Monday, February 6, 2012

Jentera Pilihan Raya Wanita BN Sedia Gempur Pembangkang

 Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra dengan masyarakat Siam pada Majlis Konvensyen Memperkukuhkan Ekonomi Masyarakat Siam Negeri Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

Jentera pilihan raya Wanita Barisan Nasional (BN) kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Komitmen yang ditunjukkan Wanita BN amat memuaskan dan kekuatan jentera pilihan raya Wanita BN adalah di peringkat akar umbi.

Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berpuashati dengan persiapan dan kini boleh menggempur benteng dan kubu pembangkang bila-bila masa.

“Jentera wanita BN kini berada dalam siap siaga," katanya.

Beliau turut meminta Ketua Wanita BN di semua peringkat diminta mengadakan program Outreach melibatkan komuniti di akar umbi bagi mendekati golongan tersebut.

Katanya, kekuatan parti tersebut adalah di peringkat akar umbi dan sewajarnya mereka didampingi serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Beliau berkata, semua pemimpin wanita parti itu perlu turun padang untuk mendekati golongan terbabit bagi memberikan bantuan dan menerangkan agenda perjuangan BN.

"Saya telah mengarahkan Ketua Wanita BN negeri untuk mempertingkatkan dan melebarkan sayap di peringkat akar umbi bersama dengan komuniti berbeza.

"Sebagai contoh, program hari ini adalah di antara program yang mana saya minta Ketua Wanita BN negeri adakan kerana kekuatan kita adalah di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jalinan Rakyat Bersama Masyarakat Siam Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek di Rantau Panjang, semalam.

Turut hadir, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Wanita Siam Kelantan, KC Ngiam dan barisan Exco Wanita BN Pusat.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang masyarakat Siam.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, meminta semua ketua Wanita BN negeri memperluaskan program mendekati dengan melibatkan semua komuniti termasuk masyarakat Siam.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga berkata, BN berpeluang cerah untuk menawan semula Kelantan selepas 21 tahun di bawah pemerintahan Pas.

"Daripada maklum balas yang saya dapat daripada Wanita BN, kita mempunyai peluang yang cerah untuk menang pada pilihan raya umum kali ini.

"Jentera Wanita di Kelantan memang aktif untuk memenangi pilihan raya, dalam mana-mana pilihan raya di dunia ini, jentera amat mustahak, di antara komponen yang amat kritikal dan sebagai ketua saya perlu sentiasa siap siaga," katanya.

Sementara itu, Ngiam berkata masyarakat Siam di Kelantan amat menghargai pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kebanyakan bantuan untuk masyarakat Siam di Kelantan adalah daripada kerajaan Barisan Nasional dan kami amat menghargainya," katanya.

No comments:

Post a Comment