Wednesday, June 29, 2016

Tak Payah Ugut, Beri Amaran, Bersihkan Segera UMNO Daripada Sampah Sarap...


"Apabila melakukan sabotaj, memburuk-burukkan dan mengkritik pemimpin serta dasar parti, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jawabnya ‘nahaslah engkau’."

Kalau mahu bersihkan UMNO daripada mereka yang menentang kepimpinan tertinggi atau menyerang UMNO secara terbuka, bertindaklah biar menyeluruh, jangan terpilih.

Tidak kiralah yang berprofil tinggi atau rendah, mereka yang mengancam UMNO dan menyerang UMNO, lebih-lebih lagi menyerang dan memaki-hamun Presiden dan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO secara terbuka,  pecat sahaja.
  
Ini kerana dalam UMNO, tiada seorang pun lebih besar daripada parti!

Sesiapa yang pilih untuk melanggar peraturan parti, jawapannya adalah tindakan disiplin. Ia berlaku di atas kehendak mereka sendiri, bukan disuruh-suruh..

Kerana itu, tidak payah ugut atau beri amaran. Lama-lama jadi tawar, kalau asyik ugut dan beri amaran. Tindakan tegas diperlukan. Barulah nampak ‘ummmphhh...’.

Yang patut pecat, pecat sahaja. Yang patut digantung ke ahliannya, gantung sahaja.

Umno perlukan ahli berkualiti, bukan ahli yang asyik membantah dan mempersoalkan keputusan pemimpin.

Tidak perlu ada ahli tiga juta tetapi sebahagiannya sampah sarap. Ada yang tidak mengundi atau mengundi parti yang lawan UMNO.

Buat apa ahli sedemikian. Lakukan pemutihan segera. Setiap Bahagian UMNO perlu kenal pasti mana ahli yang setia, yang atas pagar dan yang tidak setia.

Yang setia dipelihara, yang atas pagar dipujuk dan yang tidak setia, bersihkan sahaja daripada ‘disk’ supaya tidak corrupt seluruh computer (UMNO).

Pemimpin perlu berani bertindak.  Pemimpin adalah ketua yang patut dihormati. ‘The boss is always right, bukan gitu?’


 Jadi apabila Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam terus menerus memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap ahli Umno khususnya di bahagian Pagoh, Semporna dan Jerlun yang membantah keputusan Majlis Tertinggi parti itu yang memecat dan menggantung pemimpin mereka Jumaat lalu, ia bukan sesuatu yang akan membawa kekuatan kepada parti.
  
Sebagai Setiausaha Agung yang semua butiran ahli dalam pengetahuannya, lebih baik buat kajian dan penyelidikan.

Mana-mana yang menentang secara terbuka, jelas dan bertindak nekad menentang UMNO, buang atau pecat sahaja.

Itu lebih baik.

Mereka ini  tidak semestinya daripada kumpulan pemimpin tetapi juga ahli biasa.

Kenyataan mereka sama ada melalui ceramah, blog atau Facebook perlu dipantau dan yang sesuai atau patut buang, buang sahaja.

Begitu juga dengan blogger dan Facebookers yang terang-terangan menyokong pembangkang dan Tun Dr Mahathir.

Tunggu apa lagi? UMNO perlu bersihkan ahli parti itu. Lakukan pemutihan. Tidak perlu bangga dengan tiga juta ahli tetapi banyak ‘sampah’ di dalamnya.

Biar tinggal ahli yang setia sahaja. Lagipun slogan UMNO itu sendiri pun BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT.

Tidak payahlah nak cakap tidak wajar bagi ahli parti di bahagian-bahagian  menuduh Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan di luar batasan atau apa sekali pun.

MT sudah buat keputusan berani memecat ketua Umno bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua UMNO Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan ketua Umno bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mereka melanggar disiplin parti, jadi kena beranilah dan berdepanlah dengan bantahan.

Umno bahagian Pagoh dan Semporna sebelum ini mengumumkan mereka menolak keputusan MT yang memecat pemimpin mereka daripada parti.

Tidak sekadar perlu meneliti dan memantau pergolakan yang berlaku di Semporna dan Pagoh di mana ada ahli-ahli yang tidak berpuas hati terhadap keputusan MT. Apabila membantah, ia jelas mereka tidak lagi menunjukkan tataetika sebagai ahli UMNO.


Mempesoalkan sama ada mereka  benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara tetapi untuk individu,  itu soal lain. Hak masing-masing. Apakah pemimpin UMNO semuanya mementingkan perjuangan sedemikian, atau kedudukan dan kepentingan peribadi?

Pemimpin dan ibu Pejabat UMNO tidak boleh menyekat ahli parti membuat spekulasi selagi tiada pencerahan dan kenyataan Presiden UMNO sendiri agak samar-samar.

Umpamanya dalam isu perletakan jawatan dalam parti diperingkat pusat, negeri dan bahagian oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Kalau soal jawatan Menteri, ia dikatakan sebagai hak Perdana Menteri melantiknya, tetapi bagaimana jawatan yang dipilih melalui persidangan UMNO Bahagian?

Kita mahu melihat apa tindakan terhadap kumpulan bekas ketua cawangan UMNO yang  bertindak membakar buku Perlembagaan Umno.

Mereka  menunjukkan kemarahan dan protes oleh  Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) sebaik sahaja selesai sidang media bersama Muhyiddin dan Mukhriz di perkarangan Rumah Alumni Universiti Malaya (UM) petang kelmarin menuntut respons bijak daripada pemimpin UMNO Pusat.

Mereka mendakwa buku Perlembagaan UMNO itu sudah tidak berguna lagi kerana  tidak digunakan oleh pimpinan tertinggi dan menganggap ia bertentangan dengan semangat UMNO dan tidak boleh dimaafkan.

Juga, apa tindakan akan dilakukan terhadap lima ketua UMNO Cawangan Pagoh meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta ekoran kecewa dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang melucutkan keahlian Muhyiddin Yassin daripada parti berkenaan baru-baru ini?

Mereka adalah Ketua Cawangan Grisek, Datuk Tahir Mohd Taat; Ketua Cawangan Batu Enam, Datuk Abd Aziz Hashim; Ketua Cawangan Parit Medan, Mohd Solihan Badri dan Ketua Cawangan Kurnia Sakti, Hedzer Ahmad serta Ketua Cawangan Kundang Ulu, Ahmad Kamit.

Kelima-lima individu terbabit mendakwa mereka masih mengekalkan keahlian dalam parti berkenaan kerana masih sayangkan UMNO. Untuk apa UMNO Pusat mengekalkan mereka?

Yag jelas tindakan mereka meletakkan jawatan adalah sebagai tanda protes selain membantah keputusan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. jelas sudah daripada kenyataan mereka.

Mohd Solihan bakar buku perlembagaan UMNO.
Mohd Solihan yang juga Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) berkata, beliau percaya sebenarnya ramai yang membantah dan mahu keluar daripada parti (UMNO) namun mereka masih teragak-agak kerana tidak jelas dan keliru dengan pendirian mereka.

“Namun saya pasti, keputusan kami ini boleh mempengaruhi ahli Umno lain yang dilihat begitu kecewa terhadap tindakan MT ini,” katanya.

Bagaimana pula di Semporna Sabah?

Kelmarin, Pengerusi Tetap Umno Bahagian Samporna, Datu Eranza Datu Saribu yang juga mengumumkan peletakan jawatannya sambil mendakwa UMNO Bahagian Semporna dibubarkan dengan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin kawasan tersebut sebagai bantahan terhadap keputusan MT menggantung keahlian Datuk Seri Shafie Apdal sementara menunggu laporan Lembaga Disiplin Jumaat lepas.

“Maka dengan ini kami meletakan jawatan di dalam parti dan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti berkuatkuasa serta-merta,” kata Datu Eranza dalam satu kenyataan semasa sidang media di Semporna.

Beliau mengecam tindakan MT UMNO yang bersifat kuku besi dan tidak membenarkan perbezaan pendapat sehingga pengkritiknya dibuang parti hanya semata-mata kerana menyatakan kebenaran dan melawan kebatilan.

Itu bukan melawan tauke ker? Menyifatkan kepimpinan UMNO mengamalkan pentadbiran ‘kuku besi’.

Keberanian Ibu Pejabat Umno mengambil tindakan memecat ketua cawangannya kerana dipercayai mensabotaj parti dan menegur kepimpinan Presiden UMNO,  Datuk Seri Mohd Najib Razak, wajar dijadi amalan kekal (prededent) parti.

Umpamannya dalam kes ketua cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan, Syed Saifuddin Syed Harman,58, yang menerima surat daripada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 2 Jun lalu.

Syed Saifuddin kena pecat...
Terkilan atau tidak atas keputusan itu, tanggunglah sendiri. Sendiri buat sendiri tanggung, walaupun setelah 30 tahun bersama UMNO.

Tidak perlu ungkit kenapa diperlakukan sedemikian?

Juga jangan anggap ia keputusan tidak adil tanpa sebab logik dan munasabah. Ini kerana apabila melakukan sabotaj, memburuk-burukkan pemimpin dan mengkritik pemimpin dan dasar parti, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jawabnya ‘nahaslah engkau’.

No comments:

Post a Comment