Friday, June 10, 2016

Sokong Kerajaan Supaya Pembangunan Berterusan


"Rakyat harus memberi sokongan kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memudahkan lebih banyak agenda pembangunan dilaksanakan," titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob banyak melakukan pembangunan dan kemajuan demi kesejahteraan rakyat, khususnya yang melibatkan infrastrutur elektrik, air dan jalan raya.

"Saya perhatikan banyak kemajuan yang dinikmati penduduk walaupun masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang komited dan prihatin dengan kesejahteraan rakyat.

"Mereka (kerajaan) mempunyai amanah untuk pastikan seluruh pelusuk Pahang mempunyai infrastruktur yang diperlukan rakyat, namun sudah pastilah memerlukan sokongan dan dokongan rakyat," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Bersama-sama Rakyat dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan yang Memerlukan di Masjid Kampung Datuk Seri Hamzah di Bera, malam semalam.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan majlis turut disertai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman.

Tengku Abdullah dalam titahnya turut merakamkan ucapan terima kasih sebagai mewakili rakyat Pahang kepada kerajaan atas keprihatinan dan usaha berterusan membangukan negeri itu.

"Walaupun ada masalah air disebabkan paip usang, saya percaya kerajaan negeri memandang serius masalah ini dan pasti akan diselesaikan, namun kita perlu bersabar," titahnya.

Tengku Abdullah juga mengingatkan rakyat Pahang supaya mengurangkan perselisihan faham dan menjadikan Ramadan sebagai bulan mengukuhkan silaturahim walaupun berbeza politik.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Anggota Perlimen Bera dalam ucapannya berkata beliau komited dalam memastikan daerah itu tidak ketinggalan dalam isu pembangunan bagi melahirkan rakyat yang berdaya saing dan cemerlang dalam bidang ekonomi dan modal insan.

"Bera adalah antara bandar yang pesat membangun di Pahang dan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya hampir 100 peratus dalam dinikmati termasuk di kampung Orang Asli selain patik telah mengisytiharkan Bera sebagai hab pendidikan negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment