Monday, July 11, 2016

Pertikai Tindakan Kerajaan Pulau Pinang Mahu Adakan Pilihan Raya Negeri

Zainal - bazirkan wang rakyat.
Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang mempertikai tindakan kerajaan negeri itu  yang didakwa sedang mempertimbang cadangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihan raya.

Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mendakwa, tindakan untuk membubar DUN telah dilaporkan oleh media kerajaan negeri yang ditadbir oleh DAP berikutan pendakwaan salah laku rasuah terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng di mahkamah.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan turut melahirkan rasa terkejut mengenai cadangan pemimpin DAP Pulau Pinang untuk mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur tahap sokongan rakyat terhadap Guan Eng.

“Melakukan (pilihan raya negeri) pada masa ini merupakan satu lagi aksi politik murahan daripada mereka. Sama seperti kempen derma dan dakwaan penganiayaan politik," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di Twitter pada Isnin.

Abdul Rahman - aksi politik murahan.
Zainal mempersoalkan apakah cadangan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal ini satu muslihat politik oleh DAP dan Pakatan Harapan untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kemungkinan salah laku dan rasuah oleh Guan Eng apabila kes dibicarakan nanti?


"Apakah Guan Eng dan Pakatan Harapan takutkan kebenaran yang muncul di mahkamah nanti bila perbicaraan bermula akan secara langsung menjejas sokongan rakyat terhadap DAP dan Pakatan Harapan.

"Ini adalah suatu cadangan yang akan membazirkan wang rakyat. Adalah tidak wajar berjuta-juta ringgit wang rakyat dibelanjakan untuk mengadakan referendum hanya kerana Guan Eng tidak mahu bercuti atau melepaskan jawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

DAP telah mencadangkan dua pilihan sebagai tindak balas kepada tuduhan rasuah yang difailkan terhadap Lim.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata kelmarin, salah satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

Pilihan satu lagi pula ialah menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan selewat-lewatnya bulan Ogos 2018.

Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, setiausaha agung DAP itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town, Pulau Pinang daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Zainal berkata, pembubaran DUN lebih awal kebiasaannya dilakukan oleh seorang ketua menteri yang sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap dirinya.

"Rakyat perlu ingat bahawa yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan salah laku rasuah adalah Guan Eng dan bukannya kerajaan negeri.

"Kenapa Guan Eng dan kerajaan negeri perlu mengheret rakyat dalam kes rasuah yang sedang dihadapinya sedangkan ruang dan peluang luas telah disediakan oleh sistem kehakiman untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

"Apakah cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal ini satu muslihat politik DAP dan Pakatan Harapan untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kemungkinan salah laku dan rasuah oleh Guan Eng apabila kes dibicarakan nanti?" soalnya.

Beliau menambah, sekiranya kerajaan negeri berasa khuatir atau gusar mengenai tahap sokongan rakyat terhadap ketua menteri dan kerajaan, satu kaji selidik dan tinjauan boleh dilakukan oleh badan bebas.

Abdul Rahman sebaliknya medangkan DAP harus mula mengenal pasti seorang ketua menteri yang baharu jika mahkamah memutuskan bahawa Lim bersalah.

Selain itu Abdul Rahman turut mempersoalkan keputusan untuk mengadakan pilihan raya tergempar pada masa ini.

"Jika pilihan raya mengejut adalah referendum sokongan kepada kepimpinan Lim, tidakkah anda berfikir bahawa ia perlu dilakukan selepas keputusan mahkamah?.

"Sekurang-kurangnya pengundi mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang jelas dengan keterangan yang dikemukakan di mahkamah.


Oleh itu, mereka akan mengundi sebagai pengundi berdasarkan maklumat," katanya.

No comments:

Post a Comment