Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Thursday, August 31, 2017

Bermimpi Sahajalah PH, PAS & UMNO Boleh ‘Tidur Nyenyak’


Pakatan Harapan (PH) diramalkan akan gagal menawan Terengganu dan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Pakar dan pengkaji politik berpendapat, kegagalan parti yang bergabung dengan PH menarik sokongan orang luar bandar menjadi penghalang PH menewaskan UMNO dan PAS.

Malah, jika berlau pertangan tiga penjuru, PH akan hanya bermimpi kerana kelebihan ada pada UMNO dan PAS.

Malah, tidak mungkin 15 peratus pengundi PAS dan UMNO  di Kelantan atau Terengganu akan berikan undi kepada PH  pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Juga tidak ada kebenarannya kata-kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa PH akan mengambil undi 15 peratus akibat pengundi Melayu berubah daripada  UMNO dan PAS kepada PH kali ini.

Menurut pakar dan pengkaji politik berkenaan, pengundi Kelantan dan Terengganu akan setia dengan UMNO dan PAS.

Mereka tidak akan lari dan akan terus memberikan kesetiaan walaupun hakikatnya, mungkin ada perubahan sedikit di kawasan bandar.

Di luar bandar, usah mimpilah PH untuk mendapat undi daripada orang UMNO dan PAS.

Siapa berpendapat demikian?

Mereka ialah Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre, penasihat utama Pacific Research Center, Dr Oh Ei Sun, Ketua Klaster Politik Profesor Negara,  Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak dan bekas pensyarah Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Mereka berpendapat dalam kedudukan di mana UMNO yang begitu teguh akr umbi dan memiliki kewangan yang kukuh, amat sukar untuk PH – AMANAH, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menembusi kubu kuat PAS dan UMNO.

Tidak ada sebab untuk rakyat menyokong PH, walaupun ada segelintir yang mahukan perubahan.

Bagi mereka, kedudukan di mana rakyat Kelantan dan Terengganu yang boleh disifatkan ‘kolot politik’ dan masih tidak sedar dengan laungan untuk perubahan oleh PH akan kekal mengundi UMNO dan PAS.

Malah, walaupun ramai yang datang ke ceramah dan majlis PH, ia tidak boleh dianggap sebagai sokongan dan akan mengundi mereka.

Ia hanya gambaran palsu yang akhirnya undi rakyat Kelantan dan Terengganu akan berbalik kepada dua parti lama itu.

“Akan ada gelombang kecil orang Melayu menentang kerajan tetapi dengan kedudukan pembangkang yang tidak bersatu, PH tidak mempunyai jaminan akan menang. Sebabnya PAS lebih lama dan lebih dikenali serta berakar umni di kawasan luar bandar, selain ramai pengikut,” kata Ibrahim seperti dipetik oleh The Malay Mail kelmarin.

Jika berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan BN menentang PAS dan parti komponen PH, dijangkakan pemenang ialah BN.

Dr Oh Ei Sun berpendapat kalau ada pun sokongan kepada PH, ia tidak secara menyeluruh tetapi bertaburan di kawasan bandar.

Menurutnya yang akan sokong AMANAH hanya pengundi kawasan bandar sementara PPBM lemah untuk menarik sokongan daripada UMNO dan PAS.

Prof Mohamed Mustafa juga tidak yakin PH akan mendapat laba daripada pertandingan tiga penjuru.

“Oleh kerana Kelantan dan Terengganu menjadi kubu PAS, sementara UMNO juga kukuh di banyak kawasan, dua negeri ini akan menjadi saingan sengit PAS dan UMNO.

Dan apabila jadi perlawanan tiga penjuru, adalah sukar untuk parti baru menang, apalagi mereka tidak bersatu.

Masalah boleh dirujuk kepada dua pilihan raya kecil tahun lepas yang AMANAH sertai di mana ia gagal untuk menarik sokongan.

Sebaliknya jika PAS masih kekal dengan PH, perubahan akan berlaku tetapi dengan PAS seakarang, tiada gelombang perubahan sokongan akan berlaku.

Prof Mohamad menegaskan, apa yang dikatakan oleh LIM mengenai 15 peratus undi akan berubah kepada PH tidak akan berlaku kerana PAS tidak bersama PH.

Katanya AMANAH mungkin mendapat sokongan di kawasan bandar tetapi UMNO dan PAS akan kekal di kawasan luar bandar.

“Mungkin yang menentang parti sendiri membantah dengan tindak mengundi tetapi tidak akan mengundi parti lawan,

“ Majoriti kecil yang didapati oleh PAS dan UMNO pada pilihan raya lalu tidak akan meninggalkan kesan dan AMANAH tidak akan mendapat manfaat daripada kedudukan itu,” tegas Prof Mohamad.

Kelantan kini diperintah oleh PAS dan UMNO pula di Terengganu.

PKR memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing di Kelantan.


Sunday, October 18, 2015

Barisan Nasional Masih Bentuk Kerajaan Terbaik Bagi Malaysia - Najib


Barisan Nasional (BN) masih merupakan bentuk kerajaan terbaik bagi Malaysia di sebalik kekurangan dan ujian yang dihadapinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata apa yang lebih penting, BN telahpun merangka pelan hala tuju yang jelas bagi masa depan negara, dan semua ujian dalam politik semasa boleh diselesaikan jika rakyat memberi sokongan padu kepada kepimpinan.

Sambil menarik perhatian bahawa ini bukan kali pertama negara berdepan ujian dalam politik, beliau berkata sebelum ini pun, negara berupaya pulih disebabkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan.

"Sekali-sekala, akan ada bonggol di pertengahan jalan. Begitu juga jika anda menerbangkan pesawat, akan ada poket udara.

"Insya-Allah, kita akan atasinya," katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan Kebangsaan ke-44 Parti Gerakan di Setia City Convention Centre di Petalingjaya hari ini.

Beliau berkata meskipun pembangkang akan sentiasa menimbulkan dan membangkitkan kebencian terhadap kerajaan, namun kerajaan BN akan terus melaksanakan apa yang dirancang untuk rakyat.

"Bagaimanapun kami tidak boleh sentiasa mengambil pendekatan populis, sebab kami perlu berkhidmat (kepada rakyat)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib turut mengingatkan rakyat bahawa tiada kebenaran yang mutlak dalam kebanjiran maklumat dalam media sosial.

Beliau berkata terdapat sesetengah pihak yang akan sentiasa memutarbelitkan fakta mengikut agenda mereka, dan menambah, malah beliau sendiri turut menjadi mangsa dalam media sosial.

"Misalnya, mereka banyak kali melakukan 'photoshop' gambar saya. Kadang-kadang kepala lain, badan lain. Mujurlah hasil kerja mereka itu bertompok-tompok, jadi orang boleh nampak gambar itu palsu. Contohnya bila mereka letak gambar saya di sebelah seorang wanita, itu bukanlah saya," katanya.

Justeru, Najib berkata ketika berdepan budaya politik baharu dalam era media sosial, anggota Gerakan perlu mempertingkatkan penggunaan media sosial sebagai wadah untuk meraih sokongan lebih besar daripada rakyat dalam usaha mencergaskan semula parti, di samping menentang pembohongan pembangkang.

"Ini adalah budaya politik baharu. Gerakan perlu lebih aktif dalam media sosial, ke arah usaha menyegarkan semula parti dan meyakinkan rakyat bahawa BN masih merupakan kerajaan terbaik buat mereka," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Gerakan masih rakan yang relevan dalam BN meskipun kalah teruk dalam dua pilihan raya umum lepas.

Perdana menteri turut menegaskan bahawa Gerakan, di bawah kepimpinan Mah, menunjukkan semangat dan iltizam politik untuk bangkit semula.

Sumber - Bernama

Monday, September 14, 2015

BN Akan Bentang Kad Laporan Akujanji PRU13 – Najib



Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan kad laporan akujanji kepada rakyat yang telah dibuat dalam bentuk manifesto pada pilihan raya umum ketiga belas (PRU13) lalu yang kini telah memasuki fasa pertengahan penggal parlimen ini, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun setengah ini BN telah melaksanakan pelbagai projek dan program bersandarkan kepada akujanji tersebut dan sudah sampai masanya dalam sedikit masa lagi membentangkannya kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur malam semalam.
YUSL6352
“Kita akan maklumkan bentuknya dan cara mana dengan prinsip akuantabiliti kepada rakyat berdasarkan kepada akujanji yang telah buat ini oleh BN.
“Kita juga akan bentangkan perkembangan pencapaian kita dan apa yang perlu kita lakukan dalam tempoh dua tahun setengah yang akan datang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata mesyuarat telah membincangkan secara panjang lebar mengenai cadangan kumpulan tertentu untuk mengadakan perhimpunan pada 16 September.
“Parti-parti komponen BN telah beri banyak pendapat dan kita telah bersetuju untuk tidak bersetuju atas pendirian-pendirian yang telahpun dibentangkan.
“Ada yang lahirkan kebimbangan, ada yang kata tidak setuju dan ada yang kata 16 September bukanlah hari yang sesuai dan sebagainya.
“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati pandangan-pandangan yang telah rakan-rakan kita dalam komponen. Sekiranya pertemuan tersebut hendak diadakan ia hendaklah patuh kepada undang-undang yang sedia ada maknanya kena dapat kelulusan tempat, mesti ikut peraturan polis dan semua undang-undang negara mesti dipatuhi termasuk Akta Hasutan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati penganjur perhimpunan agar patuh kepada undang-undang serta memohon kerjasama polis untuk memastikan kawalan yang ketat dan laluan-laluan yang bersesuaian.
“Macamanapun pemimpin-pemimpin BN akan berada di Kota Kinabalu kerana itulah menjadi tempat kita menzahirkan komitmen kita kepada pembentukan sebuah negara Malaysia pada tanggal 16 September 1963.
“Dan semangat kekitaan, semangat kita sebagai sebuah negara bangsa akan kita semarakkan pada majlis tersebut dan komitmen BN kepada dasar parti terus kita perjuangkan,” tambahnya lagi.
Berkenaan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin tinggi akibat jerebu yang melanda negara sekarang, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menyediakan garis panduan mengenainya dan akan mengumumkan langkah seterusnya apa tindakan yang perlu dibuat dari sama ke semasa. – Media UMNO.

Friday, February 28, 2014

BN Pilih Calon Paling Sesuai Bagi P/raya Kecil DUN Balingian - Najib


Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dan akan memilih calon paling sesuai untuk bertanding di kawasan tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita sedang tunggu tarikh pilihan raya yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta BN Sarawak akan sediakan calon yang paling sesuai untuk kawasan tersebut," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin tertinggi parti komponen BN.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Tan Sri Abdul Taib Mahmud kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, hari ini.

Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima bagi menggantikan Taib.

Najib berkata Adenan dilantik menjadi Pengerusi BN Sarawak atas kapasitinya sebagai ketua menteri baharu.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac depan, Najib berkata segala persiapan berjalan lancar dan jentera parti amat komited untuk memberi sokongan padu kepada calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun.

"Kita lihat bahawa sambutan adalah menggalakkan walaupun kita tidak nafikan bahawa BN akan menerima tentangan yang hebat daripada calon (pembangkang) yang akan bertanding.

"Tetapi kita tahu bahawa calon kita ini seorang yang disenangi masyarakat tempatan dan mempunyai track record yang baik, mempunyai pendirian yang tegas serta seorang yang mahu memberi khidmat bakti kepada pengundi di DUN Kajang," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

Najib berkata BN juga menyelaraskan strategi antara parti komponennya, selain mengatur pelbagai program bagi memperoleh keputusan terbaik pada pilihan raya kecil itu.

Mesyuarat itu turut bersetuju untuk menerima Persatuan India Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia sebagai anggota gabungan BN, katanya.

Monday, February 24, 2014

Chew Mei Fun Jadi Pengukur Penerimaan Rakyat Terhadap MCA

"MCA amat yakin untuk menghadapi pilihan raya ini dan kami tidak akan berputus asa...parti (MCA) meletakkan calon yang berwibawa dan dengan jujurnya memberitahu para pengundi Kajang supaya menilai keikhlasan kami dan meminta mereka supaya memberi peluang kepada kami."
- Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai 

Pemilihan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi pengukur kepada penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baharu parti itu.

Berikutan itu,  peluang bertanding itu tidak harus dipersia-siakan meskipun ada pihak mencadangkan BN supaya tidak bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac ini.


Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Naib Presiden MCA itu sebagai calon BN pada Jumaat lepas dilaporkan berkata, Chew yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan.

"Kalau tidak ada kesempatan ini diambil, maka lebih sukar untuk mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat Cina ataupun rakyat terhadap kepimpinan baharu (MCA). "Apapun keputusan itu nanti, akan dijadikan satu gambaran di mana mereka (MCA) berada, dan langkah-langkah pemulihan yang boleh diambil dan asas-asas perjuangan yang hendak diperjuangkan untuk masyarakat Cina mungkin dapat disampaikan pada pilihan raya seperti ini."

Demikian kata Muhyiddin selepas melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Pagoh kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kepimpinan baharu MCA juga diberi kesempatan untuk membuktikan kepada pengundi di situ dan masyarakat Tionghua bahawa mereka bersedia membantu kaum itu.

"Saya fikir ada baiknya kita beri peluang (kepada MCA) walaupun ada cadangan untuk kawasan itu diberikan pada wakil parti komponen (BN) yang lain," katanya.

Menurutnya Chew merupakan calon yang sesuai bagi kerusi DUN Kajang kerana beliau berpengalaman menyandang jawatan kerajaan dan seorang yang berprinsip dari segi perjuangannya dan mempunyai perwatakan baik.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata BN tidak mahu memberi laluan mudah kepada pembangkang dengan tidak bertanding, meskipun dilihat sebagai "bukan pilihan" pada pilihan raya kecil itu.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam berkata parti komponen BN itu bersedia menghadapi cabaran PRK Kajang yang dijangka sengit.

Justeru itu, katanya parti itu tidak akan berundur walaupun ada pihak yang menggesanya berbuat demikian.

"Berdasarkan keputusan 505 Pilihan Raya Umum (2013), kami berada dalam kedudukan lemah, namun kami akan mempamerkan sikap yang baharu dalam menghadapi pilihan raya kecil ini.

"MCA amat yakin untuk menghadapi pilihan raya ini dan kami tidak akan berputus asa," katanya semasa berucap pada sambutan ulang tahun ke 65 parti itu di Wisma MCA.

Liow berkata parti itu meletakkan calon yang berwibawa "dan dengan jujurnya memberitahu para pengundi Kajang supaya menilai keikhlasan kami dan meminta mereka supaya memberi peluang kepada kami.

"MCA akan tampil dan mendedahkan rupa sebenar parti ini (PKR), dan memberitahu para pengundi bahawa pilihan raya kecil ini berpunca daripada usaha peribadi untuk merebut kuasa," katanya.

Beliau berkata pilihan raya kecil itu diadakan bukan untuk kepentingan para pengundi Kajang sebaliknya kerana pemimpin PKR yang mementingkan diri.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi selepas menewaskan lima calon lain pada PRU13. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari pengundian dan penamaan calon pada 11 Mac ini.

Di Kajang semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas BN bagi PRK DUN Kajang di pejabat Umno Hulu Langat.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN tiba pada pukul 9 pagi, disambut oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir calon BN bagi pilihan raya itu Datin Paduka Chew Mei Fun. Hadir sama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kong, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mesyuarat lebih sejam itu bertujuan membincangkan perancangan dan strategi BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu yang akan dilangsungkan pada 23 Mac depan.

Bekas timbalan menteri pembangunn wanita, keluarga dan masyarakat itu dijangka akan berdepan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil itu. Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim, Senator S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac. PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lepas.

Wednesday, June 20, 2012

BN Mungkin Kekalkan 137 Kerusi Parlimen Yang Dikuasainya


"Cabaran terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam BN adalah bagaimana untuk menterjemahkan populariti beliau kepada undian untuk Umno dan BN, terutama di kawasan bukan Melayu dan di kawasan bercampur di Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak..."
- Centre of Strategic Engagement


Oleh Alan Ting (Bernama, 19 Jun 2012)

Barisan Nasional (BN) mungkin mengekalkan 137 kerusi Parlimen yang dikuasainya sekarang dengan margin lima peratus lebih atau kurang, tetapi tidak cukup mencapai majoriti dua pertiga, menurut kajian dan analisis terperinci Centre of Strategic Engagement (CENSE).

Kajian terbaru itu menunjukkan masih ramai yang bergantung kepada kekuatan dan organisasi jentera pilihan raya BN. "Berdasarkan sentimen semasa, ramalan CENSE ialah BN mungkin akan kehilangan 10 kerusi di kawasan pilihan raya yang didominasi kaum Cina di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Media Cina telah membuat pendirian tegas tentang 'kekejaman polis' ketika Bersih 3.0 dengan mencetak akhbar dengan warna hitam dan putih, dan menggalakkan wartawan dan mereka yang bersimpati memakai pakaian hitam pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia," katanya.

Ia berkata tindakan itu telah meletakkan kerusi Cina di Johor, Sabah dan Sarawak lebih terancam kedudukannya bagi BN.


Sebaliknya, CENSE berkata terdapat peningkatan sokongan pengundi Melayu, kira-kira lapan peratus sejak 2008, yang akan menyaksikan sokongan di kawasan pengundi Melayu dan di kerusi yang didominasi pengundi Melayu dan campuran, terutama bagi Umno.

Berikutan itu, parti pembangkang yang mungkin terjejas adalah PKR. Pusat itu berkata faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 termasuk - sentimen, isu, kepimpinan, infrastruktur, logistik, pembiayaan dan jentera kempen, dan kempen juga akan menunjukkan jika jentera BN benar-benar menyesuaikan lanskap baru politik, yang didominasi pembangkang, perang siber.

"Pembangkang tahu cara memainkan sentimen orang ramai dan mengakui kuasa media sosial untuk menyampaikan kepada pengundi muda. BN, sebaliknya, mempunyai kelebihan dengan logistik dan infrastruktur jenteranya, terutama di kawasan luar bandar di Sabah, Sarawak, Pahang dan sebahagian kawasan di Johor," katanya.

Tetapi, BN dilihat memiliki jentera pilihan raya lebih kukuh kerana ia lebih tersusun dan ditadbir oleh andaian yang lebih realistik berbanding 2008.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan BN kali ini adalah moral yang rendah di kalangan anggota parti dan pekerja di kawasan majoriti pengundi Cina atau di kerusi campuran di mana pengundi Cina merupakan sebahagian besar pengundi asal," katanya.

Sehubungan itu, ia percaya BN cukup realistik untuk menyedari ia tidak boleh merampas Pulau Pinang dan Kelantan daripada pembangkang tetapi berharap untuk mengekalkan Perak serta mengambil semula Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun, peluang untuk menawan semula Selangor adalah tipis.

Dalam laporan itu, CENSE juga berkata walaupun peralihan pengundi Melayu kepada Umno, tetapi ia masih 50:50.

Ini adalah kerana pengagihan kerusi pilihan raya di negara ini yang berdasarkan kaum.

Justeru, peningkatan pengundi Melayu akan meningkatkan margin majoriti tetapi ia tidak bermakna lebih banyak kerusi boleh dimenangi.

"Dengan alasan sama, lebih ramai pengundi Cina untuk pembangkang juga mempunyai kesan yang terhad kerana ia hanya terbatas di kerusi majoriti Cina seperti Seputeh di Wilayah Persekutuan, Petaling Jaya Utara di Selangor, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak," katanya.

"Laporan itu juga menunjukkan cabaran terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam BN adalah bagaimana untuk menterjemahkan populariti beliau kepada undian untuk Umno dan BN, terutama di kawasan bukan Melayu dan di kawasan bercampur di Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Beliau masih memerlukan sokongan kumpulan minoriti untuk parti beliau bagi memastikan keputusan lebih baik berbanding 2008.

CENSE juga berkata berdasarkan kajian mereka selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April, golongan Melayu telah memberi sokongan kuat kepada Umno, bermakna Umno harus memenangi lebih daripada 79 kerusi pada pilihan raya akan datang.

Analisis daripada penganjuran Bersih 3.0 juga menyatakan isu kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun akan menjadi sebahagian daripada arus perdana politik manakala kuasa media sosial tidak boleh diperlekehkan dalam mobilisasi khalayak yang besar.

Ini tanpa mengira sama ada ia untuk menunjukkan perpaduan tulen atau semata-mata pengalaman kebebasan demokrasi.

Kajian CENSE juga menunjukkan sebahagian pengundi Cina kekal tidak terpengaruh dengan Bersih 3.0 berikutan 'kekecewaan' berterusan tentang isu yang telah lama wujud seperti sistem penyampaian yang lemah, tadbir urus dan meritokrasi.

Bersih 3.0 mungkin, pada tahap terbaik telah mempengaruhi pengundi Cina yang tua agar kembali semula kepada BN kerana bimbang potensi berlaku rusuhan dan kekacauan.

Laporan itu juga berkata tidak semua golongan kelas pertengahan Melayu bersedia untuk menukar kerajaan dan ini boleh memberi tip undian memihak Umno.

Monday, June 4, 2012

Loceng Amaran Muhyiddin Kepada Komponen BN?


"Sekarang saya melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen dan giat turun padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen lain seperti lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan mengadakan kempen menghadapi PRU kali ini....Selain itu, sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang berlaku dan mereka seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali ini,"
 - Mohd Azizuddin Mohd Sani, Penganalisis Politik UUM

 Oleh  Jamilah Hamzah ( 4 Jun 2012)

 Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima, kanan) merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan menyanyikan lagu "1Malaysia".

Dua bulan lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak minta maaf atas kesilapan-kesilapan lalu Barisan Nasional (BN). Langkah itu tidak pernah diambil oleh mana-mana ketua BN, yang lazimnya bertindak sebagai perdana menteri.

Semalam, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) sebagai penentu hidup atau mati BN.

 Mesej Muhyiddin itu ditafsir dari perspektif dan sudut masing-masing. Ada yang mengatakan BN bimbang, panik dan risau akan masa depannya.

Paling jelas, kenyataan terbuka orang nombor satu dan dua semasa BN itu membawa mesej yang jelas - BN perlu kekal berkuasa dan mahukan mandat untuk terus mentadbir negara ini.

Mengulas kenyataan terbaru semalam, penganalisis melahirkan pandangan yang berbelah bahagi mengenai peluang dan masa depan BN pada PRU13. Ada yang mengatakan bahawa BN semakin bimbang dengan saingan sengit daripada Pakatan Rakyat (PR) menjelang PRU13.

Ketika PR melaungkan mahu Melangkah Ke Putrajaya, BN memberi kenyataan-kenyataan sebaliknya. Mesej itu dilihat dari sudut psikologi.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani, kedudukan BN semakin tergugat dengan saingan yang diberikan oleh komponen PR dan ada kemungkinan akan berhadapan dengan kekalahan.

Beliau juga berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, memberi tanggapan PRU13 akan menentukan nasib antara BN dan PR dalam mengemudi kerajaan pada masa akan datang.

 "Saya melihat BN akan hilang kuasa jika parti komponen tidak bersatu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang. "PR memberi saingan yang sangat sengit untuk merampas kerusi di Wilayah Persekutuan dengan mengenal pasti calon terbaik untuk diletakkan di bahagian itu," kata beliau ketika dihubungi lewat semalam.

Azizuddin turut menekankan bahawa BN memerlukan kerjasama antara satu sama lain termasuklah MIC, MCA dan Gerakan, dan bukan hanya Umno yang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"Sekarang saya melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen dan giat turun padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen lain seperti lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan mengadakan kempen menghadapi PRU kali ini.

"Selain itu, sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang berlaku dan mereka seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar BN turut memberi perhatian ke atas Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri itu menawarkan 56 kerusi Parlimen.

Ini kerana katanya, jika dua negeri itu dimenangi PR bermakna kuasa pusat akan berada dalam tangan perikatan tidak formal itu - yang dianggotai Pas, DAP dan PKR.

 Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata pihaknya kini lebih yakin dan optimis menghadapi PRU13 bersama PR yang tersusun

"BN tidak boleh lepas pandang Sabah dan Sarawak yang turut menjadi negeri jaminan kemenangan bagi mereka, PR juga tidak perlu menang semua kerusi di sana untuk rampas Putrajaya.

"PR semakin giat untuk mengaut kerusi di dua negeri tersebut untuk menang dan jika BN tidak mengambil langkah sewajarnya, tidak mustahil BN akan kalah pada PRU kali ini," kata Azizuddin lagi.

Mengupas isu yang sama, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpandangan bahawa mesej Muhyiddin menunjukkan bahawa BN sedang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"BN semakin bekerja kuat untuk hadapi pilihan raya ini kerana PRU kali ini tidak semudah dulu. "Jika BN kalah pada PRU ini, sistem kerajaan juga akan turut berubah di bawah pemerintah baru nanti," kata beliau.

Bagi penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, PRU13 memberi ukuran kepada kemampuan BN untuk terus kekal berkuasa ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, mesej Muhyiddin itu bukan menunjukkan kebimbangan BN sama sekali.

Sebaliknya kata beliau, "memberi keazaman kepada parti kompenan BN untuk terus mempertahankan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen."

"BN juga perlu membuat persiapan yang rapi untuk pilihan raya musim ini untuk mendapat kedudukan yang lebih baik," katanya lagi. Sebelum ini, Muhyiddin juga pernah menarik perhatian dengan mengatakan bahawa PRU13 merupakan ibu kepada segala pilihan raya yang diadakan di negara ini.

Ketika ada yang mengatakan BN semakin panik, peluang untuk perikatan yang memerintah negara ini sejak merdeka masih belum berakhir.

Kerisauan dan kebimbangan ada pada semua parti yang bertanding - BN dan juga PR di mana satu perikatan mahu kekalkan kuasa manakala yang satu lagi mahu menggantikannya. Itu matlamat mereka. Jika tidak apa gunanya bertanding dana arena politik bernama PRU.

Saturday, May 19, 2012

Sejauh Mana Lagikah Fatwa Gila PAS Mahu Menyesatkan Umat Islam?

Oleh Aqil Farhan Rafiqin

ABU tidak pandai mahu menghukum atau memfitnah.

Kita dilarang memfitnah tetapi kalau dah berlebih menghukum sesama Islam, terpaksa juga bangkit untuk menyatakan yang dirasakan BENAR.

Semalam, Musyridul Am PAS buat hal lagi.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi lagi kenyataan yang pernah dibuat beberapa kali sebelum ini bahawa mengundi Barisan Nasional (BN) tidak akan masuk syurga. 

Tidak akan masuk syurga. Kalau undi DAP dan PKR tu hamper-hampir dan ada can lah tu.

Nik Aziz mengulangi fatwa gila ni untuk membuktikan bahawa pakatan PAS dan sekutu ‘kafir harbi’ DAP dan PKR itu sebagai boleh dan pengikutnya mungkin ‘layak masuk syurga’.

Bagi Nik Aziz, BN bukan parti yang berteraskan Islam, sebaliknya membawa unsur nasionalisme yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad. “Undi BN tidak undi Islamlah. Dasar BN dasar kebangsaan. Kebangsaan tidak boleh bawa manusia ke syurga kerana kebangsaan ini bukan ajaran Nabi Muhammad saw,” katanya.



Kenyataan bersifat fatwa ini diperkatakan Nik Aziz kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Ibai di Kuala Terengganu semalam.

Yang menghairankan pemimpin PAS Terengganu seperti Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, timbalannya, Datuk Tengku Hasan Tengku Omar dan pimpinan PAS peringkat kawasan mengiakan kenyataan Nik Aziz itu.

Benarlah apabila beberapa pemimpin, khususnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengatakan PAS parti ajaran sesat.

Apa tidaknya?

Nik Aziz menyesatkan dan begitu juga Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui fatwanya turut menyesatkan umat Islam.

Ini bermakna dalam PAS kini ada dua pemimpin utamanya yang menyesatkan umat Islam secara ketara.

Nik Aziz menghukum orang Islam undi BN tidak masuk syurga sementara Hadi pula memecahbelahkan umat Islam di Malaysia melalui fatwanya yang menjadikan sembahyang dua imam, sembelihan orang Islam tidak boleh dimakan, pasangan terpaksa bercerai jika pernikahan dibuat oleh imam bukan PAS dan banyak lagilah.

Sewajarnya apabila ada persetujuan untuk bermuzakarah sesama Islam, Nik Aziz meletakkan di belakang dahulu soal parti politik atau kerjasama PAS dengan DAP dan PKR.

Tetapi ini tidak.

Nik Aziz menunjukkan dendam dan kebenciannya yang mendalam kepada UMNO dan BN apabila mengulangi faktwanya seperti di atas selain meletakkan syarat ‘gila babi’ yang memang tidak masuk akal.

Lebih jauh, Nik Aziz turut menyatakan Umno perlu bersedia untuk menerima parti-parti lain dalam pakatan rakyat iaitu - PKR dan DAP sekiranya masih memasang niat untuk menjalin kerjasama politik dengan Pas.

Nik Aziz berkata,UMNO  wajar menerima ketiga-tiga parti dalam PR memandangkan PAS bukan lagi berseorangan ketika ini dan keputusan perlu dibuat bersama PR.

Beliau meletakkan syarat agar UMNO menukar dasar parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang usaha ke arah penggabungan antara dua parti.

 “Saya sebut lama dah. Kalau UMNO nak bersatu, parti itu perlu menukar dasar kebangsaan kepada Islam. Ia bukan keputusan seorang tetapi kena buat secara rasmi (bersama PR). UMNO (perlu) tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam secara rasmi. “Kedua, UMNO kena terima PAS sekali dengan pakatan kerana kami sudah ada Pakatan dan Pakatan tidak buat khianat kepada kami. Maka lepas kami (PAS) bersatu dengan UMNO dan selepas UMNO ubah dasar dia, barulah boleh bersama dengan pakatan,” katanya.

Melihat kepada kenyataan Nik Aziz itu, benarlah rumusan seperti yang disebut oleh Hambali Abdul Latiff melalui blognya bahawa:

“Yang pasti kalau PAS tetap dengan keputusan Nik Aziz, kedua-dua parti tidak akan ke mana-mana. Hanya ada dua sahaja kemungkinan. Pertama PAS pujuk atau paksa Nik Aziz jangan meletakkan syarat - rasanya amat sukar. Kedua tunggu Nik Aziz mati dan pemimpin lain tidak meletakkan syarat seperti Nik Aziz barulah UMNO - PAS duduk semeja!!!

Friday, February 3, 2012

BN Tadbir Urus Kekayaan Negara Menerusi Pelbagai Program Kebajikan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir urus kekayaan negara dengan baik sehingga dapat melaksanakan pelbagai program kebajikan yang membela rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata semua program itu dilaksanakan tanpa perlu meminjam daripada institusi kewangan luar seperti Bank Dunia mahupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Ini semua kita mampu buat sebab tadbir negara dengan baik sehingga membolehkan kekayaan dapat dipindahkan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di Padang Astaka Majlis Daerah Marang di Rhu Rendang, hari ini

Najib berkata, sejak mengambil alih pucuk pemerintahan negara tiga tahun lepas, beliau sering mengingatkan wakil-wakil rakyat supaya sentiasa merasai denyut nadi rakyat dengan mengutamakan kebajikan rakyat dalam dasar program membela rakyat tanpa memilih bulu dan fahaman politik.

"Kita beri rakyat Bantuan Rakyat 1Malaysia, cuba bayangkan mana ada kerajaan lain di dunia ini yang 80 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dapat bantuan RM500 kecuali kerajaan kita (BN).

"Kita tidak pilih bulu, orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Dia kutuk dan maki hamun kita, tetapi bila nampak duit, dia yang pertama sekali yang datang beratur, sedangkan orang kita yang berhujan dan berpanas dalam menegakkan kerajaan," katanya.

Dalam tempoh tiga tahun ini, selain BR1M, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan menurut Perdana Menteri jika diberi mandat untuk terus memerintah negara dalam pilihan raya umum akan datang, lebih banyak lagi program kebajikan seumpamanya untuk rakyat akan dilaksanakan.

"Apabila menyebut soal kepimpinan, ia berkait dengan soal kemampuan. BR1M kita mampu laksanakan...kita buat projek besar di Kuala Lumpur sebab hendak rangsang ekonomi dan dengan pertambahan hasil lima hingga enam peratus setahun kita bahagi pula kepada rakyat.

"Cukai pendapatan kita 2010- 2011 bertambah RM26 bilion setahun dan daripada jumlah itu kita beri RM2.6 bilion untuk bantuan persekolahan RM100 (setiap pelajar), baucar belian buku kepada pelajar STPM dan pelajar institusi pengajian tinggi sebanyak RM200," katanya.

Najib berkata, sejak kebelakangan ini soal kenaikan kos sara hidup merupakan cabaran utama kepada kerajaan untuk memikirkan cara yang terbaik untuk membantu rakyat dan untuk itu sebanyak RM22 billion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi pelbagai jenis barangan keperluan rakyat

Sementara itu, Perdana Menteri menyeru rakyat Terengganu mempertahankan Terengganu supaya terus kekal dalam pemerintahan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau juga mengharapkan kawasan DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang dapat dirampas kembali oleh BN bagi membolehkan kerajaan melaksanakan program pembangunan yang selama ini gagal dilaksanakan oleh PAS.

Menurutnya parti PAS kini berada dalam keadaan terumbang ambing dan semakin tidak jelas dalam memperjuangkan dasar politik mereka sejak berada dalam pakatan pembangkang.

"Pemimpin macam (bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr) Hasan Ali dibuang, orang yang benar-benar berjuang, bercakap tentang Islam dan mempertahankan akidah dipecat sebab mereka takut kepada DAP.

"Yang peliknya dalam sehari dua ini muncul pula pejuang Yahudi yang sanggup mempertahankan keselamatan Zionis sedangkan kita sepatutnya membela nasib orang Palestin yang tidak berdosa," katanya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan menyokong usaha menjaga keselamatan Israel ketika beliau ditemuramah akhbar The Wall Street Journal.