Thursday, February 9, 2012

NFC Boleh Jadi Beban Kepada Umno, BN


Masa belum terlambat. Jika Ketua Wanita UMNO yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur, parti masih boleh diselamatkan.
Tidak ada untungnya mempertahankan diri atau pucuk kepimpinan mempertahankan seorang yang dianggap lkiabliti kepada parti atau kalau bukan pun setaraf itu, parti sudah terpalit.

Soal salah atau benar bukan pengukur. Namun ia sudah menjadi isu dan sukar untuk diatasi jika tidak ada kata putus atau kata penentu sama ada selesaikan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) secara mutlak segera atau minta Shahrizat berundur kerana ia membabitkan keluarganya.

Memang benar pendapat Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al Habshee bahawa isu NFC perlu diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang bagi mengelak ia menjadi beban kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau memberi amaran, jika itu gagal diselesaikan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita tidak mahu kecemerlangan kepimpinan Datuk Seri Najib menjadi cacat disebabkan oleh isu NFC. Rakyat sedang memerhati sejauh mana ketegasan dan ketelusan pihak berkuasa menangani isu tersebut," katanya dalam entri terbaru Umnocheras.blogspot.com.

Bukan Syed Ali sahaja bimbang malah ramai, termasuk pemimpin komponen BN bimbang dengan keadaan pembangkang ghairah membongkar pembelian aset mewah yang dikaitkan dengan pengerusi NFC Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail, yang juga suami menteri berkenaan.

Masalahnya jika dakwaan itu tidak dinafikan oleh pihak terbabit (keluarga Shahrizat) ia boleh menimbulkan persepsi yang dakwaan itu benar.

"Jika semua dakwaan pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat itu fitnah, saya minta pihak berkenaan menafikannya secara terbuka beserta bukti atau fakta yang tepat bagi meyakinkan rakyat," katanya.

MCA berharap Shahrizat akan melaksanakan kebijaksanaan politiknya berhubung kontroversi NFC. "Beliau adalah pemimpin parti kanan. Kami yakin beliau akan membuat keputusan terbaik berdasarkan kepentingan BN dan Umno,” demikian Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Pemimpin MCA itu .berpendapat, persepsi negatif terhadap BN berhubung kontroversi itu tidak wajar untuk rakyat menilainya dan terserahlah kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih lagi menyiasat perkara berkenaan.

Bagaimanapun Gerakan pula lain nadanya apabila mengatakan demi kepentingan BN, Shahrizat wajar mengosongkan jawatannya dalam Kabinet, dan memberi tumpuan ke atas usaha memerangi serangan Pakatan Rakyat (PR) terhadap keluarganya berhubung kontroversi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, walaupun saranan itu merupakan satu pengorbanan di sebelah pihak, tetapi langkah tersebut satu langkah bijak untuk menyelamatkan BN daripada serangan melulu pihak pembangkang.

“BN mesti dibebaskan dari implikasi yang tidak diingini kerana beban yang timbul dari NFC hanya akan menjejaskan imej BN.

“Bagaimanapun, beliau (Sharizat) boleh kembali ke Kabinet selepas episod ini dan namanya dibersihkan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Shahrizat baru kembali meneruskan tugas dan tanggungawabnya sebagai menteri selepas tiga minggu bercuti.

Sebelum ini pun, ada beberapa pemimpin Umno menggesa beliau melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Dalam kenyataannya, Ko Youn berkata ketika ini kempen ‘fitnah’ yang dilancarkan oleh pembangkang dilihat bersifat tidak adil dan kejam.

Beliau turut bersetuju bahawa Shahrizat bukan sebahagian daripada NFC dan yakin bahawa beliau tidak bersalah sehingga terbukti melakukan kesalahan.

Beliau berkata, adalah juga bercanggah dengan lumrah keadilan untuk mengutuk seseorang atas dasar tuduhan dengan bukti yang tidak berasas.

Semalam, Shahrizat memberi keterangan di SPRM untuk membantu siasatan berhubung isu NFC.

Malah dalam kenyataannya semalam, Shahrizat berkata: "Saya telah katakan bahawa saya bukan sebahagiannya."

Isu mengenai NFC, yang diterajui suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebagai Pengerusi Eksekutif NFCorp, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang dikeluarkan Oktober lalu, menyatakan bahawa NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Jadi amatlah wajar jika ahli keluarga beliau (Shahrizat) tampil memberikan penjelasan di pihak mereka untuk menghilangkan sebarang keraguan yang ditimbulkan dengan menyertakan semua salinan dokumen yang dapat menyokong pembelaan.

Shahrizat sebagai tokoh umum, setiap apa yang dilakukan akan menjadi perhatian dan hanya melalui pembersihan daripada tuduhan sahaja akan membersihkan UMNO dan BN untuk menghadapi pilihan raya.


Jika sebaliknya dan Shahrizat yang sini bergelar Senator, bukan sahaja akan mengorbankan dirinya tetapi juga mengorbankan parti dan komponen BN lain dalam PRU ke 13 nanti.

No comments:

Post a Comment