Saturday, July 16, 2016

Parti Baru Dr M Tamparan Buat DAP, PKR Dan AMANAH?


Pergerakan Pemuda UMNO melihat hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai tanda ketidakyakinan beliau terhadap parti-parti pembangkang sedia ada.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata kegagalan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyebabkan Dr Mahathir terpaksa menubuhkan parti baharu dan tidak boleh bergantung harap kepada parti pembangkang yang lain.

Khairy...tamparan buat pembangkang
"Kalau beliau yakin dengan rakan-rakan pembangkang beliau yang baharu ini iaitu DAP, PKR dan Amanah, tak perlu beliau tubuhkan parti baharu.

"Ini bagi saya satu tamparan buat DAP, PKR dan Amanah sampai negarawan usia 90 tahun terpaksa keluar daripada persaraan dunia politik untuk tubuhkan parti sendiri," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Gadong, Rembau hari ini, yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Di Larut, Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir secara tidak langsung mendedahkan matlamat bekas anggota UMNO itu yang selama ini kononnya berjuang demi parti.

Hamzah berkata penyertaan bekas anggota UMNO dalam parti baharu tersebut jelas menunjukkan mereka merupakan individu yang gilakan kuasa.

"Kami tidak mahu musang yang berbulu ayam dalam parti. Bila Tun Mahathir buat parti baharu, kita nampak dengan jelas siapa yang nak sangat kuasa.

"Sebelum ini mereka beriya kata penyertaan dalam UMNO adalah atas nama perjuangan, tapi sekarang siapa yang tamak nak kuasa," kata Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan 2016 sempena program kepenggunaan Parlimen Larut di Ijok hari ini yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.
Sehubungan itu, Hamzah menolak dakwaan bahawa penubuhan parti baharu itu dibuatatas nama kesepakatan bersama pembangkang.

Noh...tanpa matlamat
Di Serdang, anggota MT UMNO Tan Sri Noh Omar berkata penubuhan parti baharu tanpa matlamat perjuangan yang jelas tidak akan mampu menyaingi UMNO dalam meraih kepercayaan dan sokongan rakyat.

Beliau berkata walaupun mungkin diterajui bekas individu tersohor dan dikenali seperti Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sesebuah parti baharu mesti mempunyai falsafah dan matlamat perjuangan yang jelas seperti UMNO, bukannya sekadar untuk menjayakan agenda individu tertentu atau atas nama deklarasi rakyat.

"Dalam berpolitik, bila hendak tubuh parti mesti ada falsafah atau matlamat perjuangan dan dalam hal ini apa falsafah dan matlamat perjuangan parti baharu yang kononnya akan digerakkan Tun Mahathir itu.

"Kalau matlamatnya hanya sekadar untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau bagi menjayakan deklarasi rakyat, ia tentunya tidak akan tercapai malah terbukti telah ditolak rakyat seperti ditunjukkan melalui PRN Sarawak dan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini, Noh berkata sejarah juga membuktikan parti tunjang orang Melayu itu akan terus bertahan, malah makin kukuh walaupun pernah tercatat bahawa pengasas penubuhannya iaitu Allahyarham Datuk Onn Jaafar sendiri meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti baharu.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata parti itu juga kekal utuh dan terus diterima rakyat walaupun ada pemimpinnya keluar parti dan menubuhkan parti baharu iaitu PAS dan Semangat 46, khusus bagi menyaingi UMNO.

"Jadi, perbezaan antara UMNO dan parti-parti lain ialah UMNO ditubuhkan atas dasar perjuangan bukan kerana menyokong pemimpin sebaliknya UMNO menyokong perjuangan...pemimpin datang dan pergi namun parti kekal teguh, ini prinsip kita," katanya, yang menambah parti yang ditubuhkan kerana seseorang individu akan berkubur apabila pemimpin tersebut tidak ada.

Di Sandakan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Juslie Ajirol menyifatkan kewujudan pakatan baharu diketuai Dr Mahathir itu tidak menggugat kekuatan UMNO di Sabah.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Libaran melihat UMNO Sabah tetap kukuh dan kuat di bawah kepimpinan Najib sebagai presiden parti dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.

Beliau tidak menafikan ada individu yang mungkin menyertai pakatan berkenaan.
"Semangat perpaduan dan berjuang untuk parti UMNO, iaitu pemimpin dan anggota akan terus bersama UMNO dalam meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Tiram Batu 19, dekat Sandakan, hari ini.

Juslie yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah berkata UMNO merupakan sebuah parti yang besar dan telah menjadi parti yang amat berjasa pada seluruh rakyat Malaysia.

"Kita tahu dia (Mahathir) berjasa kepada rakyat Malaysia tetapi kita juga tahu, jasanya semua datang daripada UMNO," katanya. 

No comments:

Post a Comment