Monday, October 24, 2016

Ahmad Husni Bimbang Kesan 1MDB Terhadap Persepsi, Survival Malaysia...


Apabila bekas Menteri Kewangan II,  Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mempersoalkan beberapa perkara di Dewan Rakyat semalam, khususnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ia sesuatu yang tidak sewajarnya berlalu begitu sahaja.

Apalagi, bagi Ahmad Husni, 1MDB akan terus menghantui Barisan Nasional (BN) pada masa hadapan, kalaupun Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum nanti.

Bagaimanapun, beliau tetap memberikan amaran, bahawa skandal berkenaan akan menjejaskan peluang BN dalam pilihan raya.

Bekas menteri itu nyata sekali bimbang dengan siasatan yang dijalankan terhadap 1MDB oleh banyak pihak antarabangsa.

Berikutan itu beliau mengemukakan pertanyaan : “Apa yang akan berlaku apabila siasatan itu selesai nanti? Apa akan berlaku sekiraya siasatan tidak menyebelahi kita?”

Ini adalah kali pertama Ahmad Husni membahaskan isu kontroversi 1MDB sebagai wakil rakyat selepas menghabiskan tujuh tahun sebagai seorang menteri kabinet, yang kebetulan bertepatan dengan jangka hayat 1MDB.

Ketika membahaskan ucapan Bajet 2017 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, Ahmad Husni mahu kerajaan mempertimbangkan beberapa kesan negatif akibat kontroversi 1MDB.

Pada pendapatnya, beliau tidak pasti “apa yang akan berlaku selepas itu”. Ini kerana terdapat banyak isu berkaitan 1MDB yang belum selesai.

Lagipun syarikat pelaburan strategik negara itu akan terdedah kepada risiko, selain daripada hakikat ia disiasat oleh banyak negara, termasuk Switzerland dan Britain.
  

Berikutan itu beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan bagaimana masalah kewangan dan skandal 1MDB akan memberi kesan kepada survival Malaysia.

 Kata Ahmad Husni: “Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) cakap persepsi menentukan survival kita, katalah, saya tak sebut DOJ (saman sivil Jabatan Keadilan, Amerika Syarikat) lah, katalah kes itu tak menyebelahi kita, bagaimana persepsi terhadap negara kita?”

“Katalah kes AS$4 bilion dengan Aabar (BVI) itu hilang, sekarang pun tak dapat, apa jadi kepada persepsi terhadap negara kita?” soalnya di Dewan Rakyat.

 IPIC dan anak syarikat Aabar Investments PJS dalam satu kenyataan besama April lepas berkata syarikat Kepulauan Virgin British itu yang mempunyai nama yang hampir sama, Aabar Investments PJS Ltd, “bukan entiti dalam kumpulan mereka”.

“Apakah tindakan yang diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana melabur wang bukan di tempat sepatutnya?” soal beliau.

Ahmad Husni merujuk kepada dana 1MDB yang bertujuan untuk usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI) tetapi sebaliknya disalurkan ke dalam sebuah syarikat lain yang tidak berkaitan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menuntut penjelasan tentang unit pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.17 bilion), yang sepatutnya matang tahun lepas.

Husni, yang meletakkan semua jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional, mempertikaikan alasan sebalik keputusan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk meminjamkan RM4 bilion secara sekaligus kepada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

“Lazimnya pinjaman diberi secara berperingkat.”

Ahli Parlimen Tambun itu turut menyoal bagaimana persepsi ke atas Malaysia akan terjejas jika International Petroleum Investment Co (IPIC) ke atas 1MDB menang di mahkamah timbangtara antarabangsa bagi mendapatkan semula AS$ 6.5 bilion.


Bekas menteri itu – selepas dua bulan meletakkan jawatan - pernah mengatakan beliau  sangat tertekan urus isu 1MDB, dan melalui soalan-soalannya pasti memerlukan jawapan yang meyakinkan daripada pihak kerajaan untuk menepis persoalan yang ditimbulkan.


Soalan lain dikemukakan ialah apa motif kerajaan menubuhkan 1MDB yang beliau dakwa menyaksikan banyak penggelapan berlaku tanpa dikenakan tindakan.

Pada 11 September lalu, Ahmad Husni pernah menyebut bahawa walaupun memegang jawatan menteri kewangan kedua, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang penubuhan 1MDB pada 2009.

"Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada 2009. Saya tak dirujuk walaupun saya menteri kewangan II. Bila dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB?”


Menurutnya, bagi penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.

Namun, apabila kontroversi syarikat pelaburan itu memuncak, beliau ditugas menyediakan jalan penyelesaian hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif.

"Saya tidak libatkan diri dalam urusan 1MDB sehinggalah tahun 2015 di mana pada awal tahun tersebut saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunai yang negative,” tegasnya.


Di Dewan Rakyat semalam beliau turut persoalkan alasan sebalik tender terhad dalam perolehan kerajaan tanpa pengetahuan jawatankuasa tender.

“Juga terdapat perjanjian yang menyebelahi syarikat swasta.”

Beliau turut menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat kos Lebuhraya Pan Borneo.


No comments:

Post a Comment