Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan ‘kempen
kaedah tanpa kehadiran calon’ dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala
Kangsar sebagai langkah menghindarkan salah faham mengenai isu edah, kata Naib
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata,
melalui kaedah tersebut diharap tidak lagi timbul isu berkaitan hukum edah yang
telah ditimbulkan oleh parti pembangkang.
Menurutnya lagi, selama ini pun kempen sesuatu pilihan
raya hanya melibatkan 50 peratus sahaja kehadiran calon manakala selebihnya
dijalankan melalui kempen atau ceramah yang dijalankan oleh petugas-petugas
parti.
“Kita sudah teliti sebelum mengumumkan Datin Mastura
sebagai calon BN. Ini termasuk kaedah berkempen dan juga hukum berkaitan edah.
“Saya juga telah bertanyakan hukum dan mendapatkan
pandangan para ulama termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai
isu idah ini.
“Dari lima calon yang disenaraikan oleh BN, Datin Mastura
didapati yang paling sesuai dan berwibawa serta diterima ramai pengundi,”
katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di Tokyo semalam.
BN mengumumkan Datin Mastura Mohd. Yazid sebagai calon BN
di PRK Parlimen Kuala Kangsa yang akan menentang calon Pas, Dr.
Najihatussalehah Ahmad.
Sementara itu, BN akan menggunakan strategi 'kempen tanpa
calon' bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar susulan calonnya, yang
masih berada dalam tempoh edah.
Dr. Ahmad Zahid berkata, strategi yang julung kali diguna
pakai jentera BN semenjak parti itu ditubuhkan telah mengambil kira fatwa
mengikut hukum qat'ie dalam Islam yang berkaitan tempoh edah seseorang wanita
yang kematian suami.
"UMNO mengadakan perbincangan dengan beberapa ulama,
termasuk mereka yang menganggotai jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, selain
turut berbincang dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bagi
mendapatkan pandangan dan pendapat," katanya.
Beliau berkata, beberapa kaedah telah dicari untuk
memperkenalkan Mastura kepada pengundi termasuk merakamkan ucapannya yang akan
disiarkan di semua pusat daerah mengundi dan lokasi-lokasi sasaran, selain
melalui komunikasi tanpa lisan.
"Yakinlah, kaedah ini telah kami (BN) fikirkan bagi
menghormati hukum yang telah ditentukan dan diharap pengundi di Kuala Kangsar
yang hampir 60 peratus beragama Islam memahami situasi itu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, strategi kempen tanpa
calon itu telah dijelaskan kepada pemimpin komponen parti BN yang bukan
beragama Islam di Kuala Kangsar supaya mereka dapat menjelaskan isu berkenaan kepada
para pengundi.
Beliau berkata, Mastura akan berada di rumahnya sepanjang
kempen diadakan kerana masih dalam tempoh edah.
Ditanya mengenai penerimaan Mastura oleh pengundi di
kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Ahmad Zahid berkata, calon BN itu mempunyai kelebihan
tersendiri yang berpengalaman luas dalam bidang politik negara dan banyak
bergaul dengan pengundi kawasan itu semasa suaminya, Allahyarham Datuk Wan
Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Bukit Chandan dari 2004 hingga 2013, dan kemudian sebagai Ahli Parlimen Kuala
Kangsar sejak 2013.
"Saya yakin beliau akan diterima baik berbanding
calon lain yang tidak bergaul di kawasan undi..., dan tentunya beliau akan
melakukan yang terbaik," katanya.