Saturday, February 18, 2012

Isu Hadir Ke Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves - Dr Asri, Jamil Khir Pertahan Najib


“Tidak pula kita kata pemimpin itu (Nik Aziz) gadai akidah kerana berada di kuil. Pokok utamanya, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan umat Islam apabila bercakap mengenai perpaduan. Saya sedih apabila ada pemimpin Islam diberi ugutan kerana cuba membawa konsep perpaduan dan lebih suka melihat sesama kita terus berpecah-belah…Begitu juga apabila umat Islam mementingkan agenda politik untuk menawan Putrajaya daripada menyelesaikan masalah akidah, perpaduan, Islam dan apa yang berlaku di Palestin,” - Datuk Seri Jamil Khir Baharom


Sudah sudahlah mahu mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan isu kehadiran beliau di majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lalu.

Dua individu yang berathoriti dalam agama semalam menyifatkan langkah Perdana Menteri menghadiri nya tidak salah kerana itu adalah tuntutan tugas selaku seorang pemimpin kerajaan dan negara.


Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sama-sama berpendapat kehadiran Najib bukan menyambut perayaan.

Berikutan itu Asri menggesa pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai “senjata politik” kerana ia dilihat merendahkan martabat Islam dan boleh mengelirukan orang ramai.

Beliau yang juga felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, Perdana Menteri hadir untuk berhujah “bukannya nak menyokong… beliau pemimpin rakyat, takkan nak buat tak peduli kepada rakyatnya yang berbilang kaum."

“Masuk ke kuil atas rasa tugas seperti polis tidak apa, macam itulah juga pemimpin politik, beliau tidak menyambut perayaan itu tetapi hadir sebagai seorang Muslim dan pemerintah,” kata beliau.

Sambil itu Asri meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan garis panduan berkenaan kesesuaian umat Islam melibatkan diri dalam majlis agama lain supaya tidak berlaku kekeliruan.

Jamil Khir pula menempelak pihak yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggadaikan akidah kerana melawat Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves semasa perayaan Thaipusam lalu.

Perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kebencian terhadap Najib sebagai pemimpin Islam dan beliau kecewa kerana ia dilakukan oleh umat Islam sendiri.

Menurutnya, perkara ini tidak timbul kerana Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi garis panduan mengenai hukum ketika beliau berada di kawasan berkenaan.

“Najib tidak terlibat dalam upacara keagamaan dan acara yang dianjurkan, justeru, tidak timbul soal akidahnya. Beliau (Najib) telah mengikut garis panduan yang ditetapkan. Beliau tahu mana yang boleh dan mana yang tidak…Ini yang merosakkan agama (Islam) apabila umatnya sendiri sanggup menuduh dan membuat pelbagai dakwaan berniat jahat semata-mata tidak sehaluan dengan pemimpin negara,” katanya semasa memberi ucapan dalam Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam.

Menurut Jamil Khir, Najib telah mengikut nasihat pakar dan ulama melalui susun atur perjalanan majlis dengan berada di dalam dewan untuk menerangkan program kerajaan kepada masyarakat India beragama Hindu.

Menjawab mengenai pakaian 'purta' yang dipakai Najib, beliau berkata, ia adalah kostum kebudayaan orang India dan bukan ‘pakaian agama Hindu’.

“Kalau lelaki India pakai baju Melayu dalam majlis, itu tidak bererti mereka telah masuk Islam dan menjadi orang Melayu. Sama juga yang berlaku pada Najib, beliau tetap orang Islam,” katanya.

Sekiranya yang dilakukan Najib boleh dianggap menggadaikan akidah, kata Jamil Khir, perkara yang sama perlu diajukan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila bertemu dengan penganut agama lain di kuil dan pada masa yang sama menghulurkan sumbangan wang.

“Tidak pula kita kata pemimpin itu (Nik Aziz) gadai akidah kerana berada di kuil. Pokok utamanya, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan umat Islam apabila bercakap mengenai perpaduan. Saya sedih apabila ada pemimpin Islam diberi ugutan kerana cuba membawa konsep perpaduan dan lebih suka melihat sesama kita terus berpecah-belah…Begitu juga apabila umat Islam mementingkan agenda politik untuk menawan Putrajaya daripada menyelesaikan masalah akidah, perpaduan, Islam dan apa yang berlaku di Palestin,” katanya.

Menurut Jamil Khir, umat Islam lemah perlu mengetepikan pendapat, sebaliknya merujuk kepada pakar dan ulama serta tidak menjadikan laman sesawang sebagai hukum-hakam untuk kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment