Monday, July 25, 2016

Tiada Pemimpin Pemuda Umno Akan Keluar Parti - KJ


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan tiada pimpinan sayap parti itu yang berhasrat untuk meninggalkan UMNO berikutan isu saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, setakat ini kesemua pemimpin Pemuda UMNO memahami proses kehakiman yang perlu dilakukan bagi menentukan kesahihan tuduhan berkenaan.

"Tidak ada setakat ini di dalam Pemuda UMNO (keluar parti), saya boleh bercakap bagi pihak Pemuda, tidak ada sesiapa dalam pimpinan peringkat kebangsaan, negeri mahupun bahagian yang menyatakan keinginan untuk keluar parti disebabkan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur semalam.

Khairy memberitahu, proses pembuktian di mahkamah perlu dijalankan supaya kesahihan berhubung tuduhan dapat dibuktikan.

Bagaimanapun kata Khairy, Pemuda UMNO bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya individu yang disenaraikan dalam laporan DOJ itu perlu bertanggungjawab untuk membela diri masing-masing.

"Kita setuju dengan perdana menteri bahawa mereka yang dikenal pasti dalam laporan tersebut mestilah bertanggungjawab membela diri dalam kes saman sivil tersebut.

"Mereka mesti bertanggungjawab agar tidak ada lagi spekulasi timbul selepas perbicaraan di mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata: "Walaupun kita tidak mahu buat andaian tetapi sangat penting bagi agensi penguatkuasaan tempatan untuk membuat siasatan sekiranya ada apa-apa penyelewengan berlaku yang boleh dikaitkan dengan jenayah.

Rabu lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.

No comments:

Post a Comment