Monday, June 13, 2016

Bandar Diraja Kuala Kangsar Bakal Dikenali Bandar Ilmu - Zambry


Kuala Kangsar, yang terkenal sebagai Bandar Diraja, bakal dikenali sebagai Bandar Ilmu menerusi pelbagai perancangan pembangunan pendidikan di daerah berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rancangan menjadikan Kuala Kangsar sebagai bandar ilmu adalah berikutan pelbagai pusat kecemerlangan pendidikan sedia ada di bandar itu, , selain pemberian status universiti kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

"Kuala Kangsar merupakan gedung ilmu dengan sekolah-sekolah hebat terdapat di sini seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Kangsar dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

"Tambahan pula dengan penaiktarafan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) sebagai universiti, ia melonjakkan lagi Kuala Kangsar sebagai bandar ilmu," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat di Dewan Chiau Hooi Beo di Jalan Talang di Kuala Kangsar.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan.

Pemberian status univerisiti kepada KUISAS diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan lawatan ke Kuala Kangsar Jumaat lepas.

Zambry turut meminta pengundi di Kuala Kangsar supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Beliau berkata, Mastura adalah calon terbaik bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan Parlimen itu, yang sebelum ini disandang suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Parti Amanah Negara dan Bebas. 

No comments:

Post a Comment