Thursday, September 29, 2016

PRU14 - UMNO Tidak Kerjasama, Tetap Lawan PAS Di Kelantan

Hanafi...tiada ikatan politik
UMNO tidak bekerjasama dengan PAS, demikian jawapan UMNO Kelantan semalam.

UMNO Kelantan menyatakan pendirian itu  sebagai menjawab kenyataan pemimpin veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah kelmarin  yang mengatakan  beliau tidak faham sama ada PAS dan UMNO rakan atau seteru dalam politik.

Menurut Tengku Razaleigh, kepimpinan PAS Kelantan kini didakwa begitu lemah tetapi itu belum tentu memberi kelebihan kepada musuh tradisinya UMNO.

Bagaimanapun katanya partinya masih tidak memberikan jawapan tegas berkaitan pendiriannya terhadap PAS.

“Saya sendiri pun tidak faham UMNO Kelantan ini. Kita tengok baru-baru ini, PAS lawan kita di (pilihan raya kecil) Sungai Besar, PAS juga lawan kita di Kuala Kangsar.

“Tetapi apabila kita tanya apakah dia menjadi seteru kita, lawan kita dalam PRU nanti, dia (UMNO) tidak dapat memberikan jawapan tegas,” katanya dalam wawancara disiarkan Sinar Harian kelmarin.

UMNO Kelantan menegaskan bahawa parti itu tidak ada ikatan atau kerjasama dengan PAS dalam konteks politik.

Setiausaha Badan Perhubungan  UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat berkata, istilah seteru diantara PAS dan UMNO memang wujud bahkan parti Melayu itu merupakan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Parti PAS menguasai kerajaan Kelantan. Antara kedua-dua parti tidak ada sebarang ikatan politik atau kerjasama dalam konteks politik.

“Ini hakikat, tidak ada sebarang perjanjian politik setakat ini. Istilah seteru tetap wujud antara parti UMNO dan PAS,” katanya kepada FMT.

Hanafi akui ada kerjasama antara PAS dan UMNO tetapi dalam projek yang melibatkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

“Terdapat kerjasama dalam perlaksanaan projek dan program Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri demi rakyat. Contohnya, baik pulih dan pembinaan rumah untuk mangsa banjir dan masalah bekalan air pembinaan lebuhraya dan sebagainya,” katanya.


Dalam wawancara di kediaman beliau di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini, Tengku Razaleigh merasakan UMNO tetap akan menentang PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi saya rasa kita tetap lawan PAS pada pilihan raya akan datang kerana orang bawahan tidak mahu kita bersatu dengan PAS.

“Dan, orang PAS juga sama, tidak mahu bersatu dengan UMNO,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment