Showing posts with label Khairy. Show all posts
Showing posts with label Khairy. Show all posts

Tuesday, August 2, 2016

Mesti Berani Tentang Mereka Yang Keluar UMNO - Seru Khairy


Aspek mentaliti untuk berjaya, keberanian dan kesamaan perlu diterapkan di dalam hati dan minda anggota UMNO bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah negara ini buat selama-lamanya.


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata ketiga-tiga aspek itu perlu diberi perhatian bagi menghadapi pelbagai dugaan dan kontroversi melibatkan nama baik negara mahupun presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun sokongan terhadap UMNO dan BN belum 100 peratus pulih, Khairy yang merupakan Menteri Belia dan Sukan menyifatkan keyakinan serta mentaliti untuk berjaya itu amat penting bagi mendapatkan mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Inilah kunci kejayaan kita. Kita perlu ada 'mentaliti untuk berjaya'. Ada kalanya kita sedang melalui masa sukar tetapi kita perlu ada keyakinan diri sekiranya mahu menang dalam PRU14.

"Kalau kita sendiri tidak yakin, bagaimanakah orang luar boleh yakin bahawa UMNO mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya 2016 hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata anggota UMNO juga perlu berani ketika berdepan dengan cabaran beberapa individu yang bukan calang-calang orangnya keluar parti UMNO dan menentangnya secara habis-habisan.

"Ini adalah cabaran langsung, dan kita tidak boleh leka sebaliknya bangkit untuk berdepan dengan mereka bagi mempertahankan dan meneruskan perjuangan parti. Tidak kira siapakah mereka, kita mesti berani berdepan dengan mereka," katanya.

Katanya, saat seseorang pemimpin keluar daripada UMNO, mereka keluar daripada wadah perjuangan bangsa Melayu, dan orang Melayu juga tidak akan bersama dengan mereka.

“Jangan kita dalam UMNO pula yang berkata, ya, betullah, apa yang Dr Mahathir Mohamad kata adalah betul, apa yang Tan Sri Muhyiddin Yassin kata adalah betul, ini telah disahkan oleh Amerika Syarikat.


“Kita fikir, guna akal kita, dan juga semangat kebersamaan dengan presiden,” katanya.

Bagi aspek kesamaan pula, Khairy menekankan warga UMNO terus menunjukkan perpaduan dan sentiasa bersama dengan kepimpinan negara walapun isu-isu baharu meletup dengan mengetengah agenda tersirat pihak-pihak tertentu.

"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan. Siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat seolah-olah berbentuk tuduhan tanpa diiringi bukti dan fakta. Kita berhadapan dengan tahap bias dan prejudis yang tinggi.

"Inilah masa kita guna akal dan perlu menunjukkan kebersamaan bersama dan berdiri teguh di belakang Presiden UMNO untuk menegakkan kebenaran dan keadilan," katanya.

Khairy mengulangi bahawa saman sivil oleh DOJ berkaitan 1MDB adalah semata-mata hasil siasatan yang masih perlu dibuktikan di mahkamah.

Di sebalik itu, beliau berkata, beberapa pengkritik Najib mengandaikan dakwaan itu sebagai kebenaran.

Kita kena berani, walaupun dikecam, walaupun dicemuh di media sosial, kata ini semua balaci-balaci dan macai-macai UMNO dan sebagainya.

“Tak apalah, kita jadi balaci, kita jadi macai tak apa. Sebab apa? Kebersamaan dengan presiden kita cuba menegakkan kebenaran dan keadilan," kata Khairy.

Menurut Khairy, bagi beliau, yang keramat adalah UMNO dan bukan individu.

Dalam pada itu, Khairy turut menyentuh beberapa strategi dalam menghadapi PRU14, antaranya mendekati masyarakat bandar agar mereka tidak terpengaruh dengan sentimen-sentimen negatif yang dibawa pihak pembangkang.

"Pertarungan hari ini adalah antara servis (perkhidmatan) berlawan sentimen.
UMNO sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Putrajaya tetapi ada kalanya, sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan selalunya terpahat dengan mudah di hati dan minda pengundi.

"Kita berdepan gelombang tsunami dari bandar ke luar bandar. Oleh itu, kita perlu ada corak perang saraf yang lebih cerdik dan canggih bagi menghadapi perkara-perkara yang kita tidak nampak. Carilah bagaimana untuk atasi sentimen negatif dalam PRU14," katanya.
Ketua Pemuda UMNO itu juga menggesa ahli-ahli parti supaya berani dan berdiri bersama presiden parti walaupun mereka diperlekehkan kerana berbuat demikian.

Monday, July 25, 2016

Tiada Pemimpin Pemuda Umno Akan Keluar Parti - KJ


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan tiada pimpinan sayap parti itu yang berhasrat untuk meninggalkan UMNO berikutan isu saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, setakat ini kesemua pemimpin Pemuda UMNO memahami proses kehakiman yang perlu dilakukan bagi menentukan kesahihan tuduhan berkenaan.

"Tidak ada setakat ini di dalam Pemuda UMNO (keluar parti), saya boleh bercakap bagi pihak Pemuda, tidak ada sesiapa dalam pimpinan peringkat kebangsaan, negeri mahupun bahagian yang menyatakan keinginan untuk keluar parti disebabkan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur semalam.

Khairy memberitahu, proses pembuktian di mahkamah perlu dijalankan supaya kesahihan berhubung tuduhan dapat dibuktikan.

Bagaimanapun kata Khairy, Pemuda UMNO bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya individu yang disenaraikan dalam laporan DOJ itu perlu bertanggungjawab untuk membela diri masing-masing.

"Kita setuju dengan perdana menteri bahawa mereka yang dikenal pasti dalam laporan tersebut mestilah bertanggungjawab membela diri dalam kes saman sivil tersebut.

"Mereka mesti bertanggungjawab agar tidak ada lagi spekulasi timbul selepas perbicaraan di mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata: "Walaupun kita tidak mahu buat andaian tetapi sangat penting bagi agensi penguatkuasaan tempatan untuk membuat siasatan sekiranya ada apa-apa penyelewengan berlaku yang boleh dikaitkan dengan jenayah.

Rabu lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.