Showing posts with label PRK. Show all posts
Showing posts with label PRK. Show all posts

Saturday, June 18, 2016

Orang Muda, Majoriti Besar Memungkinkan Budiman Di Bawa Ke Kabinet?


Tahniah dan syukur ke hadrat Ilahi kerana YB Budiman Mohd Zohdi menang besar.

Ia sebahagiannya kerana anda calon orang muda dan berwawasan.

Anda membuktikan mempunyai arah perjuangan untuk kawasan Parlimen Sungai Besar dan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang yang anda wakili.

Anda buktikan bahawa orang Cina dan bukan Melayu lain kini kembali 'berkawan dengan UMNO' dan menjadi rakan baik Barisan Nasional (BN).

Memang anda dibantu oleh jentera BN, namun faktor peribadi dan kesungguhan anda, terutamanya menemui seramai boleh pengundi, tidak boleh ditolak begitu sahaja.


Malah, anda sebagai pemimpin yang 'reti' berterima kasih dalam tempoh yang segera!!!

Anda kini Yang Berhormat berganda dan sewajarnya sewajarnya mendapat perhatian Perdana Menteri.

Sewajarnya anda turut terbabit dalam  dalam penstrukturan semula Kabinet (saya gunakan perkataan ini menggantikan rombakan Kabinet  atau reshuffle) yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Masa sudah sesuai dilakukan penstrukturan semula Kabiney kerana pilihan raya negeri Sarawak sudah selesai dan PRK dua Parlimen serentak pun sudan diadakan. BN menang cemerlang di Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Terus terang saya katakan, saya berminat dengan apa yang ditimbulkan oleh seseorang melalui Facebooknya yang berbunyi:

“Apakah kemenangan Budiman akan membuka jalan untuknya dilantik sekurang-kurang Timbalan Menteri? siapa tahu tuahnya...harap2 gitu Budiman Mohd ZohdiNurani Hati Budiman ya...kalau dia jadi Tim Menteri, orang Sungai Besar, tukang kempen dan org sekelilingnya untung..org tua macam kita tak dapat apa pun...usahkan dedak, habuk pun tarak. Bukan gitu???” (FB Hambali Abdul Latiff, 17 Jun 2016)

Pada malam 14 Mei lalu Datuk Seri Najib Razak mengatakan beliau bersedia melakukan rombakan kabinet dalam masa terdekat ekoran peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Douglas kini dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sarawak bersama dua lagi tokoh negeri itu, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Pelantikan baru juga perlu dibuat ekoran kemalangan maut membabitkan Datuk Noriah Kasnon di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei dan BN kini memerintah negeri itu di bawah Tan Sri Adenan Satem.

Kenapa saya katakan anda sangat layak?

Selain berjaya mempertahankan kerusi BN, sokongan dan majoriti besar kepada BN sangat bermakna.

Anda bukan sahaja berjaya menggekalkan kerusi tetapi menyakinkan rakyat dan pemimpin bahawa BN tetap mempunyai sokongan, lebih-lebih lagi daripada kalangan orang muda dan orang bukan Melayu.


Majoriti anda berganda dan kemenangan ini sangat bermakna kepada UMNO dan BN Selangor.

Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri semalam menyifatkan kemenangan BN yang anda wakili pada pilihan raya kecil ini  adalah titik permulaan untuk merampas semula Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perdana Menteri berkata, pencapaian yang menakjubkan dengan majoriti 9,191 undi itu juga baginya adalah hasil usaha parti itu di semua peringkat.

"Ia kemenangan yang cukup istimewa buat BN dengan kesabaran dan ketabahan kita, orang kutuk, lanyak, hina kita di bulan puasa dan Allah beri kemenangan kepada orang yang sabar,” tegas Perdana Menteri.

Anda mengakui daripada awal optimis akan menang dalam pilihan raya kecil Sungai Besar biarpun tidak menyangka akan memperoleh majoriti sebesar diterimanya, iaitu 9,191 berbanding 399 sebelum ini.

Malah, anda bawa keyakinan baru dengan mengatakan: “Kita bermula majoriti 399, sebab itu saya selesa sebagai underdog. Saya terkejut majoriti sangat besar,” katanya.

BN mendapat 16, 800 undi, diikuti Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan 7,609 undi dan PAS (6,902).

Hakikatnya, kalau anda dilantik,  ia bukan menjadi masalah besar kerana beliau mengisi kekosongan bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon.

Tapak sama, bertukar ‘kaki sahaja’. Yang membezakan ialah kali ini tapak kaki lelaki. Kebetulan sahaja. Bukan rampas kerusi Timbalan Menteri  dimiliki oeh seorang wanita.

Mungkin saingan anda ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, seorang wanita, iaitu Datin Mastura Mohd Yazid

Selainnya kelebihan tetap ada pada Budiman, Yang Berhomat Ahli Parlimen Sungai Besar dan ADUN Sungai Panjang.

Wednesday, May 25, 2016

Faktor Dr M - Sebelum Ini 'Tak Heran', Sekarang Dah Bimbang Pula...


Tertanya-tanya dengan sikap pemimpin UMNO mengenai ‘pengaruh dan kekuatan’ Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak seperti Sarawak, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu kini dikatakan akan turut berkempen menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

Ada mengatakan Dr Mahathir sudah tidak ada pengaruh dan tidak akan berkesan langsung kalau pun turun padang pada PRK dua kerusi Parlimen – Sungai besar dan Kuala Kangsar – serentak 18 Jun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Mei lalu menyebut tidak akan ada sebarang hasilnya daripada sejuta tandatangan yang dikumpulkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' untuk Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir.

Deklarasi itu mndesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga untuk pembaharuan institusi.

Pengerusi, Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad menegaskan pada 16 Mac bahawa UMNO tidak bimbang dengan pengaruh bekas Perdana Menteri itu dan timbalan presiden parti itu yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kamu fikir kami tiada kerja lain tetapi bimbangkan perkara ini? Kami telah kerja sejak hari pertama, kami tahu perkara ini akan berlaku," kata Shahrir ketika ditanya sejauh mana pengaruh Mahathir dan Muhyiddin terhadap ahli UMNO.

Kelmarin (24 Mei), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak menegaskan, jentera BN tidak sedikitpun bimbang dengan kemungkinan Dr Mahathir turun berkempen bagi pihak pembangkang dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya pentas PRK  tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh BN untuk menjelaskan perilaku sebenar bekas Perdana Menteri itu.
 
Semalam, 25Mei, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kehadiran Dr  Mahathir bagi mem­bantu kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak akan menjejaskan prestasi BN.

BN sebaliknya mengalu-alukan kedatangan bekas Perdana Menteri itu kerana ia dapat membuktikan bahawa beliau tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat.

Namun di sebalik itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa semalam memberi amaran, BN tidak seharusnya selesa dan terlalu yakin menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ini kerana, katanya, BN perlu berasa bimbang ekoran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan akan turut berkempen bagi pihak pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

Annuar yang turut mengenali Dr Mahathir kerana pernah bekerja dengannya di Pusat dan di Kelantan, sama ada dalam Kabinet mahupun UMNO,  pasti tahu sangat kerenah dan tindakan tanpa dijangka bekas Perdana Menteri  


"Tak boleh kata tak bimbang. Jika kita kata tak bimbang (DR Mahathir berkempen untuk pembangkang) macam terlalu yakin (over confident).

"Apa benda yang berlaku kita kena ada kebimbangan. Kalau Tun berkempen untuk pembangkang, kita kena rasa bimbang.

Malah menurut Annuar,  UMNO perlu menjawab tohmahan yang  dilemparkan Dr Mahathir bagi mengelak rakyat terpengaruh dengan segala dakwaan bekas perdana menteri itu.

"Bahaya kalau kata tidak apa. Sekarang ini kita tidak boleh nak agak, terutama terhadap pengundi muda, pengundi bukan Melayu, dan banyak faktor yang kita kena tengok.

Ternyata Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh itu bimbang terhadap pendirian Dr Mahathir yang akan membantu pembangkang menewaskan BN dalam PRK itu.

Seelok-eloknya pemimpin UMNO mengambil perhatian terhadap apa yang disebut oleh pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa  rakyat tidak boleh menafikan perkara itu walaupun setelah Mahathir bertindak keluar dari UMNO.

Tengku Razaeligh yang sangat arif dengan tingkahlaku Dr Mahathir turut tidak menafikan Dr Mahathir seorang yang sedar apa yang dilakukan.

“Dia mempunyai objektif. Jadi, sudah tentu dia akan mempromosikan objektifnya agar tercapai. Dia akan buat yang terbaik,” katanya.

Mengulas berkenaan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan, Ku Li akui sukar menjangkakan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi atau sebaliknya.

“Sukar untuk saya ulas, kerana dia (Dr Mahathir) sering mengejutkan. Dengan semua cadangannya, saya tidak boleh nilaikan situasi atau memberikan cadangan, ia sukar,” katanya.

Untuk pemimpin UMNO, jangan ingat Dr Mahathir ke Sungai besar dan Kuala Kangsar sahaja.


Dengan gelombang Deklarasi Rakyat sekarang, siapa boleh meramalkan akan jadi dalam tempoh dua tahun akan datang?

Tuesday, March 18, 2014

Muhyiddin - Komitmen, Menunaikan AkuJanji Lebih Penting Daripada Manifesto

Manifesto berjela-jela dengan dasar yang ‘fantastik’ tetapi tidak mampu dilaksanakan tidak mendatangkan sebarang kebaikan untuk rakyat.

Kerana itu Barisan Nasional (BN) lebih rela menawarkan akujanji yang boleh dilaksanakan, selain mudah untuk diterjemahkan kepada rakyat.

Dengan kata klain, BN tidak perlu mengeluarkan manifesto khas untuk pilihan raya kecil umpamanya di Balingian.

Ini kerana bagi BN, komitmen untuk menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum yang lalu lebih diutamakan daripada mencipta janji baru.

Tidak seperti di PRK Kajang di mana BN perlu menyatakan apa yang perlu mereka melakukan memandangkan kerusi berkenaan sudah dua penggal berada dalam tangan pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Benar seperti kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mukah, semalam siapa pun yang dipilih BN untuk menjadi calonnya pada mana-mana pilihan raya, sedar akan tanggungjawab mereka bagi memudahkan parti gabungan ini dalam memenuhi janjinya kepada rakyat.

"Saya tidak fikir manifesto itu penting tapi komitmen calon itu penting. Kerana ini bukan pilihan raya umum dan Sarawak adalah dipimpin oleh Barisan Nasional. Apa yang kita janjikan dahulu kita akan laksanakan," katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah.

"Bagi kami bukan manifesto yang penting tapi komitmen...masih ada beberapa perkara yang hendak kita sempurnakan," kata Muhyiddin.


Mengenai penyertaan PKR dalam pilihan raya kecil itu, Muhyiddin dapat mengagak bahawa pembangkang akan sengaja menggembar-gembur isu untuk meraih perhatian pengundi semasa berkempen.

Ini terbukti pada beberapa pilihan raya sebelum ini parti itu akan menggunakan apa sahaja untuk dijadikan modal pilihan raya, katanya.

"Biasalah dalam mana-mana pilihan raya kecil (jika) pembangkang telah kehilangan modal dia cari apa-apa yang ada (untuk dijadikan isu kempen). Itu cara yang mereka lakukan," katanya.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut mengiyakan pandangan Muhyiddin bahawa parti pembangkang pastinya akan membangkitkan isu yang tidak berasas dalam pilihan raya kecil seperti ini. "Jika tiada isu pun, saya pasti mereka akan menciptanya," katanya.

Pada PRK ini, calon BN Yussibnosh Balo, 47, akan berdepan dengan calon PKR Abdul Jalil Bujang dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Balingian yang dikosongkan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana bersara sebagai ketua menteri Sarawak pada 28 Februari.

Abdul Jalil, 55, yang juga setiausaha PKR Bintulu dan seorang ahli perniagaan pernah bertanding bagi kerusi DUN Jepak melibatkan persaingan lima penjuru pada 2011 namun tewas kepada penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Talip Zulpilip, yang merupakan Menteri Muda Pelancongan Sarawak.

BN sebaliknya menampilkan muka baharu iaitu bekas Pegawai Daerah Dalat.

Dalam pilihan raya negeri 2011, bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.

Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan Melanau/Melayu merupakan kumpulan majoriti iaitu sebanyak 7,705 orang atau 57.65 peratus, Iban 3,875 (28.99 peratus), Cina 1,683 (12.59 peratus), Orang Ulu 29 (0.22 peratus) Bidayuh 19 (0.14 peratus) dan kaum lain 55 (0.41 peratus).

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata PKR yakin memberi saingan sengit bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balingian walaupun calonnya Abdul Jalil, pernah tewas dalam pilihan raya negeri sebelum ini. keputusan parti meletakkan calon pernah kalah dan tidak menampilkan muka baharu kerana dalam proses demokrasi tiada yang mustahil.

"Kalah dalam pilihan raya lepas tidak semesti kalah dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK Balingian di Dewan Suarah Mukah semalam. Di Mukah semalam.

Timbalan Perdana Menteri menyatakan mahu jentera pilihan raya pemuda BN berkempen ke serata ceruk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian untuk mendapatkan sokongan 13,366 pengundi agar memilih BN pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Timbalan Pengerusi BN itu membuat gesaan itu semasa melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN atau Armada BN terdiri daripada anggota 29 cawangan di sini dan di Balingian bagi pilihan raya kecil DUN Balingian di padang bandar Mukah semalam.

"Anda ada tugas dan tanggungjawab di hadapan anda sekarang. Anda semua perlu memastikan calon BN Yussibnosh Balo bukan sahaja menang tetapi menang besar," katanya.

Beliau berkata mereka perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengelak sebarang salah faham. 

"Perkenalkan calon kita kepada semua. Beliau seorang calon yang baik. Sekiranya beliau menang, beliau boleh meneruskan legasi baik ditinggalkan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak," kata Muhyiddin.

Beliau berkata pilihan raya kecil ini amat penting kepada penduduk dan harus dimenangi oleh BN. Ia akan menentukan masa depan mereka dan masa depan Sarawak menerusi pembangunan koridor pembangunan wilayah iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang berpusat di Mukah.

"Kami (kerajaan BN) telah merancang banyak aktiviti. Ia patut dibenarkan diteruskan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata penduduk Balingian boleh menggunakan pilihan raya kecil itu untuk melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Taib sebagai bekas wakil rakyat dan ketua menteri, bagi begitu banyak sumbangan beliau bukan sahaja kepada Balingian tetapi juga Mukah, Samarahan dan Sarawak secara menyeluruh.

"Kita perlu sentiasa memupuk budaya berterima kasih kepada orang yang telah banyak membantu kita," katanya. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa selepas hari pengundian 29 Mac nanti, Balingian akan sekali lagi diwakili BN.

Ketua Pemuda BN Sarawak, Datuk Fadillah Yusof dan beberapa anggota Kabinet negeri adalah antara kira-kira 2,000 orang yang hadir.

Thursday, February 20, 2014

BN Tidak Perlu Tanding, Beri Kemenangan Percuma Kepada Anwar Di DUN Kajang?

Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, jika tidak mahu dilihat 'menari mengikut paluan gendang PKR'.

Beberapa ahli politik dan penganalisis politik berpendapat BN perlu membuat kajian mendalam agar tidak terperangkap dalam permainan politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah terdapat desakan supaya Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak memegang ketetapan pucuk pimpinan BN yang tidak bertanding pada PRK DUN Penanti, Pulau Pinang pada tahun 2009 kerana kekosongan kerusi itu bukan disebabkan oleh peruntukan perlembagaan.

PRK DUN Penanti pada tahun 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR dengan alasan melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.

Timbalan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat BN perlu lebih fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan menyusun struktur ekonomi negara daripada melayan kerenah politik pembangkang.

"Pada pandangan saya secara peribadi, biarlah Pakatan Rakyat terus bermain dengan politik mereka sementara BN terus berkhidmat pada negara dan membela nasib rakyat," katanya dalam laman blog beliau hari ini. Salleh berkata BN perlu menimbang untuk tidak meletakkan calon di Kajang kerana PRK itu pada realitinya diadakan untuk memenuhi politik nafsu Anwar.

"Oleh kerana Kajang dikatakan kawasan (kerusi tradisi) MCA, kita berpandangan MCA perlu fokus kepada usaha memperkukuh parti di bawah kepimpinan baharu dan memberi tumpuan persediaan menghadapi PRU akan datang," katanya.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

PKR menamakan Anwar sebagai calon parti itu, sementara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, turut menyatakan hasrat bertanding di PRK itu sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari mengundi dan penamaan calon pada 11 Mac.
Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie pula berkata PRK Kajang merupakan satu pembaziran yang hanya diwujudkan secara paksa demi menyelesaikan krisis dalam PKR.

Beliau menyifatkan PRK yang 'dicipta' pembangkang dengan memaksa seorang wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebarang alasan munasabah demi kepentingan rakyat sebagai menghina demokrasi negara. 

"Maklum balas yang saya terima daripada akar umbi, kalau kita bertanding, kita akan mengikut rentak mereka. Ia merugikan negara sedangkan wang itu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan bantuan kepada orang miskin," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, MCA yang baru sahaja selesai menjalani pemilihan parti perlu diberi lebih peluang dan usaha untuk fokus kepada transformasi parti dan seterusnya menambah baik penyampaian kepada rakyat.

Dalam pada itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata lebih baik PRK DUN itu diboikot semua pihak jika peletakan jawatan penyandangnya tanpa alasan kukuh tidak disiasat dan diambil tindakan perundangan.

"Bukan niat kita hendnak memboikot demokrasi tetapi perlu ada penghormatan kepada undang-undang. "Ini bukan soal takut, atau soal siapa hero atau tidak. Kalau nak jadi hero lebih baik masuk gusti, ini lebih kepada strategi politik, kalau tak ada keperluan dan kepentingan maka lebih baik sahaja elak pertandingan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian pula berkata BN sebelum ini pernah tidak bertanding di Penanti berikutan senario yang agak sama yang berlaku di Kajang ketika ini.

"Presiden dah pernah buat ketetapan di Penanti, pada ketika itu beliau berkata BN tidak akan bertanding kerusi itu yang sengaja dikosongkan dan bukannya disebabkan faktor-faktor seperti dalam peruntukan perlembagaan," katanya.

Sivamurugan berpendapat BN seeloknya terus berpegang kepada ketetapan itu yang secara tidak langsung dapat mempamerkan kematangan yang lebih berkualiti.

Sementara itu, Persatuan Alumni UiTM dalam satu kenyataan menyifatkan PRK DUN Kajang suatu yang tidak perlu dan dipaksakan ke atas pengundi kawasan itu yang baru sahaja mengundi tidak sampai setahun lepas.

"Ia menodai prinsip dan amalan demokrasi. Oleh demikian, BN tidak perlu mengambil bahagian dalam PRK tersebut," menurut kenyataan itu.