tidak bimbang dengan pengaruh bekas Perdana Menteri itu dan timbalan presiden parti itu yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kamu fikir kami tiada kerja lain tetapi bimbangkan perkara ini? Kami telah kerja sejak hari pertama, kami tahu perkara ini akan berlaku," kata Shahrir ketika ditanya sejauh mana pengaruh Mahathir dan Muhyiddin terhadap ahli UMNO.

Kelmarin (24 Mei), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak menegaskan, jentera BN tidak sedikitpun bimbang dengan kemungkinan Dr Mahathir turun berkempen bagi pihak pembangkang dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya pentas PRK  tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh BN untuk menjelaskan perilaku sebenar bekas Perdana Menteri itu.
 
Semalam, 25Mei, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kehadiran Dr  Mahathir bagi mem­bantu kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak akan menjejaskan prestasi BN.

BN sebaliknya mengalu-alukan kedatangan bekas Perdana Menteri itu kerana ia dapat membuktikan bahawa beliau tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat.

Namun di sebalik itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa semalam memberi amaran, BN tidak seharusnya selesa dan terlalu yakin menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ini kerana, katanya, BN perlu berasa bimbang ekoran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan akan turut berkempen bagi pihak pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

Annuar yang turut mengenali Dr Mahathir kerana pernah bekerja dengannya di Pusat dan di Kelantan, sama ada dalam Kabinet mahupun UMNO,  pasti tahu sangat kerenah dan tindakan tanpa dijangka bekas Perdana Menteri  


"Tak boleh kata tak bimbang. Jika kita kata tak bimbang (DR Mahathir berkempen untuk pembangkang) macam terlalu yakin (over confident).

"Apa benda yang berlaku kita kena ada kebimbangan. Kalau Tun berkempen untuk pembangkang, kita kena rasa bimbang.

Malah menurut Annuar,  UMNO perlu menjawab tohmahan yang  dilemparkan Dr Mahathir bagi mengelak rakyat terpengaruh dengan segala dakwaan bekas perdana menteri itu.

"Bahaya kalau kata tidak apa. Sekarang ini kita tidak boleh nak agak, terutama terhadap pengundi muda, pengundi bukan Melayu, dan banyak faktor yang kita kena tengok.

Ternyata Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh itu bimbang terhadap pendirian Dr Mahathir yang akan membantu pembangkang menewaskan BN dalam PRK itu.

Seelok-eloknya pemimpin UMNO mengambil perhatian terhadap apa yang disebut oleh pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa  rakyat tidak boleh menafikan perkara itu walaupun setelah Mahathir bertindak keluar dari UMNO.

Tengku Razaeligh yang sangat arif dengan tingkahlaku Dr Mahathir turut tidak menafikan Dr Mahathir seorang yang sedar apa yang dilakukan.

“Dia mempunyai objektif. Jadi, sudah tentu dia akan mempromosikan objektifnya agar tercapai. Dia akan buat yang terbaik,” katanya.

Mengulas berkenaan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan, Ku Li akui sukar menjangkakan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi atau sebaliknya.

“Sukar untuk saya ulas, kerana dia (Dr Mahathir) sering mengejutkan. Dengan semua cadangannya, saya tidak boleh nilaikan situasi atau memberikan cadangan, ia sukar,” katanya.

Untuk pemimpin UMNO, jangan ingat Dr Mahathir ke Sungai besar dan Kuala Kangsar sahaja.


Dengan gelombang Deklarasi Rakyat sekarang, siapa boleh meramalkan akan jadi dalam tempoh dua tahun akan datang?