Tuesday, June 14, 2016

Proton Perdana Baharu, Titik Perubahan Kepada Pembuat Kereta Nasional


Pelancaran Proton Perdana baharu, sedan eksekutif terkini oleh Proton Holdings Bhd (Proton), terbukti menjadi titik perubahan kepada pembuat kereta nasional itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelancaran itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan Proton ke landasan kejayaan bagi menjana lebih banyak keuntungan dan memberi manfaat kepada negara.

Beliau berkata Proton boleh membuktikan bahawa ia merupakan penggiat yang serius dalam industri automotif, dan akan terus memain peranan utama dalam pembangunan bakat, vendor dan usahawan tempatan.

"Saya harap pelancaran Perdana baharu ini akan menjadi titik perubahan untuk Proton, dan akan membawa manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat.

"Saya yakin Proton akan terus melakukan inovasi dan membuat penambahbaikan, menghasilkan kereta untuk rakyat Malaysia dan pelanggan di luar negara," katanya pada pelancaran generasi keempat Proton Perdana di Putrajaya hari ini.

Pelancaran itu  menandakan kemasukan semula pembuat kereta nasional itu ke dalam pasaran segmen D.


Model tersebut ditawarkan dalam dua varian, 2.0 dan 2.4 liter yang masing-masing dijual pada harga dari RM113,438 hingga RM138,888 seunit.

Perdana baharu varian 2.0 didatangkan dengan enjin SOHC empat silinder 16 injap
Bagi varian 2.4 pula dipadankan dengan enjin DOHC empat silinder 16 injap yang menghasilkan 178 bhp dan 222Nm tork.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri MITI II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faizal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Ahmad Fuaad berkata sejak tempahan dibuka pada Februari 2016, Proton Perdana sudah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara.


"Kami menjangkakan penjualan kira-kira 3,000 unit menjelang akhir tahun ini," katanya.
Kereta ini boleh didapati dalam enam warna iaitu Ruby Red, Sterling Silver, Graphite Grey, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata Proton tidak berada pada kedudukan seperti yang sepatutnya, kurang penyelidikan yang tepat dan keupayaan pembangunan selain skala pengeluaran yang diperlukan untuk kekal kompetitif.

"Ada masanya ada sifat angkuh bahawa Proton boleh buat apa sahaja kerana kerajaan akan sentiasa menyokongnya. Dua kilang dibangunkan (Tanjong Malim dan Shah Alam), yang berkeupayaan mengeluarkan 400,000 unit setahun.

"Namun, tahun lepas Proton hanya menjual 102,000 kereta," katanya dan menambah penguasaan dalam pasaran automotif negara hanya kira-kira 15 peratus berbanding 74 peratus semasa kemuncaknya pada 1993.

Setakat ini kata Najib kerajaan sudah menyalurkan geran hampir RM14 bilion, pelbagai bentuk bantuan dan cukai ke atas Proton sejak ditubuhkan pada 1993.

Pada April, beliau berkata kerajaan meluluskan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton Holdings, tertakluk kepada beberapa syarat yang mesti dipenuhi oleh pembuat kereta nasional itu.

"Ini bukan penyelamat memandangkan pinjaman itu mempunyai syarat ketat. Namun, keperluan mendesak untuk suntikan tunai menunjukkan hakikat bahawa wujud kelemahan serius dalam struktur Proton," katanya.

Najib berkata Proton berjaya atas bantuan besar kerajaan dan industri kereta nasional berkembang di bawah perlindungan, kuota ke atas saiz enjin dan rakyat Malaysia membayar duti import yang tinggi ke atas kereta asing.

Menerusi bantuan kerajaan, perdana menteri berkata Proton mesti memenuhi standard ketat pengurusan profesional untuk bergerak ke depan, dan memastikan syarikat itu mempunyai model kestabilan jangka panjang dan segera mengenal pasti rakan strategik asing.

"Pinjaman itu bukan cek kosong. Syarikat mesti membuktikannya, dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Pada dasarnya Proton mesti membagunkan program eksport yang kukuh dan kurang bergantung kepada pembeli Malaysia," katanya.

Najib berkata kerajaan mahu melihat Proton kembali berjaya dan atas sebab itu syarikat itu dibantu oleh Pasukan Petugas Khas yang baru dibentuk.

Pasukan petugas khas yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala, akan mengenal pasti rakan strategik asing dan memantau proses pemulihan Proton.
"Kita sudah belajar daripada pengalaman lepas Proton oleh itu Pasukan Patugas tidak akan campur tangan dalam operasi harian syarikat," katanya.

Najib juga berterima kasih kepada Proton dan pekerjanya atas usaha dan sumbangan mereka dalam sektor automotif.

"Saya yakin syarikat akan terus menambah baik dan melakukan inovasi bagi mengeluarkan kereta terbaik untuk pelanggan Malaysia dan luar negara.


"Pelancaran Proton Perdana baharu hari ini wajar menjadi permulaan baharu dalam sejarah syarikat. Proton mesti menjual kereta yang memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment