Friday, February 17, 2012

Tak Perlu Tangisi Mereka Yang Tinggalkan Umno Masuk DAP

Oleh Ahmad Shukran Shaharudin

Tindakan dua bekas anggota Umno menyertai DAP dan kini ligat mengkritik kerajaan, tidak pernah dan tidak akan ditangisi oleh Umno, kata beberapa pemimpin Umno.

Kesediaan DAP menerima bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, dan anggota Umno Negeri Sembilan, Aspan Alias, sebaliknya dilihat sebagai petunjuk bahawa DAP semakin hilang kepercayaan terhadap kemampuan rakan mereka dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat dan Pas.

Umno di negeri asal kedua-duanya iaitu Pahang dan Negeri Sembilan tidak akan terjejas sedikitpun kerana perjuangan dan kekuatan Umno dan Barisan Nasional bukan disebabkan oleh individu tetapi kerana kerjasama berpasukan dengan parti-parti komponen BN, kata pemimpin-pemimpin Umno.

Kenapa kedua-dua mereka itu meninggalkan Umno?

Ada pemerhati berpendapat mereka mungkin dijanjikan tiket sebagai calon DAP dalam pilihan raya umum nanti untuk menarik sokongan pengundi Melayu kepada parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohamad Sharkar Shamsuddin berkata beliau pernah bersemuka dengan Ariff Sabri dan bertanya kenapa bekas anggota Umno Bahagian Pekan itu menyertai DAP.

"Beliau kata beliau mahu menjadi calon. Tetapi pada pandangan saya beliau tidak akan bertanding di Pahang kerana masyarakat di sini mengenali siapa beliau. Sentimen politik di kawasan Melayu berbeza terhadap DAP.

"Mungkin beliau akan bertanding di negeri lain seperti Pulau Pinang atau negeri lain. Sekiranya DAP menang kerusi terbanyak di peringkat DUN, mungkin calon Melayu inilah akan dilantik menjadi Menteri Besar, dan Pas mahupun PKR akan berputih mata," katanya.

Namun, adakah semudah itu untuk termakan janji menjadi calon mahupun Menteri Besar kerana bukan mereka berdua sahaja orang Melayu yang menyertai DAP?

Sejak pilihan raya umum 2008, orang Melayu yang menyertai DAP termasuk bekas naib presiden Transparency International Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, selain Zairil Khir, anak bekas Menteri Pelajaran Tan Sri Khir Johari dan bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Hata Wahari.

Mohamad Sharkar berkata dalam negara yang mengamalkan demokrasi, seseorang boleh menyertai parti apa sekalipun asalkan ia tidak melanggar perlembagaan negara.

"Kita tak perlu menangisi pemergian orang Umno yang masuk DAP. Itu hak dia. Cuma yang jelasnya ialah dengan kemasukan orang Melayu ke dalam parti itu menunjukkan DAP tidak lagi percaya kepada Pas mahupun PKR untuk meraih undi orang Melayu," katanya kepada Bernama.

Mohamad Sharkar berkata DAP dilihat mahu mendominasi gabungan parti pembangkang dan mahu berkuasa sendiri.

Katanya DAP sudah belajar daripada pengalaman bahawa ia perlukan wakil rakyat Melayu untuk menjadi Menteri Besar di negeri-negeri seperti Perak, Selangor dan Pahang yang memperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan masing-masing bahawa hanya orang Melayu boleh memegang jawatan itu.

Mohamad Sharkar berkata beliau percaya DAP akan merekrut lebih ramai orang Melayu menjadi anggotanya menjelang pilihan raya umum ke-13 kerana matlamatnya ialah untuk menumbangkan kerajaan Umno dan BN.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, berkata Umno mengamalkan demokrasi dan terpulang kepada individu membuat pilihan jika merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan Umno.

"Kalau seorang keluar Umno, ribuan yang lain nak masuk. Siapa suka nak sokong boleh masuk, dan siapa yang rasa mereka tidak, boleh keluar. Ini tidak menjejaskan usaha kita untuk mengukuhkan parti dan mengekalkan kekuatan BN mentadbir Negeri Sembilan," katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai tindakan Aspan, bekas anggota Umno Bahagian Kuala Pilah.

Beliau berkata Umno dan BN tidak akan terjejas dengan satu orang yang masuk DAP.

"Kita bergantung kepada pasukan iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain," katanya.

Mohamad berkata apabila DAP membawa masuk orang Melayu ke dalam DAP, mereka mahu mengabui mata orang ramai khasnya pengundi Melayu yang rata-rata melihat DAP sebagai parti yang sememangnya rasis.

"DAP suka memainkan isu bersifat rasis. Dia kata Umno, MCA, MIC rasis tetapi sebenarnya merekalah yang rasis. Sekarang dia nak ambil orang Melayu, India.

"Padahal tak ada tempat untuk orang Melayu di dalam DAP sebenarnya. Jadi orang Melayu yang termakan dengan lagu dan nyanyian kosong DAP sahaja yang akan menyanyi bersama parti itu, selain untuk memburu kepentingan sempit masing-masing," katanya.

Mohamad berkata DAP memanipulasi sepenuhnya PKR dan Pas untuk kepentingan mereka.

"Yang tak sedar diri ialah Pas dan PKR," katanya.

Rencana Bernama

No comments:

Post a Comment