Saturday, October 15, 2016

Keluar Untuk Sertai 'Parti Pecah Melayu Bhd', Apa Nak DiBimbangkan?


Lebih 30 pemimpin akar umbi UMNO petang ini mengumumkan keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Pengumuman itu dibuat pada ketika Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkataUMNO  tidak bimbang ada yang berpaling menyertai parti yang baru ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kumpulan itu diketuai oleh bekas ahli exconya Mohd Rafiq Naizamohideen, yang sebelum ini mengecam apa yang disifatkannya sebagai tindakan "terpilih" selepas beliau digantung keahliannya kerana dikatakan cuba mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron,  melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada tahun lalu..
  
Tengku Adnan ditanya mengenai sekumpulan pemimpin UMNO yang mengumumkan untuk menyertai BERSATU lewat hari ini dalam satu majlis di Ampang mengatakan UMNO tak bimbang ada berpaling ke 'Parti Pecah Melayu Bhd'

BERSATU adalah parti serpihan yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas timbalan perdana menteri yang dipecat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka adalah pengkritik lantang Najib dan 1MDB sejak tahun lepas.

"Kami tak bimbang. Ezam Mohd Nor (sertai BERSATU), kami tak bimbang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Putrajaya Community Ride di Putrajaya hari ini.

Ezam Mohd Nor adalah bekas senator yang mengumumkan hasrat untuk keluar UMNO awal bulan ini dan pada hari Khamis lalu berkata beliau telah memohon untuk menyertai BERSATU.
  
Pada sidang media yang diketuai oleh bekas exco Pemuda UMNO  Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen di sebuah hotel di Ampang petang ini, kumpulan 30 pemimpin itu berkata mereka tindakan mereka berkuatkuasa serta merta.

"Kami bersetuju dan bersedia keluar UMNO berkuatkuasa serta merta.

Mohd Rafiq...ramai hilang keyakinan.
"Walau berat tapi yakin ramai yang hilang keyakinan dan barisan kepimpinan yang sebelum ini kami pertahankan sehingga hujung nyawa.

"Kerana apa kami buat, kerana matlamat perjuangan UMNO tak letak rakyat keutamaan, tetapi membenarkan, menyokong kemungkaran dan salah guna kuasa berleluasa di Malaysia," katanya dalam sidang media di Hotel De Palma Ampang sebentar tadi.

Mohd Rafiq turut mendakwa, selain pemimpin UMNO terdapat 150 anggota UMNO lain yang turut menyertai keluar parti pada hari ini.

Katanya, UMNO kini telah lari daripada perjuangan dan dirosakkan oleh kepimpinan parti yang tidak bertanggungjawab.

“Kami semua sependapat bahawa UMNO hari ini sudah pun tersasar daripada perjuangan asalnya.

"Imej UMNO dan kerajaan Malaysia yang ditunjangi oleh Barisan Nasional telah tercemar dengan teruknya susulan daripada pelbagai skandal dan isu-isu besar yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi UMNO,” katanya.

Malah katanya, Lembaga Disiplin UMNO kini dilihat menjadi alat bagi menyekat kemaraan karier politik mana-mana pemimpin tertentu dan tindakan yang diambil berdasarkan pilih kasih serta mengikut kepentingan politik pimpinan.


“Sebelum ini terdapat pemimpin yang didapati bersalah dalam Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang dalam pemilihan UMNO lepas tetapi hanya diberi amaran atau dihalang bertanding.

“Mereka yang terlibat dalam rasuah politik ini dilantik dan dikekalkan sebagai barisan menteri di pelbagai peringkat,” katanya.

Tengku Adnan menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai hak pemimpin Pemuda UMNO itu untuk keluar parti itu dan menyertai mana-mana parti yang mereka pilih.

"Ya, ia adalah haknya. Anda tahu bahawa PPBM (BERSATU), Parti Pecah Melayu Berhad, Parti Pemecah Melayu Bersatu atau apa sahaja yang anda memanggilnya, ini adalah mereka yang mungkin tidak puas hati, yang tidak dapat apa sahaja yang mereka mahu dalam Umno," katanya .

Menurutnya, mereka meninggalkan parti, tetapi akhirnya, rakyat tahu bahawa BN yang merupakan gabungan pelbagai kaum, yang akan menyediakan dan berkhidmat kepada rakyat untuk kebaikan negara ini.

Sementara itu, Rafiq turut mengulas kenyataan Tengku Adnan yang mendakwa ramai bekas anggota UMNO merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

“Katalah ada ribuan ahli UMNO yang dah dipecat merayu masuk UMNO, saya cabar dia senaraikan sebab dia janji nak bagi senarai.

“Tolong tunjuk berapa juta, berapa puluh ribu yang kena pecat ni. Tapi kami semua memang tak nak masuk balik,” katanya sambil disahut sorakan mereka yang hadir.

Terdahulu Rafiq digantung sebagai anggota UMNO selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda UMNO juga digugurkan.

No comments:

Post a Comment