Tuesday, March 18, 2014

Muhyiddin - Komitmen, Menunaikan AkuJanji Lebih Penting Daripada Manifesto

Manifesto berjela-jela dengan dasar yang ‘fantastik’ tetapi tidak mampu dilaksanakan tidak mendatangkan sebarang kebaikan untuk rakyat.

Kerana itu Barisan Nasional (BN) lebih rela menawarkan akujanji yang boleh dilaksanakan, selain mudah untuk diterjemahkan kepada rakyat.

Dengan kata klain, BN tidak perlu mengeluarkan manifesto khas untuk pilihan raya kecil umpamanya di Balingian.

Ini kerana bagi BN, komitmen untuk menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum yang lalu lebih diutamakan daripada mencipta janji baru.

Tidak seperti di PRK Kajang di mana BN perlu menyatakan apa yang perlu mereka melakukan memandangkan kerusi berkenaan sudah dua penggal berada dalam tangan pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Benar seperti kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mukah, semalam siapa pun yang dipilih BN untuk menjadi calonnya pada mana-mana pilihan raya, sedar akan tanggungjawab mereka bagi memudahkan parti gabungan ini dalam memenuhi janjinya kepada rakyat.

"Saya tidak fikir manifesto itu penting tapi komitmen calon itu penting. Kerana ini bukan pilihan raya umum dan Sarawak adalah dipimpin oleh Barisan Nasional. Apa yang kita janjikan dahulu kita akan laksanakan," katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah.

"Bagi kami bukan manifesto yang penting tapi komitmen...masih ada beberapa perkara yang hendak kita sempurnakan," kata Muhyiddin.


Mengenai penyertaan PKR dalam pilihan raya kecil itu, Muhyiddin dapat mengagak bahawa pembangkang akan sengaja menggembar-gembur isu untuk meraih perhatian pengundi semasa berkempen.

Ini terbukti pada beberapa pilihan raya sebelum ini parti itu akan menggunakan apa sahaja untuk dijadikan modal pilihan raya, katanya.

"Biasalah dalam mana-mana pilihan raya kecil (jika) pembangkang telah kehilangan modal dia cari apa-apa yang ada (untuk dijadikan isu kempen). Itu cara yang mereka lakukan," katanya.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut mengiyakan pandangan Muhyiddin bahawa parti pembangkang pastinya akan membangkitkan isu yang tidak berasas dalam pilihan raya kecil seperti ini. "Jika tiada isu pun, saya pasti mereka akan menciptanya," katanya.

Pada PRK ini, calon BN Yussibnosh Balo, 47, akan berdepan dengan calon PKR Abdul Jalil Bujang dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Balingian yang dikosongkan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana bersara sebagai ketua menteri Sarawak pada 28 Februari.

Abdul Jalil, 55, yang juga setiausaha PKR Bintulu dan seorang ahli perniagaan pernah bertanding bagi kerusi DUN Jepak melibatkan persaingan lima penjuru pada 2011 namun tewas kepada penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Talip Zulpilip, yang merupakan Menteri Muda Pelancongan Sarawak.

BN sebaliknya menampilkan muka baharu iaitu bekas Pegawai Daerah Dalat.

Dalam pilihan raya negeri 2011, bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.

Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan Melanau/Melayu merupakan kumpulan majoriti iaitu sebanyak 7,705 orang atau 57.65 peratus, Iban 3,875 (28.99 peratus), Cina 1,683 (12.59 peratus), Orang Ulu 29 (0.22 peratus) Bidayuh 19 (0.14 peratus) dan kaum lain 55 (0.41 peratus).

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata PKR yakin memberi saingan sengit bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balingian walaupun calonnya Abdul Jalil, pernah tewas dalam pilihan raya negeri sebelum ini. keputusan parti meletakkan calon pernah kalah dan tidak menampilkan muka baharu kerana dalam proses demokrasi tiada yang mustahil.

"Kalah dalam pilihan raya lepas tidak semesti kalah dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK Balingian di Dewan Suarah Mukah semalam. Di Mukah semalam.

Timbalan Perdana Menteri menyatakan mahu jentera pilihan raya pemuda BN berkempen ke serata ceruk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian untuk mendapatkan sokongan 13,366 pengundi agar memilih BN pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Timbalan Pengerusi BN itu membuat gesaan itu semasa melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN atau Armada BN terdiri daripada anggota 29 cawangan di sini dan di Balingian bagi pilihan raya kecil DUN Balingian di padang bandar Mukah semalam.

"Anda ada tugas dan tanggungjawab di hadapan anda sekarang. Anda semua perlu memastikan calon BN Yussibnosh Balo bukan sahaja menang tetapi menang besar," katanya.

Beliau berkata mereka perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengelak sebarang salah faham. 

"Perkenalkan calon kita kepada semua. Beliau seorang calon yang baik. Sekiranya beliau menang, beliau boleh meneruskan legasi baik ditinggalkan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak," kata Muhyiddin.

Beliau berkata pilihan raya kecil ini amat penting kepada penduduk dan harus dimenangi oleh BN. Ia akan menentukan masa depan mereka dan masa depan Sarawak menerusi pembangunan koridor pembangunan wilayah iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang berpusat di Mukah.

"Kami (kerajaan BN) telah merancang banyak aktiviti. Ia patut dibenarkan diteruskan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata penduduk Balingian boleh menggunakan pilihan raya kecil itu untuk melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Taib sebagai bekas wakil rakyat dan ketua menteri, bagi begitu banyak sumbangan beliau bukan sahaja kepada Balingian tetapi juga Mukah, Samarahan dan Sarawak secara menyeluruh.

"Kita perlu sentiasa memupuk budaya berterima kasih kepada orang yang telah banyak membantu kita," katanya. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa selepas hari pengundian 29 Mac nanti, Balingian akan sekali lagi diwakili BN.

Ketua Pemuda BN Sarawak, Datuk Fadillah Yusof dan beberapa anggota Kabinet negeri adalah antara kira-kira 2,000 orang yang hadir.

No comments:

Post a Comment