Monday, February 24, 2014

Chew Mei Fun Jadi Pengukur Penerimaan Rakyat Terhadap MCA

"MCA amat yakin untuk menghadapi pilihan raya ini dan kami tidak akan berputus asa...parti (MCA) meletakkan calon yang berwibawa dan dengan jujurnya memberitahu para pengundi Kajang supaya menilai keikhlasan kami dan meminta mereka supaya memberi peluang kepada kami."
- Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai 

Pemilihan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi pengukur kepada penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baharu parti itu.

Berikutan itu,  peluang bertanding itu tidak harus dipersia-siakan meskipun ada pihak mencadangkan BN supaya tidak bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac ini.


Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Naib Presiden MCA itu sebagai calon BN pada Jumaat lepas dilaporkan berkata, Chew yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan.

"Kalau tidak ada kesempatan ini diambil, maka lebih sukar untuk mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat Cina ataupun rakyat terhadap kepimpinan baharu (MCA). "Apapun keputusan itu nanti, akan dijadikan satu gambaran di mana mereka (MCA) berada, dan langkah-langkah pemulihan yang boleh diambil dan asas-asas perjuangan yang hendak diperjuangkan untuk masyarakat Cina mungkin dapat disampaikan pada pilihan raya seperti ini."

Demikian kata Muhyiddin selepas melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Pagoh kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kepimpinan baharu MCA juga diberi kesempatan untuk membuktikan kepada pengundi di situ dan masyarakat Tionghua bahawa mereka bersedia membantu kaum itu.

"Saya fikir ada baiknya kita beri peluang (kepada MCA) walaupun ada cadangan untuk kawasan itu diberikan pada wakil parti komponen (BN) yang lain," katanya.

Menurutnya Chew merupakan calon yang sesuai bagi kerusi DUN Kajang kerana beliau berpengalaman menyandang jawatan kerajaan dan seorang yang berprinsip dari segi perjuangannya dan mempunyai perwatakan baik.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata BN tidak mahu memberi laluan mudah kepada pembangkang dengan tidak bertanding, meskipun dilihat sebagai "bukan pilihan" pada pilihan raya kecil itu.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam berkata parti komponen BN itu bersedia menghadapi cabaran PRK Kajang yang dijangka sengit.

Justeru itu, katanya parti itu tidak akan berundur walaupun ada pihak yang menggesanya berbuat demikian.

"Berdasarkan keputusan 505 Pilihan Raya Umum (2013), kami berada dalam kedudukan lemah, namun kami akan mempamerkan sikap yang baharu dalam menghadapi pilihan raya kecil ini.

"MCA amat yakin untuk menghadapi pilihan raya ini dan kami tidak akan berputus asa," katanya semasa berucap pada sambutan ulang tahun ke 65 parti itu di Wisma MCA.

Liow berkata parti itu meletakkan calon yang berwibawa "dan dengan jujurnya memberitahu para pengundi Kajang supaya menilai keikhlasan kami dan meminta mereka supaya memberi peluang kepada kami.

"MCA akan tampil dan mendedahkan rupa sebenar parti ini (PKR), dan memberitahu para pengundi bahawa pilihan raya kecil ini berpunca daripada usaha peribadi untuk merebut kuasa," katanya.

Beliau berkata pilihan raya kecil itu diadakan bukan untuk kepentingan para pengundi Kajang sebaliknya kerana pemimpin PKR yang mementingkan diri.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi selepas menewaskan lima calon lain pada PRU13. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari pengundian dan penamaan calon pada 11 Mac ini.

Di Kajang semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas BN bagi PRK DUN Kajang di pejabat Umno Hulu Langat.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN tiba pada pukul 9 pagi, disambut oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir calon BN bagi pilihan raya itu Datin Paduka Chew Mei Fun. Hadir sama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kong, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mesyuarat lebih sejam itu bertujuan membincangkan perancangan dan strategi BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu yang akan dilangsungkan pada 23 Mac depan.

Bekas timbalan menteri pembangunn wanita, keluarga dan masyarakat itu dijangka akan berdepan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil itu. Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim, Senator S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac. PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lepas.

No comments:

Post a Comment